![]() |

Mesir Tengah [1] (Arab: مِصْر ٱلْوِسْطَى, rumi: Miṣr al-Wisṭā) ialah kawasan antara Mesir Hilir (Delta Nil) dan Mesir Hulu, yang menjangkau dari dari Asyut di selatan hingga Memphis di utara.[2] Pada masa dahulu, Mesir purba terbahagi kepada Mesir Hilir dan Mesir Hulu, namun Mesir Tengah secara teknikalnya juga satu subbahagian Mesir Hulu. Hanya pada abad ke-19 ahli arkeologi berasa ada keperluan untuk membahagikan Mesir Hulu kepada dua. Dengan itu, mereka mencipta istilah "Mesir Tengah" untuk bahagian sungai di antara Kaherah dan selekoh sungai di Qena.[3] Ia juga dikaitkan dengan wilayah yang dipanggil "Heptanomis" (Yunani: ἡ Επτανομίς, dalam Ptol. iv. 5. § 55; lebih betulnya Ἑπτὰ Νομοί atau Ἑπταπολίς, dalam Dionysius Periegetes 251; dan kadangkala ἡ μεταζύ[γή] ; bermaksud "Tujuh Nomos", dengan "nomos" merupakan subbahagian Mesir purba), secara amnya sebagai daerah yang memisahkan Thebaïd daripada Delta.
Mesir Tengah hari ini boleh dianggap sebagai bahagian Lembah Nil yang, walaupun menurut geografinya sebahagian daripada Mesir Hulu, dari segi budayanya ia lebih dekat dengan Mesir Hilir. Sebagai contoh, dari segi bahasa, bahasa Arab Mesir di Beni Suef dan bahagian utara berkongsi ciri-ciri dengan Kaherah dan khususnya bahasa Arab Delta luar bandar berbanding dengan bahasa Arab Sa'idi yang dituturkan lebih jauh ke selatan, dan selalunya tidak dianggap sebagai orang Sa'idi.
Heptanomis

Pada abad ke-19, "Heptanomis" secara umumnya digambarkan sebagai daerah yang memisahkan Thebaïd daripada Delta.[4] Walau bagaimanapun, kerana gelaran Tujuh Nomos lebih bersifat politik berbanding kewilayahan, tidak mudah hendak menentukan sempadan sebenar wilayah ini. Bahagian utara milik kerajaan Mesir Hilir, tempat letaknya ibu kotanya, Memphis; bahagian selatan kepunyaan kerajaan lama Thebes, begitu lama sehingga terdapat dua monarki di lembah Nil.
Persoalan pada zaman mana, jika ada, Heptanomis dianggap sebagai bahagian ketiga yang penting di Mesir tidak dapat ditentukan. Tentang bilangan nomosnya tidak ada persoalan; tetapi yang manakah tujuh nomos utamanya, pada era-era tertentu, lebih sukar untuk diputuskan. Ia mungkin berubah-ubah mengikut kemakmuran tempatan, peperangan, perdagangan, atau migrasi, dari semasa ke semasa, menyebabkan nomos yang lebih unggul jatuh merosot, serta sebaliknya, menaikkan nomos bawahan ke kedudukan yang lebih tinggi.
Menurut Ptolemy dan Agatharchides (De Rubr. Mar. ap. Photius Biblioth. p. 1339. R.), kedua-duanya menulis lama setelah pembahagian asalnya diubah suai, Tujuh Nomosnya adalah seperti berikut:
- Memphites
- Heracleopolites
- Crocodilopolites, dinamakan semula kepada Arsinoites
- Aphroditopolites
- Oxyrhynchites
- Cynopolites
- Hermopolites
Oasis Besar dan Oasis Kecil selalu dianggap sebagai sebahagian daripada Heptanomis dan oleh itu mesti menghantar sembilan, bukan tujuh, nomark ke perhimpunan umum di Labyrinth.
Ibu-ibu kota nomos-nomos ini, yang mirip nama daerahnya (contohnya Hermopolis dari Nomos Hermopolites, dsb.), juga merupakan pekan-pekan utama Tanah Tengah. Daerah ini merangkumi tiga karya terbesar seni dan usaha Mesir, contohnya Piramid, Labyrinth, dan daerah buatan yang dibentuk oleh terusan Bahr Yussef (Terusan Yusuf), Nomos Arsinoites atau Faiyum.
Heptanomis terbentang dari latitud 27°4′ Utara hingga 30° utara; sempadannya di selatan ialah kubu Hermopolis (Ἐρμοπολιτάνη φυλακή), di utara hujung Delta dan bandar Cercasorum, di barat garis tidak sekata Gurun Libya, dan di timur, bukit-bukit yang membatasi Nil, atau garis berliku, lekuk dan tonjolan gunung Arab. Oleh itu, berhampiran Hermopolis di hujung selatan wilayah ini, bukit-bukau timur mendekati sungai, manakala bukit di tebing barat atau kiri menjauh darinya.
Sekali lagi, di latitud 29° utara, bukit Libya menjauhi kawasan sekitar Nil, melengkung ke barat laut, dan kembali tajam ke sungai dengan lengkungan ke timur, merangkumi wilayah Arsinoë (dahulu Crocodilopolis, kini bandar Al Faiyum). Antara bukit-bukau di mana Piramid berdiri dan Gebel-el-Mokattam di tebing timur sungai, Heptanomis berkembang, sehingga berhampiran Cercasorum ia hampir mencapai lebar Delta di bawahnya.
Heptanomis terkenal dengan kuari-kuari batu dan gua batunya. Selain Alabastrites, di utara Antinoë terdapat gua Beni Hasan, Speos Artemidos bagi orang Yunani. Empat belas kilometer di bawahnya terdapat groto-groto Kom el-Ahmar, dan di Gurun Arab di timur, kuari batu pualam putih dengan ira yang indah, yang digunakan oleh orang Mesir untuk sarkofagus-sarkofagus mereka, serta bahagian-bahagian seni bina yang lebih halus.
Dari kuari Tourah dan Massarah, di bukit Gebel-el-Mokattam, timur Memphis, batu kapur yang digunakan untuk melapisi piramid diperolehi. Jalan dari kuari ini masih boleh dikesan merentasi dataran yang di antaranya.
Di bawah kerabat Ptolemy, Heptanomis diperintah oleh seorang wizurai atau penggawa (ἐπιστράτηγος), dan oleh seorang pegawai dengan gelaran yang sepadan, prokurator, di bawah Maharaja Rom. Prokurator yang dihuraikan dalam inskripsi-inskripsi (Orelli, Inscr. Lat. n. 516) dinyatakan sebagai procurator Augusti epistrategiae Septem Nomorum.
Di bawah maharaja-maharaja kemudian pada abad ke-3, lima nomos utara, Memphites, Heracleopolites, Arsinoites, Aphroditopolites dan Oxyrhyncites, bersama dengan nomos Leptopolites, membentuk wilayah Arcadia Ægypti, yang kemudian menjadi takhta keuskupan metropolitan.
Hasil-hasil semula jadi Heptanomis umumnya menyamai Mesir Hulu, dan ada fauna dan flora yang lebih tropika berbanding di Delta. Penduduknya juga kurang dicampuri oleh orang Yunani atau Nubia berbanding Mesir Hilir atau Hulu; namun, selepas abad ke-4, Heptanomis dilanggar oleh penakluk Arab, yang telah banyak mempengaruhi campuran kaum asli.
Ibu kota Heptanomis secara kolektifnya dipanggil "Heptapolis" (Yunani Purba: Ἑπταπολίς, bermaksud "Tujuh Bandar"), dan ialah Memphis, Heracleopolis, Crocodilopolis (kemudian Arsinoe), Aphroditopolis, Oxyrhynchos, Cynopolis dan Hermopolis.[5]
Bandar utama
Lihat juga
Rujukan
- ^ Cappozzo, M. (2007). Il Cristianesimo nel Medio Egitto (dalam bahasa Itali). Todi, Italy: Tau Editore. ISBN 978-88-6244-010-3.
- ^ Baines, John; Málek, Jaromír; Speake, Graham (2000). Cultural Atlas of Ancient Egypt. New York, the U.S.A.: Checkmark. Print
- ^ Richardson, Dan; Jacobs, Daniel (2003). Rough guide to Egypt. London, the U.K.: Rough Guides. m/s. 295. ISBN 1-84353-050-3.
- ^ Templat:DGRG
- ^ Smith, William (1857). Dictionary of Greek and Roman Geography. London.
Pautan luar
![]() |
Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan Mesir Tengah |