Mesin basuh merupakan sebuah mesin yang direka untuk membasuh pakaian termasuklah baju, tuala dan cadar. Istilah tersebut merujuk kepada mesin yang menggunakan air sebagai larutan cucian utama, tidak seperti cucian kering yang menggunakan bendalir pencuci alternatif.
Sejarah
Cucian pakaian secara asasnya memerlukan seseorang untuk menyental serta menggosok pakaian untuk memecahkan kotoran pepejal serta membantu larutan sabun menembusinya. Asalnya ia dilakukan dengan menyental atau menghempas pakaian di atas batu di dalam sungai, sehinggalah terciptanya papan sental beralur. Semasa zaman Rom, manusia memutihkan pakaian dengan menyentalnya di atas batu sambil membiarkan sabun dilumurkan padanya. Pada masa itu, sabun diperbuat daripada lemak haiwan.
Teknologi mesih basuh dibangunkan sebagai satu cara untuk mengurangkan penggunaan tenaga manusia akibat proses menyental yang leceh dengan menyediakan satu tab terbuka atau bekas bertutup dengan jejari untuk mencuci pakaian tersebut secara automatik. Mesin basuh terawal kebanyakannya masih lagi menggunakan kudrat manusia. Memandangkan bekalan elektrik masih belum didapati secara meluas sehinggalah paling awal pun tahun 1930-an, beberapa model mesin basuh ini mengunakan enjin petrol silinder tunggal berkelajuan rendah.
Memandangkan air perlu dipanaskan untuk mencuci, air sabun yang panas adalah berharga dan akan digunakan berulang kali; mula-mula untuk mencuci pakaian yang tidak berapa kotor, diikuti dengan pakaian yang lebih kotor. Sementara model terawal diperbuat daripada kayu, masin yang lebih baharu diperbuat daripada logam untuk membolehkan unggun api dipasang di bawah tab cucian untuk memanaskan air sepanjang cucian sehari suntuk.
Proses membuang air sabun daripada pakaian selepas mencuci asalnya merupakan satu proses berasingan. Pakaian yang basah asalnya diperah dengan tangan untuk membuang air. Untuk mengurangkan tenaga kerja ini, mesin penggelek dicipta dengan menggunakan dua penggelek yang dikenakan tegangan spring untuk membuang air daripada pakaian. Namun demikian, hanya sehelai pakaian sahaja yang boleh diperah pada satu-satu masa. Penggelek terawal menggunakan tangan sebelum menggunakan motor elektrik.
Kaedah moden bagi membuang air melalui putaran hanya mula digunakan setelah motor elektrik dicipta. Proses putaran kering memerlukan motor elektrik berkuasa tinggi serta berkelajuan tinggi. Asalnya proses ini dilakukan secara berasingan pada tab putaran kering. Setelah habis mencuci, pengguna perlu memindahkan sendiri pakaian dari tab cucian ke tab putaran kering sebelum pakaian diputar untuk membuang air.[1] Mesin basuh sebegini dikenali sebagai mesin basuh separa automatik dan ia masih lagi dikeluarkan sehingga sekarang berikutan harganya yang lebih murah daripada mesin basuh automatik.
Tab putaran kering terawal selalunya agak berbahaya untuk digunakan memandangkan beban pakaian yang tidak seimbang akan menyebabkan mesin bergegar dengan kuat. Banyak usaha telah dilakukan bagi mengurangkan gegaran akibat beban yang tidak seimbang, seperti memasang sistem penyerap hentakan serta suis hentakan yang mematikan mesin secara automatik apabila ia bergegar dengan kuat untuk membolehkan pengguna menyusun semula pakaian di dalam tab putaran kering. Kebanyakan mesin moden dilengkapi satu gelang cecair yang ditutup bagi menangani sebagang ketidakseimbangan.
Mesin basuh automatik pula menggabungkan ciri-ciri tab cucian serta tab putaran kering dalam satu mesin, termasuklah keupayaan untuk mengisi dan membuang air secara automatik. Ciri-ciri pengering pakaian boleh juga ditambah pada mesin basuh sebegini, tetapi ia jarang dilakukan memandangkan proses mengering menggunakan lebih banyak tenaga elektrik daripada menggunakan dua tab cucian dan putaran kering serentak; mesin basuh/pengering gabungan bukan sahaja perlu mengeringkan pakaian, tetapi perlu juga mengeringkan tab cucian itu sendiri.
Konfigurasi mesin basuh moden
Mesin basuh moden boleh didapati sama ada dari jenis muatan atas ataupun muatan hadapan.
Muatan atas
Mesin basuh muatan atas menempatkan pakaian yang dimuatkan melalui penutup di sebelah atas ke dalam tab yang disusun menegak serta mempunyai pemutar (pulsator) pada bahagian dasarnya. Mesin sebegini popular di Asia, Australia, Amerika Syarikat, Amerika Latin, New Zealand, Kanada dan Malaysia. Semasa kitar cucian, tab yang berisi pakaian diisi dengan air yang banyak untuk menyokong pakaian dan pergerakan pemutar menarik pakaian ke bahagian dasar tengah ke arah pemutar. Kemudian pakaian bergerak ke arah sisi tab dan proses berulang bagi arah putaran yang berlawanan sehinggalah masa cucian tamat. Selepas proses cucian tamat, sebahagian air dibuang dan pemutar memutar pakaian dalam sela masa yang sangat singkat bagi menyerakkan pakaian untuk menyeimbangkan muatan pakaian sebelum proses putaran kering perantara. Proses seterusnya diulang bagi bilasan pertama dan terakhir, dan selepas kitar bilasan terakhir tamat, kitar putaran kering terakhir berlangsung selama lebih kurang 6 minit bagi mengeringkan pakaian sepenuhnya.
Kelebihan mesin basuh muatan atas ialah:-
- Harganya lebih murah daripada mesin muatan hadapan.
- Kurang penyelenggaraan berbanding mesin muatan hadapan, terutamanya penggantian sesendal pintu sebagaimana mesin muatan hadapan. Ia adalah kerana mesin muatan atas hanya bergantung pada graviti untuk mengekalkan air pada mesin, tidak seperti mesin muatan hadapan yang memerlukan satu pintu kedap air bagi mengelak kebocoran.
- Sabun, pelembut pakaian serta cecair peluntur boleh ditambah secara terus ke dalam tab, tidak seperti mesin muatan hadapan di mana bahan-bahan cucian tersebut mestilah dimasukkan ke dalam bekas khas dan seterusnya ditambahkan ke tab cucian melalui injap kawalan soleniod.
- Sesuai digunakan oleh orang bertubuh tinggi lampai kerana tidak perlu tunduk untuk memuatkan pakaian ke dalam mesin sebagaimana mesin muatan hadapan.
Kelemahannya pula ialah:-
- Banyak menggunakan air berbanding mesin muatan hadapan.
- Tidak sesuai untuk mencuci bantal kerana ia cenderung untuk terapung di permukaan atas tab cucian.
- Tindakan agresif pemutar boleh merosakkan fabrik jenis lembut seperti sutera
Muatan hadapan
Mesin basuh muatan hadapan memerlukan pengguna untuk memasukkan pakaian ke dalam tab melalui pintu hadapan yang kedap air. Kesan sentalan dihasilkan melalui pergerakan tab serta tindakan graviti, sebagaimana kaedah cucian zaman dahulu dengan menghempas pakaian ke atas batu. Pergerakan tab mengangkat pakaian ke bahagian atas tab sebelum pakaian jatuh semula ke dasar tab.
Kelebihan mesin basuh muatan hadapan ialah:-
- Kurang memerlukan air dan sabun berbanding mesin muatan atas.
- Lebih menjimatkan tenaga elektrik berbanding mesin muatan atas.
- Mesra orang kerdil kerana kedudukan pintu mesin yang amat mudah dicapai.
- Lebih senyap serta kurang kecenderungan untuk bergegar akibat ketidakseimbangan beban pakaian.
Kelemahannya pula ialah:-
- Mesin muatan hadapan lebih mahal daripada muatan atas.
- Kebocoran air melalui pintu hadapan cenderung berlaku akibat sesendal pintu yang tidak tahan lama.
- Pakaian yang lebih kecil seperti stokin boleh tercicir melalui ruang di celah pintu. Proses pengeluarannya memerlukan pengguna menanggalkan pemasangan mesin.
- Jika tidak dimasukkan dengan sempurna, pakaian boleh tersangkut pada pintu apabila pintu terkunci, menyebabkan pakaian rosak dan boleh koyak.
Jenama Mesin Basuh Popular
- Mesin Basuh Samsung
- Mesin Basuh Panasonic
- Mesin Basuh LG
- Mesin Basuh Media
Rujukan
- ^ Illustration of a 1919 line shaft-driven commercial horizontal washer with a separate large vertical extractor behind it -- Don't Waste Waste, Popular Science monthly, January 1919, page 73, Scanned by Google Books: http://books.google.com/books?id=HykDAAAAMBAJ&pg=PA73
2. Mesin Cuci Normal Membantu Pekerjaan Ibu Rumah Tangga 2024, Service Mesin Cuci Bekasi , Labira Jaya Teknik Spesialis Service Mesin Cuci, Ac dan Kulkas di Bekasi .
Pautan luar
Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan: Mesin basuh. |
- Pemuliharaan serta pameran mesin basuh antik
- Sejarah Mesin Basuh Diarkibkan 2014-08-17 di Wayback Machine
- Bagaimana Mesin Basuh Berfungsi - Rencana dari HowStuffWorks.com
- Sejarah Bendix
- Platform pengeringan pintar Hoaphat - Peralatan alternatif untuk mesin basuh pakaian
- Muzium Mesin Basuh
- New Devices that Ought to Make Housekeeping Easy: a long platform for the electric washing machine, rinsing, and bluing tubs, and the basket, making for a continuous operation, Popular Science bulanan, Februari 1919, halaman 62, Diimbas oleh Google Books: http://books.google.com/books?id=7igDAAAAMBAJ&pg=PA62
- Projek Sumber Terbuka Mesin Basuh
- Mesin Basuh di Malaysia Diarkibkan 2016-10-18 di Wayback Machine