Dalam sukan, perbuatan menggelecek (kata dasar: kelecek) ialah menggerakkan bola oleh seorang pemain sambil bergerak ke arah tertentu, mengelakkan percubaan pemain pertahanan untuk memintas bola. Mengelecek yang berjaya akan membawa bola melepasi pemain pertahanan secara sah dan mencipta peluang untuk menjaringkan gol.
Bola sepak
Dalam bola sepak persatuan, menggelecek ialah salah satu kemahiran bola yang paling sukar untuk dikuasai dan salah satu gerakan menyerang yang paling berguna. Dalam permainan biasa, pemain cuba untuk melonjakkan bola ke arah gawang lawan mereka melalui kawalan individu ke atas bola, seperti dengan menggelecek (penggunaan olah gerak teknikal). Untuk melepasi pihak lawan, kaedah kelecek boleh melibatkan pelbagai helah dan tipu daya manipulatif; Ronaldinho sering menggunakan kemahiran dan tipu daya yang rumit, seperti elastico untuk melawan pemain pertahanan.[1]
Menggelecek selalunya begitu ternilai, terutamanya di bahagian ketiga padang atau di bahagian sayap, di mana kebanyakan serangan berlaku. Kelecek mencipta ruang dalam situasi yang ketat, di mana pengelecek "ditanda" (dijaga rapi oleh pemain pertahanan), dan pengelecek boleh menjaringkan gol atau mencipta peluang menjaringkan gol selepas aksi menggelecek yang berjaya. Walau bagaimanapun, jika kurang dikuasai dan digunakan, ia boleh mengakibatkan kehilangan penguasaan bola, sama ada apabila bola dipintas atau ditendang oleh pemain pertahanan. Sesetengah pemain lebih suka melepasi pemain dengan kepantasan dan fizikal seperti pemain sayap Gareth Bale,[2][3][4][5] manakala beberapa pemain pergi terus ke arah lawan dan melihat melepasi mereka secara langsung dengan gaya <i>nutmeg</i> (menendang bola melalui kaki mereka) seperti Luis Suárez,[6] dan yang lain pula mungkin menggunakan tipu muslihat, kawalan, ketangkasan, dan pecutan untuk mengelak terjahan seperti Lionel Messi.[7][8]
Seorang pengelecek yang mahir selalunya sukar untuk disingkirkan; takel yang tidak berjaya (yang tidak sampai ke bola) boleh mengakibatkan situasi sepakan percuma yang berguna dan teguran untuk pesalah dalam bentuk kad penalti. Dalam Piala Dunia FIFA 2018, pemain Belgium Eden Hazard yang terkenal kerana sukar dipintas, mencipta rekod Piala Dunia bagi jumlah kelecek yang berjaya dalam mana-mana perlawanan Piala Dunia sejak 1966, dengan kadar kejayaan 100% dalam sepuluh aksi menggelecek menentang Brazil.[9]
Polo air
Dalam polo air, aksi menggelecek ialah teknik menggerakkan bola semasa berenang ke hadapan. Bola didorong mendahului pemain dengan keracak yang dicipta oleh pukulan tangan berselang-seli, dan selalunya disertai dengan dorongan sekali-sekala menggunakan hidung atau dahi. Oleh kerana sentuhan bola adalah minimum, ini mewujudkan kelebihan bagi pembawa bola yang membawa bola; pemain pertahanan tidak boleh membuat sentuhan melainkan penyerang menyentuh bola. Menggunakan pukulan lengan pendek dan pantas dengan siku tinggi, pemain yang menggelecek selalunya dapat melindungi bola daripada cubaan mengatasi pasukan lawan, terutamanya yang mengejar dari belakang atau menghampiri bersebelahan. Teknik pertahanan yang agresif ini memastikan sebarang percubaan takel, berjaya mahupun tidak, tetapi berisiko membawa kecederaan kerana gerakan siku yang bergelora dianggap sah oleh FINA, dan oleh itu, pemain bertahan mesti mengelak sentuhan dalam percubaan mereka untuk mencuri bola daripada pemain menggelecek.
Bola keranjang

Dalam permainan bola keranjang, kemahiran menggelecek melibatkan tindakan melantunkan bola di atas permukaan lantai secara berterusan dengan menggunakan satu tangan sahaja pada satu masa. Kemahiran ini merupakan satu-satunya cara yang sah bagi pemain untuk mengekalkan penguasaan bola semasa pemain berjalan atau berlari.
Menggelecek membolehkan pemain menggerakkan bola ke bawah gelanggang, mengadang pemain pertahanan dan mencipta potensi untuk menjaringkan gol. Ia merupakan kemahiran asas dalam bola keranjang yang melibatkan pergerakan bola di sekeliling gelanggang dengan kawalan seseorang pemain.
Peraturan asal oleh James Naismith tidak mengatakan apa-apa tentang menggelecek, dan hanya menyatakan bahawa menghantar bola ialah cara yang sah untuk memajukannya. Pemain yang kemudiannya akan membangunkan strategi "melalui diri sendiri", yang Naismith sendiri menyokong dan mengagumi kerana kepintarannya, dan yang berkembang menjadi menggelecek seperti yang dikenali hari ini. Pasukan pertama yang dikenali menggunakan kemahiran menggelecek dalam permainannya ialah pasukan Universiti Yale pada tahun 1897.[10] Pada tahun 1909, menggelecek secara berterusan dan seterusnya menjaringkan bola tersebut ke jaring (shots off) adalah dibenarkan.[11]
Menggelecek membolehkan pemain untuk mara dengan lebih pantas dan dalam masa yang sama lebih banyak peluang untuk menjaringkan gol. Ia juga memberikan peluang kepada pemain yang licik dalam pasukan lawan untuk "merampas" bola tersebut ketika mid-bounce. Sebaik sahaja pemaian berhenti untuk melakukan gelecek bola dan memegangnya, pemain akan membuat hantaran kepada pemain lain atau terus melakukan jaringan ke dalam bakul; jika pemain menggelecek dan kemudian memegang bola dalam apa jua cara (sama ada menggenggamnya dengan tangan atau lengan mereka, atau memegangnya terlalu lama apabila berada di bawah kawasan jaringan atau underside) kemudian menyambungkan aksi menggelecek, pengadil boleh segera menghentikan permainan, memberi isyarat kepada pemain kepada telah melakukan menggelecek berganda yang ditegah (double dribble), dan mengembalikan bola tersebut kepada pasukan lain. Menggelecek berganda juga boleh dirujuk jika pemain mmebuat percubaan untuk menggelecek dengan menggunakan kedua-dua belah tangan dalam masa serentak.
Rujukan
- ^ "Ronaldo de Assis Moreira". fcbarcelona.cat. FC Barcelona. Dicapai pada 9 April 2015.
- ^ "Gareth Bale: why Inter are going to bid £40m for Tottenham star". guardian.co.uk. Guardian News and Media. 27 January 2011. Dicapai pada 27 January 2011.
- ^ "Gareth Bale far from done at Madrid". Football España. 7 October 2014. Dicapai pada 4 January 2018.
- ^ Mark Fleming (4 November 2010). "Strength, skill, stamina, speed. How do you stop Gareth Bale?". The Independent. Dicapai pada 4 January 2018.
- ^ David Cartlidge (2 December 2016). "FourFourTwo's Best 100 Football Players in the World 2016: No.6 – Gareth Bale". FourFourTwo. Dicapai pada 4 January 2018.
- ^ "WATCH: Luis Suarez nutmeg David Luiz twice in Barcelona's win at PSG". Sky Sports. 16 April 2015. Diarkibkan daripada yang asal pada 27 May 2015.
- ^ Fabio Monti (8 April 2010). "Controllo, corsa, tocco di palla Perché nel calcio piccolo è bello". corriere.it (dalam bahasa Itali). Il Corriere della Sera. Dicapai pada 9 April 2015.
- ^ Guillem Balague (2 December 2013). "Lionel Messi's improbable progression from struggling youngster to world super star". telegraph.co.uk. The Telegraph. Dicapai pada 9 April 2015.
- ^ "World Cup Stats Insider: Brazil's Achilles heel, terrific individual performances behind Belgium's win". Fox Sports. 9 July 2018.
- ^ “The Evolution Of Professional Basketball”. Digital Archives
- ^ "NCAA Basketball Rule Change History". Dicapai pada 15 April 2023.