Rencana ini tidak mempunyai pautan ke rencana Wikipedia lain. (Oktober 2017) |
Menara Jam Atkinson (Bahasa Inggeris: Atkinson Clock Tower) ialah sebuah menara jam bersejerah serta mercu tanda yang terletak pada kaki Bukit Bendera di pusat bandar raya Kota Kinabalu, Sabah. Dibina pada tahun 1905 sebagai tugu peringatan kematian Francis George Atkinson, pegawai daerah Jesselton yang pertama, menara jam yang diperbuat daripada kayu tersebut merupakan salah satu daripada tiga bangunan pra-Perang Dunia Kedua yang masih utuh di daerah Kota Kinabalu.
Dengan ketinggian yang mencapai 15.24 meter (50 kaki) dan asas yang berbentuk segi empat tepat, Menara Jam Atkinson dibina mengikut seni bina eklektik. Kecuali muka dinding yang menghadap Bukit Bendera, sebuah jam dipasang pada bahagian atas setiap muka dinding menara tersebut. Menara Jam Atkinson juga mempunyai loceng yang menandakan masa dengan berbunyi setiap satu jam. Dinding luaran menara tersebut yang berwana putih pernah digunakan sebagai penentu arah bagi kapal-kapal yang ingin mendarat di pelabuhan Jesselton. Menara tersebut juga diterangi lampu pada waktu malam, justeru menjadikannya rumah api yang membantu pengemudi kapal yang menghampiri Teluk Likas.
Penambakan laut sekitar pelabuhan Jesselton yang berlaku pada zaman 1950-an menyebabkan Menara Jam Atkinson semakin jauh dari garis pantai. Akibatnya, menjelang akhir 1950-an, menara tersebut tidak lagi digunakan sebagai alat bantuan pelayaran. Walau bagaimanapun, kerja pemulihan dan penyenggaraan terus dilakukan ke atas menara tersebut oleh Muzium Sabah. Pada tahun 2017, Menara Jam Atkinson diwartakan sebagai salah satu daripada 24 Tapak Warisan Negeri Sabah.
Sejarah
Menara jam ini dibina bagi memperingati mendiang Francis George Atkinson, pegawai daerah pertama Jesselton yang meninggal dunia kerana penyakit malaria atau "Demam Borneo" ketika berusia 28 tahun pada Disember 1902. Ibunya, Puan Mary Edith Atkinson memperkenalkan jam bermuka dua di bandar Jesselton sebagai satu penghormatan bagi ingatan terhadap anaknya. Struktur ini akhirnya berjaya disiapkan pada 20 April 1905. Sebuah jalan juga dinamakan sempena nama Francis George Atkinson iaitu Atkinson Drive (kini dikenali sebagai Jalan Istana) yang menghubungkan Jalan Tuaran dan pusat bandar Kota Kinabalu.[1]
Rujukan
- ^ p.25, Stella Moo (2005)The Atkinson Memorial Clock Tower - Commemorating its Centenary, Sabah Society Journal Vol 22(2005)
Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan Menara Jam Atkinson |