Datuk Seri Panglima Dr. Maximus Johnity Ongkili (lahir 26 Oktober 1953) ialah seorang ahli politik Malaysia yang berkhidmat sebagai Pengerusi Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECOS) sejak Februari 2023. Beliau pernah berkhidmat sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi Hal Ehwal Sabah dan Sarawak untuk penggal kedua dalam pentadbiran Barisan Nasional (BN) di bawah bekas Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dari Ogos 2021 hingga keruntuhan pentadbiran BN pada November 2022.[2] Beliau adalah Presiden Parti Bersatu Sabah yang bersekutu bersama parti lain di dalam Gabungan Bersatu Sabah (GBS) dan juga sebagai komponen gabungan parti Perikatan Nasional (PN) di peringkat Kerajaan Persekutuan. Pada 12 September 2020, Parti Bersatu Sabah (PBS) juga telah bersekutu dengan Gabungan baru yang diasaskan oleh Tan Sri Muhyiddin Yasin di Negeri Sabah iaitu Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Dahulunya, beliau merupakan bekas Menteri di Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi untuk kabinet 2008. Selepas itu, beliau pernah menyandang jawatan menteri di Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Malaysia yang dilantik untuk kabinet 2013 dibawah kepimpinan Yang Berhormat Dato' Sri Mohammad Najib bin Abdul Razak.[3] Sebelum ini juga, beliau merupakan bekas ahli Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab dalam Perpaduan dan Integrasi Nasional.
Dr. Maximus juga merupakan salah seorang ahli yang dilantik sebagai Timbalan Presiden dalam Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun, Sabah (KDCA).[4] Sebagai Timbalan Presiden KDCA, beliau juga diamanahkan untuk mengetuai penganjuran Tadau Kaamatan peringkat negeri Sabah yang diadakan pada 30 dan 31 Mei setiap tahun di KDCA Hongkod Koisaan (Pusat Budaya), Penampang dan telah menganjurkan banyak aktiviti berkaitan kemasyarakatan.[4]
Kehidupan awal
Dr. Maximus ialah anak watan negeri Sabah yang dilahirkan di Kota Kinabalu, Sabah dan berasal dari Kampung Karanaan serta Kampung Lintuhun, Tambunan, Sabah. Beliau mula mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Pekan Tambunan pada tahun 1960 sehingga tahun 1966 lalu menyambung persekolahannya di SM St. Martin Tampasak, Tambunan (1967-1970) dan kemudiannya berpindah serta bersekolah di SMK Gunsanad, Keningau pada tahun 1971 sehingga 1973, kerana mengikuti kedua-dua ibu bapanya berasal dari daerah Tambunan yang turut berhijrah ke daerah Keningau terutama sekali ayahnya, mendiang Sarjan Mejar Ongkili yang telah bersara awal dari perkhidmatan polis dan turut mempunyai sebidang tanah pusaka milik keluarga mendiang ayahnya serta sebuah rumah rehat peribadi milik keluarga mereka hasil titik peluh duit pencen perkhidmatan kepolisan beliau sendiri. Setahun dua kemudian, beliau kemudiannya berpindah sekali lagi ke Maktab Sabah, Kota Kinabalu untuk melanjutkan pengajian tingkatan enamnya sebleum melanjutkan pendidikan ke tahap menara gading di La Trobe University, Melbourne, Australia.
Keluarga
Beliau telah mendirikan rumahtangga dengan isterinya, Datin Joan Maluda (lahir 1955) seorang Kadazan dari Penampang[4] dari tahun 1981 sehingga kematiannya pada tahun 2018, tetapi kini beliau berkahwin semula dengan seorang wanita berketurunan Siam, Datin Chhunlin Roeng sejak hujung tahun 2023. Beliau mempunyai seramai 2 orang anak iaitu seorang anak perempuan, Rachel Jane Ongkili (lahir 1983) dan seorang anak lelaki, Andreas Jordan Ongkili (lahir 1996).[4] Beliau meminati sukan badminton, golf dan memancing.[4] Selain itu, beliau turut cenderung dalam bidang penulisan dan penyelidikan.[4]
Kerjaya
Selepas tamat persekolahan, beliau telah melanjutkan pengajiannya ke tahap menara gading di La Trobe University, Melbourne, Australia dan dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Sains Pertanian pada tahun 1980.[4] Beliau kemudiannya berkhidmat sebagai pengajar dan penyelidik sambilan di Universiti tersebut.[4] Beliau menamatkan perkhidmatannya setelah berjaya mendapatkan segulung Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D.) dalam bidang pembangunan ekonomi pada tahun 1985.[4]
Sekembalinya dari luar negara, beliau telah bertugas sebagai Pensyarah di Universiti Putra Malaysia. Beliau kemudiannya beralih ke Institute of Strategic & International Studies dan berkhidmat sebagai Penyelidik Kanan (1985-1987). Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Eksekutif di Institute For Development Studies (Sabah) (1987-1993).
Kerjaya politik
Beliau memulakan kariernya dalam bidang politik sebagai wakil rakyat setelah memenangi kerusi DUN Langkon pada Pilihan Raya Umum Sabah 1994. Setelah itu, beliau telah dilantik sebagai Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah. Beliau juga memasuki Parlimen Bandau pada pilihan raya umum 1995 (ketika itu, kerusi Parlimen Kota Marudu adalah Parlimen Bandau).
Beliau pada asalnya seorang ahli politik pembangkang tetapi menyertai kerajaan apabila Parti Bersatu Sabah menyertai gabungan Barisan Nasional pada tahun 2002. Pada Pilihanraya Umum ke-11, beliau telah bertanding di kerusi Kota Marudu dan berjaya menewaskan pencabarnya iaitu Anthony Biri Mandiau, seorang calon BEBAS dengan majoriti 3189 undi. Selain itu, beliau juga merupakan ADUN Tandek. Beliau telah dilantik bagi menyandang jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri selepas pilihan raya 2004 oleh Perdana Menteri yang Ke-5 iaitu Yang Amat Berbahagia Tun Dato' Seri Haji Abdullah bin Ahmad Badawi. Beliau ditugaskan untuk mengurus Perpaduan Negara, dan mengetuai permulaan program pengesahan Khidmat Negara.
Dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 2008, Johnity @ Maximus Ongkili bertanding menggunakan tiket Barisan Nasional. Beliau telah bertanding di kawasan parlimen Kota Marudu, negeri Sabah. Johnity @ Maximus Bin Ongkili telah menang dengan mendapat undi sebanyak 12028. Calon lawan ialah Roslan Bin Mohd Zain dari (Bebas) mendapat 1,109 undi dan hilang deposit. Berman Bin Angkap dari Bersekutu mendapat 457 undi dan hilang deposit. Andonny Pilit @ Anthony Biri Mandiau dari PKR mendapt 7,830 undi - Kalah. Peratus pengundi yang keluar ialah 69.51 % manakala Undi rosak sebanyak 748. Atas kemenangannya dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 2008, beliau telah dilantik sebagai Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi. Kemudian selepas kemenangannya pada pilihan raya umum 2013, beliau juga telah dilantik sebagai Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.[5]
Menteri Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (10 Mac 2020 - Kini)
Pada 10 Mac 2020, beliau telah diberi tanggungjawab memegang porffolio yang baru sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) atas lantikan daripada Perdana Menteri yang ke-8 iaitu Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato' (Dr) Haji Muhyiddin bin Haji Muhammad Yassin.[6] Beliau memulakan tugasnya untuk menumpukan isu utama di negeri Sabah dan Sarawak mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan juga isu (PATI).[7]
Jawatan
Parti Bersatu Sabah
Jawatan yang disandang;
- Setiausaha Agung - (1994)
- Timbalan Presiden - (1994 - 2016)
- Pemangku Presiden - (2016 - 2018)
- Presiden[8] - (17 November 2018 - Kini)
Jawatan lain
- Timbalan Presiden dalam Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun, Sabah (KDCA)
- Ketua Penyelaras KDCA Kota Marudu
Sumbangan kepada orang ramai
Beliau merupakan perasmi Bangunan Rukun Tetangga Taman Rambai Jaya yang berada di mukim Tanjung Minyak, Melaka. Beliau juga telah banyak membantu rakyat Sabah dengan memberi bantuan dari segi kewangan dan sebagainya. Oleh yang demikian, beliau telah mendapat sokongan orang ramai di Melaka dan apatah lagi di Sabah disebabkan sifat baik hati beliau kepada rakyat. Beliau digelar sebagai "Pemimpin Yang Berjiwa Rakyat, Prihatin dan Berwibawa".[4]
Keputusan Pilihan Raya
Tahun | Kerajaan | Undi | Peratusan | Pembangkang | Undi | Peratusan | ||
---|---|---|---|---|---|---|---|---|
1995 | Jeffrey Kitingan (AKAR) | 5,851 | 35% | Maximus Ongkili (PBS) | 10,716 | 63% | ||
1999 | Maijol Mahap (UPKO) | 6,781 | 41% | Maximus Ongkili (PBS) | 8,465 | 51% |
Tahun | Kerajaan | Undi | Peratusan | Pembangkang | Undi | Peratusan | ||
---|---|---|---|---|---|---|---|---|
2004 | Maximus Ongkili (PBS-BN) | 10,457 | 59.0% | Anthony Biri Mandiau (BEBAS) | 7,268 | 41.0% | ||
2008 | Maximus Ongkili (PBS-BN) | 12,028 | 56.14% | Anthony Biri Mandiau (PKR) | 7,830 | 36.55% | ||
2013 | Maximus Ongkili (PBS-BN) | 15,168 | 45.9% | Maijol Mahap (PKR) | 14,326 | 43.3% | ||
2018 | Maximus Ongkili (PBS-BN) | 13,033 | 27.7%2 | Maijol Mahap (PHRS) | 11,259 | 24.0%2 | ||
Nota: Jadual tidak termasuk undi untuk calon yang selesai di tempat ketiga atau lebih rendah. 2% Yang digunakan untuk pilihan raya 2018. |
Anugerah
- Pahang :
- Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) – Dato' Sri (2017)
- Melaka :
- Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM) - Datuk Seri (2009)
- Sabah :
- Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) - Datuk (2001)
- Seri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK) - Datuk Seri Panglima (2011)
Rujukan
- ^ a b "Portal Pengisytiharan Harta". Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. Diarkibkan daripada yang asal pada 24 Ogos 2020. Dicapai pada 23 Oktober 2020.
- ^ "SENARAI KABINET 2020". www.bharian.com.my. 2020-03-13. Dicapai pada 2020-03-17.
- ^ "salinan arkib". Diarkibkan daripada yang asal pada 2013-05-27. Dicapai pada 2013-05-28.
- ^ a b c d e f g h i j "Ongkili: Pemimpin Yang Berjiwa Rakyat, Prihatin Dan Berwibawa". www.malaysia-today.net. 2009-05-09. Dicapai pada 2020-04-02.
- ^ "Ongkili To Lead Malaysian Delegation To ASEAN Energy Ministers Meeting". Bernama. 25 September 2017. Dicapai pada 22 Mac 2020.
- ^ "Portfolio khas untuk Sabah, Sarawak dalam kabinet persekutuan baharu". www.utusanborneo.com.my. 2020-03-09. Dicapai pada 2020-03-13.
- ^ "Ongkili harap MA63 dapat diselesaikan dalam tempoh 6 bulan". www.bernama.com. 2020-03-12. Dicapai pada 2020-03-13.
- ^ Maskilone, Chris (2018-11-02). "DR MAXIMUS MENANG TANPA TANDING JAWATAN PRESIDEN PBS". www.sabahnewstoday.com. Diarkibkan daripada yang asal pada 2020-08-08. Dicapai pada 2020-04-01.
- ^ a b "Keputusan Pilihan Raya Umum Parlimen/Dewan Undangan Negeri". Election Commission of Malaysia. Dicapai pada 18 May 2018. Percentage figures based on total turnout (including votes for candidates not listed).
- ^ "Sabah [Parliament Results]". The Star. Diarkibkan daripada yang asal pada 18 May 2018. Dicapai pada 18 May 2018.
Pautan luar
- Laman sesawang rasmi kerajaan Diarkibkan 2008-08-27 di Wayback Machine
- Laman menggunakan kotak info pemegang jawatan dengan parameter tidak diketahui
- Orang hidup
- Kelahiran 1953
- Orang dari Kota Kinabalu
- Orang dari Sabah
- Kristian Malaysia
- Ahli politik Malaysia berketurunan Kadazandusun
- Anggota Parti Bersatu Sabah
- Menteri di Jabatan Perdana Menteri Malaysia (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak)
- Ahli Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia ke-9
- Ahli Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia ke-10
- Ahli Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia ke-11
- Ahli Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia ke-12
- Ahli Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia ke-13
- Ahli Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia ke-14
- Menteri di Jabatan Perdana Menteri Malaysia (Perpaduan dan Integrasi Nasional)
- Orang Malaysia berketurunan Kadazandusun
- Penerima Darjah Seri Panglima Darjah Kinabalu