Sebahagian dari siri politik mengenai |
Komunisme |
---|
Portal Komunisme |
Marxisme–Leninisme merupakan falsafah politik yang berasaskan gagasan Marxisme dan Leninisme yang bertujuan mengasaskan negara sosialis lantas memajukannya lagi kepada sosialisme dan akhirnya komunisme, sebuah sistem sosial tanpa kelas di mana segala cara pengeluaran adalah hak milik bersama dan semua ahli masyarakat adalah setaraf sepenuhnya.[1] Penganut Marxisme–Leninisme, iaitu Marxis–Leninis mendukung pelbagai pandangan berdasarkan pemahaman masing-masing tentang Marxisme dan Leninisme, tetapi pada umumnya menyokong penubuhan sebuah parti barisan hadapan, sebuah negara pimpinan parti komunis, ekonomi dikuasai negara, internasionalisme, serta menentang demokrasi borjuis dan kapitalisme. Marxisme–Leninisme dibangunkan oleh Joseph Stalin pada lewat 1920-an berdasarkan gagasan beliau sendiri untuk menyatukan fahaman Marxisme dan Leninisme. Marxisme–Leninisme merupakan ideologi rasmi negara Kesatuan Soviet dan parti-parti pemerintah lain yang membentuk Blok Timur dan juga parti-parti politik Internasional Komunis yang tertakluk kepada pengaruh Soviet. Kini, Marxisme–Leninisme merupakan anutan parti-parti politik Stalinis dan Maois di seluruh dunia, malah kekal sebagai fahaman rasmi parti-parti pemerintah negara China, Cuba, Laos dan Vietnam.[2]
Setelah Vladimir Lenin meninggal dunia pada 1924, Marxisme–Leninisme menjadi gerakan falsafah yang tersendiri di Kesatuan Soviet apabila Stalin dan para penyokongnya menguasai parti. Marxisme–Leninisme menyangkal tanggapan umum di kalangan para Marxis akan revolusi dunia sebagai prasyarat untuk membangunkan sosialisme di Rusia, sebaliknya memperjuangkan konsep "sosialisme dalam satu negara" dan peralihan secara beransur-ansur dari kapitalisme kepada sosialisme yang dizahirkan menerusi pelaksanaan pelan lima tahun pertama dan Perlembagaan Soviet 1936. Konsep internasionalisme Marxisme–Leninisme didatangkan menerusi sokongan Soviet terhadap perjuangan revolusi di negara-negara lain (cth. mula-mula menerusi Internasional Komunis ataupun melalui konsep negara yang cenderung ke arah sosialisme setelah berundurnya pengaruh Stalin). Menjelang akhir 1920-an, Stalin menetapkan ortodoksi ideologi di kalangan Parti Komunis Rusia (Bolshevik), Kesatuan Soviet dan Internasional Komunis untuk menubuhkan praksis Marxis–Leninis sejagat.[3][4] Pada akhir 1930-an, buku teks rasmi Stalin, Sejarah Parti Komunis Kesatuan Soviet (Bolshevik) (1938) memperluas penggunaan istilah Marxisme–Leninisme di kalangan komunis dan bukan komunis dalam konteks sains politik.[5]
Marxisme–Leninisme bertujuan mentransformasikan sebuah negara kapitalis kepada negara sosialis secara revolusi dua peringkat yang diterajui oleh sebuah parti barisan hadapan yang terdiri daripada para revolusioner profesional yang didatangkan dari kalangan proletariat. Untuk merealisasikan transformasi negara secara dua peringkat ini, parti barisan hadapan tersebut menubuhkan kediktatoran proletariat (sebagai lawan kepada pemerintahan borjuis) serta menentukan polisi menerusi fahaman demokrasi terpusat.[6][7] Parti komunis Marxis–Leninis merupakan barisan hadapan untuk transformasi politik, ekonomi dan sosial daripada masyarakat kapitalis menjadi masyarakat sosialis sebagai peringkat dasar perkembangan sosioekonomi yang maju ke arah peringkat kemuncak iaitu masyarakat komunis yang tidak mengenal batas negara dan darjat sosial. Ciri-ciri utamanya termasuk cara pengeluaran sebagai hak milik semua, proses pengindustrian dipercepat, pemajuan kuasa produktif masyarakat secara proaktif (penyelidikan dan pembangunan) serta sumber alam dimiliknegarakan.[8]
Ideologi
Ekonomi
Ekonomi politik Marxis–Leninis bertujuan membebaskan kaum lelaki mahupun wanita daripada penyahinsanian yang disebabkan oleh kerja-kerja mekanistik yang diusahakan dan diganjari dengan wang upah yang tidak memadai untuk memenuhi keperluan hidup (makanan dan tempat berteduh), sekaligus menyebabkan 'pemencilan jiwa' dengan kurangnya keseimbangan antara kerja dan istirahat, dan pembebasan diri dan masyarakat dari kemiskinan (keperluan lahiriah) akan memaksimumkan kebebasan individu dengan memberdayakan kaum lelaki dan wanita untuk mengejar minat dan mengasah bakat semula jadi masing-masing (dari segi kesenian, industri mahupun ilmiah) sambil bebas memilih pekerjaan tanpa dihimpit oleh kemiskinan. Dalam masyarakat komunis dalam pembangunan ekonomi peringkat kemuncak, usaha membanteras pemencilan buruh (kerja mekanistik) bergantung kepada perkembangan teknologi canggih yang memperbaiki cara-cara pengeluaran dan pengedaran. Untuk mencapai keperluan lahiriah sesebuah masyarakat sosialis, negara Marxis–Leninis menggunakan ekonomi terancang untuk menyelaraskan cara pengeluaran dan pengedaran untuk membekalkan dan menyampaikan barang-barang dan perkhidmatan yang diperlukan oleh seluruh masyarakat dan ekonomi negara. Negara memainkan peranan melindungi hak milik serta menyelaraskan pengeluaran melalui rancangan ekonomi sejagat.[9]
Bagi tujuan mengurangkan pembaziran dan meningkatkan kecekapan, perancangan saintifik menggantikan mekanisme pasaran dan mekanisme harga sebagai prinsip pedoman ekonomi.[9] Kuasa beli negara yang tinggi mengatasi peranan kuasa pasaran di mana keseimbangan makroekonomi bukanlah tercapai menerusi kuasa pasaran tetapi sebaliknya perancangan ekonomi berasaskan penilaian saintifik.[10] Upah pekerja ditentukan mengikut jenis kemahiran dan jenis kerja yang mampu dilakukannya dalam ekonomi negara.[11] Lebih-lebih lagi, nilai ekonomi barang-barang dan perkhidmatan yang dihasilkan adalah berasaskan nilai guna pekerja (sebagai objek material) dan bukannya berasaskan kos pengeluaran (nilai) atau nilai tukaran (utiliti sut). Motif untung sebagai daya pendorong untuk pengeluaran digantikan oleh kewajiban sosial untuk memenuhi rancangan ekonomi.[10] Upah ditetapkan dan dibezakan mengikut kemahiran dan keintensifan kerjanya. Walaupun cara pengeluaran yang dimanfaatkan masyarakat tertakluk kepada penguasaan awam, tetapi harta milik peribadi yang tidak melibatkan pengeluaran barang-barang tidak disentuh oleh pihak negara.[11]
Oleh sebab Marxisme–Leninisme telah sekian lama dijadikan ideologi kebangsaan negara-negara yang agak ketinggalan dari segi ekonomi sebelum revolusi sosialis, ataupun negara-negara yang mengalami kemusnahan ekonomi sepenuhnya akibat perang seperti Republik Demokratik Jerman, matlamat utama sebelum mencapai komunisme ialah pembangunan sosialisme dari dalam. Demikianlah halnya di Kesatuan Soviet di mana ekonomi pada mulanya berasaskan pertanian dengan industri bandar yang masih primitif. Untuk membangunkan sosialisme, Kesatuan Soviet menjalani perindustrian pesat melalui program-program kejuruteraan sosial pragmatik yang memindahkan kaum-kaum petani ke kawasan bandar untuk dididik dan dilatih menjadi pekerja industri yang membekalkan tenaga kerja kepada kilang-kilang dan industri-industri baharu. Demikian juga, kaum-kaum petani mengusahakan sistem ladang-ladang kolektif untuk menanam hasil makanan untuk dibekalkan kepada pekerja industri di bandar-bandar berindustri. Sejak pertengahan 1930-an, Marxisme–Leninisme memperjuangkan kesamaan sosial yang amat sederhana berasaskan kezahidan, egalitarianisme dan pengorbanan diri.[12] Pada 1920-an, parti Bolshevik secara separa rasmi membenarkan sedikit ketidaksamaan upah secara kecil-kecilan untuk merangsang produktiviti buruh dalam ekonomi Kesatuan Soviet. Pembaharuan ini dipupuk untuk menggalakkan materialisme dan keinginan memiliki harta untuk memangkin pertumbuhan ekonomi.[12] Dasar pro-kepenggunaan ini telah dimajukan atas dasar pragmatisme industri atas alasan memajukan ekonomi secara memangkin pengindustrian.[13]
Dalam amalan ekonomi Rusia di bawah Bolshevik terdapat perbezaan ketara dari segi ekonomi politik antara sosialisme dan komunisme. Lenin menerangkan keserupaan konsepnya dengan huraian Marx terhadap pembangunan ekonomi yang terdiri daripada peringkat dasar dan kemuncak, iaitu bahawa setelah revolusi proletariat dalam masyarakat sosialis peringkat dasar, ekonomi mestilah dipraktikkan berasaskan tenaga kerja individu yang disumbangkan oleh lelaki dan wanita[14] dan bahawa tenaga kerja berbayar akan menjadi asas kepada masyarakat komunis peringkat kemuncak yang telah merealisasikan rukun sosial dalam slogan: "Berilah mengikut kemampuan, terimalah mengikut keperluan".[15]
Hubungan antarabangsa
Marxisme–Leninisme bertujuan melahirkan sebuah masyarakat komunis antarabangsa.[16] Ia menentang kolonialisme dan imperialisme serta memperjuangkan gerakan anti-penjajah dan usaha penyahjajahan.[17] Ia menyokong perikatan antifasis antarabangsa serta menganjurkan pembentukan barisan popular antara golongan komunis dan anti-fasis bukan komunis untuk menentang gerakan fasis yang kuat.[18] Pendekatan Marxis–Leninis terhadap hubungan antarabangsa didatangkan dari analisis-analisis (secara politik, ekonomi, sosiologi dan geopolitik) yang disampaikan oleh Lenin menerusi esei Imperialisme, Tahap Tertinggi Kapitalisme (1917). Mengekstrapolasi dari lima asas falsafah Marxisme, iaitu: 1) sejarah manusia merupakan sejarah perjuangan kelas antara kelas pemerintah dan kelas yang dieksploitasi; 2) kapitalisme mewujudkan darjat-darjat sosial yang saling memusuhi, iaitu borjuis sebagai pengeksploitasi dan proletariat yang dieksploitasi; 3) kapitalisme memperalatkan peperangan nasionalis untuk melanjutkan perluasan ekonomi swasta; 4) sosialisme merupakan sistem ekonomi yang memansuhkan darjat-darjat sosial melalui hak milik bersama terhadap cara pengeluaran dan oleh itu menghapuskan punca-punca peperangan dari segi ekonomi; dan 5) sebaik sahaja pudarnya negara (sosialis atau komunis), maka pudarlah juga hubungan antarabangsa kerana ia merupakan unjuran kuasa ekonomi negara, Lenin berhujah bahawa penghabisan sumber pelaburan dalam negara oleh golongan kapitalis mengaut keuntungan secara menetapkan harga amanah dan kartel, kemudian menggalakkan kapitalis tersebut untuk mengeksport modal pelaburan ke negara-negara kurang terbangun untuk membiayai eksploitasi sumber alam dan penduduk pribumi serta mewujudkan pasaran baharu. Bahawa penguasaan politik negara oleh golongan kapitalis memastikan kerajaan melindungi pelaburan kolonial secara ketenteraan, menjurus kepada persaingan sesama empayar untuk kekuasaan ekonomi sehingga mencetuskan peperangan antarabangsa untuk melindungi kepentingan bangsa masing-masing.[19]
Mengikut 'perspektif menegak' (hubungan sesama darjat sosial) yang diamalkan oleh Marxisme-Leninisme, hal-ehwal dalam dan luar sesebuah negara merupakan keselanjaran politik dan bukan bidang-bidang aktiviti manusia yang berasingan. Ini berlawanan secara falsafah kepada 'perspektif mendatar' (hubungan sesama negara) dari pendekatan liberal dan realis terhadap hubungan antarabangsa. Imperialisme kolonial adalah akibat yang tidak dapat dielakkan dalam proses hubungan ekonomi sesama negara apabila amalan kapitalisme monopoli menetapkan harga dalam negara telah menidakkan persaingan yang menguntungkan di tanah air kapitalis. Ideologi Imperialisme Baharu yang dirasionalkan sebagai 'misi pemeradaban' membolehkan pengeksportan modal pelaburan tinggi untung ke negara-negara kurang terbangun dengan penduduk pribumi yang kurang terdidik (sebagai sumber tenaga kerja murah), bahan mentah yang lumayan untuk eksploitasi (sebagai faktor-faktor untuk perkilangan) dan sebuah pasaran kolonial untuk menggunakan pengeluaran lebihan yang tidak dapat digunakan oleh tanah air kapitalis. Misalnya, Perebutan Afrika (1881–1914) di mana imperialisme Eropah dilindungi oleh tentera negara penjajah masing-masing.[19]
Untuk melindungi jajahan ekonomi dan peneroka, iaitu sumber-sumber luar negara untuk keuntungan pelaburan modal baharu, negara imperialis mengejar penguasaan politik atau ketenteraan ke atas sumber alam dan manusia yang terhad. Perang Dunia Pertama (1914–1918) berpunca daripada sengketa sesama empayar-empayar Eropah untuk merebut lingkungan pengaruh kolonial.[20] Bagi golongan pekerja terjajah yang mewujudkan kekayaan (barang dan perkhidmatan), peperangan untuk sumber alam (akses, penguasaan dan eksploitasi) dapat dihapuskan dengan menggulingkan negara kapitalis ketenteraan lalu menubuhkan negara sosialis kerana ekonomi dunia yang damai hanya tercapai secara revolusi proletariat yang menggulingkan sistem-sistem ekonomi politik yang berasaskan eksploitasi buruh.[19]
Sistem politik
Marxisme–Leninisme menyokong penubuhan negara satu parti yang dipimpin oleh parti komunis sebagai cara membangunkan sosialisme disusuli komunisme.[21] Struktur politik negara Marxis–Leninis melibatkan pemerintahan parti barisan hadapan komunis ke atas negara sosialis revolusioner yang mewakili semangat dan pemerintahan proletariat. Parti komunis menerusi dasar demokrasi terpusat merupakan institusi politik terulung dalam negara Marxis–Leninis.[16]
Dalam sistem Marxisme–Leninisme, pilihan raya diadakan untuk semua jawatan dalam struktur perundangan, baik majlis-majlis perbandaran, perundangan negara mahupun kepresidenan.[22] Dalam kebanyakan negara Marxis–Leninis, ini diamalkan dalam bentuk memilih wakil secara langsung untuk mengisi jawatan, tetapi di sesetengah negara seperti Republik Rakyat China, Republik Cuba dan Republik Persekutuan Sosialis Yugoslavia, sistem ini juga termasuk pilihan raya tidak langsung seperti para timbalan yang dipilih oleh para timbalan yang satu aras lebih rendah dalam tata tingkat pemerintahan.[22] Ditegaskan dalam Marxisme–Leninisme bahawa masyarakat disatukan oleh kepentingan bersama yang diwakili oleh parti komunis dan institusi-institusi lain dalam negara Marxis–Leninis.[22]
Masyarakat
Marxisme–Leninisme menyokong kebajikan sosial sejagat.[23] Negara Marxis–Leninis membekalkan penjagaan kesihatan sejagat, pendidikan awam percuma (baik akademik, teknikal mahupun profesional) dan faedah-faedah sosial (penjagaan anak dan pendidikan lanjutan) yang perlu untuk meningkatkan produktiviti pekerja dan ekonomi sosialis untuk membangunkan masyarakat komunis. Dalam ekonomi terancang, negara Marxis–Leninis bertujuan memajukan pendidikan sejagat kaum proletariat secara akademik dan teknikal serta meningkatkan kesedaran kelas mereka menerusi pendidikan politik untuk mempermudah pemahaman konteks mereka terhadap sejarah perkembangan komunisme seperti yang disampaikan oleh Marx dalam teori sejarah beliau.[24]
Marxisme–Leninisme menyokong pembebasan wanita dan penamatan eksploitasi terhadap kaum wanita. Dasar Marxis–Leninis terhadap adat kekeluargaan lazimnya melibatkan penghapusan kuasa politik borjuis, pemansuhan harta benda persendirian, dan pendidikan warga untuk mematuhi gaya hidup yang berdisiplin dan menyempurnakan diri yang ditentukan oleh norma sosial komunisme sebagai jalan untuk mendirikan aturan sosial baharu.[25] Pembaharuan undang-undang keluarga menghapuskan patriarki dari sistem perundangan. Ini membolehkan pembebasan wanita daripada kekangan tradisi sosial dan eksploitasi ekonomi. Pembaharuan undang-undang sivil mensekularkan perkahwinan kepada "penyatuan yang bebas dan sukarela" sesama orang-orang yang setaraf dari segi sosial dan di sisi undang-undang; memudahkan perceraian; membenarkan pengguguran anak, memansuhkan taraf anak luar nikah; serta menghapuskan kuasa politik borjuis dan status harta milik persendirian bagi cara pengeluaran. Sistem pendidikan menyampaikan norma sosial untuk cara hidup yang berdisiplin dan menyempurnakan diri untuk warga sosialis memantapkan aturan sosial yang perlu untuk merealisasikan masyarakat komunis.[26] Dengan menjelmanya masyarakat tanpa darjat dan pemansuhan harta benda persendirian, masyarakat sejagat bersama-sama mengisi banyak peranan yang asalnya ditugaskan kepada kaum ibu dan isteri, di mana kaum wanita disepadukan ke dalam usaha industri. Inilah yang dipupuk oleh fahaman Marxisme–Leninisme sebagai cara untuk mencapai pembebasan jiwa wanita.[27]
Dasar kebudayaan Marxis–Leninis memodenkan hubungan sosial sesama warga dengan menghapuskan sistem nilai konservatisme tradisionalis oleh kapitalis, di mana Tsarisme menggolong-golongkan, memecah-belahkan dan membelenggu rakyat dalam darjat sosial masing-masing tanpa memberikan sebarang mobiliti sosioekonomi. Ia tertumpu kepada usaha pemodenan dan menjauhkan masyarakat daripada zaman lampau, borjuis dan golongan cendekiawan lama.[28] Perubahan sosial budaya yang diperlukan untuk memantapkan masyarakat komunis tercapai menerusi pendidikan dan agitprop (rangsangan dan propaganda) yang memperkukuh nilai-nilai kemasyarakatan dan komunis.[29] Pemodenan dasar-dasar pendidikan dan kebudayaan menghapuskan 'atomisasi masyarakat' termasuk anomia dan pemencilan sosial yang berpunca daripada kemunduran budaya. Marxisme–Leninisme membangunkan 'manusia Soviet Baharu', seorang warga terdidik dan beradab yang diterapkan kesedaran kelas proletarian yang berorientasikan perpaduan sosial yang diperlukan untuk memajukan masyarakat komunis untuk mengatasi nilai-nilai individualis borjuis yang dikaitkan dengan atomisasi masyarakat.[30]
Teleologi
Pandangan dunia Marxis–Leninis bersifat ateis di mana segala aktiviti manusia terhasil daripada kerelaan manusia dan bukannya tertakluk kepada kuasa ghaib (dewa-dewi mahupun hantu dan iblis) dalam hal-ehwal awam dan peribadi masyarakat manusia.[31][32] Rukun-rukun dasar ateisme Kesatuan Soviet didatangkan daripada prinsip-prinsip Georg Wilhelm Friedrich Hegel (1770–1831) dan Ludwig Feuerbach (1804–1872) di samping gagasan-gagasan Karl Marx (1818–1883) dan Vladimir Lenin (1870–1924).[33]
Sebagai asas kepada Marxisme–Leninisme, falsafah materialisme (bahawa alam fizikal wujud secara bebas daripada kesedaran manusia) diterapkan sebagai materialisme dialektik (satu falsafah sains dan alam) untuk mengkaji hubungan sosio-ekonomi di kalangan orang dan benda-benda sebagai anggota-anggota dunia lahiriah yang dinamik yang berbeza daripada dunia metafizik yang niskala.[34][35][36] Ahli astrofizik Soviet, Vitaly Ginzburg berhujah bahawa "komunis Bolshevik bukan sekadar ateis (dari segi ideologi), bahkan mengikut istilah Lenin juga merupakan ateis yang militan" dalam mengeluarkan agama dari arus perdana masyarakat, pendidikan dan pemerintahan.[37]
Kritikan
Marxisme–Leninisme dikecam ramai kerana dikaitkan dengan Stalinisme, Kesatuan Soviet dan penindasan rakyat oleh negara Marxis–Leninis. Penganut fahaman Marxisme klasik dan ortodoks membidas dasar-dasar Stalin berkenaan ekonomi politik dan pemerintahan satu parti di Kesatuan Soviet.
Ahli komunisme kiri Itali, Amadeo Bordiga membidas Marxisme–Leninisme sebagai oportunisme politik yang memelihara kapitalisme disebabkan dakwaan bahawa pertukaran komoditi tetap akan berlaku di bawah sosialisme, dan penggunaan pertubuhan barisan popular oleh Internasional Komunis[38] serta barisan hadapan politik yang dianjurkan oleh faham kepusatan organik lebih berkesan mentadbir daripada barisan hadapan yang dianjurkan oleh fahaman demokrasi terpusat.[39] Marxis Amerika, Raya Dunayevskaya membidas Marxisme–Leninisme sebagai suatu bentuk kapitalisme negara kerana pemilikan negara ke atas cara-cara pengeluaran merupakan satu bentuk kapitalisme negara,[40][41] malah pemerintahan satu parti itu tidak demokratik sedangkan kediktatoran proletariat bersifat demokratik,[42] lebih-lebih lagi doktrin Marxisme–Leninisme bukanlah Marxisme mahupun Leninisme tetapi sebaliknya sebuah ideologi gabungan yang digunakan oleh Stalin atas kepentingan diri untuk menentukan yang mana itu komunis dan yang mana itu bukan bagi negara-nagara Blok Timur.[43]
Pengikut faham Trotskyisme mendakwa bahawa Marxisme–Leninisme membawa kepada pembentukan 'negara pekerja yang mundur'. Lain-lain seperti filsuf Eric Voegelin mendakwa bahawa Marxisme–Leninisme sebenar-benarnya menindas rakyat dengan berhujah bahawa "wawasan Marxian menentukan hasil Stalinis bukan kerana utopia komunis tidak dapat dielakkan, tetapi sebaliknya kerana [utopia komunis itu] mustahil dicapai".[44] Kritikan-kritikan seperti ini juga dibalas dengan kritikan-kritikan atas faham penentuan falsafah, iaitu bahawa gambaran peristiwa-peristiwa negatif dalam sejarah pergerakan itu sudah diukir dengan pegangan mereka sendiri. Sejarawan Robert Vincent Daniels berhujah bahawa Marxisme digunakan untuk "menjustifikasikan Stalinisme, tetapi tidak lagi dibolehkan untuk berfungsi sebagai penentu dasar mahupun penjelasan tentang hakikat" ketika pemerintahan Stalin.[45] Bertentangan sama sekali pula, E. Van Ree berhujah bahawa Stalin kekal "bersetuju secara umum" dengan karya-karya klasik Marxisme hingga ke akhir hayat.[46]
Rujukan
- ^ Andrai, Charles F. (1994). Comparative Political Systems: Policy Performance and Social Change. Armonk, New York: M. E. Sharpe. p. 140.
- ^ Cooke, Chris, ed. (1998). Dictionary of Historical Terms (2nd ed.). pp. 221–222, 305.
- ^ Bullock, Allan; Trombley, Stephen, eds. (1999). The New Fontana Dictionary of Modern Thought (3rd ed.). p. 506.
- ^ Lisischkin, G. (1989). "Mify i real'nost'" (Rusia). Novy Mir (3): 59.
- ^ "Marxism". Kamus Ensiklopedia Soviet. p. 00.
- ^ Cooke, Chris, ed. (1998). Dictionary of Historical Terms (2nd ed.). pp. 221–222.
- ^ Albert, Michael; Hahnel, Robin (1981). Socialism Today and Tomorrow. Boston, Massachusetts: South End Press. pp. 24–25.
- ^ Andrain, Charles F. (1994). Comparative Political Systems: Policy Performance and Social Change. Armonk, New York: M. E. Sharpe. p. 140.
- ^ a b Pons, p. 138.
- ^ a b Pons, p. 139.
- ^ a b Pons, p. 140.
- ^ a b Pons, p. 731.
- ^ Pons, p. 732.
- ^ Cook, Chris, ed. (1989). Dictionary of Historical Terms (2nd ed.). pp. 221–222.
- ^ Krieger, Joel; Murphy, Craig N., eds. (2012). The Oxford Companion to Comparative Politics. Oxford: Oxford University Press. p. 218.
- ^ a b Albert, Michael; Hahnel, Robin (1981). Socialism Today and Tomorrow. Boston: South End Press. pp. 24–25.
- ^ Pons, p. 258.
- ^ Pons, p. 326.
- ^ a b c Evans, Graham; Newnham, Jeffrey, eds. (1998). Penguin Dictionary of International Relations. pp. 316–317.
- ^ Cook, Chris, ed. (1998). Dictionary of Historical Terms (2nd ed.). p. 221.
- ^ Shtromas, Alexander; Faulkner, Robert K.; Mahoney, Daniel J., eds. (2003). Totalitarianism and the Prospects for World Order: Closing the Door on the Twentieth Century. Oxford, England; Lanham, Maryland: Lexington Books. p. 18.
- ^ a b c Pons, p. 306.
- ^ Pons, pp. 722–723.
- ^ Pons, p. 580.
- ^ Pons, p. 319.
- ^ Pons, pp. 854–856.
- ^ Pons, p. 854.
- ^ Pons, p. 250.
- ^ Pons, pp. 250–251.
- ^ Pons, p. 581.
- ^ Thrower, James (1992). Marxism–Leninism as the Civil Religion of Soviet Society. E. Mellen Press. p. 45.
- ^ Kundan, Kumar (2003). Ideology and Political System. Discovery Publishing House. p. 90.
- ^ Slovak Studies. 21. The Slovak Institute in North America. p. 231. "The origin of Marxist–Leninist atheism, as understood in the USSR, is linked with the development of the German philosophy of Hegel and Feuerbach".
- ^ "Materialistisk dialektik". Diarkibkan 23 September 2017 di Wayback Machine.
- ^ Jordan, Z. A. (1967). The Evolution of Dialectical Materialism.
- ^ Thomas, Paul (2008). Marxism and Scientific Socialism: From Engels to Althusser. London: Routledge.
- ^ Ginzburg, Vitalij Lazarevič (2009). On Superconductivity and Superfluidity: A Scientific Autobiography. p. 45.
- ^ Bordiga, Amadeo (1952). "Dialogue With Stalin". Diarkibkan 15 Julai 2018 di Wayback Machine
- ^ Bordiga, Amadeo. "Theses on the Role of the Communist Party in the Proletarian Revolution". Communist International. Diarkibkan daripada yang asal pada 25 March 2019. Dicapai pada 25 March 2019.
- ^ Howard, M. C.; King, J. E. (2001). "State capitalism" in the Soviet Union". Diarkibkan 2 November 2018 di Wayback Machine.
- ^ Lichtenstein, Nelson (2011). "American Capitalism: Social Thought and Political Economy in the Twentieth Century". University of Pennsylvania Press, pp. 160–161
- ^ Ishay, Micheline (2007). The Human Rights Reader: Major Political Essays, Speeches, and Documents from Ancient Times to the Present. Taylor & Francis. p. 245.
- ^ Todd, Allan (2012). History for the IB Diploma: Communism in Crisis 1976–89, p. 16.
- ^ Daniels 2007, halaman 200
- ^ Daniels 2007, m/s. 200. "When the full record is considered, it makes little sense to try to understand Stalinism either as the victorious implementation of Marxism or as the pure fury of fanatics who cannot achieve their imagined goal. Stalinism meant the substantive abandonment of the Marxian program and the pragmatic acceptance of postrevolutionary Russian reality, while the power of the dictatorship was used to reinterpret and enforce Marxist doctrine as a tool of propaganda and legitimation. No genuine ideological imperative remained. Marxism could be made to appear to justify Stalinism, but it was no longer allowed to serve either as a policy directive or an explanation of reality."
- ^ Ree 1997, m/s. 23. "This article concerns the research done by the author in Stalin's private library. The notes made in the works of Marx, Engels and Lenin suggest that until the end of his life Stalin felt himself in general agreement with these "classics." The choice of books and the notes support the thesis that, despite his historical interest and his identification with some of the tsars as powerful rulers, Stalin always continued to consider himself a Marxist, and that he was uninterested in other systems of thought, including those of traditional Russia."
Sumber
- Bottomore, Thomas (1991). A Dictionary of Marxist Thought. Malden, Massachusetts; Oxford, England; Melbourne, Victoria; Berlin, Germany: Wiley-Blackwell. ISBN 0631180826.
- Daniels, Robert Vincent (2007). The Rise and Fall of Communism in Russia. Yale University Press. ISBN 0300106491.CS1 maint: ref duplicates default (link)
- Pons, Silvo; Service, Robert (eds.). A Dictionary of 20th Century Communism. Princeton, New Jersey; Oxfordshire, England: Princeton University Press ISBN 0691154295.
- Ree, E. Van (March 1997). "Stalin and Marxism: A Research Note". Studies in East European Thought. Springer. 49 (1): 23–33. JSTOR 20099624.CS1 maint: ref duplicates default (link)
- Strong, Anna Louise (1956). The Stalin Era (PDF). New York City: New York Mainstream Publishers. ISBN 0900988541.
- Ulam, Adam (1965) [1998]. The Bolsheviks: The Intellectual and Political History of the Triumph of Communism in Russia. Cambridge: Harvard University Press. ISBN 0674078306.