Pemangkinan adalah perubahan dalam kadar tindak balas sesuatu tindak balas kimia yang disebabkan oleh suatu bahan yang dinamakan mangkin (juga pencepat, katalis serta pendorong).[1] Mangkin adalah berbeza daripada reagen-reagen kimia lain dalam suatu tindak balas kimia, iaitu ia tidak termakan oleh tindak balas tersebut. Mangkin boleh terlibat dalam beberapa transformasi kimia. Mangkin yang mempercepatkan kadar tindak balas adalah dinamakan mangkin positif. Mangkin yang melembapkan kadar tindak balas dipanggil mangkin negatif atau perencat. Bahan yang meningkatkan keaktifan mangkin dipanggil penggalak manakala bahan yang menyahaktifkan mangkin dipanggil racun mangkin.
Tenaga pengaktifan bagi suatu tindak balas bermangkin adalah lebih rendah berbanding dengan tindak balas tanpa mangkin, dan ini menyebabkan kadar tindak balasnya lebih tinggi pada suhu yang sama. Penjelasan mekanistik pemangkinan pula lebih rumit. Mangkin boleh sama ada
- mempengaruh persekitaran tindak balas agar menjadi lebih menggalakkan,
- terikat dengan reagen untuk mengutubkan ikatan kimia (contohnya mangkin asid dalam tindak balas sebatian karbonil),
- membentuk perantaraan tertentu yang tidak dihasilkan secara semulajadi (contohnya perantaraan ester-ester osmat dalam proses pemangkinan alkena oleh osmium tetroksida),
- atau menyebabkan lisis reagen-reagen agar menjadi bentuk yang lebih reaktif, contohnya hidrogen keatoman dalam penghidrogenan bermangkin.
Tindak balas bermangkin, dari segi kinetiknya, bersifat seperti tindak-tindak balas kimia yang biasa, iaitu kadar tindak balasnya bergantung dengan kekerapan pelanggaran zat-zat tindak balas dalam suatu tahap penentu kadar. Mangkin pada kebiasaannya terlibat semasa tahap penentu kadar (tahap yang melambatkan tindak balas), dan kadar ini pula dihadkan oleh bilangan mangkin dan "keaktifan" mangkin. Dalam mangkin heterogen, peresapan reagen-reagen ke permukaan mangkin dan pembauran hasil tindak balas jauh daripada permukaan mangkin boleh menjadi penentu kadar tindak balas. Keadaan-keadaan serupa yang berkait dengan pelekapan substrat dan penceraian hasil-hasil tindak balas juga boleh dikaitkan dengan mangkin homogen.
Walaupun mangkin tidak dimakan oleh sesuatu tindak balas, namun ia boleh direncat, dinyahaktif atau dimusnahkan oleh proses sekunder. Bagi mangkin heterogen, proses sekunder seperti pengekokan terjadi apabila mangkin diselaputi hasil-hasil sampingan berpolimer. Tambahan lagi, mangkin heterogen boleh terlarut dalam larutan dalam sistem pepejal dan cecair atau tersejat dalam sistem pepejal dan gas.
Lihat juga
- Enzim, sejenis mangkin biokimia untuk fungsi-fungsi utama tubuh, misalnya sistem percernaan
- Penukar bermangkin, peranti pada sistem ekzos kenderaan bagi mengurangkan bahan berbahaya dalam asap ekzos kenderaan
Rujukan
- ^ "mangkin". Pusat Rujukan Persuratan Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka. Dicapai pada 8 November 2020.