Mak Cun | |
---|---|
Genre | Komedi |
Pengarah | Bade Hj Azmi (Musim 1-4, Atin Atan & Mak Cun) Bahri Uma (Mak Cun Mai Singgah) |
Dibintangi oleh | Erma Fatima Datin Umie Aida Datuk Rahim Razali Rujuk Pelakon |
Negara asal | Malaysia |
Bahasa | Bahasa Melayu (Bahasa Melayu Kedah) |
Bilangan musim | 5 |
Bilangan episod | 91 Episod |
Penerbitan | |
Penerbit eksekutif | Citra Abdullah Ain Abdullah |
Penerbit | Ahmad Albab Abdullah Ahmad Arri Abdullah |
Syarikat penerbitan | Rumah Karya Citra Sdn Bhd |
Penyiaran | |
Saluran asal | TV3 |
Siaran asal | 17 Ogos 2014 (telefilem Spain Uolls) 29 Julai 2015 (siri) |
Mak Cun (juga dieja Mok Cun daripada sebutan loghat Kedah) merupakan sebuah rancangan televisyen drama campur komedi bersiri yang diterbitkan oleh Rumah Karya Citra dan ditayangkan di TV3 mulai tahun 2014. Terdiri daripada telefilem dan siri (drama berantai), bermula dengan telefilem raya yang berjudul Spain Uolls yang mengisahkan Mak Cun ingin membuat kejutan untuk beraya dengan anaknya, Atun, yang sedang belajar di Sepanyol.
Dibintangi oleh Erma Fatima, Datin Umie Aida, Datuk Rahim Razali antara lainnya, kisahnya tentang seorang penduduk kampung bernama Mak Cun yang bercita-cita untuk meluaskan perniagaan bedak sejuknya di luar batas kampung. Musim ketiga drama bersiri Mak Cun berjaya meraih 11 juta penonton bagi semua 21 episod.[1]
Siri
Musim 1 (2015)
Mak Cun giat menjalankan perniagaan bedak sejuknya di kampung, namun dia berhadapan dengan persaingan sengit daripada Manisah yang pindah ke kampung dengan memperkenalkan rawatan baharu berupa suntikan kolagen. Lebih teruk lagi, Manisah gemar menggunakan taktik kotor untuk menumpaskan Mak Cun apalagi dia cuba merebut hati Pak Akob, buah hati Mak Cun di samping memikat hati seluruh kampung. Oleh itu, Mak Cun meminta bantuan daripada anak bongsu di rantauan, Atun untuk mengharungi cabaran berniaga.
Musim 2 (2016)
Mak Cun semakin berjaya dalam perniagaan, namun ancaman daripada musuh ketat Manisah masih ada dan semakin getir apabila Manisah kembali dengan berniaga produk menguruskan badan baharu, diburukkan lagi oleh ketibaan kakak ipar Manisah, Chombi. Apalagi ketika membuat persiapan untuk perkahwinan anak sulungnya Atul.
Musim 3 (2017)
Mak Cun yang sudah berjaya sebagai usahawan desa cuba memasarkan bedak sejuknya dengan lebih luas lagi. Biarpun ada sambutan, tetapi sukar untuk meletakkan produk di peruncit besar. Oleh itu Mak Cun mengambil keputusan untuk membuka kedai sendiri.
Musim 4 (2018)
Kali ini, Mak Cun mengumpul usahawan kampung seperti Miss Olio dan Rock untuk menjadi geng Mak Cun. Mak Cun semakin berjaya dengan perniagaan Mart dan onlinenya. Malangnya kejayaan Mak Cun tidak dapat dikongsi bersama Pak Akob kerana Cik Pah isteri Pak Akob yang begitu cemburu dengan Mak Cun sehingga tidak langsung membenarkan Pak Akob rapat dengan Mak Cun.
Atin, Atan dan Mak Cun (2019)
Mengisahkan mengenai Mak Cun dan cucu - cucunya, Atan dan Atin. Mak Cun sedang belajar bahasa Mandarin sangat teruja untuk memasuki pasaran China. Manisah terkejut mendengar Mak Cun mahu ke sana. Dia memujuk Mak Cun membawa dia bersama. Atin pula teruja membuat sekolah pondok. Dia mengajar subjek matematik kepada beberapa budak kampung
Mak Cun Mai Singgah (2024)
Mak Cun seperti ketua di kampungnya kerana sentiasa bersemangat untuk memartabatkan produk-produk usahawan tempatan. Namun tidak semudah itu kerana dia terpaksa berdepan dengan pelbagai kerenah usahawan.
Telefilem
Spain Uolls (2014)
Mak Cun memenangi sejumlah wang yang terbesar kerana memenangi peraduan ibu tunggal terbaik di kampungnya di Kokdiang, Kedah. Oleh itu, dia mengambil kesempatan untuk membuat kunjungan mengejut kepada anaknya, Halimatun, yang mengejar ilmu di negara Sepanyol. Setelah tiba di negara tersebut, Mak Cun sesat kerana kehilangan alamat anaknya itu.
Inilah telefilem yang menjadi permulaan kepada siri Mak Cun, disiarkan pada 17 Ogos 2014.
Sawadeeka Mak Cun (2015)
Perniagaan bedak Sejuk Mak Cun semakin laris sehingga mendapat tempat di seluruh Malaysia, oleh itu Mak Cun membuahkan cita-cita untuk memasarkan produknya di negara jiran, Thailand. Akan tetapi, Mak Cun naik cemburu apabila anaknya Atul bersetuju untuk berkahwin dengan Pak Akob, buah hati Mak Cun.
Telefilem ini susulan daripada musim pertama, disiarkan pada 24 September 2015 sempena Hari Raya Aidiladha.
Mak Cun Pi New York (2016)
Mak Cun terbang jauh ke Bandaraya New York, Amerika Syarikat untuk menghadiri perkahwinan anaknya Halimatun di situ. Tetapi setelah berselisih dengan Halimatun, Mak Cun melarikan diri hingga sesat di kotaraya terbesar Amerika, apalagi di tengah-tengah musim sejuk.
Telefilem ini ditayangkan pada 6 Julai 2016 sempena Hari Raya Aidilfitri.
Mak Cun Pi Lombok (2017)
Sebuah kemalangan kereta menemukan Atul dengan Rangga, seorang warga Indonesia. Namun Mak Cun menentang keras hubungan mereka lantas mengurung Atul daripada berjumpa dengan Rangga. Namun Atul dilarikan oleh Rangga untuk pergi ke kampung Rangga iaitu Lombok, maka Mak Cun bertekad untuk mencari Atul di sana.
Telefilem ini ditayangkan pada 26 Jun 2017 sempena Hari Raya Aidilfitri.
Mak Cun Pi Amerika Lagi (2018)
Mak Cun dan Manisah berkeras ingin mengikut Maya ke LA. Satu hari Mak Cun dan Manisah keluar sendiri apabila Maya tinggalkan mereka di rumah. Manisah mengajak Mak Cun berjalan-jalan kononnya hendak berjumpa dengan artis Hollywood. Ketika sedang berjalan-jalan mereka berkenalan dengan Kelvin tanpa mnyedari Kelvin sebenarnya ialah penipu. Dia mencuri bag tangan Manisah dan Mak Cun sehingga tinggal sehelai sepinggang. Akhirnya mereka terjumpa dengan Joyah. Joyah membantu mereka untuk mnyelesaikan masalah mereka. Mak Cun mengamuk kerana Manisah cuba menggoda suami Joyah. Joyah naik angin apabila mengetahui tentang hal itu dan menghalau mereka keluar. Joyah mencari mereka semula kerana tidak sampai hati. Setelah passport Mak Cun dan Manisah siap, mereka pun berkemas untuk pulang ke Malaysia tanpa diduga Manisah berubah fikiran sebelum berlepas ke Malaysia.
Telefilem ini ditayangkan pada 20 Jun 2018 sempena Hari Raya Aidilfitri.
Mak Cun Anjung Orang Kita (2020)
Mengisahkan Mak Cun usahawan tempatan yang berjiwa besar dan menjadi inspirasi kepada usahawan-usahawan untuk terus berjuang untuk membangkitkan ekonomi mereka. Semangat yang tinggi jangan terus mengalah dan sentiasa positif dalam apa jua keadaan sekali pun.
Apa yang terjadi dengan Mak Cun musim PKP ni? Barang usahawan tidak terjual dan pendapatan mereka terjejas? Mak Cun pening kepala memikirkan apa yang beliau boleh lakukan untuk bantu orang kampung.
Telefilem ini ditayangkan pada 25 Oktober 2020.
Pelakon
Watak utama
- Erma Fatima sebagai Mak Cun (musim 1–6) - seorang wanita penduduk kampung Kodiang berumur pertengahan yang berniaga bedak sejuk dengan semangat keusahawanan yang tinggi.[2]
- Datin Umie Aida sebagai Zeenat Manisah (musim 1–6) - watak antagonis. Janda baru yang pindah masuk ke kampung dan bersaing dengan Mak Cun dengan menjual suntikan kolagen.[2] Juga peminat Bollywood.
- Datuk Rahim Razali sebagai Pak Akob (musim 1–6) - buah hati Mak Cun yang sentiasa menaruh perhatian khas pada Mak Cun dan perniagaannya.[2]
- Balkisyh Semundur Khan sebagai Atul (musim 1–4 & 6) - anak sulung Mak Cun yang turut membantu dalam perniagaan bedak sejuk ibunya.
- Nora Danish sebagai Atun (musim 1–3 & 5) - anak bongsu Mak Cun yang bekerja sebagai pengusaha fesyen di rantauan dan cuba memperbaiki cara berniaga ibunya.[2]
Watak pembantu dan sampingan
- Azwan Kombos sebagai Kamarul (musim 1–3) - anak lelaki Manisah dan suami Atul
- Betty Rahmad sebagai Maya - (musim 4) rakan sekerja Atun
- Anne Abdullah sebagai Datin Linda - (musim 1) mentor Mak Cun di KL (musim 1)
- Norish Karman sebagai Chombie (musim 2–3) - kakak ipar Manisah
- Haidar sebagai Kumin (musim 2–3) - anak angkat Mak Cun (musim 2 & 3)
- Fazlina Dato Ahmad Daud sebagai Normah (musim 2–4) - Ibu kepada Kumin dan kawan Mak Cun
- Aiman Tino sebagai Kumin (musim 4) - anak angkat Mak Cun
- Fauziah Ahmad Daud sebagai Cik Pah (musim 6)
- Nad Zainal sebagai Khadijah (musim 6)
- Ziana Zain sebagai Nona Mardina (musim 4) dan Sharifah Alawiyah (musim 6)
- Jay Nazif sebagai Atan (musim 4–6) - anak lelaki Atul dan cucu Mak Cun.
- Khadra Syamimi sebagai Atin (musim 4–6) anak perempuan Atul dan cucu Mak Cun.
- Zareef Yusof sebagai Fitri (musim 5) anak lelaki Atun dan cucu Mak Cun.
Watak kecil
- Welson Sim sebagai Yap
- Azizah Abd Aziz sebagai Esah
- Norsiah Mohd Yatim sebagai Mariam
- Rozilawati Abdul Rahim sebagai Wawa
- Ayuna Yusof sebagai Siah
- Izham Ahmad sebagai Ketua kampung
- Pak Non sebagai Suami Mariam
- Ezzaty Abdullah sebagai Ayuni
Episod
Musim | Episod | Tayangan pertama | |
---|---|---|---|
Mula | Tamat | ||
1 | 9 | 29 Julai 2015 | 3 September 2015 |
2 | 20 | 29 April 2016 | 17 Jun 2016 |
3 | 21 | 20 April 2017 | 14 Jun 2017 |
4 | 20 | 7 April 2018 | 10 Jun 2018 |
5 | 21 | 18 Julai 2019 | 22 Ogos 2019 |
6 | 23 Mei 2024 |
Rancangan istimewa
- Spain Uolls (telefilem, 2014)
- Sawadeeka - Mak Cun (telefilem, 2015)
- Mak Cun - Pi New York (telefilem, 2016)
- Teater Mak Cun - D'Walei (telefilem, 2016)
- Raya Sakan - Mak Cun (2017)
- Mak Cun - Pi Lombok (telefilem, 2017)
- Mak Cun - Pi Amerika (telefilem, 2018)
- Mak Cun - Anjung Orang Kita (telefilem, 2020)
Anugerah dan pencalonan
Tahun | Anugerah | Kategori | Keputusan |
---|---|---|---|
2018 | Anugerah Skrin 2018[3] | Drama Komedi Terbaik | Menang |
Rujukan
- ^ https://www.bharian.com.my/node/299147
- ^ a b c d "'Perang' Umie Aida, Erma Fatima dalam Mak Cun". BH Online. 2015-07-30. Dicapai pada 2017-10-04.
- ^ Senarai Anugerah Penuh Anugerah Skrin 2018, XTRA. Diterbitkan pada 26 Oktober 2018. Dicapai 27 Oktober 2018.