Pada 11 Februari 2019, pejabat Perdana Menteri Malaysia mengumumkan pelantikan 16 ahli bagi menganggotai Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) yang dipengerusikan Perdana Menteri Mahathir Mohamad.[1] Majlis ini meneliti dan membuat keputusan berkaitan hal ehwal ekonomi dan kewangan serta kebajikan rakyat.[2]
Antara anggota yang dilantik dalam majlis itu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali, Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Darell Leiking, Menteri Kerja Raya Baru Bian, Penasihat Ekonomi Perdana Menteri Muhammed Abdul Khalid, bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Rafidah Aziz dan Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB) Zeti Akhtar Aziz.[1]
Ahli lain, antaranya Ahli Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) Pofessor Jomo Kwame Sundaram, Pengarah Urusan Public Bank Tay Ah Lek, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Hasnita Hashim, Pengerusi Bursa Malaysia Shireen Ann Zaharah Muhiudeen, Pengerusi Asean Business Advisory Council Malaysia Mohd Munir Abdul Majid, Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Paul Selvaraj, Peguam Bah Tony @ Amani William Hunt Abdullah dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Institut MASA Nizam Mahshar.[1]
Mahathir menjelaskan cadangan bagi menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi sudah dirancang tahun 2018 namun, tidak dapat dilaksanakan pada masa itu berikutan kekangan masa. Beliau berkata kini kerajaan sudah bersedia untuk menggerakkan majlis itu dan ia akan digunakan untuk mendapatkan idea bagi membangunkan ekonomi negara.[3] Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menyambut baik langkah Mahathir, menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi.[4]
Pada 20 Mac, Mahathir mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Tindakan Ekonomi di Perdana Putra, Putrajaya. Mesyuarat itu membincangkan tiga kertas cadangan dengan dua daripadanya memberi fokus kepada usaha menangani peningkatan kos sara hidup rakyat yang dibentangkan oleh Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna. Kementerian Hal Ehwal Ekonomi turut membentangkan cadangan mewujudkan Dana Mudahcara B40 yang menggunakan keusahawanan sosial sebagai platform untuk meningkatkan taraf hidup isi rumah B40.[5][6]
Pada 11 Jun, Majlis Tindakan Ekonomi bersetuju untuk menghidupkan semula Majlis Produktiviti Negara (NPC) bagi menetapkan panduan dan hala tuju strategik serta memacu agenda produktiviti secara menyeluruh.[7]
Rujukan
- ^ a b c Noor, Mohd Husni Mohd (2019-02-11). "Kerajaan tubuh Majlis Tindakan Ekonomi". Harian Metro.
- ^ "[INFOGRAFIK] Tun Mahathir Pengerusi, siapa lagi anggota Majlis Tindakan Ekonomi?". Astro Awani. 2019-02-12.
- ^ Annuar, Suhaila Shahrul (2019-02-12). "Majlis Tindakan Ekonomi fokus isu ekonomi negara - PM". Berita Harian.
- ^ "Majlis Tindakan Ekonomi bantu rakyat, negara". Berita Harian. 2019-02-16.
- ^ "PM pengerusikan mesyuarat pertama EAC". Sinar Harian. 2019-03-20.
- ^ "PM pengerusikan mesyuarat pertama EAC". Berita Harian. 2019-03-20.
- ^ Rahman, Norlaile Abd (2019-06-11). "Majlis Produktiviti Negara dihidupkan semula". MalaysiaGazette.