Latar Belakang
Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara diwujudkan pada tahun 1971 daripada buah fikiran Abdul Razak Hussein kerana penutupan operasi lombong besi Rompin Mining Company (ROMPINCO). Bukit Ibam ketika itu dijangka akan menjadi bandar mati jika tiada campur tangan kerajaan.oleh itu Abdul Razak Hussein pada masa itu telah memberi kepastian kepada penduduk bukit ibam bahawa pekan tersebut akan dimajukan sebagai sebuah bandar yang subur dan makmur.Oleh kerana itu beliau telah menubuhkan Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara selepas suatu taklimat telah disampaikan kepada beliau pada 31 julai 1971,Lembaga ini ditubuhkan di bawah akta 68, Akta Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara.pada 14 september 1971 beliau mengumumkan penubuhan lembaga dan pelantikkan ahli-ahlinya walaupun pelan induk dijadualkan siap pada akhir julai 1972 .Lembaga ini diletakkan di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (ditukar kepada kementerian kemajuan desa dan wilayah)
"kawasan Pahang Tenggara ini ialah kawasan yang baharu dibuka, yang kita terpaksa buka dengan tenaga titik peluh kita, macam datuk nenek kita dahulu membuka kampong-kampong baru dengan titik peluh, dengan tumpah darah mereka. Jadi kenalah kita sedikit sebanyak menerima kesukaran-kesukaran dan kesulitan-kesulitan. Ini kita mesti hadapi, kalau kita berkehendakkan kemajuan." ucapan Abdul Razak Hussein pada 21 jun 1975[1]
Fungsi
- Memaju, menggalak, membantu dan mengusahakan pembangunan ekonomi dan sosial;
- Memaju, menggalak, membantu dan mengusahakan pembangunan tempat tinggal, pertanian , perusahaan dan perdagangan; dan
- Mengawal dan menyelaraskan pelaksanaan kegiatan-kegiatan atau aktiviti-aktiviti yang tersebut di atas.
Pusat Pentadbiran
Tanggal 12 November 1977 bersamaan 1 Zulhijah 1397H adalah detik yang paling bersejarah buat Wilayah Pahang Tenggara kerana termasyhurlah Bukit Ridan atau Bandar 10 dengan nama baharunya, Bandar Muadzam Shah.

Istiadat pemasyhuran nama Bandar Muadzam Shah oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar telah menjadi satu upacara rasmi yang gilang-gemilang dan menjadi ingatan yang berkekalan kepada seluruh rakyat Negeri Pahang Darul Makmur.
Muadzam Shah yang dahulu dikenali dengan nama Bukit Ridan telah mendapat perhatian yang khusus daripada Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah. Bandar Muadzam Shah telah dijadikan pusat pentadbiran bagi Wilayah Pahang Tenggara. Baginda sekali lagi berangkat ke bandar ini pada 27 September 1983 selaku Yang di-Pertuan Agong Malaysia dan telah berkenan meletak batu asas bagi satu kawasan perumahan eksekutif di Muadzam Shah yang diberi nama 'Pinggir Pelangi'.
Di samping itu, Bandar Muadzam Shah juga turut menerima penghormatan menjadi tuan rumah bagi Musabaqah Membaca al-Quran peringkat Negeri Pahang Darul Makmur sempena Istiadat Perasmian Masjid Al-Muadzam Shah pada 5 April 1986 oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang
Muadzam shah merupakan lokasi kepada ibu pejabat kepada lembaga tersebut,ia merupakan pusat pentadbiran bagi keseluruhan wilayah pahang tenggara . ia adalah pengerak kepada semua program dan aktiviti pembangunan di wilayah pahang tenggara yang merangkumi tugas-tugas perancangan penyelarasan dan pentadbiran .
Bangunan ibu pejabat DARA ini berdiri teguh dan megah di tengah-tengah persekitaran dan suasana aktiviti-aktiviti kemajuan yang sedang pesat dijalankan. Projek ini mula dirancang pada tahun 1977. Kerja-kerja pelaksanaannya dimulakan pada 16 Oktober 1981 dan telah disiapkan sepenuhnya pada 14 September 1984 dengan perbelanjaan berjumlah RM13 juta. Bangunan empat tingkat ini mempunyai keluasan lantai 128,459 kaki persegi serta dilengkapi kemudahan terbaru pada zamannya (sistem pendingin hawa berpusat, sistem pencegahan kebakaran dan sebuah lif yang dapat memuatkan 20 orang).


Oleh kerana itu lot kedai,hospital, pasar, pejabat pos telah dibina untuk memenuhi keperluan penduduk
Pembubaran
Kerajaan pada 4 Mac 1992 bersetuju supaya peranan dan kedudukan Dara dikaji semula.Oleh itu satu kajian telah dilaksanakan oleh Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (UPP), Jabatan Perdana Menteri. Berikutan dengan hasil kajian yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan, pada 17 November 1993 Kerajaan telah memutuskan bahawa Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara akan dibubarkan bersama dengan 5 lembaga wilayah yang lain iaitu Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA), Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) dan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA).Walau bagaimanapun, pada 16 Oktober 1996 Kerajaan memutuskan supaya pembubaran KETENGAH dan KEDA ditangguhkan, manakala pembubaran DARA, LKWJ dan KEJORA diteruskan. Pembubaran ini dilaksanakan melalui dua kaedah, iaitu penyerahan fungsi LKW kepada Badan Persekutuan atau Pentadbiran Negeri dan mempercepatkan penswastaan projek-projek yang berpotensi.Alasan pembubaran ialah kerana Kerajaan persekutuan merasakan bahawa matlamat pembangunan lembaga tersebut sudah tercapai. pada 21 april 1997 Dewan Rakyat (Malaysia) telah meluluskan Rang Undang-Undang Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara (Pembubaran) 1997 dan digezetkan oleh Yang Di-Pertuan Agong pada 18 Jun 1997
Oleh kerana pembubaran LKW tersebut semua aset telah diswastakan dan ditukar nama kepada Teras Dara Konsortium tetapi Kerajaan Negeri Pahang mempunyai pilihan untuk memohon tidak dibubarkan agensi-agensi berkenaan seperti di negeri-negeri lain tetapi tidak bertindak sedemikian. Umpamanya Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) dan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) di Kelantan, Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora), Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) dan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) dikekalkan hingga ke hari ini.








