Leftenan Zana | |
---|---|
Genre | Drama, ketenteraan |
Ditulis oleh | Sofia J. Rhyland |
Pengarah | Azman "Jinggo" Hj. Yahya |
Dibintangi oleh | |
Lagu pembukaan | "Mata" oleh Ayda Jebat |
Lagu penutup | "Mata" oleh Ayda Jebat |
Negara asal | Malaysia |
Bahasa | Melayu |
Bilangan episod | 16 |
Penerbitan | |
Penerbit eksekutif | Uzair Haqimy Luth Mikail |
Penerbit | Sheila Rusly |
Penyunting | Khairul Zaman Abu Bakar |
Pemasangan kamera | Tetapan multi-kamera |
Tempoh siaran | 42–43 minit |
Syarikat penerbitan | JS Pictures |
Penyiaran | |
Saluran asal | TV3 |
Format gambar | |
Format audio | Dolby Digital Plus |
Siaran asal | 8 Februari 2019 – 15 Mac 2019 |
Kronologi | |
Mengikuti | Aku Cinta Dia |
Diikuti oleh | Cinta Non Grata |
Leftenan Zana ialah siri drama ketenteraan Malaysia 2019 arahan Azman "Jinggo" Yahya, dibintangi oleh Janna Nick sebagai Zana. Ia mengisahkan mengenai impian Zana yang bercita-cita mahu menjadi anggota tentera tetapi cita-citanya itu tidak direstui bapanya.[1] Siri ini mula disiarkan dari 8 Februari 2019 hingga 15 Mac 2019 di Slot Lestary TV3, menggantikan Aku Cinta Dia.[2]
Siri ini boleh didapati melalui penstriman dalam talian di saluran YouTube rasmi TV3.[3]
Sinopsis
Mengisahkan mengenai impian Zana yang bercita-cita mahu menjadi anggota tentera tetapi cita-citanya itu tidak direstui oleh bapanya. Zana adalah anak perempuan bongsu Rahmat dan Mah. Sejak kecil, Zana sangat rapat dan manja dengan bapanya sehinggakan dia ingin menjadi seorang askar seperti bapanya. Malangnya, Rahmat tidak suka dan tidak akan membenarkan Zana untuk menyertai bidang ketenteraan. Rahmat lebih mengharapkan Zaidi, anak lelaki sulungnya untuk menyambung legasinya tetapi Zaidi tidak berminat.
Walaupun dihalang, Zana tekad untuk meneruskan cita-citanya dan dalam diam telah membuat permohonan secara online untuk menjadi anggota tentera Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Zana telah terpilih untuk menjalani ujian fizikal di Port Dickson dan ditemani sahabat baiknya, Tisya dan Abby. Abby tidak mengikuti ujian fizikal itu. Keputusan dari ujian tersebut menyaksikan Zana berjaya diterima sebagai pelatih ATM dan perlu menjalani latihan di PUSASDA. Manakala Tisya gagal dan mengambil keputusan untuk mencari pekerjaan di Kuala Lumpur. Pada mulanya, Zana berbohong mengatakan bahawa dia diterima bekerja di sebuah syarikat swasta. Namun, di saat akhir Zana berterus terang kepada Rahmat dan ibunya, Mah.
Walaupun marah, Rahmat tetap menghantar Zana ke kem untuk latihan. Rahmat pasti Zana tidak akan bertahan lama di sana. Ujian Zana bermula dan ternyata apa yang dikatakan oleh bapanya tentang kepayahan di kem, semuanya benar. Selain Sarjan Qamar yang menggerunkan, Zana tertekan dengan pelbagai latihan yang memenatkan fizikal dan mental. Di kem juga Zana turut dibuli oleh Raz yang membencinya. Sehinggalah suatu hari, Zana tekad membuat keputusan untuk melarikan diri daripada kem.
Namun usahanya gagal. Tidak hanya cabaran di kem yang harus Zana tempuhi, malah dia turut tertekan dengan perkahwinan kekasih dan sahabat baiknya iaitu Faiz dan Tisya. Zana sedih dan kecewa apabila Faiz memutuskan hubungan mereka yang sudah bertaut sejak zaman universiti lagi melalui SMS. Abby memberitahu Zana tentang pengkhianatan yang dilakukan oleh Tisya akibat ibu Faiz tidak menyukai Zana. Ini memberi peluang kepada Kapten Haniff, salah seorang pegawai yang mengendalikan kadet baru untuk mendapatkan hati Zana. Zana kurang selesa dengan tindakan berani Kapten Haniff sehingga dia belum bersedia untuk bercinta lagi dan ingin menggapai impiannya. Raz yang juga meminati Kapten Haniff, tidak menyenangi dengan tindakan Kapten Haniff yang ingin mendekati Zana. Kapten Haniff juga sering meminta pertolongan rakan baiknya, Kapten Mustaqim untuk meletakkan hadiah serta kad kepada Zana secara senyap di bilik dorm Zana.
Sewaktu Kapten Haniff menghantar Zana pulang ke Kuala Lumpur kerana cuti, Rahmat menyukai Kapten Haniff. Tanpa disangka rupanya arwah bapa Kapten Haniff merupakan kawan kepada Rahmat sewaktu mereka berkhidmat untuk MALBATT di Lubnan. Rahmat ingin sekali menyatukan Zana dengan Kapten Haniff. Sudah tentu Kapten Haniff menyetujui jika keluarga mereka ingin menjodohkannya dengan Zana. Kapten Haniff menggunakan kesempatan pertolongan keluarga Zana demi merapatkan lagi hubungan mereka.
Pelakon
Pelakon utama
- Janna Nick sebagai Leftenan Zanariah / Zana, pegawai Rejimen Askar Jurutera Diraja (PARA).
- Tunku Hanis sebagai Leftenan Razlina / Raz, pesaing Zanariah dalam ATD.
- Sheila Rusly sebagai Sarjan Qamar, anggota Rejimen Semboyan Diraja dan jurulatih kadet.
- Redza Rosli sebagai Kapten Haniff, pegawai Rejimen Askar Melayu DiRaja Para dan suami yang diatur Leftenan Zana (Episod Akhir)
- Nazrief Nazri sebagai Zaidi, abang kepada Leftenan Zana dan anak sulung Rahmat dan Mah.
- Hairie Othman sebagai Rahmat, pemilik syarikat katering dan bekas pegawai tentera.
- Sue Sophie sebagai Mah, Isteri kepada Rahmat dan ibu kepada Zaidi dan Leftenan Zana.
- Zarul Husin sebagai Arul, bekas suami Sarjan Qamar.
- Aprena Manrose sebagai Tisya, kawan lama Leftenan Zana.
- Annie Mosha sebagai Abby, kawan Leftenan Zana.
- Izzat Mushtaq sebagai Faiz, Suami Tisya dan bekas kekasih Leftenan Zana.
Pelakon pembantu
- Idzham Ismail sebagai Dr. Putera, pegawai perubatan hospital angkatan tentera.
- Ameerul Asyraf sebagai Kapten Mustaqim, rakan Kapten Hanif.
- Amalina sebagai Fida, kawan rekrut Leftenan Raz.
- Ena Pakwan sebagai Sha, kawan rekrut Leftenan Zana.
- Shahriza Mahmud sebagai Datin Connie
- Mohd Ruzni sebagai Dato' Iskandar
- Jalayha Abdullah sebagai Sarina
- Kay Maria sebagai Mak Raz
Pelakon undangan
- Adi Ridzwan Abdullah sebagai Komandan Pusat Latihan Peperangan Khas (Episod 12)
- Khairul Azmizal Ahmad Natal sebagai Panglima 10 Briged Para
Sambutan
Penarafan
Leftenan Zana mencipta sejarah tersendiri apabila mencatat 25.5 juta tontonan merangkumi siaran televisyen dan platform digital menurut sumber dari Nielsen Audience Measurement.[4][5] Drama ini meraih 11.5 juta penonton iaitu jumlah penarafan terkumpul sepanjang 16 episod sejak tayangan perdananya.
Episod akhir yang ditayangkan pada 15 Mac telah mencecah 4 juta tontonan. Jumlah terkumpul tontonan di saluran YouTube rasmi TV3 dan Drama Sangat juga mencecah 14 juta tontonan.[6]
EPISOD PERTAMA | EPISOD AKHIR | ATAS TALIAN | JUMLAH TONTONAN | SUMBER |
---|---|---|---|---|
[4][5][6] |
Kritikan
Leftenan Zana mendapat kritikan daripada pegawai tentera yang mendakwa para pelakon drama tersebut tidak memakai pakaian seragam dengan piawaian yang betul. Beliau turut membandingkan drama ini dengan filem PASKAL yang mendapat pujian ramai kerana berjaya mempamer dan menonjolkan kredibiliti sebenar anggota tentera elit.[7]
Masa depan
Meskipun Leftenan Zana mendapat sambutan, penerbitnya Sheila Rusly mengumumkan tidak akan menerbitkan kesinambungan drama ini.[8][9][10]
Rujukan
- ^ Budiey (8 Februari 2019). Janna Nick Masuk Askar dalam Leftenan Zana Sensasi Selebriti. Dicapai pada 3 Jun 2019.
- ^ "Drama Leftenan Zana (TV3)". MyInfotaip. 7 Februari 2019. Dicapai pada 3 Jun 2019.
- ^ Leftenan Zana (2019): Episod Penuh. YouTube. TV3. Dicapai pada 2 Jun 2020.
- ^ a b Sudirman Mohd Tahir (20 Mac 2019). Leftenan Zana catat 25.5 juta tontonan Harian Metro. Dicapai pada 3 Jun 2019.
- ^ a b Dennis Chua (20 Mac 2019). #Showbiz: Leftenan Zana chalks up with 25 million viewers New Straits Times. Dicapai pada 3 Jun 2019.
- ^ a b Norhayati Nordin (11 Mac 2019). Leftenan Zana raih 10 juta tontonan Harian Metro. Dicapai pada 3 Jun 2019.
- ^ Bengang pakaian seragam dipermainkan, drama Leftenan Zana dikritik pegawai tentera Diarkibkan 2019-06-23 di Wayback Machine Oh My Media. 12 Februari 2019. Dicapai pada 3 Jun 2019.
- ^ Amri Hassan (14 Mac 2019). Tak akan ada Leftenan Zana 2: Sheila Rusly Astro Gempak. Dicapai pada 3 Jun 2019.
- ^ Sheila Rusly kata tidak akan ada Leftenan Zana 2, tetapi... Media Hiburan (16 Mac 2019). Dicapai pada 3 Jun 2019.
- ^ Sudirman Mohd Tahir (25 Mac 2019). 'Tidak akan ada Leftenan Zana 2' - Sheila Rusly Harian Metro. Dicapai pada 3 Jun 2019.
: Lestary, Rabu - Jumaat 9:00 Malam | ||
---|---|---|
Sebelumnya | Leftenan Zana | Berikutnya |
Aku Cinta Dia | Cinta Non Grata |