Labu sayong ialah sejenis labu tembikar berbentuk labu air berwarna hitam dari Mukim Sayong, sebuah desa yang terletak 1 kilometer dari Kuala Kangsar, Perak. Khususnya, barangan ini diusahakan masyarakat Kampung Kepala Bendang.[1] Dari kampung inilah perusahaan ini berasal kerana banyaknya sumber bahan mentah iaitu tanah liat khas yang dapat diperoleh dari kampung tersebut; perusahaan membuat labu sayong telah berkembang di kalangan waris asal pembuat tembikar ini ke sekitar perkampungan dalam daerah Kuala Kangsar lanjutan daripada ini.[perlu rujukan]
Bekas menyimpan air yang dihasilkan daripada tanah liat ini dibentuk dan diukir dengan teliti. Motif ukirannya banyak menjurus kepada unsur tradisional, khususnya bunga-bungaan seperti bunga tanjung, padi, senduduk, lawang, cengkih dan pucuk rebung.
Sejarah
Barang tembikar ini diceritakan hasil inovasi daripada penggantian buah labu kosong yang digunakan untuk mengisi air dalam kalangan masyarakat setempat; pembiasaan masyarakat ini memahirkan diri menggunakan tanah sebagai bahan binaan mendorong kepada percubaan menciptakan barang mirip labu air daripada bahan yang sama.[1] Bentuk labu air ada juga diilhamkan daripada bentuk burung pucung berdiri yang dilihat dari hadapan.[2]
Terdapat dua orang tokoh yang dikaitkan kuat dengan perintisan seni labu ini: Nila Hitam, seorang wanita Melayu kelahiran Kampung Kepala Bendang sendiri, dan Tok Kaluk, seorang pendatang pandai besi dari Minangkabau, Sumatera yang diceritakan memperkenalkan penciptaan tembikar daripada tanah liat pada kira-kira tahun 1810 semasa zaman Sultan Abdul Malik Mansur Syah, yang mana kemahiran beliau telah mendapat kepercayaan daripada baginda sultan sehinggakan dikurniakan sebidang tanah di kampung sama.[3]
Penghasilan labu sayong secara acuan moden diperkenalkan oleh Pusat Kemajuan Kraftangan Malaysia pada tahun 1975, membolehkan penghasilan secara lebih banyak, pukal dan berkos murah. Namun, teknik moden ini menimbulkan kekhuatiran sesetengah pengkarya atas mutu produk akhir yang wujud (mudah pecah, senang dicemari bahan kimia dan sebagainya) serta kemungkinan menggugat jualan labu yang dihasilkan dengan tangan secara tradisi.[1]
Teknik pembuatan
Perusahaan membuat labu sayong tergolong dalam pembuatan seramik. Peredaran zaman telah merevolusi kaedah pembuatannya daripada tradisional kepada moden.
Pembuatan tradisional
Labu sayong tradisional dibuat dengan membentuk tanah liat secara berhati-hati dan dibiarkan keras untuk sementara waktu. Permukaan labu diukir dengan ditekan-tekan menggunakan kepingan 'kayu tera' untuk menghasilkan pelbagai corak timbul.[2] Labu kemudian dibakar di tempat pembakaran pada suhu yang tinggi.
Labu-labu yang cukup masa dibakar ini kemudiannya dialihkan ke timbunan sekam padi untuk proses penghitaman. Haba terkumpul dalam labu panas ini membakar sekam secara tidak langsung merendahkan kandungan oksigen lalu menghasilkan suatu asap tebal;[4] asap ini melepaskan zarah-zarah karbon yang menghitamkan badan labu. Penghitaman ini dilakukan selama kira-kira 5 minit.[4] Tahap kehitaman rupa labu juga bergantung kepada suhu api yang mahu dikekalkan sebelum "disekam" untuk penghitaman yang ideal, iaitu dari julat suhu asal antara 850°C hingga 900°C dikawal melalui penggunaan kayu atau buluh sebagai bahan api utama menurun kepada sekitar 450ºC hingga 500ºC.[4]
Pembuatan moden
- Teknik lemparan alin
- Teknik acuan
- Teknik sepuh
Motif
Labu sayong mempunyai tiga bahagian utama yang mencembung iaitu "bibir", "leher" dan "badan" masing-masing melambangkan alam-alam atas, tengah dan bawah dalam kosmologi Melayu.[2]
Terdapat tiga motif utama yang dapat dikenal pasti berdasarkan ciri yang menonjol antara satu sama lain:[2]
- pucuk rebung - motif paling lazim sebanyak 27 jenis dikenal pasti,
- bunga padi - lapan jenis dikenal pasti,
- pecah matahari - motif meniru pemandangan sinar matahari yang diserakkan, tujuh jenis dikenal pasti.
Sifat
Pengaliran haba
Bekas labu mempunyai liang-liang halus pada permukaan yang mampu meresapkan air melalui tindakan rerambut sehingga permukaan dirasakan basah walaupun tidak kelihatan dari mata kasar.[5] Peresapan air ini meningkatkan luas permukaan yang membolehkan pengaliran haba secara penyejatan langsung sehingga mencapai nilai stabil menyejukkan air yang disimpan dalam labu.[5] Sifat ini dikaji lanjut oleh Universiti Sains Malaysia di mana labu boleh diterapkan bersama pengudaraan mekanikal dalam suatu "sistem tetingkap penyejukan sejat" untuk mengawal suhu bilik sehingga mampu mengurangkan suhu tersebut secara ketaranya sekitar 3°C.[6]
Lokasi perusahaan
Pada tahun 1903, Leonard Wray, seorang ahli botani British serta kurator Muzium Negeri Perak mengamati sebanyak tiga perusahaan tembikar yang giat terletak sepanjang tepi Sungai Perak iaitu Lenggong, Sayong dan Pulau Tiga di hilir sungai; tembikar yang dihasilkan di Pulau Tiga diperhatikan sebagai hasil tangan paling bermutu tinggi.[7]
Berikut antara lokasi perusahaan membuat labu sayong dalam daerah Kuala Kangsar kini:
- Kampung Kepala Bendang, Mukim Saiong
- Kampung Sayong Tengah
Kebanyakkan lokasi perusahaan ini turut menawarkan pakej lawatan sambil belajar kepada pelbagai agensi, sekolah, IPT, dan dokumentari.
Rujukan
- ^ a b c Azmi Arifin; Muhamad Luthfi Abdul Rahman; Tarmiji Masron (2010). "Warisan Tembikar Labu Sayong di Kuala Kangsar, Perak: Sejarah, Perkembangan dan Masa Depan". Sari - Jurnal Alam dan Tamadun Melayu. Universiti Kebangsaan Malaysia. 28: 131–154.
- ^ a b c d Salwa Ayob (2019). "Tembikar Melayu Tradisi Sayong: Pemerian Asal Usul, Intipati Bentuk, Motif Dan Rupa". Journal of Applied Arts. Universiti Pendidikan Sultan Idris. 1 (1): 73-77.
- ^ Siti Zainon Ismail (1986). Rekabentuk kraftangan Melayu tradisi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia.
- ^ a b c Abdul Jalil; Oskar Hassan; Norhidayah Md Zainuddin; Hamdzun Haron (2013). "Innovation of Blackening Labu Sayong". Jurnal Teknologi. Universiti Teknologi Malaysia. 66 (1): 63–67. doi:10.11113/jt.v66.2124.
- ^ a b Zainul Abidin Hassan (1986). "Satu Kajian Teori Tentang Penyejukan Air di dalam Labu Sayung" (PDF). Pertanika. Universiti Pertanian Malaysia. 9 (3): 431–439. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 2011-12-15. Dicapai pada 2021-04-08.
- ^ Nur Hidayah binti Ahmad (1 September 2020). "Rahsia Labu Sayong". Majalah Sains. Dicapai pada 13 Jun 2021.
- ^ Wray, L. (1903). "The Malayan pottery of Perak". The Journal of the Anthropological Institute of Great Britain and Ireland. 33: 24–35.
Pautan luar
- "Labu Sayong, Seni Picit Tangan", segmen siri dokumentari Majalah 3 disiarkan TV3 pada 5 Oktober 2020