Medicine | |
|---|---|
Kulit album gabungan War Rock - Vol 1 '88 - (1988) termasuk kumpulan Medicine. | |
| Maklumat latar belakang | |
| Juga dikenali sebagai | Mad Medicine (1986) |
| Asal | Seremban, |
| Genre | Rock kapak, hard rock, heavy metal, metal progresif, rock progresif, slow rock, balada, rock |
| Tahun aktif | 1986–1993 |
| Syarikat rakaman | 1988-1990: Muzik Matahati, Jackson Music Centre dan Musical Sound Organisation 1991-1993 : Sony Music Malaysia Akurama Records (Indonesia) |
| Kegiatan berkaitan | Berkumpulan |
| Bekas anggota | Ijam (vokal) Junaidi vokal) Ija (gitar utama) Hami (gitar utama, meninggal dunia) Han (bes) Ajo (dram) |
| sunting · sunting di Wikidata | |
Medicine merupakan sebuah kumpulan rock Malaysia yang aktif pada akhir 80an hingga ke awal 90an. Berasal dari Seremban, Negeri Sembilan, kumpulan ini menyampaikan lagu-lagu rock Melayu.
Latar belakang
Pada awalnya dikenali sebagai Mad Medicine (terjemahan harfiah untuk "ubat gila" dalam bahasa Inggeris), kumpulan ini pertama kali ditubuhkan pada tahun 1986 oleh lima orang pemuda iaitu Norhizam Haji Shair (Ijam) selaku teraju utama, Rohaidza Ramli (Ija) di posisi gitar utama, Allahyarham Mohd Suhaimi Ibrahim (Hami, 1964–2018) di posisi gitar kedua, Raihan Ramli (Han) selaku pemain bes dan Johari Harun (Ajo) selaku pemain dram. Kesemuanya kecuali Ajo bekerja di kilang jubin Johnson Ceramic Tiles yang terletak di Seremban, Negeri Sembilan, dan Ija dan Han merupakan adik-beradik. Mereka aktif mengadakan persembahan di majlis-majlis di sekitar bandar raya tersebut pada awal karier muzik mereka.
Pada lewat 1986, Medicine mula dikenali ramai setelah menyertai Gagasan War Rock anjuran syarikat rakaman yang berpangkalan di Seremban, iaitu Mutiara Records. Mereka telah mencebur diri ke dunia rakaman oleh Nasir P. Ramlee dalam album War Rock keluaran Mutiara. Album tersebut turut disertai oleh beberapa kumpulan lain, antaranya Pratayuda yang berasal dari Kuala Lumpur bersama dua kumpulan dari Terengganu iaitu The Kids dan Midnight (yang kemudiannya bergabung menjadi Iklim). Dalam album itu Medicine menyanyikan lagu "Diderai Kerinduan", "Ingatlah" dan "Bantulah Aku".
Medicine telah menang tempat kedua dalam pertandingan Juara Rock Negeri Sembilan pada tahun yang sama, dan seterusnya menyertai Juara Juara Rock Malaysia anjuran Dewi Suhana Studio di Kuala Lumpur pada penghujung tahun 1987. Pertandingan tersebut telah menobatkan Ija sebagai pemain gitar terbaik. Di sana mereka telah dilamar oleh syarikat-syarikat rakaman Jackson Music dan Muzik Matahati untuk merakamkan album pertama mereka, dan kerja-kerja rakaman diadakan di Kings Studio dan FGM Studio.
Album sulung Medicine berjudul Titian (1988) mendapat sambutan yang luar biasa iaitu mencecah jualan melebihi 20,000 unit dalam tempoh cuma 20 hari. Album Titian diterbitkan oleh Usop dan Sani dari kumpulan Kopratasa. Musical Sound Organisation (MSO) bertindak sebagai ejen pengedar. Satu lagu mereka, "Derita Seorang Filosuf" telah diharamkan penyiarannya di Radio RTM ketika itu kerana liriknya. Lagu "Tika dan Saat Ini" berjaya mendapat tempat ketiga dalam kategori Juara Lagu.
Album kedua mereka, Muzakarah, telah dilancarkan pada tahun 1989 oleh Jackson Music dan Muzik Matahati dan diedar oleh MSO, dan sepertimana album sebelumnya, diterbitkan oleh Usop Kopratasa. Lagu-lagu yang paling menonjol daripada album ini antaranya "Kerana Cinta", "Nostalgia Terluka", "Suara-suara Sumbang" dan "Ketika Seketika". Meneruskan kejayaan Titian, album ini turut merekodkan angka jualan yang sangat tinggi, mengukuhkan lagi reputasi Medicine sebagai salah satu kumpulan rock yang hangat pada era 80an, sebaris dengan nama-nama besar seperti Wings, Search dan May.
Album ketiga mereka yang berjudul sendiri, Medicine, telah diterbitkan pada 1992, kali ini oleh syarikat rakaman antarabangsa, Sony Music dan dirakamkan di Lion Studio di Singapura. Komposer tersohor, M. Nasir bertindak sebagai penerbit bagi album ini. Salah satu lagu daripada album ini, "Mungkinkah", mendapat sambutan yang menggalakan, di mana ia sering kali diputarkan di corong-corong radio.
Sony Music kemudiannya menawarkan kontrak rakaman untuk album keempat kepada Medicine, akan tetapi Ijam mengambil keputusan untuk mengundur diri selaku teraju utama dari awal penubuhan disebabkan terlalu sibuk dengan kerjaya tetapnya. Atas saranan daripada Sony Music, kekosongan itu telah diisi oleh Junaidi, seorang penyanyi yang berasal dari Kedah. Album keempat ini adalah sambungan kerja-kerja rakaman yang terbengkalai oleh GS U-Topia dan Aris Ariwatan, di mana keempat-empat lagu milik mereka telah dibeli hak ciptanya oleh Sony. Medicine hanya perlu menambah lagi enam lagu untuk melengkapkan album ini.
Kerja-kerja rakaman berlangsung di Studio Fantasia di Kuala Lumpur pada tahun 1993 dan diberi judul Kembali. Ia telah dilancarkan pada tahun yang sama oleh Sony Music dengan Ija sendiri bertindak sebagai penerbit untuk lagu-lagu dari Medicine. Antara lagu-lagu hits daripada album ini termasuk "Rimba Bebanan" dan "Resah Tapi Damai". Album ini juga merangkap album terakhir dari Medicine sebelum berpecah susulan tiada tawaran kontrak rakaman oleh Sony Music. Ija meneruskan kerjaya muziknya sebagai sessionist dan penerbit album.
Barisan keanggotaan
- Ijam - vokal (3 album pertama)
- Junaidi - vokal (album keempat)
- Ija - gitar utama
- Allahyarham Hami - gitar kedua, meninggal dunia
- Han - gitar bes
- Ajo - dram
Pasca Medicine
Gitaris kedua Medicine, Hami, meninggal dunia pada 30 Oktober 2018 di Hospital Melaka akibat komplikasi daripada serangan jantung, paru-paru berair dan angin pasang pada usia 54 tahun. Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Rimau Dalam, Pulau Sebang.[1][2]
Vokalis asal Medicine, Ijam kini tampil ke persada tanah air dengan giat terlibat dengan aktiviti-aktiviti dakwah.[3][4]
Diskografi
| Tahun | Judul | Keluaran Semula | Jualan |
|---|---|---|---|
| 1988 | Titian
|
|
|
| 1989 | Muzakarah
|
|
|
| 1992 | Medicine
|
||
| 1993 | Kembali
|
Runut
Titian
- "Titian"
- "Serakah Kota"
- "Mergastua"
- "Wangian Kasih Ibu"
- "Dusta"
- "Rimba Cintaku"
- "Kalut"
- "Tika Dan Saat Ini"
- "Rentak Kehidupan"
- "Derita Seorang Filosuf"
Muzakarah
- "Godaan"
- "Cinta Mistik"
- "Muzakarah Lalang"
- "Nostalgia Terluka"
- "Empayar Drakula"
- "Hingga Kini"
- "Suara-suara Sumbang"
- "Ketika Seketika"
- "Irama Degup Jantung"
- "Kerana Cinta"
Medicine
- "Mungkinkah"
- "Warna Dunia"
- "Balasan"
- "Kawan Oh Kawan"
- "Cintaku Pertahankan"
- "Bila Roda Berpusing"
- "Berada Di Tempat Biasa"
- "Mahu Tak Mahu"
- "Irama Dalam Sepi"
- "Kabus Di Cermin Retak"
Kembali
- "Rimba Bebanan"
- "Hidup Segan Mati Tak Mahu"
- "Melody Ashikin"
- "Engkau Bukan Kebal"
- "Bercanda Dipersada Maya"
- "Pengaruh"
- "Resah Tapi Damai"
- "Kiranya"
- "Wawasan Wira Kelas 3"
- "Kasturi"
Rujukan
- ^ "Hami Medicine sudah tiada". Harian Metro. 30 Oktober 2018.
- ^ Harun AG. (30 Oktober 2018). AL FATIHAH - Buat Sahabat Karibku -Bekas Artis Pemuzik.. Second Lead Guitarist Medicine TIKA DAN SAAT INI Hami (Suhaimi Bin Ibrahim) 54 Tahun.. (Status Facebook). Dicapai pada 12 Mei 2022.
- ^ Seni dan Dakwah; Bicara Bersama ‘Ejam Medicine’
- ^ "Kisah hidup Ejam Medicine sebelum berhijrah". Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-01-19. Dicapai pada 2018-01-18.
Pautan luar
- http://erarock.org/category/artist/compilation/warrock/ Diarkibkan 2009-02-26 di Wayback Machine
- http://wwwkerazz.blogspot.com/2009_04_01_archive.html
- Klik untuk Info dan Sejarah Kumpulan Medicine









