Bumi Putra Rockers | |
---|---|
Latar belakang | |
Juga dikenali sebagai | BPR |
Berasal dari | Johor Bahru, Johor, Malaysia |
Genre | Rock |
Pekerjaan | Penyanyi / Pemuzik |
Instrumen | Vokal / Band |
Tahun aktif | 1985–1999 2007 (reunion) |
Syarikat rakaman | 1987–1999: Life Records 2002: Delima Records |
Pengkarya berkait | Ramli Sarip, M. Nasir |
Ahli | Joey - vokal Awang - gitar utama Yem Bai - bass Enal - dram |
Bekas ahli | Haron Ahmad - gitar kedua (meninggal dunia 4 April 2022) Yem C - 2nd lead (meninggal dunia) Alif - vokal |
Kumpulan Bumi Putra Rockers (BPR) adalah sebuah kumpulan penyanyi rock 80-an Malaysia yang mula dikenali ramai setelah menyertai "Pesta Hiburan Kingsway". Mereka berasal dari Johor Bahru.
Sejarah Penubuhan
Kumpulan Bumiputra Rockers atau singkatannya BPR telah ditubuhkan pada tahun 1985 oleh gitaris utamanya, Norzaini Mohammad atau lebih dikenali sebagai Awang. BPR pada asalnya adalah pecahan daripada beberapa kumpulan rock yang bergiat aktif di Johor Bahru, antaranya Titanic, Hurricane, Split Times, Purple Grass dan Firestarter.
Sejarah kumpulan ini bermula apabila Awang telah mengumpulkan beberapa orang rakannya iaitu Johari Mat Rozekhi (Joey - vokal), Abdul Rahim Mohd Zain (Yem Bai - bass), Ibrahim Musa (Yem C - 2nd lead) dan seorang pemain dram (tidak diketahui namanya) untuk "jamming" di B Sound Studio yang terletak di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) Johor Bahru. Di situlah keserasian antara mereka mula timbul dan Awang telah bercadang kepada kawan-kawannya untuk pergi ke Kuala Lumpur, mencuba nasib kalau-kalau ada syarikat rakaman yang berminat untuk mengambil mereka sebagai artis rakaman.
Di Kuala Lumpur, mereka kemudiannya dipertemukan dengan Wan Redzmann, pengurus kumpulan Sweet Charity yang juga seorang bekas pelumba kereta. Bermula dari situlah mereka mula mendapat peluang untuk mengadakan persembahan di seluruh negara. Untuk memantapkan lagi persembahan mereka di atas pentas, Awang telah membawa masuk pemain dram baharu bernama Raja Zainal Abidin Raja Hasnan (Enal) yang juga merupakan kenalan mereka di Johor Bahru untuk menggantikan pemain dram yang sedia ada. Pada masa ini, mereka tidak lagi mempunyai nama kumpulan yang tetap dan sering menggunakan nama kumpulan yang berbeza setiap kali mereka mengadakan pertunjukan pentas.
Dalam satu pertunjukan pentas yang disertai mereka di Perlis, mereka telah bertemu dengan kumpulan Sweet Charity yang diterajui oleh Ramli Sarip (kini Datuk). Ramli Sarip yang kebetulan telah melihat aksi anak-anak muda ini telah berjumpa dengan mereka, seterusnya menawarkan mereka untuk menjadi band pengiring untuk persembahan solo beliau. Di sinilah Ramli secara tidak sengaja telah menamakan mereka sebagai Bumiputra Rockers setelah beberapa kali mereka mengadakan persembahan bersama.
Sekembalinya mereka di Kuala Lumpur, Ito dari kumpulan Blues Gang telah menawarkan mereka untuk menjadi artis rakaman pertama di bawah label Ito Productions. Maka, lahirlah album pertama mereka berjudul Selamat Pagi Malaysia yang dikeluarkan pada tahun 1987. Malangnya, album tersebut kurang mendapat sambutan dan Ito akhirnya terpaksa melepaskan kumpulan ini daripada label produksinya. Pada masa yang sama, wujud perselisihan faham di antara mereka yang akhirnya menyebabkan Yem C menarik diri, menjadikan BPR hanya empat orang anggota iaitu Joey, Awang, Yem Bai dan Enal.
Setahun kemudian, BPR telah mendapat tawaran daripada Life Rekod (kini Life Records) untuk menghasilkan album pertama BPR di bawah label tersebut, sekaligus merupakan album kedua BPR dalam sejarah industri muzik tempatan. Maka, lahirlah album kedua BPR berjudul Bisa pada tahun 1987 di mana BPR masih lagi kekal dengan 4 orang anggota.
Pada awal penerbitan album Bisa, album ini juga kurang mendapat sambutan sepertimana yang berlaku pada album pertama mereka sebelum ini. Namun, puncak populariti mereka akhirnya berjaya diraih setelah mereka mengadakan persembahan di Pesta Hiburan Kingsway yang bertempat di Padang Semarak, Kuala Lumpur di mana persembahan mereka telah ditayangkan di seluruh Malaysia melalui Radio Televisyen Malaysia (RTM). Penangan daripada konsert tersebut telah menyebabkan jualan album kedua mereka meletup sehinggakan staf-staf Life Rekod terpaksa bekerja lebih masa semata-mata untuk membungkus ratusan ribu unit album tersebut. Ketika inilah BPR kembali berlima apabila mereka membawa masuk seorang kenalan mereka di Johor Bahru bernama Haron Ahmad (Haron) sebagai gitaris kedua BPR. Harun kemudiannya membuat debut bersama BPR menerusi album ketiga kumpulan tersebut yang dikeluarkan pada tahun 1990 berjudul Kelab Jiwa Luka. Seperti yang dijangka, album ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dengan beberapa lagu hit, antaranya Dari Sinar Mata, Sudah Sampai Sini, Ku Tanggung Cinta Dusta Yang Membara dan Dendam Cinta Seusia Dunia. Lagu Dari Sinar Mata ciptaan gitaris utama BPR, Awang berjaya mara ke peringkat akhir Juara Lagu 1990.
Anggota Kumpulan
Anggota Terkini :
- Johari Mat Rozekhi (Joey) - vokal (1985-1992, 2002-kini)
- Norzaini Mohammad (Awang) - gitar utama (1985-kini)
- Abdul Rahim Mohd Zain (Yem Bai) - bass (1985-kini)
- Raja Zainal Abidin Raja Hasnan (Enal) - dram (1985-kini)
Bekas Anggota :
- Allahyarham Haron Ahmad (Haron) - gitar kedua (1988-2010, meninggal dunia pada tahun 2022)
- Allahyarham Ibrahim Musa (Yem C) - 2nd lead (1985-1987, meninggal dunia pada tahun 2016)
- Alif (bekas penyanyi kumpulan Melissa bagi album Mistik tahun 1993) - vokal (1996-1997)
Diskografi
Album studio
Tahun | Tajuk | Jualan |
---|---|---|
1987 | Selamat Pagi Malaysia
|
|
1988 | Bisa
|
|
1989 | Kelab Jiwa Luka
|
|
1991 | Era 90'an
|
|
1996 | BPR '97
|
|
1999 | Akustik & Unplugged
|
|
2002 | Semangat Melayu
|
Album kompilasi
- Pilihan Terlaris 5 Kumpulan Rock Vol. 3 - Pelbagai Artis (1989)
- The Best Of Bumiputra Rockers (1992)
- The Greatest Hits Bumiputra Rockers (1998)
- BPR The Legend (2000)
- Rockerena Bumi Putra Rockers (2005)
- The Best Of Bumiputra Rockers (2009)
Album live
- Live In Concert (2006)
Video muzik
- Damai Di Sini (1997 / VCD MTV Rock Terbaik)
VCD
- Semangat Zaman Live In Singapore - Pelbagai Artis (2005)
- Live In Concert (2007)
Pencapaian
BPR berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir Juara Lagu 1990 menerusi lagu Dari Sinar Mata. Bagaimanapun rezeki tidak menyebelahi mereka untuk memenangi sebarang kategori pada pertandingan tersebut.
Sambutan
Lagu-lagu popular BPR pernah menjadi pilihan beberapa artis tempatan untuk dirakam semula,[perlu rujukan] antaranya:
- Dari Sinar Mata (1996 / Eva - Bulan Cinta)
- Seribu Tahun Takkan Mungkin (2004 / Ruffedge - Tipah Tertipu)
- Dari Sinar Mata (2007 / The Fabulous Cats - Fantastik)
Gitaris BPR, Awang juga turut berbakat sebagai penyanyi dan pernah menghasilkan album berjudul Dwi Kekasih pada tahun 1994. Awang juga turut bermain keyboard dalam lagu Nafisa (album Kita Peng-yu, kumpulan XPDC). Joey telah menyertai projek Semangat Zaman pada tahun 2005. Projek ini menghimpunkan enam orang penyanyi rock ternama Malaysia, selain Joey ialah Aris Ariwatan, Rahim Maarof, Nash, Mus dan Yantzen.