
Kuil Amarnath ialah sebuah kuil Hindu yang terletak di tehsil Pahalgam, daerah Anantnag, Jammu dan Kashmir, India. Kuil ini berbentuk gua pada ketinggian 3,888 meter (12,756 kaki),[1] kira-kira 168 km dari bandar Anantnag dan 141 km dari Srinagar, ibu negeri Jammu dan Kashmir. Kuil ini boleh dicapai melalui laluan Sonamarg atau Pahalgam, dan merupakan salah satu tempat suci terpenting dalam agama Hindu.[2][3]
Gua ini, yang terletak di Lembah Sind, dikelilingi oleh glasier dan pergunungan bersalji. Ia ditutupi salji hampir sepanjang tahun kecuali dalam musim panas, apabila ia dibuka kepada para peziarah. Pada tahun 1989, jumlah peziarah hanya sekitar 12,000 hingga 30,000 orang, tetapi pada 2011 jumlah itu memuncak melebihi 630,000 orang. Pada 2018, jumlahnya sekitar 285,000 orang. Tempoh ziarah tahunan biasanya berlangsung antara 20 hingga 60 hari.
Arca Lingga

Arca Lingga di Kuil Amarnath ialah lingga swayambhu (arca semula jadi). Ia terbentuk daripada stalagmit ais di dalam gua setinggi 40 meter (130 kaki), pada altitud 3,888 meter, manakala puncak Gunung Amarnath mencapai 5,186 meter (17,014 kaki). Lingga ais ini terbentuk daripada titisan air yang membeku ketika menitis dari bumbung gua ke lantai, menghasilkan pertumbuhan ke atas dalam bentuk kubah ais padat. Dua stalagmit kecil di sisi dianggap melambangkan Dewi Parvati dan putera-Nya, Ganesha.
Menurut kitab Hindu purba seperti Mahabharata dan Purana, arca lingga adalah lambang Tuhan Siva. Lingga ais ini lazimnya bertambah besar antara bulan Mei hingga Ogos, ketika salji di Himalaya mula cair, dan kembali mengecil selepas itu. Menurut kepercayaan, lingga ini turut berubah saiz mengikut fasa bulan, mencapai kemuncaknya semasa perayaan musim panas.
Tradisi suci menyatakan bahawa di sinilah Tuhan Siva menjelaskan rahsia kehidupan dan keabadian kepada Dewi Parvati.
Sejarah
Karya Rajatarangini (abad ke-11 M) ada menyebut tentang Amarnath, termasuk sumbangan Ratu Suryamati yang mempersembahkan trisula, bana-lingga dan lambang suci lain kepada kuil ini. Catatan Mughal seperti Ain-i-Akbari oleh Abu’l Fazl (abad ke-16) turut menggambarkan kewujudan arca lingga ais ini yang berubah-ubah mengikut musim. Pengembara Eropah seperti François Bernier (1663) juga merujuk gua ini sebagai “grotto penuh keajaiban pembekuan ais”.
Pada abad ke-19, peziarah berhenti seketika di Kheer Bhawani sebelum menuju Srinagar dan seterusnya ke Lembah Lidder. Swami Vivekananda sendiri menziarahi gua suci ini pada tahun 1898, seperti dicatat oleh Saudari Nivedita dalam Notes of Some Wanderings with the Swami Vivekananda.
Legenda

Menurut lagenda, Maharesi Bhrigu adalah orang pertama yang menemukan Amarnath. Diceritakan bahawa Lembah Kashmir dahulu dipenuhi air, tetapi Maharesi Kashyapa telah mengalirkannya melalui sungai dan anak sungai. Setelah kering, Maharesi Bhrigu mendapat darshan pertama Tuhan Siva di gua ini.
Kisah suci lain menyatakan bahawa dalam perjalanan menuju gua, Tuhan Siva meninggalkan pelbagai simbol kosmik:
Di Pahalgam (Bail Gaon), baginda meninggalkan Nandi, lembu suci.
Di Chandanwari, baginda melepaskan bulan dari rambutnya.
Di tasik Sheshnag, baginda meninggalkan ular naga.
Di Gunung Mahagunas, baginda meninggalkan putera baginda, Ganesha.
Di Panjtarni, baginda meninggalkan kelima-lima unsur alam — bumi, air, api, udara dan ruang.
Akhirnya, Tuhan Siva masuk ke Gua Amarnath bersama Parvati. Di situ, kedua-duanya menzahirkan diri sebagai penyatuan kosmik: Tuhan Siva menjadi arca lingga ais, manakala Dewi Parvati menjelma sebagai yoni batu.
Musim Ziarah
Ziarah Amarnath (Amarnath Yatra) berlangsung sekitar bulan Julai–Ogos, sempena perayaan Shravani Mela yang bertepatan dengan bulan suci Hindu Shraavana. Pada waktu inilah arca lingga ais Tuhan Siva mencapai kemuncak pertumbuhannya sepanjang musim panas. Musim ziarah ini lazimnya berlangsung selama 45 hari, dan dimulakan dengan sembahyang pertama.
Tempoh musim ziarah bergantung pada pembentukan arca lingga ais. Misalnya, pada tahun 1995 ia hanya berlangsung selama 20 hari, tetapi antara 2004–2009, tempohnya dilanjutkan sehingga 60 hari. Pada tahun 2019, Yatra berlangsung selama 46 hari, dari 1 Julai hingga 15 Ogos.
Kuota Negeri dan Pendaftaran Wajib
Para peziarah diwajibkan mendaftar lebih awal, dengan kuota mengikut negeri. Negeri-negeri dengan peruntukan terbesar termasuk Uttar Pradesh, Punjab, Gujarat, Maharashtra dan Bengal Barat. Demi keselamatan kesihatan para peziarah, setiap individu dan kenderaan diberi tag pengenalan berjejak yang boleh diimbas di beberapa lokasi sepanjang laluan. Sejak 2019, para peziarah turut diberikan kad pengenalan khas untuk tempoh ziarah, manakala kenderaan juga dijejaki menggunakan sistem yang sama.
Pengangkutan dan Jalan
Lapangan terbang terdekat ialah Lapangan Terbang Antarabangsa Srinagar, manakala stesen kereta api terdekat berada di Laluan Jammu-Baramulla (Stesen Srinagar untuk laluan utara melalui Baltal, dan Stesen Anantnag untuk laluan selatan melalui Pahalgam–Chandanwari). Bas kerajaan, pengendali swasta serta teksi dari Jammu, Anantnag, Pahalgam dan Srinagar menyediakan pengangkutan ke pangkalan ziarah.
Bagi laluan selatan (Pahalgam–Chandanwari), terdapat perkhidmatan helikopter dari Chandanwari ke Panjtarni (6 km dari gua).
Kerajaan India turut merancang pembangunan Lebuh Raya Chandanwari–Sangam (NH501) termasuk terowong Khanabal–Baltal (Terowong Sheshnag) sepanjang 11 km di bawah Mahaganus Top (Ganesh Top). Projek ini dijangka siap menjelang 2029, yang akan menghubungkan laluan selatan dan utara.
Dua Laluan Utama
Laluan Selatan (43 km: Pahalgam–Chandanwari)
Laluan tradisi sepanjang 43 km dari Pahalgam melalui Chandanwari, Sheshnag dan Panjtarni sebelum sampai ke gua suci. Perjalanan biasanya mengambil masa 3–5 hari sehala. Laluan ini lebih panjang tetapi landai dan lebih ramai digunakan.
Laluan Utara (13 km: Baltal)
Laluan yang lebih singkat (hanya sekitar 13 km) teta==latan di Sangam. Laluan ini terletak di sepanjang Sungai Amaravati yang berpunca dari Glasier Amarnath.
Kerajaan juga merancang pembinaan ropeway (kereta kabel) sepanjang 11.6 km dari Baltal ke gua Amarnath, yang dalam peringkat penyediaan laporan projek (DPR) pada 2025.
Organisasi dan Kemudahan
Yatra secara rasmi dianjurkan oleh kerajaan negeri bersama Shree Amarnath Shrine Board (SASB). Kemudahan seperti kuda tunggangan, bekalan elektrik, telekomunikasi, kayu api, kedai harga kawalan serta dapur komuniti disediakan di sepanjang laluan.
Organisasi bukan kerajaan (NGO) turut mendirikan khemah rehat dan pandal (dapur komuniti) yang menyediakan makanan percuma. Di sekitar gua, ratusan khemah boleh disewa untuk penginapan malam.
Pada tahun 2022, kerajaan negeri membina Pusat Ziarah Srinagar dengan kapasiti 3,000 orang peziarah untuk memudahkan persinggahan sebelum berangkat ke gua.
Keselamatan
Setiap tahun, ribuan anggota pasukan keselamatan dikerahkan untuk melindungi para peziarah daripada ancaman keganasan. Pasukan ini termasuk CRPF, BSF, CISF, ITBP, NDRF/SDRF, serta polis negeri. Mereka ditempatkan di beberapa lokasi perhentian dan kawasan sekitar gua.
Kesan Ekonomi
Yatra memberi sumber pendapatan penting kepada kerajaan negeri melalui cukai ke atas peziarah. Komuniti Muslim Bakarwal-Gujjar turut mendapat rezeki dengan menyediakan perkhidmatan kepada para peziarah Hindu. Namun, sumber pendapatan ini sering terancam oleh gangguan kumpulan militan yang menyerang perjalanan ziarah.
Insiden dan Tragedi
Sejak dahulu, perjalanan ziarah Amarnath terkenal mencabar dan berisiko. Pada tahun 1928, lebih 500 peziarah dan keldai mati dalam perjalanan. Pada 1969, banjir kilat meragut 40 nyawa, manakala pada tragedi besar 1996, seramai 243 peziarah meninggal akibat keletihan dan cuaca ekstrem.
Dalam dekad-dekad mutakhir, banyak insiden berlaku:
2012: 130 peziarah meninggal, majoritinya akibat masalah kesihatan dan kemalangan jalan raya.
2015: 3 terbunuh akibat banjir kilat di Baltal.
2017: 18 peziarah maut apabila bas konvoi terhumban ke gaung di Ramban, seminggu selepas serangan pengganas terhadap bas peziarah dari Gujarat.
2022: Sekurang-kurangnya 15 peziarah maut akibat banjir kilat di sekitar gua.
Serangan Keganasan
Perjalanan ziarah ini kerap menjadi sasaran serangan militan:
2000: Serangan di kem Nunwan, Pahalgam mengorbankan 32 orang (21 peziarah Hindu, 7 orang awam Muslim, dan 3 anggota keselamatan).
2001: Serangan bom tangan di kem Sheshnag membunuh sekurang-kurangnya 13 orang.
2002: Dua serangan berasingan mengorbankan lebih 10 peziarah di Srinagar dan Nunwan.
2017: Lapan peziarah ditembak mati dalam serangan bersenjata ke atas bas yang kembali dari gua Amarnath.
Rujukan
- ^ "Amarnathji Yatra - a journey into faith". Official Web Site of Jammu and Kashmir Tourism. Archived from the original on 16 June 2006. Retrieved 15 June 2006.
- ^ "New shrine on Amarnath route". The Hindu. Chennai, India. PTI. 30 May 2005. Archived from the original on 18 June 2007. Retrieved 15 November 2006.
- ^ "The pilgrimage to Amarnath". BBC News. 6 August 2002. Archived from the original on 6 January 2012. Retrieved 5 May 2012.