Kuarantin (Mal., Sin., Bru. - pinjaman bahasa Inggeris: quarantine) atau karantina (Ind. - pinjaman Belanda: quarantaine) atau pupuh[1] ialah suatu pendekatan dalam perubatan di mana sekelompok hidupan - baik manusia, haiwan ataupun tumbuhan - ataupun barangan diasingkan untuk tempoh tertentu mencegah dan mengehadkan penularan penyakit yang barangkali terbawa atau terjangkit sebelum memasuki sesebuah kawasan negara atau wilayah.
Pengasingan sebegini biasa dilakukan di sekitar titik masuk negara tersebut sama ada melalui laluan daratan, lautan mahupun udara di mana pemerhatian dan pemeriksaan kesihatan dilakukan terhadap individu terbabit sehingga suatu diagnosis yang pasti telah diperoleh. Ia seringkali disamakan dengan pemisahan individu yang menderita penyakit menular dengan populasi lain yang masih sihat.[2][3]
Sejarah
Konsep ini mula diketahui ramai semasa berleluasanya wabak Maut Hitam yang melanda benua Eropah sehingga mengorbankan sepertiga hingga dua pertiga penduduk benua tersebut. Pelaksanaan pengasingan ramai mula digiatkan seberapa kerajaan di mana kapal-kapal penumpang yang datang dari wilayah lain dilarang langsung berlabuh tetapi singgah sementara di suatu pulau yang telah ditentukan selama tempoh ditetapkan untuk memastikan bahawa mereka pulih sihat seenuhnya lalu tidak tertular penyakit apabila masuk secara rasminya.
Pada awalnya tempoh ini ditetapkan kepada 30 hari (trentine) sepertimana dalam catatan bertarikh 1377 di Ragusa (kini Dubrovnik, Croatia),[4] pelaksanaan ini diperbaiki oleh Senat Republik Venezia pada tahun 1448 di mana ia dilanjutkan kepada 40 hari lalu di bawah dengan nama quarantena[5][6] (daripada quaranta giorni, "empat puluh hari"). Pemerhatian semasa turut mendapati tempoh ini sangat berkesan dalam menentukan dan mengawasi keadaan kesihatan ketibaan orang ramai pada ketika itu.[7]
Terdapat beberapa catatan pemerhatian dilakukan doktor dan pegawai British di Kelantan dan Jala pada awal abad ke-20 tentang amalan masyarakat setempat mengasingkan penghidap penyakit cacar atau taun secara mengurungkan sesebuah rumah kelamin (yakni "pupuh rumah") atau keseluruhan kawasan kampung ("pupuh kampung") dengan rotan atau tali kalungan pelepah kelapa yakni "tali pupuh"; sesiapa yang ingin memasuki kawasan dihalang ini hendaklah bertemu bomor penunggu yang akan membacakan jampi diharapkan mampu menghalau "hantu penyakit". Tempoh pupuh kampung selama 30 hari manakala pupuh rumah selama 3 hari.[8]
Gambaran umum
Sebagai contoh, disebabkan risiko menyebarkan penyakit anjing gila daripada Benua Eropah, United Kingdom pernah menetapkan semua anjing (dan, sesungguhnya, kebanyakan haiwan) yang diperkenalkan di negara tersebut untuk dikuarantin selama enam bulan di tempat kurungan paun Kastam dan Eksais Diraja; polisi ini dimansuhkan pada permulaan abad ke-21 dan digantikan dengan skim yang dikenali sebagai Pasport Peliharaan, di mana haiwan boleh mengelakkan kuarantin sekiranya mereka mempunyai dokumen menunjukkan ia diberikan vaksin terkini yang bersesuaian.
Dalam kes manusia, kuarantin biasanya menimbulkan persoalan hak awam (civil rights), terutamanya dalam kes kurungan atau pengasingan yang lama dari masyarakat, seperti kes Mary Mallon, (pembawa Asymptomatic deman typhoid).
Kuarantin juga digunakan sebagai istilah umum bagi pengadangan (seperti pengadangan laut yang berlaku dalam krisis peluru berpandu Cuba pada tahun 1960-an) atau untuk menghalang capaian sistematik kepada sesuatu sumber. Dalam sains komputer, ia digunakan bagi menamakan prosedur mengasingkan virus komputer kedalam (directory) khusus, sehingga sesuatu boleh dilakukan mengenainya tanpa membahayakan fail lain dalam cakera.
Rujukan
- ^ Wilkinson, Richard James (1932). "pupoh". A Malay-English dictionary (romanised). II. Mytilini, Yunani: Salavopoulos & Kinderlis. m/s. 289 – melalui TROVE, Perpustakaan Negara Australia.
- ^ "Quarantine and Isolation". CDC. 29 September 2017. Dicapai pada 14 Februari 2020.
- ^ "What is the difference between isolation and quarantine?". U.S. Department of Health & Human Services. 7 Jun 2015. Dicapai pada 23 Februari 2020.
- ^ Sehdev, Paul S. (2002). "The Origin of Quarantine". Clinical Infectious Diseases. 35 (9): 1071–1072. doi:10.1086/344062. PMID 12398064.
- ^ "quarantèna". Vocabolario Treccani (dalam bahasa Itali). Istituto dell'Enciclopedia Italiana. Dicapai pada 15 Mac 2020.
- ^ The Journal of Sociologic Medicine- Volume 17
- ^ Susan Scott and Christopher Duncan, Biology of Plagues: Evidence from Historical Populations, Cambridge, United Kingdom: Cambridge University Press, 2001
- ^ Rujuk:
- Gimlette, John D. (1913). "Some Superstitious Beliefs occurring in the Theory and Practice of Malay Medicine". Journal of the Straits Branch of the Royal Asiatic Society (65): 30–1. ISSN 2304-7534.
- Gibson-Hill, C. A.; Skeat, W. W.; Laidlaw, F. F. (Dis 1953). "The Cambridge University Expedition to the North-Eastern Malay States, and to Upper Perak, 1899 - 1900". Journal of the Malayan Branch of the Royal Asiatic Society. 26 (4 (164)): 41–2. ISSN 2304-7550.
Pautan luar
- Ayliffe GAJ, English MP, Hospital infection, From Miasmas to MRSA, Cambridge Univ Press, 2003
- Frati P: Quarantine, trade and health policies in Ragusa-Dubrovnik until the age of George Armmenius-Baglivi. Med Secoli. 2000;12(1):103-27.
- Buklijaš T, Fatović-Ferenčić S: Medico-legal Practices in Medieval Dubrovnik. Croat Med J. 2004;45:220-225. Diarkibkan 2005-02-24 di Wayback Machine
- Emerging Infectuous Diseases, Vol.8, No.1
- History of quarantine (from PBS NOVA)