Kitab Pengetahuan Bahasa merupakan kamus bahasa Melayu Jawi dikarang Raja Ali Haji. Ia merupakan kamus ekabahasa pertama yang wujud di Nusantara. Buku ini dicetak secara anumerta pada 1927 dari hanya 6 jilid manuskrip karangan asal yang terselamat di bangunan Matba'ah al-Ahmadiah kini terletak di 82 Jalan Sultan Singapura.[1][2]
Latar belakang
Kamus ini mula dicetuskan hasil interaksi dan perbincangan antara Raja Ali Haji dengan Hermann von de Wall, seorang bahasawan ditugaskan kerajaan Hindia Timur Belanda menghimpunkan suatu buku nahu dan kosakata Melayu-Belanda untuk kegunaan pihak penjajah itu. Raja Ali Haji pada ketika ini begitu mendapat perhatian daripada pihak Hindia Belanda hasil pengkaryaan sajak hikayat dikarang pada dekad sebelumnya.[3] Hermann mula berkenalan dengan Raja Ali Haji pada 1857, kelengkapan teknologi cetak batu diperkenalkan tahun sebelumnya di Pulau Penyengat sebagai persediaan memudahkan penerbitan kamus ini.[3]
Raja Ali berusaha menambahkan kefahamannya dalam masukan perkataan Melayu tertentu yang diamati tidak mampu diterangkan secara tajam dan tepat jika dialihkan terus ke bahasa Belanda. Kadangkalanya, dalam entri kosa kata tertentu yang perlu diberi penghuraian penuh teliti, Raja Ali mencuba menambahkan cerita gambaran benda sepadan kosakata dituju, tetapi Hermann menegahnya berbuat demikian kerana lebih mahukan ringkasan penjelasan yang dianggap mencukupi untuk tujuan kamus ini. Kaedah perkamusan kitab Arab yang diketahui Raja Ali turut tidak dimahukan Hermann yang lebih menggunakan kaedah perkamusan Baratnya sendiri.[4] Idea-idea yang dicadangkan Raja Ali untuk kamus dwibahasa ini (kemudiannya berjudul Maleisch-Nederlandsch woordenboek) diasingkan lanjut sebagai asas mengarang kitab ekabahasa beliau.
Isi kandungan
Kitab ini didahulukan dengan pengetahuan nahu Arab turut ditempatkkan Raja Ali pada perkataan-perkataan Melayu terutamanya dalam kata kerja yang dikelaskan baik sebagai fi‘l muta‘addi atau fi‘l lazim yang mana kata-kata terbitan diberikan pengelasan isim fa‘il ("kata nama pelaku").[4] Kitab ini juga diberikan pendekatan yang menggalakkan kepada mana-mana pembaca baharu memahamkan isi kamus termasuk yang tidak biasa dengan budaya Johor-Riau dan Lingga sekalipun melalui penerapan "kisah-kisah, cerita-cerita yang meumpamakan dengan kalimah yang mufrad, supaya menyukakan hati orang muda-muda mutalaahnya, serta syair-syair Melayu sedikit-sedikit".[4] Pengarangan beliau juga ada dipengaruhi penulisan Imam Al-Ghazali and Syekih Ali Barkawi.
Dalam keterangan kosa kata dibincangkan kitab ini, Raja Ali menulis secara kritis mengenai kecenderungan orang-orang Melayu dan Bugis sezamannya yang dilihat kurang santun dalam cara berpakaian, bertutur bahasa yang telor dan gaya hidup tidak sihat yang dipengaruhi kedatangan orang-orang dagang misalnya termasuk pengambilan candu dari pedagang China serta pelacuran (atau beramput) yang pernah giat dalam kalangan kelasi Belanda di Tanjungpinang sepanjang tempoh pengarangan kitab ini tahun 1860-an.[4]
Rujukan
- ^ Haji Wan Mohd. Shaghir Abdullah (5 April 2010). "Pengetahuan Bahasa Gambaran Etika Kemasyarakatan". Khazanah Fathaniyah. Dicapai pada 28 Ogos 2021.
- ^ "Di mana lahirnya 'Kitab Pengetahuan Bahasa'". Berita Harian Singapura. 27 September 2020.
- ^ a b Leow, Rachel (2016). Taming Babel: Language in the Making of Malaysia. Cambridge University Press. m/s. 67–68, 87–88. ISBN 9781316563007.
- ^ a b c d van der Putten, Jan (Oktober 2002). "On Sex, Drugs and Good Manners: Raja Ali Haji as Lexicographer". Journal of Southeast Asian Studies. Universiti Nasional Singapura. 33 (3): 415–430. doi:10.1017/S0022463402000310.
Pautan luar
- Profil kitab di RajaAliHaji.com kendalian Balai Kajian dan Pengembangan Budaya Melayu, Yogyakarta, Indonesia
- Galeri imej salinan Kitab Pengetahuan Bahasa Yaitu Qamus Loghat Melayu Johor Pahang Riau Lingga terbit 1346 H/1927 M di Endangered Archives Programme, Perpustakaan Negara British.