![]() Cetakan kitab Mengzi bertarikh abad ke-13 di Muzium Istana Negara Taipei, Taiwan | |
Umum | |
---|---|
Pengarang | Mengzi |
Negara | China |
Bahasa | bahasa Cina |
Genre | Falsafah |
Tarikh penerbitan | sekitar 300 SM |
Kitab Mengzi (Bahasa Cina: 孟子; pinyin: Mèngzǐ; bahasa Cina Kuno: *mˤraŋ-s tsəʔ, bahasa Inggeris: Mencius) merupakan himpunan anekdot dan penulisan Mengzi berkaitan falsafah-falsafah moral dan politik sepertimana yang dibincangkan antara beliau dengan para penguasa Tionghua ketika negeri-negeri mereka saling berperang, para pelajar Mengzi serta pemikir kontemporari.[1][2]
Kitab ini merupakan antara penulisan berkaitan Konfusianisme paling penting serta dilihat sebagai penyambung dan penerang lanjut ajaran yang diungkapkan dalam kitab Lúnyǔ (論語) oleh Konfusius.[2]
Sejarah
Idea utama Mengzi mengenai pendidikan dan sifat semula jadi manusia banyak dibentuk pada zaman Zaman Negara-Negara Berperang.[3] Setelah dinasti Zhou ditumbangkan oleh Qin, Mengzi bersama sarjana lain mengembara ke pelbagai negeri dan menasihati raja serta rakyat, misalnya di Akademi Jixia. Dalam tempoh inilah Mengzi dapat mengakses dan seterusnya mengembangkan lagi doktrin falsafah Konfusius. Penghasilan karya Mengzi bertujuan menghuraikan lebih lanjut aliran pemikiran Konfusian yang dikenali sebagai 'idealisme subjektif'.[4][3] Melalui karya ini, Mengzi membangunkan teori kebaikan semula jadi (xingshan), iaitu semua manusia memiliki kebajikan asas secara fitrah, dan kebajikan ini berkembang sebagaimana pengetahuan dipupuk.[4][3]
Mengzi akhirnya dianggap sebagai teks penting yang mendalami falsafah Konfusian, terutamanya kerana dialog falsafahnya dengan Analects.[5] Namun, karya ini tidak diangkat sebagai salah satu klasik Cina sehingga era Dinasti Song (960–1279).[6][7]
Tafsiran
Terdapat pelbagai tafsiran terhadap Mengzi sebagai teks falsafah dan kesusasteraan. E. Bruce Brooks dan A. Taeko Brooks menyatakan tafsiran-tafsiran itu merupakan wacana berterusan yang mewakili setiap generasi pembaca baharu.[5] Antara contoh ialah James Legge yang memperkenalkan teks ini kepada pembaca Barat dengan pendekatan mubaligh era Victoria. Keupayaan teks ini melintasi budaya dan zaman dilihat oleh sarjana seperti Behuniak sebagai faktor yang mengkanunkan karya ini sebagai klasik dunia.[4]
Kandungan
Mengzi terdiri daripada tujuh bahagian, setiap satunya terbahagi kepada dua. Naratif buku ini memaparkan dialog panjang tentang hujah falsafah, diselangi renungan Mengzi dalam bentuk ayat ringkas. Sebahagian besar bab yang menyoroti falsafah moral ditulis sebagai perbualan dengan sarjana lain, manakala bab yang menawarkan nasihat politik digambarkan sebagai perbualan dengan raja. Idea paling terkenal yang sering diketengahkan ialah kewujudan kebaikan fitrah dalam diri manusia. Hujah Mengzi bahawa setiap orang memiliki potensi kebajikan bawaan berlawanan dengan pandangan tokoh sezamannya Yang Zhu (440–360 SM) yang berpendapat sifat manusia didorong oleh kepentingan diri.[7] Selain itu, Mengzi juga memperluas gagasan Konfusian tentang pemerintahan politik dan kepemimpinan berasaskan belas ihsan.[3][4]
Falsafah moral
Dalam Mengzi, perbahasan tentang moral dan sifat manusia berhubung langsung dengan pandangan Konfusian. Teori kebaikan semula jadi dihuraikan melalui konsep 'tunas'.[8][4] Menurut Mengzi, 'tunas' ialah tabiat moral yang ada sejak lahir, berkaitan dengan 'kasih keluarga' (qīn 親), dan berkembang dalam suasana keluarga.[8] Empat 'tunas' tersebut ialah 'perikemanusiaan' (rén 仁), 'kesesuaian' (yì 義), 'kesopanan ritual' (lǐ 禮), dan 'kebijaksanaan' (zhì 智).[4][8] Keempat-empat tunas ini membezakan manusia daripada makhluk lain; walaupun fitri, kebajikan ini berkembang melalui pembudayaan persekitaran, "sebagaimana kita memiliki empat anggota" (§2A:6).[9][4]
Mengzi juga berpendapat terdapat sifat kemanusiaan sejagat yang menyebabkan manusia bertindak balas sama terhadap situasi etika tertentu. Hujah paling terkenal ditunjukkan apabila beliau meramalkan reaksi segera seseorang yang melihat seorang kanak-kanak hampir terjatuh ke dalam perigi (§2A:6).[10] Mengzi menegaskan bahawa semua orang memiliki belas kasihan semula jadi, malah beliau menganggap belas kasihan itu sebagai kewajipan sejagat.[10] Beliau menyamakan belas kasihan dengan kewajipan yang memberi kepuasan kepada hati sebagaimana daging memberi kepuasan pada lidah (§4A:2).[10][11] Menurutnya, dengan bertindak penuh belas kasihan, kita bukan sahaja memuaskan diri secara fizikal malah melaksanakan tanggungjawab moral.[10]
Falsafah politik
Mengzi memperluas gagasan Konfusian tentang amalan seorang pemerintah yang baik.[11][12] Antaranya termasuk 'politik kebajikan' (dé zhèng 德政), 'politik belas ihsan' (rén zhèng 仁政), dan 'politik yang prihatin terhadap penderitaan manusia' (bùrěn rén zhī zhèng 不忍人之政).[13] Semua ini merujuk kepada bentuk pemerintahan ideal di mana dasar-dasar yang dilaksanakan memperluas sifat belas ihsan. Hasilnya ialah agihan sumber yang adil dan perlindungan bagi golongan terpinggir. Konfusius dan Mengzi menegaskan bahawa seorang pemerintah yang baik mesti memperoleh sokongan rakyat melalui kebajikan dan kebaikan; Mengzi menyatakan bahawa etika Konfusian adalah asas untuk mencapai negara ideal.[13][14]
Pandangan ini dijelaskan dalam pertemuan antara Mengzi dan Raja Xuan dari Qi (r. 319–301 SM), yang memerintah tanpa mengamalkan politik belas ihsan. Dalam pertemuan tersebut, Mengzi menyifatkan tindakan raja itu sebagai 'mencari ikan dengan memanjat pokok' (yuán mù qiú yú 緣木求魚; §2A:4).[13][11] Beberapa bahagian lain pula menyentuh tentang kepentingan belas ihsan dalam politik secara langsung:
Seorang Maharaja tidak dapat mengekalkan Empayar di dalam Empat Lautan tanpa belas ihsan; seorang raja feudal tidak dapat memelihara altar dewa bumi dan bijirin tanpa belas ihsan; seorang menteri atau penasihat tidak dapat menjaga kuil nenek moyangnya tanpa belas ihsan; seorang junzi atau rakyat biasa tidak dapat menjaga empat anggota tubuhnya tanpa belas ihsan. Jika seseorang membenci kematian tetapi gemar melakukan kekejaman, dia umpama orang yang minum arak melebihi kemampuan walaupun dia membenci mabuk. (§4A:3)[11][13]
Mengzi juga menasihatkan supaya kekerasan tidak digunakan untuk tujuan politik:
Apabila seseorang menggunakan kekerasan untuk menundukkan orang lain (yǐ lì fú rén 以力服人), berbanding menundukkan orang lain dengan kebajikan (yǐ dé fú rén 以徳服人), dia tidak akan memenangi hati dan fikiran orang ramai (xīn fú 心服); mereka tunduk hanya kerana tidak cukup kuat. (§4A:7)[11][13][15]
Pengaruh terhadap hermeneutik
Selain memberi kesan kepada Neo-Konfusianisme, Mengzi turut mempengaruhi wacana kesusasteraan di China, khususnya dalam arah tuju kritikan sastera Cina yang menyerupai hermeneutik intensionalis Barat.[16][17] Konsep tafsiran ini, yang dikenali sebagai "kritikan sastera Mencian", dianggap mendominasi kaedah kritikan dan tafsiran sastera di China sejak kemunculannya.[17]
Secara tradisi, intensionalisme Barat menilai makna sesebuah karya berdasarkan niat pengarang ketika ia dihasilkan. Jane Gearney menegaskan bahawa terdapat beberapa petikan dalam Mengzi yang mengusulkan teori tafsiran sastera yang hampir sama dengan tradisi itu—contohnya: "sesiapa yang menghuraikan puisi tidak boleh membiarkan bentuk menghalang ungkapan, atau ungkapan menghalang maksud. Seseorang harus bertemu maksud dengan pemikirannya sendiri—itulah cara untuk memahaminya." (§5A:4)[18][17] Dalam ulasan beliau, Gearney menafsirkan "maksud" yang disebut di sini sebagai niat pengarang.[17] Dalam petikan tersebut, Mengzi menegaskan bahawa dalam menilai teks, bentuk atau strukturnya tidak boleh mendahului ungkapan-ungkapannya. Ungkapan pula tidak boleh menghalang niat pengarang, malah niat itu perlu bertemu dengan pemikiran pembaca bagi membentuk makna.[17]
Mengzi juga menganjurkan pendekatan berasaskan persahabatan dalam kritikan sastera:
Ulama baik dalam sebuah desa akan bersahabat dengan ulama baik desa itu. Ulama baik dunia akan bersahabat dengan ulama baik dunia. Jika persahabatan dengan ulama baik dunia belum mencukupi, mereka juga meneliti orang silam. Tetapi bagaimana mereka dapat melafazkan puisi dan membaca buku tanpa mengetahui siapa orangnya? Oleh itu, mereka meneliti zamannya. Inilah yang disebut "melanjutkan persahabatan" dengan orang silam. (§5B:8)[18][17]
Gagasan mengenali pengarang sebagai manusia dianggap oleh Gearney sebagai cadangan Mengzi supaya pembaca berusaha memahami niat pengarang ketika menghasilkan teks. Mengzi menekankan keperluan mengenali pengarang, bagi menunjukkan kepentingan konteks masa dan suasana dalam menilai karya.[17][19]
Walaupun kritikan sastera Mencian dilihat memupuk hermeneutik intensionalis di China, Gearney menegaskan bentuk intensionalisme dalam buku ini berbeza daripada gaya Barat tradisional. Perbezaannya terletak pada penekanan Mengzi terhadap pembelajaran latar peribadi, budaya dan politik pengarang ketika karya dihasilkan, bukan sekadar perasaan pengarang pada saat itu. Oleh itu, piawaian penilaian karya tidak melibatkan emosi pengarang pada waktu penciptaan sebagaimana dihuraikan oleh E. D. Hirsh. Sebaliknya, standard Mencian menegaskan bahawa seseorang perlu memahami latar peribadi, budaya dan politik pengarang sebelum menilai sesuatu karya.[17]
Rujukan
- ^ Lau (1993), m/s. 331.
- ^ a b Shih & Knechtges (2010), m/s. 668.
- ^ a b c d Ge (1994)
- ^ a b c d e f g Behuniak (2011)
- ^ a b Ralat petik: Tag
<ref>
tidak sah; tiada teks disediakan bagi rujukan yang bernamaBrooks2017
- ^ Ralat petik: Tag
<ref>
tidak sah; tiada teks disediakan bagi rujukan yang bernamaKern2010
- ^ a b Ralat petik: Tag
<ref>
tidak sah; tiada teks disediakan bagi rujukan yang bernamaFuller2004
- ^ a b c Xiao (2009)
- ^ Coleman & Lau (1976)
- ^ a b c d Munro (2017)
- ^ a b c d e Ralat petik: Tag
<ref>
tidak sah; tiada teks disediakan bagi rujukan yang bernamaColeman19762
- ^ Ralat petik: Tag
<ref>
tidak sah; tiada teks disediakan bagi rujukan yang bernamaBehuniak20112
- ^ a b c d e Ralat petik: Tag
<ref>
tidak sah; tiada teks disediakan bagi rujukan yang bernamaXiao20092
- ^ Ralat petik: Tag
<ref>
tidak sah; tiada teks disediakan bagi rujukan yang bernamaGe19942
- ^ "管理錦囊/正面看待衝突管理". 聯合新聞網 (dalam bahasa Cina). 4 Jun 2024. Dicapai pada 10 Jul 2024.
- ^ Zhang, Longxi (1994). The Tao and the Logos: Literary Hermeneutics, East and West. Duke University Press. ISBN 0-822-31211-5.
- ^ a b c d e f g h Gearney (2000)
- ^ a b Ralat petik: Tag
<ref>
tidak sah; tiada teks disediakan bagi rujukan yang bernamaColeman19763
- ^ Liu, James J. (1986). Chinese Theories of Literature. University of Chicago Press. ISBN 0-226-48693-1.
- Lau, D. C. (1993). "Meng tzu 孟子 (Mencius)". Dalam Loewe, Michael (penyunting). Early Chinese Texts: A Bibliographical Guide. Berkeley: Society for the Study of Early China; Institute of East Asian Studies, University of California, Berkeley. m/s. 331–335. ISBN 1-55729-043-1. Unknown parameter
|editorlink=
ignored (bantuan)CS1 maint: ref=harv (link) - Shih, Hsiang-lin; Knechtges, David R. (2010). "Mengzi 孟子". Dalam Knechtges, David R.; Chang, Taiping (penyunting). Ancient and Early Medieval Chinese Literature: A Reference Guide, Part One. Leiden: Brill. m/s. 668–671. ISBN 978-90-04-19127-3.CS1 maint: ref=harv (link)
Pautan luar
- The Works of Mencius: terjemahan bahasa Inggeris oleh James Legge.