
| Khonsuemheb dalam hieroglif | |||||||||
|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
ḫnsw-m-ḥb[1] | |||||||||
"Khonsuemheb dan hantu", sering dikenali sebagai Cerita hantu, ialah cerita hantu Mesir purba dari zaman Ramsisiyah. Protagonisnya ialah seorang kahin atau pendeta bernama Khonsuemheb (juga dieja Khonsemhab, kedua-duanya bermaksud "Khonsu dalam kegembiraan") dan ceritanya berkisarkan pertemuannya dengan hantu yang tidak tenteram.
Jalan cerita
Permulaan ceritanya telah hilang tetapi diimplikasikan bahawa seorang lelaki tanpa nama terpaksa bermalam di sebelah sebuah makam di Nekropolis Thebes, namun terjaga oleh hantu yang mendiaminya. Lalu, lelaki itu pergi kepada Kahin Besar Amun, Khonsuemheb, dan menceritakan apa yang terjadi kepadanya.
Teks bermula dengan Khonsuemheb memanggil dewa-dewa dari bumbung rumahnya, untuk menyeru hantu tersebut. Apabila hantu itu datang, Khonsuemheb bertanya namanya. Hantu itu berkata namanya Nebusemekh, anak lelaki kepada Ankhmen dan seorang perempuan bernama Tamshas. Khonsuemheb menawarkan untuk membina semula sebua hmakam baru dan menyediakan keranda kayu pokok bidara bersalut emas untuk hantu itu agar dia menjadi tenteram, tetapi hantu itu tidak yakin dengan niat Kahin besar itu. Khonsuemheb, duduk di sebelah hantu itu, menangis dan ingin berkongsi nasib malangnya dengan menahan diri dari makanan, air, udara dan cahaya siang.
Kemudian Nebusemekh menceritakan kehidupan silamnya, semasa dia seorang pengawas perbendaharaan dan pegawai tentera di bawah firaun Rahotep. Apabila dia meninggal pada musim panas tahun pemerintahan ke-14 firaun Mentuhotep, pemerintah ini menyediakan untuknya satu set balang kanopi, keranda pualam dan makam lubang berukuran sepuluh hasta. Namun, selepas berabad-abad makam itu runtuh sebahagiannya, sehingga angin masuk ke ruang pengebumian itu. Dia juga mendedahkan bahawa sebelum Khonsuemheb, orang lain pernah menawarkan untuk membina semula kuburnya tanpa mengotakan janji mereka. Khonsuemheb berkata kepada hantu itu bahawa dia akan memenuhi segala permintaannya dan tawar akan menghantar sepuluh orang hambanya untuk membuat semah harian di kuburnya, tetapi hantu itu mengeluh bahawa tawaran keduanya itu tidak berguna.
Pada ketika ini teks terputus dan fragmen seterusnya melaporkan usaha tiga orang lelaki yang dihantar oleh Khonsuemheb untuk mencari tempat yang sesuai untuk membina makam baru untuk hantu itu. Mereka akhirnya menemui tempat yang sesuai di Deir el-Bahari, berhampiran jalan kuil pengebumian firaun Mentuhotep II. Lelaki-lelaki itu kembali ke Karnak, di mana Khonsuemheb sedang menjalankan upacara, dan melaporkan kepadanya tentang tempat yang mereka temui. Kemudian, Khonsuemheb yang gembira memaklumkan timbalan estet Amun, Menkau, tentang rancangannya.[2]
Teks tiba-tiba berakhir di sini, tetapi kemungkinan Khonsuemheb berjaya dalam rancangannya untuk menenteramkan hantu itu.[3]
Fragmen
Cerita ini, ditulis semasa Dinasti ke-19–20, tidak lengkap kerana ia dibina semula dari pelbagai ostrakon yang kini berada di Turin (Museo Egizio, n. S.6619), Vienna (Kunsthistorisches Museum, inv. n. 3722a), Paris (Louvre, n. 667+700) dan dua di Florence (Muzium Arkeologi Nasional, n. 2616, 2617).[4] Fragmen Turin adalah yang terakhir ditemui (pada 1905 di Deir el-Medina oleh Ernesto Schiaparelli), jadi Gaston Maspero pada 1882 memberikan rekonstruksi yang berbeza untuk cerita ini.[5] Susunan bacaan ostrakon telah ditetapkan seperti berikut:[2]
- Turin, daripada mula;
- Vienna, daripada cadangan pertama Khonsuemheb;
- Florence 1 dan 2, daripada keinginan Khonsuemheb untuk berkongsi nasib hantu itu;
- Louvre, bahagian akhir selepas putus, mengenai pencarian tempat pengebumian baru.
Cerita ini mengandungi pelbagai titik kabur yang terbuka kepada tafsiran berbeza. Salah satunya berkaitan identiti dua firaun yang didakwa sezaman dengan Nebusemekh. Yang pertama nampaknya Rahotep, raja awal Dinasti ke-17, manakala yang kedua, Mentuhotep, adalah tokoh yang bermasalah kerana tiada pemerintah Thebes dengan nama ini yang hidup sekitar zaman Rahotep dipercayai memerintah sehingga 14 tahun. Jürgen von Beckerath percaya bahawa kedua-dua nama raja sebenarnya merujuk kepada Rahotep, manakala William Kelly Simpson mencadangkan bahawa penulis asal ingin merujuk kepada Mentuhotep II dari Dinasti ke-11, yang juga disebut kemudian dalam cerita itu; Simpson berhujah bahawa penulisnya agak jahil tentang sejarah Mesir, kerana Mentuhotep II memerintah kira-kira lima abad sebelum Rahotep.[6]
Dalam Mesir Purba, hantu (dipanggil akh) agak serupa dengan diri mereka dahulu, dan interaksi antara hantu dan orang hidup tidak dianggap begitu luar biasa dibandingkan dengan pandangan moden.[3]
Rujukan
- ^ Sousa, Rogério (10 Oktober 2018). "34. Shabtis of Khonsuemheb (ḫnsw-m-ḥb)". The Tomb of the Priests of Amun: 428–430. doi:10.1163/9789004386501_061. ISBN 9789004386501. S2CID 201597639 – melalui brill.com.
- ^ a b Simpson, pp. 137–141
- ^ a b Simpson, p. 137
- ^ Gardiner, pp. XIII–XV
- ^ Maspero, Gaston (1967) [1882]. Les contes populaires de l'Egypte ancienne. Paris: Maissoneuve et Larose., pp. 199ff
- ^ Simpson, p. 139 dan rujukan di dalamnya.
Bibliografi
- Gardiner, Alan H. (1981) [1932]. Late-Egyptian stories. Brussels: Fondation egyptologique Reine Elisabeth., juga mengandungi transkripsi hieroglif cerita ini.
- Simpson, William K. (1972). Simpson, William Kelly (penyunting). The Literature of Ancient Egypt: An Anthology of Stories, Instructions, and Poetry. terjemahan oleh R.O. Faulkner, Edward F. Wente, Jr., dan William Kelly Simpson. New Haven dan London: Yale University Press. ISBN 0-300-01711-1.








