Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (Universiti Malaya Student Union) ialah kesatuan pelajar rasmi Universiti Malaya. Ia lebih dikenali sebagai KMUM dalam bahasa Melayu atau UMSU dalam bahasa Inggeris. KMUM ditubuhkan untuk mewakili pelajar Universiti Malaya dalam pembuatan keputusan universiti, bertindak sebagai suara bagi pelajar dalam perbahasan dasar pengajian tinggi negara, dan untuk menyediakan perkhidmatan terus kepada mana-mana badan persatuan pelajar.
Sejarah
Zaman Pra-kemerdekaan (KMUM Universiti Malaya, Singapura)
Sejarah KMUM boleh dijejak sejak zaman penubuhan Universiti Malaya di Singapura pada tahun 1949. Pada permulaannya, pelajar adalah lebih peka terhadap isu berkaitan kampus berbanding isu politik. Sebagai contoh, mogok pelajar pertama yang ketara dan tidak berjaya, berlaku pada tahun 1924 apabila pelajar Kolej Perubatan King Edward VII tidak berpuas hati dengan kualiti penyeliaan yang kurang baik di asrama. Sebahagian besar kakitangan fakulti berwarga Eropah lebih cenderung untuk berkecuali dalam hal ehwal politik dan aktivisme politik pelajar terhad kepada sekadar perbincangan. Pelajar, bagaimanapun, diberi kebebasan untuk meneruskan aktiviti kokurikulum - seperti sukan, perbahasan dan sastera – dan menerbitkan penerbitan bukan politik. KMUM, yang ditubuhkan pada tahun 1949, dianggap sebagai "tumpuan kehidupan mahasiwswa di dalam kampus".
Selepas penubuhan Akta Universiti pada tahun 1961, setiap pelajar baharu akan secara automatik menjadi ahli KMUM dan dikehendaki untuk membayar yuran keahlian. KMUM mempunyai sumber kewangan yang tersendiri dan diberikan sebuah bangunan oleh pihak universiti. Selain itu, KMUM ketika itu adalah berkerajaan sendiri, dengan mempunyai sebuah Majlis Mahasiswa yang selanjutnya membentuk Majlis Eksekutif KMUM. KMUM juga menyediakan perkhidmatan instrumental seperti bantuan penginapan, pengeluaran pinjaman kecemasan, menyediakan pendidikan politik, dan sebagai penyampai maklumat antara pelajar dan pentadbiran universiti.
Zaman Pasca-kemerdekaan
Selepas kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957, satu idea telah tercetus antara kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan kerajaan Singapura untuk membina dua universiti kebangsaan. Justeru, pada tahun 1961, Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura telah meluluskan satu undang-undang untuk membahagikan Universiti Malaya menjadi dua universiti kebangsaan. Universiti Malaya di Kuala Lumpur mengekalkan namanya manakala Universiti Singapura ditubuhkan di tapak Universiti Malaya di Singapura.[1] Aktivisme mahasiswa di UM pada mulanya berpusat dalam peringkat hal dalaman kampus. Misalnya, pelajar UM secara terbuka menuntut pembinaan masjid di kampus dan membantah keengganan polis untuk meluluskan permit penganjuran program kampus. Walau bagaimanapun, pelajar-pelajar akhirnya mengambil bahagian secara aktif dalam isu-isu luar kampus - daripada perihal perpaduan sehinggalah ke perjuangan petani luar bandar dan isu antarabangsa – menjadikan era 1960-an hingga 1970-an zaman kemuncak aktivisme pelajar di sejarah Malaysia.[2] Pada tahun 1967, berlakunya penindasan kerajaan terhadap petani yang miskin atas isu tanah di Teluk Gong, Klang. KMUM dan Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM) pada ketika itu telah menyokong petani Teluk Gong secara terbuka. Petani telah dijemput untuk menyatakan masalah mereka di Speaker's Corner Universiti Malaya.[3] Pada tahun 1974, KMUM juga meyokong buruh penoreh getah di Tasek Utara yang mengalami inflasi yang tinggi tetapi harga getah yang rendah. Namun, seramai 48 orang telah ditangkap susulan protes ini, di mana 7 orang ialah pelajar UM. Presiden KMUM Kamarazaman Yacob, pada ketika itu, telah mengambil tindakan untuk membuat protes di Jabatan Perdana Menteri di Kuala Lumpur. Susulan tindakan balas polis, Kamarazaman telah menubuhkan Majlis Tertinggi Sementara untuk mengawalselia pentadbiran universiti. Tindakan yang telah dibuat pada masa itu termasuk menghentikan semua kelas, mengawal pejabat Naib Canselor, dan menguruskan logistik makanan, keselamatan, komunikasi, dan publisiti. Selepas 6 jam kawalan ke atas pentadbiran universiti, Majlis Tertinggi Sementara telah dibubarkan dan susulan itu entiti KMUM telah digantung. [2]
Namun, selepas peristiwa 13 Mei, Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 telah digubal untuk menyekat hak-hak mahasiswa di Malaysia. Menerusi peruntukan AUKU, Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya telah ditukar nama kepada Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaya (MPPUM) dan kuasanya telah merosot. Dalam konteks AUKU, MPPUM cuma memainkan peranan perwakilan pelajar dan tidak berhak untuk menyertai dalam sebarang perbincangan keputusan pihak universiti. Hal ini menjadikan kepentingan pelajar tidak diwakili dalam sebarang polisi pihak universiti.
Zaman selepas Pilihan Raya Umum tahun 2018
Selepas penukaran parti pemerintah pada tahun 2018, MPPUM buat pertama kali telah dimenangi oleh gerakan Suara Siswa di UM. Selepas majlis eksekutif dibentuk, majlis eksekutif telah mengambil keputusan untuk mengubah semula nama MPPUM kepada Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) untuk menunjukkan dedikasi mahasiswa dalam penuntutan demokrasi mahasiswa. [4]
Senarai pimpinan (2018-kini)
Sesi Akademik | Presiden | Timbalan Presiden I | Timbalan Presiden II |
---|---|---|---|
2019/2020 | Akmal Hazieq
(Fakulti Pendidikan) |
Yap Wen Qing
(Fakulti Sains) |
Muhammad Haziq Azfar
(Fakulti Undang-undang) |
2020/2021 | Muhammad Haziq Azfar
(Fakulti Undang-undang) |
Lim Ping An
(Fakulti Kejuruteraan) |
Khairul Ameen
(Fakulti Perubatan) |
2021/2022 | Wan Afiq Ikhwan
(Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran) |
Tan Wen Kang
(Fakulti Pendidikan) |
Rusdi Bhaharuddin
(Fakulti Kejuruteraan) |
2022/2023 | Ooi Guo Shen
(Fakulti Undang-undang) |
Arvinkumar Mohan
(Fakulti Undang-undang) |
Jawatan dikosongkan |
2023/2024 | Nur Nazirah Binti Abdullah
(Fakulti Sastera dan Sains Sosial) |
Muhammad Syafiq
(Fakulti Sains) |
Ahmad Syakir
(Fakulti Pendidikan) |
2024/2025 | Abqari Bin Annuar
(Fakulti Undang-undang) |
Lim Jing Jet
(Fakulti Undang-undang) |
Jawatan dikosongkan |
Senarai pimpinan KMUM terdahulu
- Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri Malaysia ke-9 (1982)
- Wang Gungwu, Ahli Akademik (1951)
- Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Ahli Parlimen Kota Bharu (1984)
- Dato' Sri Ahmad Shabery Cheek, Bekas Menteri Belia dan Sukan (1981)
- Hishamuddin Rais, Aktivis Politik
- Prof. Datuk Dr. Sidek Baba, Ahli Akademik (1977)
- Fahmi Zainol, Ahli Dewan Negeri Pulau Pinang (2013)
- Dr. Khong Kim Hoong, Ahli Akademik (1969)
- Dr. Kamarazaman Yacob, Ahli Korporat (1974)
Rujukan
- ^ "Universiti nasional tahun hadapan". Berita Harian. 6 Oktober 1961. m/s. 1. Dicapai pada 13 Jun 2018.
- ^ a b Imagined-Malaysia_Chapter-5_Findings-Summary-and-Recommendations.pdf (rakyatandrights.my)
- ^ https://idealis-mahasiswa.tripod.com/artikel-harian/jan2002/11jan02.html
- ^ http://www.myumsu.com/history.html