Keroro | |
Genre | Komedi, cereka sains, shōnen, drama |
---|---|
Manga | |
Sgt. Frog | |
Pengarang | Mine Yoshizaki |
Penerbit | Kadokawa Shoten TOKYOPOP TOKYOPOP Norma Editorial Kadokawa Shoten TOKYOPOP |
Anime | |
Pengarah | Junichi Sato |
Studio | Sunrise |
Penyiaran Asal | Animax, TV Tokyo Italia 1 TéléTOON Mighty Media, Chinese Television System Inc. TVB Jade, antv, Spacetoon, NET. ntv7 Cartoon Network |
Dikeluarkan pada | 3 April 2004 – kini |
Movies | |
Keroro (ケロロ軍曹 , Keroro Gunsō, "Sarjan Keroro") ialah siri manga karya Mine Yoshizaki, serta siri anime televisyen yang diadaptasi dari manga tersebut dan diarah oleh Junichi Sato. Kedua-dua anime dan manga ini berbentuk komedi dan mengisahkan cubaan satu platun makhluk asing berupa katak dari planet Keron yang cuba menawan planet Bumi. Sarjan Keroro, watak utama cerita ini, merupakan ketua platun ini, tetapi menerima balas kasihan satu keluarga manusia bertiga. Keroro terpaksa membuat kerja-kerja harian seperti disuruh oleh keluarga itu setelah tenteranya meninggalkan platunnya di Bumi.
Siri ini banyak menyentuh unsur-unsur budaya popular, terutamanya Gundam, Starblazers, dan Neon Genesis Evangelion. Pelbagai judul anime, permainan, manga, dan aspek-aspek lain dalam budaya pop diajuk atau disentuh di sepanjang siri ini sebagai bonus kepada para penonton yang berusia lebih matang. Kedua-dua versi manga dan anime banyak dibanjiri sentuhan budaya pop, sungguhpun cerita yang sama namun mungkin berbeza sentuhannya antara kedua-dua media ini. Misalnya, versi anime tidak menonjolkan sentuhan Evangelion dan mana-mana judul yang tidak dipegang hakciptanya oleh Bandai secara jelas, sebaliknya cuma mewujudkan semula suasana adegan-adegan anime lain. Sebaliknya, anime ini jauh lebih cendering kepada menyentuh Gundam kerana Bandai memegang hakcipta francais Gundam.
Anime Keroro masih disiarkan di Jepun (melalui saluran Animax, TV Tokyo dan rangkaian TXN) sejak bermula siaran pada tahun 2004. Anime ini tiba di kaca televisyen Malaysia melalui ntv7 pada 27 April 2007.
Pada tahun 2005, siri manga ini meraih Anugerah Manga Shogakukan ke-50 dalam kategori kanak-kanak.
Watak-watak
Platun Keroro
Platun Keroro (ケロロ小隊 , Keroro Shōtai) adalah platun fiksyen di dalam siri Keroro yang diketuai sendiri oleh Sarjan Keroro. Sementara kebanyakan platun tentera mempunyai sehingga 30 hingga 40 anggota tentera, Platun Keroro hanya mempunyai lima orang ahli. Nama penuh rasmi platun ini ialah Platun Tentera Penjajahan Taktik Khas Angkasa Lepas, Sistem Planet Gamma, Planet ke-58 (ガマ星雲 第58番惑星 宇宙侵攻軍特殊先行工作部隊 , Gama Seiun Dai Gojūhachiban Wakusei Uchū Shinkōgun Tokushu Senkō Kōsaku Butai). Dalam versi alih suara rasmi Bahasa Inggeris pula, unit ini dirujuk sebagai Advance Recon Mission Preparatory Invasion Terror Platoon (A.R.M.P.I.T.); Keroro merujuk kependekan tersebut sebagai "malang", memandangkan kependekan tersebut secara harfiahnya bermaksud "ketiak" dalam Bahasa Melayu.
- Sarjan Keroro (ケロロ軍曹 , Keroro Gunsō)
- "Antihero" yang berlambang bintang pada dadanya ini lazimnya agak bersenang-lenang (sehingga ke tahap kemalasan), namun mampu berkarisma, pandai mencari jalan, dan juga bersikap manipulatif jika dia percaya ada peluang kepentingannya boleh dicapai. Meskipun Keroro cerdik dan dikatakan pernah digelar askar contoh pada masa dahulu, dia sering berasyik dengan hobinya (terutamanya minat terhadap model Gundam), mudah ditakutkan, dan dialih perhatian oleh apa-apa sahaja yang menarik. Dialah yang menjadi punca humor siri ini, biasanya setelah mengambil kesempatan terhadap tuan rumahnya di Bumi atau ahli-ahli skuadnya yang lain (meskipun biasanya cukup melalui nasib malang semata-mata). Jika cukup dikelilingi kelembapan, Keroro menjadi "Keroro dari Masa Dahulu", di mana kekuatan fizikal dan mentalnya bertambah secara drastik, lalu menjadikannya agresif dan berbahaya.
Nama "Keroro" berasal dari kerokero, perkataan bahasa Jepun bagi bunyi yang dihasilkan katak.
- Prebet Tamama (タママ二等兵 , Tamama Nitohei)
- Ahli platun yang paing muda usianya dan paling kurang pengalamannya. Lambangnya ialah imej pantulan cermin tanda wakaba, iaitu lambang "Pemandu Baru" di Jepun, dan dia juga mempunyai ekor seakan-akan berudu. Tamama berwarna hita seperti berudu. Dia melihat dirinya sebagai ahli yang "comel" dalam platun Keroro. Tamama juga amat menggemari gula-gula, dan juga suka memakan makanan rapu dan membaca manga. Tamama sering mengalami perubahan emosi yang mendadak; acuman yang sedikit pun akan mengakibatkannya bertukar dari imej comel dan cerianya menjadi ganas dan gila sehingga boleh melancarkan letupan tenaga (dikenali sebagai "Tamama Impact", "Neo Tamama Impact" atau "Hyper Tamama Impact", bergantung kepada kekuatan) dari mulutnya serta juga pancaran mata banyak sasaran, dan sfera gelap yang dibentuk daripada memeluwap rasa iri hati sekitarnya (digelar "Jealousy Shot"), lalu menyebabkan Tamama sendiri menambahkan kesusahannya. Selain itu, Tamama juga cenderung bersikap cemburu dan iri hati terutamanya terhadap Angol Mois (yang sering dipanggil perempuan itu! (あんの女! , ano onna!) oleh Tamama) kerana bencikan hubungan intim Mois dengan Keroro.
Namanya berasal daripada perkataan Jepun bagi berudu, iaitu otamajakushi. Tambahan pula, perkataan Jepun "tamatama" pula bererti "tidak dijangka" atau "sukar diramal", istilah-istilah yang banyak mencerminkan personalitinya dengan tepat.
- Koperal Giroro (ギロロ伍長 , Giroro Gochō)
- Pakar pertempuran platun ini merupakan watak paling serius di kalangan ahli-ahli platun Keroro tetapi juga sering dijadikan bahan eksperimen Kururu. Giroro ialah seorang veteran yang garang dan sering berselisih dengan Keroro dan Kururu kerana tingkah laku mereka yang tidak ketenteraan serta ketiadaan sikap berdedikasi terhadap pencerobohan. Giroro mempunyai sebentuk paruh pada mata kirinya yang dikhabarkan sebagai dieknakan oleh Keroro dalam satu perbalahan lama dahulu. Dia mempunyai sikap panas baran yang kadang-kalanya menyebabkannya memasuki "mod kombat", yang mana dia secara agresifnya menyerang musuh, bercakap dalam bahasa mudah dan tidak mengendahkan arahan-arahan lain. Bagaimanapun, dia meminati Natsumi Hinata lalu jatuh cinta kepadanya. Cintanya terhadap Natsumi kadang-kalanya mengganggu operasi pencerobohannya, sebanyak manalah kehilangan tumpuan Keroro. Sama seperti itu, setelah ahli-ahli platun yang lain menyedari cinta Giroro ini, mereka akan menggunakan perihal cinta itu untuk memanipulasi Giroro untuk bersetuju dengan rancangan mereka (biasanya dengan menyifatkan bahawa, dengan apa cara pun, apa-apa yang dirancangkan mereka akan menggembirakan Natsumi). Giroro juga memperoleh seekor kucing sebagai haiwan peliharaan. Giroro tinggal dalam khemah, bersembunyi dari penyibuk melalui teknologi planet Kero, di laman belakang rumahtangga Hinata.
Namanya berasal dari perkataan bahasa Jepun girogiro, iaitu kata adjektif yang menyifatkan mata yang kelihatan tajam. Terdapat lambang tengkorak pada topi keledarnya, manakala lambang ahli platun lain tertampal pada dada mereka.
- Sarjan Mejar Kururu (クルル曹長 , Kururu Sōchō)
- Pegawai perisikan dan perancangan strategi platun. Kerkulit kuning, bertopi jingga dan beralaskan fon kepala. Meskipun secara rasminya lebih tinggi pangkatnya berbanding Keroro, dia sering mengikut Keroro dalam kebanyakan perkara (lazimnya kerana Keroro membekalkan dana bagi eksperimen ganjilnya). Sikapnya tidak seperti askar sekalipun, oleh itu hubungannya dengan Giroro tegang. Antara kelima-lima ahli platun, dialah yang dianggap paling kurang popualr kerana sifatnya yang muram dan terlalu bersikap ingin tahu, lalu menyebabkannya suka mempermainkan sesiapa di sekelilingnya. Dia juga seorang pencipta dan penggoda tanpa rasa sesal, kerana kebanyakan alatannya direka dengan apa yang digelar oleh Keroro sebagai 'kesan memainkan peranan sumbang' dalam mindanya.
Nama Kururu berasal dari perkataan Jepun "kurukuru", yang bermaksud "berpusing" atau "berpintal". Selain itu, Kururu juga berbonggol, dan perkataan Jepun bagi bonggol ialah "kuru". Dia juga mempunyai nama kod (angka 9-6-6), kerana 9-6-6 ialah "ku-ru-ru" apabila disebut secara berpecah-pecahan dalam bahasa Jepun.
- Lans Koperal Dororo (ドロロ兵長 , Dororo Heichō)
- Ahli platun yang berkulit dan bermata warna biru dan bersifat penyepi. Asalnya bernama Zeroro, dia selalu tenang, dan tidak pernah naik radang. Dia dilatih untuk menjadi pembunuh utama dalam tentera Keron. Sejak tiba di Bumi, dia mula mengamalkan cara hidup ninja (bersama "pemiliknya", kunoichi Koyuki), lalu menjadi pencinta alam sekitar. Malah, dia selalu membantah rancangan yang boleh merosakkan ekosistem Bumi. dia juga tidak pernah membunuh apa-apa makhluk hidup; dia menggunakan hulu pedangnya untuk menyerang musuhnya, agar tidak membahayakan mereka. Dia mula menemui Koyuki sewaktu terkena jerat kappa yang dibuat Koyuki. Penukaran nama Dororo mungkin berkaitan dengan kenyataan bahawa hutan di mana Koyuki menemuinya sama nama dengannya. Dia telah lama kenal dengan Keroro dan Giroro sejak kecil, dan sungguhpun mereka bertiga "berkawan", Keroro sering membuli Dororo. Dororo sering disisihkan anggota platun yang lain, dan juga kerap terkenang akan setiap kali Keroro menyalah guna "persahabatan" antara mereka sewaktu kecil, lalu menyebabkannya menangis apabila "Suis Trauma"nya dipasang.
Nama Dororo berasal daripada perkataan doron, iaitu kata tiruan bunyi ninja menghilangkan diri. Tambahan pula, perkataan Jepun dorodoro bermaksud manis, yang mungkin merujuk kepada kecenderungan emosinya dan gambaran dirinya menangis ketika mengalami trauma. (Lagipun, terdapat satu siri manga dan anime berjudul Dororo hasil Osamu Tezuka.) Lambangnya ialah shuriken. Dia tidak memakai topi tentera seperti rakan-rakan seplatunnya; sebaliknya, dia memakai ketayap berfabrik longgar yang bergantung bagai langsir di keliling belakangnya dan di sisi kepalanya. Dia juga memakai topeng muka yang menutupi hidung dan mulutnya - umpama pakaian ninja - melainkan ketika masih berkhidmat dalam tentera Keron dia memakai topeng gas dalam beberapa babak.
Sekutu Manusia
- Fuyuki Hinata (日向冬樹 , Hinata Fuyuki) a.k.a Winter
- Fuyuki ialah budak lelaki berusia 12 tahun yang menangkap Keroro lalu menyimpannya dalam rumah. Fuyuki amat meminati kisah paranormal, termasuk makhluk asing dan UFO, jadi dia amat ghairah setelah menemui makhluk asing sebenar untuk tinggal bersamanya. Sungguhpun dia berprestasi biasa sahaja dalam akademik dan sukan; kelihatan berakal lurus dan sering terlupa, dan tidak pandai berenang, namun Fuyuki dianggap seorang genius (dalam pengetahuna kejadian paranormal. dia juga bagaikan detektif dan cuba menyelesaikan misteri secara licik. Meskipun banyak kali Keroro cuba menawan Bumi, Fuyuki makin menjalin persahabatan dengan Keroro sepanjang siri ini. Jika sarjan ini terlalu keterlaluan dalam merancang penaklukan Bumi, Fuyuki akan naik radang sampaikan dalam versi manga muaknya tidak terpapar jika begini perasaannya. Kemarahan ini lebih daripada memadai untuk memaksa Keroro untuk melupakan hasratnya. Sungguhpun Momoka, seorang rakan sekelas, meluahkan rasa cinta terhadap Fuyuki dalam pelbagai cara, dia tidak sedar pun bahawa Fuyuki jatuh cinta kepadanya, namun dia mungkin ada sedikit minat terhadapnya. Nama Fuyuki bermaksud "pokok musim dingin", dan perkataan bahasa Inggeris "winter" tertulis pada pintu biliknya.
- Natsumi Hinata (日向夏美 , Hinata Natsumi) a.k.a. 7-2-3, Devil Summer
- Natsumi ialah kakak Fuyuki yang berusia 14 tahun. Dia cerdas dan cergas, tetapi juga penuh emosi, dan terlalu melindungi adiknya; ketika sekolah rendah, Natsumi bergelar "Devil Summer" kerana panas barannya, dan dikenali kerana menggunakan kekuatannya bagi melindungi adiknya, iatupun masih dipersoal. Natsumi sering mencurigai makhluk asing, maka dia mengambil kesempatan membuli Keroro apabila boleh. Dia juga amat meminati DJ radio Mutsumi Saburo dan seirng mendengari rancangan radionya bila-bila masa yang termampu. Dia takut kepada lintah bulan. Walaupun sering memanggil Keroro sebagai "katak lembab", Natusmi kelihatan mesra dengan ahli platun yang lain, terutamanya Giroro. Sungguhpun Natsumi amat kuat, dia tidak dapat mengalahkan Keroro dalam sukan renang (kerana sifat Keroro bagaikan katak). Nama Natsumi bermaksud "keindahan musim panas", dan perkataan Inggeris "summer" ditulis pada pintu biliknya.
- Aki Hinata (日向秋 , Hinata Aki)
- Ibu tunggal Fuyuki dan Natsumi yang juga seorang penyunting manga yang bercadang untuk mendasarkan manga terbarunya pada Keroro. dia juga seorang pakar Aikido bertali pinggang hitam, menjadikannya ahli keluarga Hinata yang paling kuat. Dia terkilan dengan cara hidup "biasa" Keroro di Bumi. Dia mudah tertarik kepada benda-benda yang melekit dan lembap. Namanya, Aki, bermaskud "musim luruh".
- Momoka Nishizawa (西澤桃華 , Nishizawa Momoka) a.k.a. Peach
- Seorang jutawan berusia 12 tahun (anak tunggal kepada ketua keluarga zaibatsu Nishizawa) yang senyap-senyap mencintai Fuyuki. Dia merupakan "pemilik" Tamama yang, seperti pemiliknya, kelihatan comel dan tidak bersalah, tetapi juga mempunyai personaliti yang manipulatif dan ganas. Pernah ada sekali yang mana hati "diri yang baik hati" dan "diri yang ganas" Momoka amat renggang sehingga menyebabkan Momoka diduakan badannya, tetapi ahirnya disatukan semula dengan bantuan Keroro dan melatih renang berirama. Kadang-kala, Momoka yang tenang boleh berhubung dengan dirinya yang ganas, tetapi sebenarnya, apabila Momoka bercakap dengan dirinya yang satu lagi, di hadapan orang lain, adalah kelihatan bahawa dia bercakap dengan sendiri. Dia mempertaruh kebanyakan hartanya bagi menawan hati Fuyuki, namun kurang berjaya. Sungguhpun cuba meluahkan perasaannya kepada Fuyuki secara peribadi, dia sering diganggu oleh watak-watak lain di sekitarnya. Namanya berasal dari perkataan momo, perkataan Jepun bagi "buah pic"; manakala ka berasal dari bacaan berlainan bagi hana yang bermaksud "bunga".
Dalam alih suara Bahasa Malaysia di ntv7, nama watak ini disebut "Momoko" dalam episod-episod awal atas sebab yang tidak diketahui; sejak episod ke-25 barulah nama asal "Momoka" dipulihkan. - Paul Moriyama (ポール 森山 , Pooru Moriyama)
- Butler dan kadang-kala penjaga peribadi Momoka yang amat kuat melindungi tuan mudanya dan sanggup bebuat apa sahaja demi Momoka, seperti membantunya menawan hati Fuyuki dan menggadai nyawanya bagi tuan mudanya. Sebagai veteran perang, dia berasa akrab dengan penceroboh asing (terutamanya Giroro) yang dilihatnya sebagai rakan seperjuangan.
- Mutsumi Saburo (ムツミ・サブロー , Mutsumi Saburō), a.k.a. "6-2-3 3-2-6"
- Rakan sekelas Natsumi, dikenali sebagai Mutsumi Hojo dalam manga. Dia seorang penyajak/pelukis/ahli falsafah yang sering memonteng kelas. Dia mempunyai rancangan radio sendiri yang didengari Natsumi. Temannya ialah Sarjan Mejar Kururu yang pernah memberinya sebatang pen yang membolehkannya untuk melukis apa sahaja dan menjadikan lukisannya mwnjadi maujud. Dalam manga, Mutsumi pertama kali menemui Sarjan Mejar apabila makhluk asing itu cuba memperhambakan pelajar-pelajar di sekolah Sabura. Mereka berdua menjadi amat rapat kerana banyak persamaan antara mereka. Saburo ialah seorang genius yang pernah menerima markah 300/300 dalam satu ujian IQ, dan juga cemerlang dalam sukan, namun ini menyebabkannya susah bergaul dengan rakan sekelasnya (terutamanya yang lelaki). Meskipun amat pandai dan tajam daya pemerhatiannya, Mutsumi kelihatan kurang sedar akan minat Natsumi terhadapnya. Setiap kali dia mendekati Natsumi, dia ditolak ke tepi oleh Giroro yang cemburu. Mutsumi juga pernah beberapa kali muncul dalam siri anime Seven of Seven. Nama pena ini berasal dari sebentuk main kata nombor dalam bahasa Jepun.
- Koyuki Azumaya (東谷小雪 , Azumaya Koyuki)
- Kunoichi (gadis pelatih ninja) berusia 14 tahun yang bertemankan Dororo dan memperkenalkan cara hidup ninja kepadanya. Dia bersifat periang, dan tidak pernah dilihat naik berang seperti mana Natsumi apabila mendapati Keroro berbuat kacau. Koyuki ialah seorang pejuang yang amat berbakat (dia pernah menewaskan Momoka ketika merebut tiket percutian kolam air panas) yang dipelajari dari suatu kampung ninja yang terselindiung bersama Dororo bagi membantu makhluk itu mencari ahli platun yang lain. Oleh sebab tinggal jauh dari bandar sewaktu kecil, dia masih mengamalkan cara hidup ninja, sungguhpun dipandang janggal oleh orang lain di sekitarnya (seperti berjalan atas dinding), dan kurang biasa dengan budaya Jepun yang biasa (seperti menghadiahkan coklat kepada seorang lelaki yang disukai gadis pada Hari Valentine, meraikan Tahun Baru cara Jepun, dan Hinamatsuri). Dia sama sekolah dengan Fuyuki, Natsumi, dan Momoka (namun dia masih memakai pakaian sekolah lamanya). Nama keluarga Azumaya bermaksud "Lembah Timur" (azuma bermaksud "timur"; manakala ya bermaksud "lembah"), manakala nama Koyuki merupakan gabungan ko ("kecil") dan yuki ("salji").
Mahkluk asing yang lain
- Angol Moa/Angol Mois (アンゴル=モア , Angoru Moa)
- "Raja Keganasan" yang cemerkap dan kurang keyakinan diri akibat impak pendaratannya dari angkasa. Dia dihantar ke Bumi untuk tiba pada bulan Julai 1999 untuk mmusnahkan Bumi, seperti yang diramal oleh Nostradamus, sebagai arahan dari bapanya. Dia berkata ketika kemunculan sulungnya bahawa dia pernah memberitahu Nostradamus untuk menyampaikan pesanan amaran kepada manusia mengenai ketibaannya. Dalam anime, dia tiba 500 tahun terlalu awal lalu berehat di orbit, sehingga bangkit pada tahun 2004, iaitu terlewat 5 tahun. Dalam manga, dia mendarat berdekatan Fuyuki, manakala dalam anime, dia mendarat dalam khemah Giroro. Dalam kedua-dua versi, Moa dibawa masuk ke rumah Hinata, di mana dia dirawat oleh Natsumi. Apabila dia bangun, dia menonjolkan rupa sebenar lalu mula memusnahkan Bumi, sehingga Keroro diminta oleh Fuyuki untuk menghalangnya. Puak Angol menggunakan senjata seakan-akan ajaib untuk memusnahkan planet. Senjatanya ialah Lucifer Spear, yang berupa dan berfungsi sebagai telefon bimbit apabila tidak digunakan. Apabila Moa melancarkan serangan peleraiannya iaitu "Harumagedon" (黙示録撃(アポクリフ・ハルマゲドン) , Apokurifu Harumagedon), Lucifer Spear menjadi tongkat emas yang mempunyai bentuk bulan pada satu hujung dan bentuk meteor pada hujung yang lain. Dia menggunakan hujung meteor untuk memulakan Harmagedon, manakala hujung bulan pula digunakan untuk membuka kunci diarinya. Moa amat rapat dengan Keroro dan memanggil Keroro "pakcik." Sesekali dia melihat sesiapa menumbuk Keroro dengan apa-apa cara, dia bertukar rupa lalu menggunakan Hellmageddon secara kecilan untuk menangkap seseorang, termasuk Keroro, dalam letupan. Tamama sering bersaing dengan Moa untuk menarik perhatian Keroro. Babak penukaran, kostum bergaya, dan aksesori berkaitan Moa menjadikannya satu parodi genre 'magical girl'. Nama Angol Mois diambil daripada istilah "Angolmois" yang terkandung dalam ramalan Nostradamus.
- Sumomo (すもも )
- Makhluk Axolotl betina berbadan serba merah jambu yang menjadi bintang nyanyian terkenal di alam semesta (secara terperincinya, kawasan liputan sebuah rangkaian penyiaran antara cakerawala.) dan merupakan idola pujaan platun Keroro. Nama Sumomo berasal dari perkataan Jepun bagi plum. Makhluk-makhluk Axolotl sepertinya boleh berubah bentuk badannya, dari bentuk asal yang menyerupai makhluk Keron menjadi bentuk manusia Bumi. Nama kaum "Axolotl" merupakan nama bagi grup amfibia yang merangkumi neut dan salamander.
- Nyororo
- Tumbuhan berwarna kuning dari angkasa lepas yang amat bergantung kepada kelembapan dan amat tertarik kepada makhluk-makhluk atau benda-benda yang amat lembap. Dijadikan sejenis hukuman kepada mana-mana pemimpin Keron yang tidak menyiapkan tugas tepat pada masanya.
- 3M dan R Grey
- Mereka merupakan pengacara-pengacara sebuah rancangan realiti popular di televisyen antara cakerawala yang pernah mengunjungi Bumi, namun terus diserang oleh Giroro. Sebelum itu dua orang makhluk yang menyamar sebagai mereka mendarat di bumi terlebih dahulu untuk menggoda wanita Bumi.
- Poyon dan Poyan
- Dua orang anggota polis angkasa. Poyon selalu tiba setiap kali sejurus sebelum Platun Keroro hampir menawan Bumi. Poyan merupakan orang bawahan Poyon.
- Viper
- Makhluk asing berupa ular tedung yang durjana dan bermusuh dengan pihak Keron dalam rebutan menawan Bumi.
- 556 (Kogoro) dan Rabi
- Kogoro ialah seorang penyiasat angkasa miskin yang cuma meraih 100 yen di Bumi dengan kemahiran detektifnya. Dia selalu ketawa tanpa mengira apa perasaan sebenarnya, cuma adik perempuannya Rabi yang memahami emosi sebenar abangnya.
Perbezaan antara manga dan anime
Adaptasi manga Keroro ke anime banyak memperlihatkan variasi, yang mana ada episod banyak menyerupai bab manga yang sejajarnya, dan ada yang cuma meminjam cerita asasnya atau menggunakan cerita asal sebagai titik permulaan.
- Barangkalinya perbezaan yang paling tidak ketara ialah bahawa dalam versi manga, Bumi digelar oleh para makhluk asing sebagai "Pokopen", manakala dalam anime, Bumi digelar "Pekopon". "Pokopen" ialah kata kesat yang digunakan oleh orang Jepun untuk menghina China ketika Perang China-Jepun, maka perkataan ini diharamkan dari rancangan televisyen oleh pihak berkuasa di Jepun.
- Sementara manga lebih cenderung kepada pembaca remaja, versi anime diubah suai untuk disesuaikan dengan kanak-kanak. Contohnya, dalam manga, apabila Natsumi memakai bikini Aki dan bertukar kembali dari bentuk dewasa menjadi bentuk remaja, bikini itu tidak turut mengecil lalu banyak memalukannya. Dalam anime pula bikini itu mengecil bersamanya.
- Oleh sebab Giroro, Kururu, dan Dororo diperkenalkan dalam anime terlebih dahulu berbanding manga, beberapa jalan cerita manga yang langsung tidak memaparkan mereka diubah suai untuk meyisipkan mereka dalam anime.
- Disebabkan perbezaan masa antara permulaan manga dengan permulaan anime, kisah latar belakang Angol Mois telah diubah suai. Dalam manga, Angol Mois tiba tepat pada masanya pada tahun 1999 untuk memusnahkan bumi sebagaimana ramalan Nostradamus, tetapi di dalam anime pula Mois tiba 5 tahun lebih lewat daripada sepatutnya (2004 dan bukannya 1999).
- Mutsumi (623) masih mengekalkan rancangan radionya dalam anime, tetapi dia merupakan seorang rakan sekelas Natsumi, dan nama keluarganya ditukarkan kepada Saburo (326) daripada Hojo. Selain itu, identiti Saburo sebagai penyampai rancangan radio 623 juga tidak diketahui oleh Natsumi serta para pendengar rancangan tersebut.
- Pada awal manga, Keroro memperoleh semula Kero Ball pada awal jalan cerita, tetapi di dalam anime pula Fuyuki menyimpan Kero Ball tersebut. Ini bermakna beberapa episod anime berteraskan Kero Ball tidak berlaku atau jika ada pun, ia berlaku dengan cara yang lain di dalam manga.
- Di dalam anime, Sumomo merupakan penyanyi popular di serata angkasa lepas yang muncul dalam beberapa episod, tetapi di dalam manga pula dia merupakan makhluk "Axotol" yang muncul di dalam episod bonus manga.
- Dororo dan Koyuki tinggal di sebelah rumah keluarga Hinata di dalam manga, tetapi di dalam anime pula mereka tinggal di dalam hutan di belakang rumah agam Momoka di mana Menara Nishizawa boleh dilihat dari rumah mereka.
- Beberapa episod dalam anime asalnya tiada di dalam manga.
- Dalam episod khas di dalam jilid ketiga manga Keroro, Sumomo tinggal bersama-sama seorang perempuan yang tidak diketahui identitinya yang mempunyai seorang ayah yang turut mengeksploitasi Sumomo sebagai sumber ilham komiknya sebagaimana Aki Hinata. Di dalam anime pula Sumomo membeli sebuah rumah di Malibu.
- Pada permulaan manga, Fuyuki merupakan murid Tahun Enam di sekolah rendah manakala Natsumi pula pelajar Tingkatan Dua. Di dalam anime pula, Fuyuki sudah pun memasuki Tingkatan Satu manakala Natsumi pula di Tingkatan Tiga.
- Di dalam manga, Fuyuki menyertai kelab supernatural yang mempunyai ramai ahli, tetapi setelah memasuki sekolah menengah dia menyertai kelab manga demi mengikuti jejak ibunya. Di dalam anime pula, Fuyuki menyertai kelab supernatural di sekolah menengah yang hanya disertai oleh Fuyuki dan Momoka.
- Pencerita tidak pernah menonjolkan dirinya di dalam manga, tetapi di dalam anime pula dia seringkali membuat kemunculan.
- Pangkat Dororo di dalam manga ialah Koperal, sementara di dalam anime pula pangkatnya ialah Lans Koperal.
- Dalam jilid ke-76 manga, Keroro bermain Game Boy Advance SP di atas katil Fuyuki, manakala dalam anime Keroro bermain Nintendo DS.
Kontroversi
Di Korea Selatan, sentimen anti-Jepun tertanam di kalangan blogger negara semenanjung itu dengan gesaan agar siri Keroro diberhentikan siarannya, atas sebab bahawa siri animasi ini memupuk imperialisme ketenteraan di kalangan kanak-kanak muda. Antara dalil-dalilnya termasuk:
- Topi kuning makhluk Keron serupa dengan topi yang dipakai oleh askar Jepun ketika Perang Dunia Kedua
- Sedutan pembuka bagi arc kedua siri ini memaparkan "Kyokujitsu-ki (bendera tentera imperial Jepun)", iaitu bendera perang Jepun yang pernah digunakan semasa Perang Dunia Kedua
- Pangkat tentera "Gunso" di Jepun dipisahkan menjadi dua pangkat berlainan selepas perang dunia, maka penggunaan "Gunso" sebagai perkataan utama tajuk siri ini memupuk militarisme
Kebanyakan rakyat Korea menganggapnya sebagai reaksi yang keterlaluan, kerana rancangan pencerobohan tentera Keroro kerap gagal dengan teruknya, maka ini boleh dipandang sebagai mempersendakan idea imperialisme yang kolot dalam konteks Jepun moden. Sebaliknya, Keroro memupuk konsep persahabatan, keadilan, dan kebaikan, jika hanya melalui bagaimana untuk tidak berancang untuk menakluki dunia.
Selain itu, Tamama dicurigai sebagai homoseksual lalu dikritik oleh kumpulan-kumpulan Kristian, apabila pada permulaan jilid 4 manga berkenaan, watak berkenaan mabuk pada sebuah parti Tahun Baru lalu mengakui azam tahun barunya ialah untuk berasmara dengan Keroro.
Pautan luar
- (Jepun) Laman web Keroro Gunsō
- (Jepun) Laman web Keroro Gunsō Sunrise
- (Jepun) Laman web Keroro Gunsō TV Tokyo
- (Inggeris) Panduan episod Keroro
- (Inggeris) Laman web rasmi manga Sgt. Frog Tokyopop Diarkibkan 2007-04-28 di Wayback Machine
- (Inggeris) Laman web rasmi SGT. FROG ADV Films Diarkibkan 2007-12-14 di Wayback Machine
- (Inggeris) Keroro di IMDb
- (Inggeris) Laman web Keroro Platoon HQ Diarkibkan 2007-04-30 di Wayback Machine
- (Korea) Laman web Gaeguri Jungsa Keroro di Tooniverse Diarkibkan 2007-05-11 di Wayback Machine
- Anime and manga articles using obsolete and incorrect infobox parameters
- Siri manga
- Manga (tahun keluaran hilang)
- Rencana anime dan manga dengan parameter kotak info yang usang hilang
- Rencana anime dan manga yang menggunakan parameter kotak info yang usang dan tidak betul
- Anime (tahun keluaran hilang)
- Rencana anime dan manga dengan parameter kotak info yang hilang
- Anime
- Manga shōnen