Kepala Desa ialah ketua desa di Indonesia. Tempoh jawatannya enam tahun yang boleh diperpanjang lagi untuk satu penggal. Beliau tidak bertanggungjawab kepada Camat, tetapi hanya diselaraskan olehnya. Jawatan Kepala Desa juga disebut dengan nama lain, misalnya Wali Nagari di Sumatera Barat, Pambakal di Kalimantan Selatan, dan Hukum Tua di Sulawesi Utara.
Istilah Lurah sering kali dikelirukan dengan jawatan Kepala Desa. Sememangnya secara sejarah, ketua desa di Jawa umumnya dikenali sebagai Lurah. Namun dalam konteks Kerajaan Indonesia, sebuah kelurahan diketuai oleh seorang Lurah, manakala sebuah desa diketuai oleh Kepala Desa. Tentu sahaja kedua-duanya berbeza kerana Lurah adalah pegawai perkhidmatan awam yang bertanggungjawab kepada Camat, manakala Kepala Desa biasanya dijawat oleh sesiapa sahaja yang memenuhi syarat (biasanya berbeza-beza antara satu desa sama lain), dan dipilih secara langsung oleh penduduk desa setempat melalui Pilihan Raya Kepala Desa (Pilkades).
Bidang kuasa
Bidang kuasa kepala desa antara lain termasuk:
- Memimpin pemerintahan desa berdasarkan dasar-dasar yang ditetapkan bersama Badan Musyawarah Desa (BPD)
- Mengajukan rancangan peraturan desa
- Menetapkan Peraturan Desa yang telah disetujui bersama BPD
- Menyusun dan mengajukan rancangan peraturan desa tentang Belanjawan Desa (APB Desa) untuk dibahaskan dan ditetapkan bersama BPD.
Larangan
Kepala Desa dilarang menjadi:
- pengurus parti politik (tetapi boleh menjadi anggotanya)
- ketua atau anggota Badan Musyawarah Desa (BPD) dan lembaga kemasyarakatan
- anggota Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD)
- terlibat dalam kempen-kempen Pilihan Raya Umum, Pilihan Raya Presiden, dan Pilihan Raya Kepala Daerah.
Kepala Desa boleh diberhentikan atas cadangan Ketua BPD kepada Bupati/Walikota melalui Camat, berdasarkan keputusan Badan Musyawarah Desa (BPD).
Pilihan Raya Kepala Desa
Kepala Desa dipilih secara langsung melalui Pilihan Raya Kepala Desa (Pilkades) oleh penduduk desa setempat. Calon untuk jawatan Kepala Desa harus sekurang-kurangnya memenuhi syarat-syarat yang berikut:
- 25 tahun
- mempunyai sijil Sekolah Menengah Pertama (SLTP)
- merupakan penduduk desa setempat.
Penyelenggaraan Pilihan Raya Kepala Desa dilaksanakan oleh Jawatankuasa Pilihan Raya yang dibentuk oleh Badan Musyawarah Desa (BPD). Keanggotaan jawatankuasa tersebut terdiri daripada para pegawai-pegawai perkhidmatan awam desa, pengurus lembaga kemasyarakatan, dan tokoh masyarakat.
Cara pemilihan Kepala Desa berbeza-beza antara satu desa sama lain. Pemilihan Kepala Desa dan tempoh jawatannya berdasarkan undang-undang adat setempat serta hak tradisionalnya setakat masih wujud dan diakui keberadaannya melalui peruntukan-peruntukan undang-undang adat setempat.