Kemahiran antara perorangan atau kemahiran interpersonal merujuk kepada algoritma mental dan berkomunikasi yang digunakan semasa komunikasi dan interaksi sosial untuk mencapai kesan atau keputusan tertentu.
Konsep asas yang berkaitan dengan komunikasi interpersonal ialah seperti konsep kendiri, sikap, sahsiah, nilai dan matlamat. Ia akan membantu mewujudkan seorang individu yang berkebolehan dan berkeyakinan semasa berinteraksi dengan khalayak ramai.
Konsep asas berkaitan kendiri
Konsep kendiri
Setiap dari kita mesti mempunyai suatu gambaran atau pandangan tentang diri kita sendiri. Gambaran ini disebut konsep kendiri atau imej kendiri. Ia merangkumi gambaran tentang rupa, kesihatan, kebolehan, kelemahan dan tingkah laku kita. Konsep kendiri dibentuk hasil daripada interaksi anda dengan orang lain dan penyesuaian diri anda dengan alam sekitar. Penyesuaian yang berjaya akan menghasilkan konsep kendiri positif manakala kegagalan akan membawa kepada konsep kendiri negatif. Konsep kendiri seseorang juga dipengaruhi oleh tanggapan orang lain terhadap dirinya.
Perlu diingatkan bahawa konsep kendiri hanya akan terbentuk apabila kita berinteraksi dengan seseorang dan penyesuaian diri dengan alam sekitar.
Takrifan konsep kendiri: ‘Gambaran atau pandangan tentang rupa, kesihatan, kebolehan, kelemahan dan tingkah laku diri sendiri’
Konsep kendiri telah diperkenalkan oleh William James (Deaux & Wrights, 1988). James telah menyifatkan kendiri sebagai ‘saya’ atau ‘aku’. Dan ‘aku’ dilihat dari perspektif yang luas dan meliputi badan, pemikiran, pakaian, tempat tinggal, isteri, anak-anak, kawan-kawan, nenek moyang, reputasi, taraf pendidikan dan perkara-perkara yang berkaitan dengan diri sendiri. Ini semua merupakan suatu pengalaman yang luas dan mempengaruhi kesejahteraan diri. James juga mempercayai pengalaman kendiri ini merupakan pengalaman sosial di mana identiti personal bergantung kepada hubungan kita dengan orang lain serta menjadi hak peribadi. Konsep kendiri juga merupakan identiti diri dan ia mempengaruhi diri dengan persekitaran sosial.
Konsep kendiri yang teguh ialah dengan memastikan keseimbangan JERIS (Jasmani, Emosi, Rohani, Intelek dan Sosial) di dalam hidup atau diri seseorang.
- Konsep Jasmani – kepercayaan terhadap diri sendiri dari sudut fizikal.
- Konsep Pergaulan Sosial – jenis-jenis pergaulan yang disukai atau tidak serta penerimaan masyarakat terhadap diri individu.
- Konsep Emosi – seperti periang, sensitif dan sebagainya
- Konsep Intelek – prestasi di dalam pelajaran serta konflik diri terhadap tahap kebijaksanaan yang terdapat di dalam diri individu.
Konsep kendiri terdiri daripada dua jenis iaitu konsep kendiri positif dan konsep kendiri negatif.
Individu yang mempunyai konsep kendiri yang positif lazimnya dapat menghadapi masalah dan cabaran-cabaran dengan tabah, bersifat optimistik, sikap lebih terbuka serta sedia menerima pendapat dan kritikan orang lain. Dia bersifat lebih relaks, mudah berinteraksi dengan orang lain serta senang dihampiri. Keadaan emosinya lebih tenang dan stabil.
Individu yang mempunyai konsep kendiri negatif akan berasa tidak puas hati, tidak gembira, cepat merajuk serta mudah tersinggung perasaannya. Masalah-masalah tingkah laku seperti ini menyebabkan dirinya kurang diterima oleh rakan-rakan sebaya, guru dan masyarakat. Keadaan ini akan memburukkan lagi imej kendiri pelajar berkenaan. Mereka akan mempunyai aras keyakinan diri yang rendah, sifat rendah diri, pasif, muram, tidak bersedia untuk bersosialisasi ataupun mula menarik diri, mudah tersinggung, tidak gembira, cepat merajuk dan pesimistik.
Berikut merupakan panduan untuk membentuk konsep kendiri yang positif ke atas individu.
- Pastikan matlamat yang hendak dicapai dengan jelas
- Setiap manusia tahu apa yang mereka perlukan. Kita hendaklah mempunyai matlamat yang praktikal dan realistik dalam membentuk konsep kendiri. Dengan adanya kemahiran yang mantap dan mutu diri yang baik membantu mencapai matlamat tersebut.
- Membuat keputusan sendiri
- Kita hendaklah membuat keputusan sendiri dan tidak meniru keputusan orang lain kerana hanya kita sahaja yang tahu tahap kemampuan diri. Mereka juga perlu bersedia menanggung risiko daripada keputusan yang diambil.
- Membayangkan hasil yang diharapkan
- Kita perlu membayangkan hasil yang baik dalam setiap apa yang hendak dicapai dan berusaha untuk mendapatkan hasil yang dibayangkan dengan berfikiran positif.
- Membentuk kemahiran profesional
- Kemahiran profesional yang kita bentuk akan mengukuhkan konsep kendiri kita dan akan bertambah yakin dalam melakukan sesuatu perkara.
- Menggunakan kaedah sokongan
- Melalui cara psikologi, kita hendaklah membelai diri kita dengan ganjaran atau hadiah kepada diri sendiri di atas hasil dan prestasi yang telah dilakukan.
- Menerima hakikat kelemahan diri.
- Setiap individu perlu menerima kelemahan diri sendiri.
Sikap
Takrifan sikap
- “Kesediaan seseorang yang bersifat mental dan saraf untuk bertindak terhadap sesuatu objek atau suasana (situasi) tertentu yang terbentuk melalui pengalaman dan mempengaruhi seseorang terhadap sesuatu (objek) dan situasi tadi.” (Allport, 1935)
Sikap seseorang bukannya dimiliki secara semulajadi, tetapi ia dipelajari melalui pengalaman dan ini bermakna sikap adalah dinamik dan boleh diubah melalui pendidikan dan latihan. Sikap juga mempunyai peranan penting sebagai faktor pendorong dalam tindakan manusia sama ada untuk menerima atau menolak sesuatu. Namun, sikap tidak boleh dilihat atau diukur secara terang, kecuali dalam bentuk-bentuk kelakuan atau tindakan yang dikesan secara tidak langsung melalui tindakan-tindakan tertentu yang dizahirkan. Sikap adalah spontan dari segi tindakan.
Fernandes (1985) mengatakan bahawa sikap adalah perasaan suka atau tidak suka terhadap sesuatu kelompok, institusi atau konsep. Birren dan rakan-rakan (1981) berpendapat bahawa sikap boleh menentukan bagaimana keperibadian seseorang dilahirkan kerana ia adalah kumpulan hasil penilaian seseorang terhadap objek, orang lain atau masalah-masalah sosial tertentu. Beberapa pakar berpendapat bahawa sikap terdiri daripada tiga komponen iaitu komponen kognitif, afektif dan tingkah laku. Komponen kognitif merujuk kepada kepercayaan atau keyakinan yang menjadi pegangan seseorang. Komponen afektif adalah perasaan yang dimiliki oleh seseorang terhadap sesuatu objek. Komponen tingkah laku pula adalah kecenderungan untuk bertingkah laku atau berbuat dengan cara-cara tertentu terhadap sesuatu objek. (Sherwood & Wagner 1969, Gahagan 1980 dan Sears et. Al. 1988).
Ringkasnya dapatlah dirumuskan sikap sebagai keinginan untuk memberi tindak balas sama ada secara positif atau negatif terhadap sesuatu perkara yang dilahirkan ke dalam bentuk tindakan yang zahir dan boleh dinilai.
Sahsiah
Sahsiah berasal daripada Bahasa Arab yang bermakna keperibadian. Keperibadian merupakan sifat seseorang yang sudah sebati dengan dirinya.
Sikap individu, norma dan nilai yang dipegang oleh seseorang secara tidak langsung akan mempamerkan sahsiah mereka sama ada baik atau tidak. Sahsiah merupakan sifat dan sikap seseorang yang dilihat dari aspek luaran dan dalaman. Sahsiah adalah keperibadian seseorang. Sahsiah dapat dipamerkan melalui perwatakan yang baik.