Acara pembukaan kejohanan pada 2007 | |
| Sukan | Besbol |
|---|---|
| Ditubuhkan | 1915 |
| Bil. pasukan | 49 (56 dalam edisi khas) |
| Negara | |
| Venue | Stadium Koshien Hanshin |
| Juara lalu | Okinawa Shogaku (Ke-107 - 2025) |
| Juara terbanyak | Chukyōdai Chukyō (7 gelaran) |
| Rakan kongsi TV | NHK, ABC |
| Kejohanan berkaitan | Kejohanan Jemputan Besbol Sekolah Menengah Jepun |
| Laman web rasmi | https://vk.sportsbull.jp/koshien/ https://baseball.yahoo.co.jp/hsb_vk/ |
Kejohanan Besbol Sekolah Menengah (全国高等学校野球選手権大会, Zenkoku Kōtō Gakkō Yakyū Senshuken Taikai) Jepun, lebih dikenali sebagai "Musim Panas Koshien" (夏の甲子園, Natsu no Kōshien) merupakan kejohanan besbol sekolah menengah diadakan setiap tahun peringkat kebangsaan di Jepun. Kejohanan ini ialah acara sukan amatur yang terbesar di negara itu.
Kejohanan ini dianjurkan oleh Persekutuan Besbol Sekolah Menengah Jepun bersama akhbar Asahi Shimbun, dan diadakan semasa cuti sekolah musim panas. Peringkat akhir kejohanan berlangsung selama dua minggu pada bulan Ogos, melibatkan 49 pasukan dari seluruh Jepun, dan diadakan di Stadium Hanshin Koshien (阪神甲子園球場, Hanshin Kōshien Kyūjō) yang terletak di daerah Koshien, bandar Nishinomiya, wilayah Hyōgo, Jepun.
Latar belakang
Pada masa lalu, pasukan dari luar negara juga pernah mengambil bahagian dalam kejohanan ini. Korea menghantar pasukan dari tahun 1921 hingga 1940, manakala Taiwan dan Manchuria turut menyertai dari 1923 hingga 1940.
Sebanyak 49 sekolah yang mengambil bahagian dalam pusingan akhir mewakili juara wilayah dari setiap wilayah Jepun (dengan dua wakil dari Hokkaidō dan dua dari Tokyo). Dari pertengahan Jun hingga Julai, kejohanan peringkat wilayah diadakan untuk menentukan pasukan yang akan mara ke Koshien.[1]
Peraturan kejohanan ini ialah sama seperti Kejohanan Jemputan Besbol Sekolah Menengah Kebangsaan. Ia merupakan kejohanan penyingkiran tunggal dengan perlawanan sembilan inning.
Sehingga tahun 2021, permainan akan dikira rasmi selepas tujuh inning lengkap jika perlawanan ditunda (disebabkan cuaca dan sebagainya), kecuali perlawanan akhir yang mesti dimainkan hingga tamat.
Bermula tahun 2022, setiap perlawanan mesti berlangsung sembilan inning penuh, kecuali jika peraturan perbezaan larian (run rule) diaktifkan. Jika perlawanan ditangguhkan kerana cuaca buruk, ia akan disambung semula dari titik gangguan dan diteruskan hingga tamat sembilan inning.
Bagi kejohanan peringkat wilayah, perlawanan akan dihentikan jika satu pasukan mendahului sekurang-kurangnya 10 larian selepas lima inning, atau 7 larian selepas tujuh inning, kecuali dalam perlawanan akhir peringkat wilayah. Pemukul khas (designated hitter) tidak digunakan. Setiap perlawanan dikendalikan oleh empat pengadil, kecuali untuk perlawanan malam, di mana dua pengadil tambahan di garisan luar (outfield) ditugaskan.
Pasangan perlawanan dan pasukan yang mendapat pengecualian pusingan awal ditentukan melalui undian. Sebanyak 34 pasukan bertemu dalam pusingan pertama, manakala 15 pasukan yang mendapat pengecualian akan menyertai pada pusingan kedua (menjadikan 32 pasukan bertanding dalam pusingan kedua). Oleh itu, pasukan perlu menang lima atau enam perlawanan untuk bergelar juara.
Sehingga 2002, kesemua empat perlawanan suku akhir dimainkan dalam satu hari, tetapi selepas itu, ia diubah kepada dua perlawanan sehari selama dua hari bagi memberi masa rehat kepada pemain. Jika hujan berterusan lebih daripada tiga hari, empat perlawanan akan diadakan dalam satu hari — seperti yang berlaku pada tahun 2003, menjadikan tahun 2004 kali pertama suku akhir rasmi dimainkan selama dua hari. Untuk menampung perubahan ini, tradisi lama memulakan kejohanan pada 8 Ogos telah diubah kepada sehari atau dua hari lebih awal.
Waktu mula perlawanan setiap hari biasanya bermula sekitar 8:00 pagi, dan setiap perlawanan berikutnya akan dimulakan kira-kira 30 minit selepas perlawanan sebelumnya tamat. Disebabkan kadar permainan yang pantas, khususnya dengan gaya lontaran pelempar yang efisien, empat perlawanan dalam satu hari biasanya dapat diselesaikan sebelum matahari terbenam.
Extra inning
Bagi kejohanan sebelum tahun 1958, tiada had bagi babak tambahan (extra inning) sekiranya permainan berakhir seri selepas sembilan inning . Pada tahun 1933, Masao Yoshida telah melontar keseluruhan permainan sepanjang 25 inning tanpa bolos dalam perlawanan separuh akhir, sebagai satu rekod sepanjang zaman. Yoshida membuat 336 lontaran dalam perlawanan tersebut.
Pada tahun 1958, permainan dihadkan kepada 18 inning, dan sekiranya masih seri, perlawanan perlu diulang sepenuhnya pada hari lain. Pelontar pertama yang melengkapkan permainan penuh selama 18 inning ialah Eiji Bando dalam perlawanan suku akhir tahun 1958. Daisuke Matsuzaka pula menjadi pelontar terakhir yang bermain permainan penuh melebihi 15 inning (17 inning dengan 250 lontaran pada tahun 1998). Kini, pelontar dihadkan kepada maksimum 15 inning sahaja.
Dari tahun 2000 hingga 2017, permainan dihadkan kepada 15 inning, dan jika masih seri, perlawanan perlu diulang pada hari lain. Pada tahun 2006, peraturan ulang semula ini digunakan selepas keputusan seri 15 inning dalam perlawanan akhir.
Mulai tahun 2018, Persekutuan Besbol Sekolah Tinggi Jepun mengehadkan permainan biasa kepada 12 inning (kecuali untuk perlawanan akhir kejuaraan), tetapi perlawanan akan diteruskan dengan peraturan tiebreaker dari Konfederasi Besbol Sofbol Dunia (WBSC), di mana inning tambahan bermula dengan pelari di tapak pertama dan kedua, berdasarkan dua pemukul sebelumnya dalam giliran pemukul.
Mulai tahun 2023, peraturan tiebreaker akan digunakan seawal inning ke-10.
Selain itu, jika permainan tergendala akibat cuaca buruk atau had masa (curfew) semasa inning tambahan, perlawanan akan diisytiharkan seri dan diulang pada tarikh terdekat yang mungkin.
Tradisi
Lagu tema kejohanan ini ialah “The Laurels of Victory Shine on You” (bahasa Jepun: 栄冠は君に輝く, Eikan wa Kimi ni Kagayaku), yang bermaksud “Mahkota Kemenangan Bersinar Untukmu”.
Kebiasaannya, siren udara digunakan untuk menandakan permulaan dan tamatnya sesuatu perlawanan. Tradisi ini telah direkodkan sejak 1936. Asal usulnya tidak diketahui, tetapi berdasarkan tempoh masanya, iaitu sebelum wujudnya komunikasi massa, dipercayai bahawa penggunaannya ketika itu adalah sama seperti hari ini, iaitu untuk memberi isyarat kepada penonton dan kakitangan stadium bahawa perlawanan sedang bermula atau telah tamat.[2]
Setiap lima tahun, kejohanan ini akan meraikan ulang tahun penubuhannya, dan pada edisi-edisi tersebut, bendera kejuaraan berwarna merah tua digunakan sebagai simbol peringatan. Selain itu, bilangan pasukan yang layak ke peringkat akhir juga akan ditambah. Pengecualian dibuat pada tahun 2024 (edisi ke-106) bagi meraikan ulang tahun ke-100 pembinaan dan perpindahan kejohanan ke Stadium Koshien.
Bagi pelajar tahun ketiga sekolah menengah, kekalahan dalam kejohanan ini menandakan tamatnya karier besbol sekolah menengah mereka, kerana tiada lagi kejohanan utama selepas itu dalam kalendar akademik. Maka, menangis kerana kesedihan selepas perlawanan sengit atau kekalahan merupakan pemandangan yang biasa dilihat di Koshien.
Satu lagi tradisi biasa selepas perlawanan ialah mengutip tanah dari padang dalam Stadium Koshien sebagai cenderamata. Tanah yang dikutip oleh pemain yang terpilih itu akan dikongsi bersama ahli kelab besbol sekolah mereka. Bagi pelajar tahun ketiga, tanah tersebut disimpan sebagai kenangan akhir karier besbol sekolah menengah mereka, manakala bagi pelajar tahun pertama dan kedua, ia diberikan sebagai sumber inspirasi untuk kembali ke Koshien pada tahun berikutnya. Namun begitu, ada juga pasukan yang menolak untuk menerima tanah tersebut sebagai cara simbolik untuk berikrar akan layak semula ke Koshien dengan usaha sendiri.
Sesetengah pasukan juga memilih untuk menabur sedikit tanah Koshien di padang latihan mereka, sebagai simbol membawa tuah dan semangat perjuangan ke dalam kejohanan tahun berikutnya.
Satu kejadian menarik yang luar biasa berlaku pada tahun 1958. Ketika itu, Okinawa masih di bawah pentadbiran Amerika Syarikat, dan pasukan Shuri dari Okinawa buat kali pertama menyertai kejohanan musim bunga dan musim panas. Selepas tewas kepada Tsuruga (dari Fukui) pada pusingan pertama kejohanan musim panas, para pemain Shuri cuba mengutip tanah dari padang dalam Koshien. Namun begitu, mereka tidak dibenarkan membawa tanah tersebut pulang ke Okinawa, kerana ia dianggap sebagai 'tanah asing',[3] dan terpaksa membuangnya di pelabuhan.
Apabila mendengar kisah itu, pramugari sukarelawan daripada Japan Airlines mengambil inisiatif untuk mengutip batu dari pantai Nishinomiya dan menderma batu-batu itu kepada Sekolah Shuri. Batu-batu tersebut kini masih dipamerkan di perkarangan sekolah sebagai Monumen Persahabatan (友愛の碑, Yūai no Ishibumi), bagi memperingati penyertaan pertama pasukan Shuri di Koshien.[4]
Budaya popular
Kejohanan Besbol Sekolah Menengah Jepun (Kōshien) sering muncul dalam budaya popular Jepun dan Asia, terutamanya dalam manga, anime, dan filem. Beberapa penampilan paling terkenal termasuk siri manga dan anime seperti Touch, H2, dan Cross Game oleh Mitsuru Adachi, Ace of Diamond oleh Yūji Terajima, dan Major oleh Takuya Mitsuda menonjolkan perjuangan pasukan sekolah menengah yang berusaha untuk layak ke Kejohanan Kōshien. Siri-siri ini menekankan semangat juang, persahabatan, dan impian remaja melalui kisah sukan.
Seterusnya, filem Taiwan pada 2014, Kano berdasarkan kisah benar pasukan besbol Sekolah Tinggi Kagi Nōrin (sekarang dikenali sebagai Universiti Kebangsaan Chiayi) di Kagi (sekarang Chiayi), Taiwan. Pasukan ini yang terdiri daripada etnik Jepun, Han Cina, dan peribumi Taiwan layak ke kejohanan untuk kali pertama pada tahun 1931 selepas tiga musim pertama mereka tanpa kemenangan. Mereka memenangi tiga perlawanan untuk mara ke perlawanan akhir sebelum tewas 4–0 kepada Chukyō Shōgyō dari Nagoya. Kejayaan ini menandakan penampilan pertama daripada empat kali pasukan Kano layak ke Kōshien (1931, 1933, 1935, dan 1936).
Pada 2023, rangkaian TBS menghasilkan drama aksi langsung berdasarkan buku Gekokujō Kyūshi. Buku ini menceritakan kisah Sekolah Menengah Hakusan, sebuah sekolah kecil di Mie, yang berjaya mencatat kemenangan besar mengejutkan dalam Kejohanan Wilayah 2018, sekali gus membawa sekolah itu ke Kejohanan Musim Panas Kōshien buat kali pertama dalam sejarahnya.[5][6][7]
Kejohanan Musim Panas Kōshien juga terkenal sebagai platform untuk melahirkan ramai pemain besbol terkenal yang kemudiannya draf ke Nippon Professional Baseball (NPB) dan seterusnya ke Major League Baseball (MLB). Antara nama-nama terkenal termasuk Ichiro Suzuki (Rookie Terbaik dan MVP 2001)[8], Daisuke Matsuzaka (MVP World Baseball Classic 2006 dan Juara World Series 2007)[9], Yu Darvish (lima kali All-Star MLB[10] dan Shohei Ohtani (Rookie Terbaik 2018, tiga kali MVP, dan MVP World Baseball Classic 2023).[11]
Catatan
- ^ Takahara, Kanako, "Japan baseball stars first shine bright at Koshien Diarkibkan Jun 6, 2011, di Wayback Machine", Japan Times, July 24, 2007, p. 2.
- ^ "甲子園に鳴り響くサイレン、いったい何のため?" [What is the purpose of the sirens sounding at Koshien?]. J-CAST News (dalam bahasa Jepun). August 10, 2019. Diarkibkan daripada yang asal pada August 25, 2024. Dicapai pada July 4, 2023.
- ^ "〈甲子園アルバム11〉港で捨てた「外国の土」" [Memories of Koshien 11: "Foreign Soil" was discarded at the Port] (dalam bahasa Jepun). Asahi Shimbun. July 25, 2008. Diarkibkan daripada yang asal pada July 25, 2008. Dicapai pada July 4, 2023.CS1 maint: unfit URL (link)
- ^ "高校野球100年のものがたり: 海に捨てられた思い出は「友愛の碑」に" [100 Years of High School Baseball in Japan: Memories Discarded at Sea Become a "Monument of Friendship"]. Sanspo (dalam bahasa Jepun). Sankei Shimbun. August 16, 2015. Diarkibkan daripada yang asal pada July 4, 2023. Dicapai pada July 4, 2023.
- ^ 下剋上球児 - 株式会社カンゼン (dalam bahasa Jepun). Kanzen. March 2019. ISBN 978-4-86-255499-4. Diarkibkan daripada yang asal pada February 1, 2024. Dicapai pada February 1, 2024.
- ^ "Worst to First: A Baseball Miracle". TBS Contents. Diarkibkan daripada yang asal pada February 1, 2024. Dicapai pada February 1, 2024.
- ^ "Worst to First: A Teen Baseball Miracle Live-Action Show Gets Animated Sequences by Cloverworks". Anime News Network (dalam bahasa Inggeris). February 1, 2024. Diarkibkan daripada yang asal pada February 1, 2024. Dicapai pada February 1, 2024.
- ^ "Dispatch #1: A handful of dirt". sinkhole (dalam bahasa Inggeris). March 29, 2018. Diarkibkan daripada yang asal pada November 1, 2022. Dicapai pada November 1, 2022.
- ^ Curry, Jack (February 11, 2007). "Matsuzaka Masterpiece: Glimpses of Greatness in Arm of Teenager". The New York Times (dalam bahasa Inggeris). ISSN 0362-4331. Diarkibkan daripada yang asal pada November 1, 2022. Dicapai pada November 1, 2022.
- ^ Barclay, Shane (February 8, 2022). ""It was unbelievable." Bob Fontaine Jr. Scouts Yu Darvish at Koshien". JapanBall (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada November 1, 2022. Dicapai pada November 1, 2022.
- ^ "Shohei Ohtani is 'Made In Japan' with American adaptations". AP NEWS (dalam bahasa Inggeris). July 18, 2022. Diarkibkan daripada yang asal pada November 1, 2022. Dicapai pada November 1, 2022.
Pautan luar
| Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan Kejohanan Besbol Sekolah Menengah Jepun |
- At Asahi Shimbun's website, complete scorebooks for the entire tournament are available.
- Kokoyakyu – High School Baseball A brief description of the Kōshien summer tournament
- High School Baseball: Longest win streaks entering 2024 season








