KAMI - The Series | |
---|---|
Genre | Drama |
Pencipta | Fariza Azlina Effendi Mazlan |
Dibangunkan oleh | Red Communications |
Dibintangi oleh | Liyana Jasmay Syarul Ezani Juliana Evans Nas-T Ani Zayanah Ibrahim |
Lagu pembukaan | La La La Kerjalah oleh Meet Uncle Hussain |
Lagu penutup | Lagu Untukmu oleh Meet Uncle Hussain |
Negara asal | Malaysia |
Bahasa | Bahasa Malaysia |
Bilangan musim | 1 |
Bilangan episod | 8 (Senarai episod) |
Penerbitan | |
Penerbit eksekutif | Lina Tan |
Tempoh siaran | 1 jam setiap episod |
Penyiaran | |
Saluran asal | 8TV |
Siaran asal | 5 September 2007 |
Pautan luar | |
Laman sesawang |
KAMI ialah tajuk yang diberi kepada sebuah siri drama televisyen Malaysia yang merupakan komponen utama dalam projek KAMI yang dilancarkan oleh Nokia untuk melariskan pemuzik indie tanahair. Siri terbitan Red Communications sepanjang lapan episod ini disiarkan di 8TV setiap Rabu, 10 malam mulai 5 September 2007. Siri TV KAMI dibintangi Liyana Jasmay, Syarul Ezani, Juliana Evans, Nas-T dan Ani Zayanah Ibrahim.
Pada tahun 2008, siri KAMI keluar di dalam bentuk DVD sekitar bulan Ogos, ditambah lagi dengan susulan kisahnya oleh filem KAMI the Movie yang ditayangkan kepada umum mulai 1 Oktober sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Plot
Lynn ialah seorang gadis sekolah menengah yang meminati muzik indie dan berusaha untuk membantu mempopularkan muzik berkenaan dengan menerbit fanzine sendirinya yang bertajuk KAMI yang dibiayai melalui cara-cara yang luar biasa. Namun, cabaran paling getir menemui Lynn apabila dia sekeluarga berpindah ke Kuala Lumpur semata-mata kesalahan yang dilakukan Lyn sendiri. Setibanya di ibu kota, dia menemui empat orang kawan baru yang menghulurkan tangan mereka kepadanya untuk mencapai impiannya.
Oleh sebab empat kawan itu juga mengalami konflik peribadi sendiri, mereka berlima sedar bahawa mereka menjejaki jalan yang sama untuk mengenali diri dan tidak dapat lagi mengelakkan diri daripada meragui diri, hubungan, tekanan ibu bapa dan ketidakpuasan hidup dalam kebasian pinggir bandar. Oleh sebab tanggungjawab dewasa makin dekat untuk membebankan mereka, lima sekawan itu bersyukur kerana ada satu benda yang meringankan hati mereka – persahabatan mereka - dan iringan muzik yang melambangkan saat-saat paling mengelirukan dalam hidup mereka, iaitu usia remaja.
Watak
Watak utama
- Lyn (Liyana Jasmay)
- Seorang gadis dari pekan kecil Kuala Kubu Baru yang mengimpikan peluang untuk mengembara dan menjadi seorang penulis yang terkenal. Sifat berdikari dan pandainya membawa dirinya menjual kerja rumahnya kepada pelajar-pelajar di sekolahnya untuk mencari duit lebih untuk membeli sebuah komputer baru. Berbekalkan keyakinan diri dan hasrat yang tinggi untuk berjaya sebagai seorang penulis, Lynn juga menulis fanzinenya sendiri – KAMI, menggunakan nama samaran "Teka-Teki".
Namun, dalam keghairahannya untuk mendapatkan duit Lynn bertembung dengan seorang penjual dadah yang bernama Boy dan mula terjerumus dalam dunia pengedaran dadah. Tindakannya memaksakan ibu Lynn untuk membuat keputusan berpindah ke KL dan memulakan hidup yang baru. - Ali (Syarul Ezani)
- Anak seorang usahawan yang ingin menceburi diri dalam bidang muzik tetapi kurang berkeyakinan diri untuk meneruskan cita-citanya dan juga suka memendamkan perasaan. Ali pernah menjalani program pemulihan dadah dan sedang berusaha untuk mendapatkan kembali kepercayaan ibu terhadap dirinya, tetapi melihatkan keretakan perkahwinan ibubapanya yang disebabkan oleh kemerosotan urusniaga bapanya dan kedinginan ibu terhadap dirinya mula memberi tekanan kepada Ali.
- Sofie (Juliana Evans)
- Seorang gadis jelita yang ingin diambil serius kerana kepandaiannya dan bukan kerana paras rupanya. Seperti Ali, Sofie juga membesar melihatkan keretakan perkahwinan ibu bapanya. Kini setelah ibunya meneruskan perceraian buat kali kedua, Sofie mula berasa tertekan menurut kehendakan ibunya yang ingin membentuk Sofie sebagai isteri yang sempurna. Pengaruh ibunya juga telah menjejaskan hubungan antara Sofie dengan Ali.
- Abu (Nas-T)
- Kawan setia Ali yang sentiasa boleh diharapkan dan seorang yang suka bergurau dan pandai mengambil hati. Di sebalik paras rupa yang ceria itu, Abu sebenarnya menyimpan perasaan sedih kerana sikap dingin Bapanya disebabkan peristiwa silam. Tetapi penglibatan Abu dalam kecurian dan pergaduhan merenggangkan lagi perhubungan antara dia dan bapanya.
- Adii (Ani Zayanah Ibrahim)
- Sepupu Ali yang ceria perwatakannya dan sentiasa inginkan rakan-rakannya gembira. Walaupun terpaksa berhadapan dengan masalah pendengaran ibunya yang menimbulkan situasi-situasi yang memalukan, Adii sentiasa cuba bersikap positif. Hubungan yang dijalinkan bersama seorang lelaki yang ditemui menerusi laman web tidak kesampaian apabila lelaki itu menghilangkan diri secara misteri. Sungguhpun begitu, Adii tetap menaruh harapan untuk bertemu dengannya.
Episod
KAMI - The Series berbeza daripada siri-siri drama lain kerana teknik penceritaanya. Jika dalam siri-siri lain setiap episod bermula kisahnya dengan bersinambung daripada penghujung episod sebelumnya, dalam siri KAMI episod-episodnya dilihatkan bertindan dengan satu sama lain dalam kesinambungan yang sama. Maka, adanya sebilangan adegan yang diulang tayang dalam episod yang berlainan untuk membantu penceritaan. Lima episod terawal mengisahkan peristiwa hidup kelima-lima watak utama yang berlaku lebih kurang serentak, mulai dengan kisah Lyn di episod pertama diikuti dengan kisah setiap watak lain yang turut menyisipkan beberapa minit kisah Lyn selepas peristiwa dalam episod pertama itu. (Lihat ruangan Pertindanan babak-babak di bawah)
# | Siaran pertama | Sinopsis | Artis yang ditampilkan |
---|---|---|---|
1 | 5 September 2007 | Semata-mata untuk mengendali fanzine KAMI serta menggantikan komputernya, Lynn bersusah-payah untuk mendapat wang, sehingga sanggup mengadakan "tuisyen" haram dan membeli dadah. Ketika menghadiri gig yang dipersembahkan oleh kumpulan Bittersweet di kelab istirahat Paul's Place, ibunya terjumpa dadah dalam almari bilik anaknya sendiri. | Bittersweet (dalam cerita)1 Meet Uncle Hussain (penutup) |
2 | 12 September 2007 | Ali dipindahkan ke sekolah baru yang pelajarnya semua lelaki, dan bercadang untuk menubuhkan satu kumpulan muzik di kalangan pelajar sekolah itu, lebih-lebih lagi menjelang satu pertandingan bakat. Pada hari pertandingan, Ali membalas ejekan seorang penonton dengan bergaduh dengannya ketika kumpulannya tengah bermain. Akhirnya, apabila mereka menjalani hukuman bersama mereka mula menjalinkan hubungan erat melalui minat yang sama—muzik. Sementara itu, Lyn terpaksa berpindah ke Kuala Lumpur bersama ibunya yang baru menjumpai dadah dalam almari Lyn. |
Bittersweet (dalam cerita1, penutup) |
3 | 19 September 2007 | Hubungan Sofie dengan Zarul, seorang lelaki yang ditetapkan oleh ibu bapa Sofie sebagai teman lelakinya, mula retak setelah Zarul melakukan perkara yang menjelikkan Sofie dalam kereta. Tambahan lagi, ibu bapa Sofie pula bercerai — perceraian kedua untuk ibunya. Maka, Sofie mula bertemankan Ali, namun keadaan tidak bertambah baik. Sofie meluahkan rasa tidak puas hati dengan merampas pentas di gig One Buck Short. Sementara itu, Lyn bergaduh dengan Boy yang menjual dadah kepadanya. |
Bittersweet (dalam cerita)1 One Buck Short (dalam cerita1, penutup) |
4 | 26 September 2007 | Selama ini, Adii sering bergaul dengan seorang yang belum ditemunya secara muka ke muka, sebaliknya hanya melalui mesej segera di komputer. Mereka berdua berhasrat untuk bersemuka, namun hasrat itu gagal dicapai. Lebih-lebih lagi, Adii tersilap sangka seorang pemuzik di kelab sebagai taman atas taliannya itu. Lama-kelamaan Abu dan Adii kian mesra sesama sendiri. Lyn pula membantu ibunya bersiap untuk berpindah ke Kuala Lumpur. |
Bittersweet1, One Buck Short (dalam cerita1) Reza Salleh (penutup) |
5 | 3 Oktober 2007 | Abu sering membimbangkan bapanya dengan masalah disiplinnya di sekolah dan di rumah. Ini diterukkan lagi dengan kematian abangnya (rakan online Adii dalam episod 4) yang mengenakan tekanan emosi kepada Abu. Dalam episod inilah pemutikan persahabatan Abu dan Ali diceritakan semula. | Bittersweet (dalam cerita)1 Moms On Strike (penutup) |
6 | 10 Oktober 2007 | Lynn menghadapi kesukaran menyesuaikan dirinya di Kuala Lumpur dan sekolah barunya yang juga dihadiri Sofie dan Adii. Sofie dan Adii cuba sedaya upaya untuk berkawan dengan Lynn sehingga berjaya apabila mereka bertiga terkurung dalam bilik stor sekolah. Dan dari situlah Lynn menemui kawan-kawan lain, termasuk Ali yang merupakan peminat setia fanzinenya. | Love Me Butch (penutup) |
7 | 17 Oktober 2007 | Kini bersatu dengan empat orang kawan barunya, Lyn gemuruh apabila mereka ingin mengenali identiti sebenar Teka-Teki. Mereka berlima berpakat untuk menghadiri gig di Planet Hollywood pada hujung minggu. Akan tetapi, keghairahan mereka tereganggu oleh kejadian seorang kenalan Abu terlibat dalam kemalangan, diburukkan lagi dengan Abu sendiri ditangkap kerana mencuri di kedai. | One Buck Short, Meet Uncle Hussain, The Times (dalam cerita) Couple (penutup) |
8 | 24 Oktober 2007 | Setelah Abu ditahan, hubungan antara empat sahabat lain renggang dan hilang semangat, terutamanya Ali yang bergelut dalam urusan kugirannya. Lynn merasa tertekan kerana perubahan mendadak ini, tetapi akhirnya menunaikan janji untuk membawa fanzinenya ke alam Internet. Meskipun Abu sering tertindas oleh penghuni yang lain dalam pusat pemulihan, namun dia tetap rajin berusaha untuk memperbaiki diri. Akhirnya Abu dikunjungi kawan-kawan dan keluarga, menandakan rasa kasih sayang dan prihatin masih diterimanya. | Nitrus (dalam cerita) |
- Nota
- 1 Bittersweet muncul dalam satu babak yang sama, iaitu babak yang dikongsi oleh kelima-lima episod terawal. One Buck Short turut muncul dalam satu babak sama yang dikongsi episod-episod berkenaan.
Pertindanan babak-babak
- Episod 1–5
- (i) Adii dan Sofie berceloteh di taman apabila Ali dan Abu tiba. Sofie mengecam rupa Abu sebagai pencuri cakera padat di kedai muzik sebelum itu. Namun, mereka berempat terus mengenali sesama sendiri dan berpakat untuk ke gig Bittersweet di Paul's Place.
(ii) Empat sekawan tersebut berseronok di gig Bittersweet yang turut dihadiri Lyn. Ketika melompat-lompat dengan girang, Ali dengan tidak sengaja menyebabkan telefon bimbit Lyn terjatuh lalu mengganggu perasaan Lyn.
- Episod 2–5
- Ali dan Sofie perasan Abu senyap-senyap mencuri sekeping cakera padat dalam kedai muzik. Ali enggan menghalang Abu lalu membuat Sofie rasa tidak puas hati dengan sikapnya.
- Episod 2 dan 5
- (i) Kelas Abu menyambut kedatangan Ali dengan ejekan.
(ii) Ketika pertandingan bakat, Abu mengejek Ali sehingga mengundang pergaduhan.
(iii) Ali dan Abu dihukum mencuci kereta guru mereka. Persahabatan Ali dan Abu mula berputik apabila mereka berdua berbual mengenai minat terhadap muzik dalam kereta guru.
- Episod 3 dan 4
- Ali, Sofie, Adii dan Abu menghadiri sebuah gig One Buck Short di mana Sofie merampas pentas.
- Episod 4 dan 5
- Adii bertemu dengan seorang pemuzik yang disalah sangkanya sebagai teman onlinenya.