Janggut | |
---|---|
Butiran | |
Pengenalpastian | |
nama bahasa Latin | barba |
TA | A16.0.00.018 |
FMA | FMA:54240 |
Terminologi anatomi |
Janggut (Jawi: جڠݢوت ) merupakan gugusan bulu badan yang tumbuh pada bahagian dagu dan pipi manusia dan sesetengah haiwan. Lazimnya manusia lelaki yang remaja atau dewasa sahaja yang tumbuh janggut. Janggut merupakan kesan petinggalan dari zaman yang mana manusia tumbuh bulu di seluruh muka dan badan seperti gorila. Kesusutan bulu ketara sekali di sesetengah kaum manusia seperti pribumi Amerika dan sesetengah penduduk Asia Timur yang rata-rata kurang bulu muka, sedangkan kaum kulit putih dan Ainu lebih bulu mukanya. Wanita boleh tumbuh janggut jika mengalami keadaan hormon kelebatan bulu berlebihan.
Sepanjang sejarah, sikap masyarakat terhadap janggut lelaki berbagai-bagai mengikut faktor seperti adat resam budaya dan agama mahupun ikutan fesyen semasa. Sesetengah agama (seperti Sikhisme) mewajibkan kaum lelaki tumbuh janggut lebat. Kalau budaya yang tidak mewajibkan sedemikian pula ada juga yang mengangkat janggut sebagai teras kejantanan, bahkan dijadikan lambang kebijaksanaan, kekuatan, kesuburan seksual dan darjat sosial yang tinggi. Dalam budaya-budaya yang jarang kelihatan bulu muka pula, janggut mungkin dikaitkan dengan kurangnya menjaga kebersihan diri, ataupun kelakuan yang "liar", tidak bertamadun ataupun membahayakan.
Biologi
Janggut muncul pada tahap akil baligh. Pertumbuhan janggut dikaitkan dengan perangsangan folikel bulu di anggota berkenaan oleh dihidrotestosteron yang terus mempengaruhi pertumbuhan janggut selepas akil baligh dicapai.