Jang Geum | |
---|---|
Hangul | 장금 |
Hanja | 長今 |
Perumian Semakan | Jang-geum |
McCune–Reischauer | Changgeum |
Dalam sejarah negara Korea, Jang Geum dikatakan satu-satunya Tabib Diraja dari kalangan wanita. Nama beliau disebut sebanyak 7 kali dalam Hikayat Wangsa Joseon. Walau bagaimana pun, catatan mengenainya agak kabur dan ringkas. Hanya diketahui, Raja Jungjong sangat kagum dengan kebolehan Jang Geum dalam bidang perubatan dan mentitahkan beliau untuk menjaga hal-ehwal kesihatan keluarga diraja. Oleh yang demikian, Jang Geum adalah orang yang ketiga tertinggi dalam turus para menteri dan dikurniakan gelaran Dae yang bermaksud “agung” dalam bahasa Korea.
Para sarjana pada masa ini masih meragui sama ada Jang Geum yang disebut dalam hikayat tersebut benar-benar wujud atau semata-mata hanya nama umum untuk seseorang yang asal-usulnya tidak diketahui. Jika sememangnya Jang Geum pernah wujud, maka sepanjang sejarah Korea sehinggalah pada hari ini, beliaulah satu-satunya wanita yang pernah menjadi tabib kepada pemimpin Korea.
Jang Geum dalam Hikayat Wangsa Joseon
[sunting | sunting sumber]- Mac-April 1515-Pada masa itu, permaisuri kedua Raja Jungjong mangkat setelah mengalami komplikasi selepas bersalin. Para menteri di dalam istana mendesak Raja untuk menghukum dengan seberat-beratnya semua tabib wanita (termasuklah Jang Geum) yang telah merawat permaisuri tersebut. Raja Jungjong menolak usul tersebut dan bertitah:
- “Jang Geum seharusnya diberi ganjaran kerana telah membantu ramai keluarga diraja wanita apabila mereka bersalin. Tetapi beta tidak pernah memberi penghargaan kepadanya. Sekarang para menteri mahu meminta beta untuk menghukumnya kerana Permaisuri telah mangkat. Sudah cukup bagi beta tidak menghukumnya, dan juga tidak memberinya sebarang penghargaan kepadanya.“
- 1524-“Jang Geum jauh lebih baik berbanding tabib wanita yang lain. Oleh yang demikian, beliau dibenarkan menjaga kesihatan Raja.“
- 1533-“Beta telah sembuh dari penyakit yang sudah berlarutan selama beberapa bulan. Para Tabib Diraja dan Para Ahli Ubat-Ubatan berhak mendapat pujian. Tabib wanita, Jang Geum dan Kye Geum masing-masing akan diberi ganjaran 15 beg beras, 15 guni kacang dan 10 gulung kain.“
- 29 Januari 1544-“Beta sudah lama tidak menjalankan tugas sejak diserang penyakit selesema. Beberapa hari lepas, beta telah menghadiri satu seminar ilmiah (untuk berbincang soal falsafah) dan disebabkan cuaca sejuk, keadaan selesema beta semakin teruk. Beta telah mengarahkan Bak Se Geo dan Hong Chim, para tabib diraja dan tabib wanita terbaik, Dae Jang Geum untuk berbincang tentang jenis ubat-ubatan yang bersesuaian. Maklumkan Menteri Kesihatan tentang hal ini.“
- 9 Februari 1544-Hikayat mencatatkan bahawa Raja telah memuji Dae Jang Geum kerana telah merawat penyakit selesema baginda.
- 25 Oktober 1544-Hikayat Wangsa Joseon juga telah mengabadikan dialog antar Jang Geum dengan salah seorang Menteri Istana tentang kesihatan Raja yang semakin merosot. Jang Geum berkata “Baginda telah beradu tengah malam dan pada awal pagi semalam. Baginda juga telah buang air kecil tetapi tidak dapat qada hajat selama 3 hari.“
- 26 Oktober 1544-“Beta masih tidak mampu qada hajat. Jenis ubat-ubatan yang akan digunakan masih dalam perbincangan dan tabib wanita (iaitu Dae Jang Geum) mengetahui segala keadaan beta“. Kemudian Jang Geum menjelaskan jenis ubat-ubatan yang diberikan oleh beliau kepada raja di hadapan para menteri.
- 29 Oktober 1544- Hikayat Wangsa Joseon menyatakan bahawa baginda Raja telah kebah dari penyakitnya dan memberi cuti kepada semua pegawai perubatannya. Walau bagaimanapun, Raja akhirnya mangkat 17 hari kemudian, iaitu pada 15 November 1544. Catatan ini merupakan catatan terakhir yang menyebut tentang Jang Geum.
Jang Geum dalam hikayat perubatan lain
[sunting | sunting sumber]Nama Jang Geum juga pernah disebut dalam “Makalah Pegawai Perubatan Rhee Korea“, seperti yang berikut:
- “Tabib Wanita Jang Geum, yang asal-usulnya tidak diketahui, telah diberi gelaran Dae Jang Geum dibawah perintah yang dikeluarkan oleh Maharaja Ke-11 Korea, Maharaja Jungjong, semasa tahun ke-18 pemerintahan baginda. Pada masa itu, tidak pernah ada seorang wanita pun sebelum Jang Geum yang menjaga kesihatan Maharaja, akan tetapi, baginda Maharaja percaya dengan kaedah Jang Geum menjaga kesihatan baginda, iaitu melalui pemakanan. Jang Geum, dengan gelaran Dae pada namanya, sememangnya adalah seorang lagenda yang akan tercatat dalam sejarah.“
Paparan dalam televisyen
[sunting | sunting sumber]Drama Korea popular, Dae Jang Geum yang menghidupkan semula watak Jang Geum dalam Hikayat Wangsa Joseon, telah menerima sambutan dan rating tontonan yang luar biasa di kalangan penonton di kebanyakan negara Asia. Walau bagaimanapun, kisah hidup Jang Geum dalam drama ini adalah rekaan semata-mata, biarpun pada akhir cerita, beliau menjadi tabib wanita yang hebat, kerana beliau dikatakan pada mulanya adalah seorang pelayan istana sebelum menjadi seorang tabib. Hal ini disebabkan kekurangan maklumat tentang kisah hidup beliau.