Umum | |
---|---|
Pengarang | Abdullah Hussain |
Negara | Malaysia |
Bahasa | Melayu |
Genre | Fiksyen sejarah |
Penerbitan | |
Penerbit | Angkatan Baru, Dewan Bahasa dan Pustaka |
Tarikh penerbitan | 1971 |
Jenis media | Cetakan (Kulit keras & Kulit lembut) |
Kawalan kewibawaan | |
ISBN | ISBN 9836287507, 9789836287502 Invalid ISBN |
Interlok ialah sebuah karya novel yang dikarang oleh Sasterawan Negara Abdullah Hussain. Novel ini dihasilkan oleh Abdullah untuk menyertai Peraduan Mengarang Sepuluh Tahun Merdeka (1967) hasil inisiatif Tun Abdul Razak (Timbalan Perdana Menteri) dalam satu ucapan makan malam anjuran Persatuan Penulis Nasional di mana novel ini memenangi hadiah sagu hati. Interlok diterbitkan Angkatan Baru untuk pertama kali pada tahun 1971. Kemudiannya ia diterbitkan dalam edisi pelajar pada tahun 2006 oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, edisi khas Sasterawan Negara (2008, DBP) dan edisi murid novel Komponen Sastera dalam Mata Pelajaran Bahasa Melayu (2010, DBP).[1]
Novel ini mengisahkan pancaroba dan persepaduan sesama kaum di Tanah Melayu ketika zaman penjajahan British pada separuh awal abad ke-20, dan sumbangan mereka kepada negara Malaysia yang merdeka. Akan tetapi, novel ini dilanda kontroversi, lebih-lebih lagi apabila dipilih sebagai bahan bacaan wajib Komponen Sastera Bahasa Melayu Tingkatan Lima pada tahun 2011, kerana sesetengah golongan India tersinggung oleh unsur sistem kasta dalam masyarakat India.[2]
Plot
Secara ringkasnya, penceritaan di dalam novel ini berkisar di dalam negeri Pulau Pinang pada awal 1900-an semasa pemerintahan Britain ke atas Malaya. Novel ini diceritakan daripada kaca mata tiga karakter, dinamakan, Seman, Chin Huat dan Maniam. Tajuk buku ini berasal dari perkataan Inggeris iaitu "interlock" yang berhubungkait dengan memanca kehidupan tiga karakter utama di dalam novel pada bab akhir.[3]
Anak Kampung Nyiur Condong
Maniam yang sudah meninggalkan isteri dan anaknya 21 tahun dahulunya, didatangi oleh Seman, anak kepada kawan lamanya yang mencari tempat tinggal dan pekerjaan di sekitar kebun getah Maniam setelah dihalau oleh Cing Huat, si "Cina Panjang" yang merampas tanahnya di Kampung Nyiur Condong. Yew Seng yang baru dihalau dari rumah setelah lama bersengketa dengan bapanya, Cing Huat tentang hubungannya dengan orang Melayu, khususnya Lazim, nekad untuk menjadi kuli lombong dekat Cangkat Janggus; di sinilah dia mengenali Kong Beng selaku kepala kuli di situ.
Seman pulang ke kampung halaman yang ditinggalkannya dua tahun setengah, lalu mendapati bahawa kekasih lamanya, Upik sudah berkahwin dengan Lazim, tetapi tidak putus asa dan meminta pertolongan Lebai Man untuk mewakilinya bagi merisik Gayah, anak Mat Ranggi pula. Mat Ranggi mula-mula tidak menerima hasrat Seman itu, tetapi akhirnya dia bersetuju setelah mengakui bahawa dia terlalu mementingkan harta benda selama ini. Sebaik sahaja berkahwin dengan Gayah, Seman memberitahu Maniam bahawa dia mahu berhenti kerja kerana hendak pulang ke kampung itu untuk berumah tangga.
Zaman Jepun
Dengan ketibaan penjajah Jepun, seluruh Tanah Melayu hidup dalam ketakutan, khususnya kaum Cina yang bertelagah dengan bangsa Jepun di rantauan dan sering diancam balas dendam Melayu ketika berniaga. Apabila kedai Cing Huat dirompak pada suatu malam, isteri dan anak perempuannya hilang, tetapi dia berjaya diselamatkan oleh Seman yang membawa mereka berlindung di rumah pekerja di kebun Cangkat Janggus. Pada suatu hari, Cing Huat disoal oleh tentera Jepun mengenai Yew Seng yang didakwa menyertai pemberontak komunis pimpinan Kong Beng. Secara senyap-senyap, Yew Seng balik ke rumahnya pada suatu malam lalu berjanji kepada bapanya untuk mencari Poh Eng yang hilang. Yew Seng berjaya berbuat demikian, pada malam yang sama kejadian penculikan pengurus ladang Jepun berlaku.
Kehilangan pengurus itu menyebabkan Maniam, Mak Limah dan beberapa orang kuli dari kebun Cangkat Janggus ditangkap lalu diseksa oleh tentera Jepun. Mujurlah, Maniam dibebaskan oleh anaknya sendiri iaitu Inspektor Ramakrisynan yang bertugas di situ, lantas meminta bantuan daripada anaknya itu supaya membebaskan Mak Limah. Cing Huat pula naik berang apabila mengetahui Seman dan Mak Limah yang menyembunyikan Poh Eng selama ini.
Zaman Jepun mendatangkan keperitan hebat kepada para petani yang dipaksa menjual hasil tani dengan harga murah kepada pihak penjajah susah sambil menerima serangan komunis yang datang membunuh pengurus ladang itu. Lazim turut ditangkap oleh kerajaan penjajah kerana menghasut orang kampung supaya jangan menjual padi mereka kepada Jepun.
Zaman Darurat dan Kemerdekaan
Setelah Jepun berundur, British kembali ke Tanah Melayu lalu berdepan dengan pemberontak komunis yang semakin mengganas dan bertindak dengan kejam terhadap orang putih dan juga rakyat Tanah Melayu, termasuk mengambil alih balai polis dan menangkap Inspektor Ramakrisynan kerana didakwa bersekongkol dengan Jepun. Namun begitu, Yew Seng berjumpa dengan Lazim yang secara kebetulannya ditahan di balai polis itu, lalu terus membebaskan kawannya itu. Lazim, bersama Mail Jambul dan Berahim mengajak orang-orang Melayu agar bersatu padu dan menentang gagasan Malayan Union yang hendak diperkenalkan oleh British. Kemudian, darurat diisytiharkan disebabkan ancaman puak komunis terhadap penjajah British dengan melumpuhkan ekonomi jajahan ini terlebih dahulu dalam langkah membebaskan negara.
Yew Seng dan Kong Beng kembali berjuang bersama komunis, dan terlibat dalam operasi menyerang hartanah pertanian milik orang putih dan membunuh pemilik-pemiliknya. Cing Huat telah dilantik sebagai pengerusi persatuan orang Cina di tempat tinggalnya demi membersihkan nama orang Cina akibat dakyah komunis serta memperjuangkan kebajikan kaum Cina. Kaum India juga mempunyai pertubuhan yang sedemikian itu, dipimpin oleh seorang guru bernama Raman yang pernah bertugas di kebun Cangkat Lima. Maniam diculik oleh segerombolan komunis lalu hampir dibunuh, mujurnya dia diselamatkan oleh Poh Eng sementara pasukan keselamatan pimpinan Inspektor Ramakrisynan berjaya menumpaskan gerombolan pengganas komunis itu yang dianggotai oleh Yew Seng.
Yew Seng dan Poh Eng menginsafi perjuangan mereka yang sia-sia selama ini kerana tidak menyangka Kong Beng ialah anggota pengganas komunis. Penduduk pekan Simpang Empat pula berasa gembira kerana tidak lama lagi Tanah Melayu akan merdeka. Seman dan isterinya Gayah, Yew Seng, Lazim, Mamat Labu, Pak Haji Man, Ah Hock, dan Raman merayakan kemerdekaan negara di Kuala Lumpur. Inspektor Ramakrisynan pula menjemput mereka datang ke rumahnya kerana Maniam hendak berjumpa dengan mereka.
Kontroversi
Apabila novel Interlok dikeluarkan dalam bentuk Edisi Pelajar untuk Komponen Sastera (Komsas) Bahasa Melayu Tingkatan Lima untuk tahun 2011, timbulnya perbalahan besar apabila sebilangan besar golongan India membantahnya kerana isi kandungannya yang merangkumi unsur-unsur sistem kasta yang menyentuh perasaan mereka, terutamanya petikan bahawa kaum India yang datang menaiki sebuah kapal ke Tanah Melayu terdiri daripada kasta pariah dan pasangan beragama Hindu yang berkahwin dikatakan menyembah Dewa Kama (Dewa Nafsu).[4] Konsep pariah digambarkan dalam kitab Hindu, Manu Smirti yang termasuk perintah mengkasi lelaki kasta rendah yang berani bergaul dengan wanita kasta lebih tinggi.[5][3]
Pada 29 Disember 2010, Kongres India Malaysia(MIC) meminta supaya Edisi Pelajar Interlok disunting isi kandungannya. Timbalan Presidennya, Datuk Dr. S. Subramaniam mengujar, "Oleh itu saya takut bahawa jika tiada perubahan dibuat kepada kandungan yang ada di dalam buku itu, ia akan memberi satu pandangan salah kepada pelajar yang akan menggunakan buku itu. Ia akan diajar kepada semua pelajar tanpa mengira bangsa... ini akan mengurangkan pemahaman mereka tentang apa yang sebenarnya berlaku di kalangan masyarakat India pada masa sekarang."[6]
Hasilnya, pada 15 Januari 2011, Interlok telah dikeluarkan dari silibus berikutan satu perbincaangan di antara Kementerian Pelajaran Malaysia dengan Dewan Bahasa dan Pustaka,[7] namun, ditarik balik pada Januari 28, 2011 berikutan satu perbincangan di antara Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak, presiden MIC G. Palanivel dan timbalan presiden MIC, S. Subramaniam serta Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin.[8]
Pada Januari 20 2011, 9 lelaki dipercayai ahli HINDRAF, telah ditangkap oleh Malaysia setelah meletakkan poster-poster yang menggesa ini diharamkan.[9]
Pada 27 Januari 2010, Menteri Pelajaran Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa buku novel Interlok kekal dalam komponen sastera Tingkatan Lima dengan sedikit perubahan kepada kandungan yang menyinggung perasaan kaum India, serta mengumumkan bahawa sebuah panel bebas ditubuhkan untuk menyediakan usul untuk meminda kandungan novel itu.[10]
Pada 27 Februari 2011 satu demonstrasi haram telah diadakan dan dianjurkan oleh HINDRAF yang menentang kemasukan novel ini di dalam kurikulum sekolah di Kuala Lumpur, 109 yang terlibat ditangkap.[11]
Pada 17 Mac 2011, sumber berita menyiarkan bahawa panel khas Interlok itu gagal menyelesaikan tugasnya dan didakwa sudah bubar pada 4 Mac, apabila tiga orang ahli berketurunan India menarik diri daripada panel tersebut.[12] Menurut wakil-wakil India yang menganggotai panel itu, pihak mereka telah mencadangkan supaya 106 perkara dipinda dalam novel itu[13], tetapi pada awalnya, Kementerian Pelajaran hanya menerima 19 pindaan tersebut, termasuk pengguguran perkataan "pariah"[14][15], tiga perkara yang menyentuh sistem kasta[14][15], dan ungkapan "orang berkulit hitam"[14][15]; penukaran istilah "tuhan" kepada "dewa"[14][15]. Tambah Tan Sri Muhyiddin Yassin, "Tiga perkara lagi iaitu yang berkaitan dengan fakta lembu sebagai binatang suci orang Hindu, keselamatan isteri Maniam di India dan upacara perkahwinan yang digambarkan sebagai meletihkan juga telah selesai."[14][15] Selain itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga menyatakan bahawa panel tersebut bersetuju supaya tujuh perkara disisipkan errata untuk "membuat pembetulan dan pengguguran terhadap beberapa frasa yang dianggap sensitif dalam amalan kebudayaan dan keagamaan masyarakat India."[14][15] Dengan pindaan itu, Kementerian Pendidikan tetap dengan pendirian supaya novel Interlok digunakan sebagai bahan bacaan Komsas Tingkatan 5.[14][15]
Pada Disember 2011, tidak lama sebelum musim persekolahan 2012, kerajaan akhirnya mengumumkan penarikan balik Interlok daripada sukatan pelajaran komponen sastera.[16]
Rujukan
- ^ Interlok novel bangsa Malaysia, Utusan Malaysia, 26 Disember 2010. Dicapai pada 5 Januari 2011.
- ^ PENA pertahan novel, Malaysiakini, 30 Disember 2010. Dicapai pada 5 Januari 2011.
- ^ a b "Unlocking the 'Interlok' issue". The Star. January 9, 2011. Dicapai pada 2011-01-28.
- ^ Interlok edisi murid kurang sesuai: MIC, Sinar Harian. Dicapai pada 5 Januari 2011.
- ^ The pariah and the pundict.
- ^ MIC Minta Lakukan Perubahan Terhadap Kandungan 'Interlok', Bernama, 29 Disember 2010. Dicapai pada 5 Januari 2011.
- ^ "'Interlok' withdrawn after discussion with Education Ministry and DBP: Murugiah". The Malay Mail. January 20, 2011. Diarkibkan daripada yang asal pada 2011-01-13. Dicapai pada 2011-01-28.
- ^ "'Interlok' stays". New Straits Times. January 28, 2011. Dicapai pada 2011-01-29.
- ^ "Arrested: 9 with "Ban Interlok" posters". The Malay Mail. January 20, 2011. Diarkibkan daripada yang asal pada 2011-06-28. Dicapai pada 2011-01-28.
- ^ Interlok stays but with amendments: DPM, The Star, 27 Januari 2011. Dicapai pada 18 Februari 2011.
- ^ "109 people linked to Hindu rights group held in Malaysia". The Hindu. 27 February 2011. Dicapai pada 27 February 2011.
- ^ "'Pengunduran' jadi persoalan". Malaysiakini. 17 Mac 2011. Dicapai pada 18 Mac 2011.
- ^ "19 offensive parts in Interlok edited". Malaysiakini. 25 Mac 2011. Dicapai pada 26 Mac 2011.[pautan mati kekal]
- ^ a b c d e f g Joseph Sipalan (25 Mac 2011). "'Paria' digugurkan dari Interlok, kata Tan Sri Muhyiddin". Malaysiakini. Dicapai pada 26 Mac 2011.
- ^ a b c d e f g "19 offensive parts in Interlok edited". The Star. 25 Mac 2011. Dicapai pada 26 Mac 2011.[pautan mati kekal]
- ^ [1][pautan mati kekal], Berita Harian, 16 Disember 2011. Dicapai pada 17 Disember 2011