Hwang Jang-yop | |
---|---|
Nama Korea | |
Chosŏn'gŭl | 황장엽 |
Hancha | 黃長燁 |
McCune–Reischauer | Hwang Changyŏp |
Perumian Semakan | Hwang Jang-yeop |
Hwang Jang-yop (17 Februari 1923–10 Ocktober 2010) merupakan seorang bekas ahli politik penting di Korea Utara yang berpaling tadah ke Korea Selatan pada tahun 1997, menjadikannya pembelot berpangkat tertinggi dari negara terpencil itu setakat ini.[1] Beliau banyak menyumbang kepada pembentukan ideologi rasmi Korea Utara, iaitu Juche.
Kehidupan dan kerjaya awal
Hwang lahir di Kangdong, Pyongan Selatan. Beliau lulus dari Sekolah Perdagangan Pyongyang pada tahun 1941, kemudian pergi ke Tokyo setahun berikutnya untuk menghadiri maktab undang-undang Universiti Chuo. Bagaimanapun, beliau berhenti dua tahun kemudian lalu pulang ke Pyongyang untuk mengajar matematik di alma maternya. Beliau menyertai Parti Buruh Korea Utara yang baru ditubuhkan pada tahun 1946; mulai tahun 1949 hingga 1953, beliau dihantar ke Universiti Moscow untuk melanjutkan pelajaran di Kesatuan Soviet, di mana beliau bertemu dengan isterinya Pak Sung-ok. Sekembalinya ke Korea Utara, beliau menjadi ketua pensyarah di Universiti Kim Il-sung, sebelum dinaikkan pangkat menjadi presiden universiti itu pada April 1965. Pada tahun 1972, beliau menjadi Pengerusi Perhimpunan Agung Rakyat dan memegang jawatan itu selama 11 tahun.[2]
Pada akhir 1950-an, Hwang menemui kertas ucapan Kim Il-sung bertarikh 1955 yang berbunyi, "Juche bererti revolusi Chosun (Chosun adalah nama tradisional Korea)." Ketika itu, Kim ingin membangunkan versi Komunisme yang tersendiri, dan Hwang-lah yang banyak bertanggungjawab atas perkembangan konsep yang dikenali sebagai "Gagasan Juche." Dalam ini, beliau membantu membatalkan segala pujaan kepada Joseph Stalin yang menjadi kebiasaan dalam ucapan Kim pada 1940-an dan awal 1950-an. Beliau juga menyelia penulisan semula sejarah Komunis Korea agar kelihatan seolah-olah Kim merupakan pengasas dan ketua Parti Buruh Korea sejak mula lagi.[3]
Walau bagaimanapun, pada tahun 1983, Hwang dilucutkan dari Perhimpunan dan kedudukannya makin jatuh; biarpun pernah menjadi guru Kim Jong-Il di Universiti Kim Il-sung, Kim hanya ingin mengecam Hwang terutamanya kerana terlalu berminat akan pembaharuan kapitalis di China.[4]
Pembelotan
Hwang berpaling tadah dalam perjalanan pulang dari percutian di Tokyo pada Februari 1997, dengan memasuki kedutaan Korea Selatan di Beijing bersama pembantunya Kim Duk-hong, presiden sebuah firma perdagangan Korea Utara di Beijing. Pyongyang dengan serta-merta mengancam untuk bertindak balas, sementara polis Beijing menutup jalan masuk kedutaan Korea Selatan.[5] Tiga hari kemudian, seorang lagi pembelot Korea Utara, Ri Han-yong, anak saudara kepada perempuan simpanan Kim Jong-il, Song Hye-rim, ditembak di luar rumahnya di Bundang, Gyeonggi-do, oleh penyerang tak dikenali yang dipercayai merupakan ejen-ejen Angkatan Khas Korea Utara; perdana menteri Korea Selatan ketika itu, Lee Soo-sung menyifatkan serangan itu sebagai tindakan balas atas pembelotan Hwang.[6] Beberapa hari kemudian, Kim Jong-il berucap di Radio Pyongyang, "Wahai pengecut, keluarlah kalau anda hendak. Kami akan mempertahankan bendera merah revolusi hingga hujungnya", seolah-olah beliau akur dengan pembelotan Hwang.[7]
Pihak berkuasa China akhirnya membenarkan Hwang untuk berlepas ke Korea Selatan melalui Filipina beberapa minggu kemudian.[8] Memandangkan Hwang berperanan penting dalam rejim Korea Utara, pembelotannya telah menyebabkan keriuhan di merata dunia, contohnya akhbar The Washington Post yang mengungkapkannya seolah-olah Joseph Goebbels berpaling tadah dari Jerman Nazi.[3]
Sejak berpaling tadah, isterinya membunuh diri manakala seorang anak perempuan mati dengan penuh misteri dengan terjatuh dari lori; anak-anaknya yang lain, seorang perempuan dan seorang lelaki, dan juga cucu-cucunya, dipercayai dihantar ke kem buruh.[4] Setelah tiba di Selatan, beliau menjadi keras mengecam Korea Utara dengan menerbitkan lebih 12 buku dan karangan, kebanyakannya menyalahkan Kim Jong-il kerana "terpesong dari juche dan membina feudalisme di tempat sosialisme", serta memanfaatkan jawatannya selaku pengerusi Institut Penyelidikan Dasar Penyatuan Semula untuk menyebarkan mesejnya. Bagaimanapun, ketika Dasar Sinar Matahari dilancarkan oleh presiden Kim Dae-jung yang menyandang jawatan pada tahun 1998, Hwang mendapati dirinya semakin tersisih; pada November 2000, beliau dilucutkan jawatan pengerusi Institut tersebut, kemudian merungut bahawa kerajaan Korea Selatan mahu beliau berdiam diri agar tidak menyinggung perasaan Korea Utara.[8]
Hwang menyumbang kepada Daily NK, sebuah akhbar Internet yang didirikan oleh para buangan Korea Utara di Korea Selatan.[9] Dalam akhbar itu, beliau memerikan perasaannya ketika berpaling tadah.[10]
Pada April 2010, Perkhidmatan Perisikan Negara mengumumkan bahawa pihaknya telah menahan dua orang ejen Korea Utara yang didakwa dihantar untuk membunuh Hwang.[11] Kedua-dua ejen itu dilaporkan berlatih selama enam tahun sebagai persediaan untuk misi mereka.[12] Mereka menyamar sebagai pembelot, tetapi terbongkar apabila disoal siasat oleh pihak berkuasa Korea Selatan. Mereka mengaku bahawa mereka akan menerima bantuan dari pensimpati Korea Utara di Korea Selatan, tetapi enggan memberikan nama apabila disoal lagi. Hwang mengulas mengenai cubaan membunuh itu, "Mati itu mati sahaja. Tiada bezanya antara mati kerana tua dengan dibunuh oleh Kim Jong-il."[13] Pada Jun 2010, Korea Selatan menjatuhi hukuman penjara 10 tahun kepada ejen-ejen itu.[14]
Kematian
Hwang ditemui mati di rumahnya pada pagi 10 Oktober 2010. Laporan awal menyatakan bahawa beliau mati akibat serangan jantung.[1]
Rujukan
- ^ a b "Hwang Jang-yop dies at 87", Korea Times, 2010-10-10, dicapai pada 2010-10-10
- ^ "Hwang Jang-yop Holds Press Conference To Explain Why He Defected from North Korea", North Korea Special Weapons Nuclear, Biological, Chemical and Missile Proliferation News, Federation of American Scientists (152), 1997-07-21, dicapai pada 2007-10-30
- ^ a b Becker, Jasper (2005), Rogue Regime: Kim Jong Il and the Looming Threat of North Korea, New York City: Oxford University Press, ISBN 019517044X Cite has empty unknown parameter:
|coauthors=
(bantuan) - ^ a b Kaplan, Fred (2003-10-30), "The Pyongyang Candidate: The Ahmad Chalabi of North Korea comes to Washington", Slate, dicapai pada 2007-10-30
- ^ "Defector says he's fed up with North Korean dictatorship", CNN, 1997-02-12, diarkibkan daripada yang asal pada 2008-01-23, dicapai pada 2007-10-30
- ^ Pollack, Andrew (1997-02-17), "Korean shooting is casting cloud on signs of thaw", The New York Times, dicapai pada 2007-10-30
- ^ Pollack, Andrew (1997-02-19), "North Korea's Leader Says 'Cowards' Are Welcome to Leave", The New York Times, dicapai pada 2007-10-30
- ^ a b Foster-Carter, Aidan (2000-11-30), "Hwang Jang-yop: an enemy of which state?", Asia Times, diarkibkan daripada yang asal pada 2006-01-15, dicapai pada 2007-10-30
- ^ Hwang, Jang-yop, "Remark on North Korean, South Korea, and the Reunification by Hwang Jang Yop, the Former International Secretary of the North Korea Workers' Party", The Daily NK, dicapai pada 2009-08-02
- ^ Hwang, Jang-yop (2009-12-21), "Thoughts of Those Left Behind", Daily NK, dicapai pada 2010-06-17
- ^ Lee, Chul-jae; Ser, Myo-ja (2010-04-21). "North assassins foiled in bid to kill top defector: Trained in China, posed as refugees to murder Kim's ex-mentor Hwang". Joongang Daily. Dicapai pada 2010-04-21.
- ^ 박진호 (2010-04-21), "'황장엽 암살조' 6년간 훈련…'최고 단계' 경호", Seoul Broadcasting System, dicapai pada 2010-04-22
- ^ Ser, Myo-ja; Yoo, Jee-ho (2010-04-22), "Assassins won't rat on spies in South", Joongang Ilbo, dicapai pada 2010-04-22
- ^ "North Koreans jailed in assassination plot", CNN, 2010-07-01, dicapai pada 2010-07-16
Pautan luar
- Himpunan Diarkibkan 2008-08-28 di Wayback Machine kenyataan akhbar Korea Utara mengenai Hwang Jang-yop