Hospital Tuaran terletak di Kampung Berungis, Tuaran, Sabah. Dengan berkeluasan 13 hektar, Hospital Tuaran ini ditadbir oleh Pengarahnya, Dr. G. Mohan a/l Gopal Naidoo. Hospital Tuaran ditadbir di bawah pengurusan Pejabat Kesihatan Kawasan Tuaran. Hospital Tuaran turut diberi jolokan oleh orang tempatan sekitar Tuaran sebagai Hospital Berungis.
Sejarah
Perkhidmatan kesihatan telah bermula di daerah Tuaran seawal tahun 1933. Pada ketika itu ia hanya dikenali sebagai Tuaran Dispensary yang dibina oleh British Charted Company dan dikendalikan oleh seorang Pembantu Perubatan dan seorang Atendan Kesihatan.
Sehingga pada tahun 1989, kerajaan di bawah pengurusan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah telah menggantikan Tuaran Dispensary dengan menyewa sebuah bangunan kedai dan dinamakan Poliklinik Tuaran sementara menunggu Hospital Tuaran (yang ada pada masa ini) untuk disiapkan sehingga tahun 1992.
Hospital Tuaran yang ada pada ketika ini telah siap dibina dan mula beroperasi sepenuhnya pada tahun 1993. Hospital ini telah dirasmikan oleh Menteri Kesihatan ketika itu, Dato’ Lee Kim Sai pada 8 April 1994.
Sehingga ke hari ini, Hospital Tuaran menjadi pusat kesihatan utama yang memberi khidmat kesihatan kepada penduduk Tuaran, Kota Belud, Ranau dan kawasan sekitarnya.
Sejak November 2010, pembangunan di Hospital Tuaran sedang giat dijalankan. Sebuah hospital baru dengan muatan 76 katil sedang dibina di belakang hospital lama. Bagaimanapun, operasi Hospital Tuaran tetap diteruskan. Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Mojilip Bumburing mengumumkan peruntukan sebanyak RM 120 juta diluluskan untuk pembinaan Hospital Tuaran yang baru. Sebelum ini, pada tahun 2007, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Abdul Razak ketika menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri turut meluluskan belanjawan beratus juta ringgit untuk membina Hospital Tuaran.
Sebelum ini, berjuta ringgit telah dibelanjakan untuk menaiktaraf beberapa unit di Hospital Tuaran seperti Unit Farmasi, Unit Rekod Perubatan, Unit Patologi dan Forensik, Unit Pengurusan dan Kewangan serta Unit Tibi dan Kusta.
Visi dan Misi
Visi
Hospital Tuaran sebagai sebuah institusi kesihatan yang mampu menyediakan perkhidmatan kesihatan yang cemerlang secara berterusan kepada semua golongan masyarakat.
Misi
Sentiasa berusaha untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan dengan memantapkan kepakaran dan mengoptimumkan penggunaan sumber manusia dalam bidang masing-masing, serta amalan budaya korporat. Mewujudkan suasana persekitaran kerja yang kondusif dan selamat, dan melengkapkan segala kemudahan, bersesuaian dengan teknologi terkini yang mampu diperolehi, demi mencapai status kesihatan yang optimum dan kehidupan yang cemerlang kepada semua golongan masyarakat.
Organisasi
Hospital diketuai oleh seorang Pengarah yang menjawat jawatan Pegawai Perubatan gred UD54 dan dibantu oleh para Pegawai Perubatan gred UD41 dan UD44 yang masing-masing bertindak sebagai Penolong Pengarah Hospital. Setiap Pegawai Perubatan diberi tugas mengetuai unit masing-masing. Pentadbiran Pengarah Hospital turut dibantu oleh seorang Penyelia Hospital dari kalangan Penolong Pegawai Perubatan U32.
Pengurusan Hospital Tuaran dilicinkan lagi dengan kewujudan Lembaga Pelawat Hospital Tuaran yang mengandungi semaksima 15 orang ahli lembaga, yang dipilih dari kalangan pimpinan dan ahli parti politik yang memerintah kawasan Parlimen Tuaran dan kawasan-kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamparuli, Sulaman dan Kiulu.
Hubungi kami
- Hospital Tuaran
- Peti Surat 996
- 89207 Tuaran
- Telefon: 088-797100/
088-788317/224/794
- Faks: 088-788167