Hikayat Isma Yatim merupakan sebuah hikayat lama Melayu. Ia termasuk dalam daftar yang disediakan oleh Werndly, yang mencatitkan berkenaan Hikayat Isma Yatim bahawa: "Bahasanya baik dan bentuk karangannya kemas".
Bentuk hikayat
Hikayat Isma Yatim mempunyai bentuk gaya jalan bahasa kesusasteraan Parsi-Arab dan boleh dikatakan tidak lagi terpengaruh oleh corak kesusasteraan Hindu-Jawa Kandungan Hikayat Isma Yatim ini menunjukkan bahawa ia merupakan kesusteraan istana, yang bertujuan untuk bacaan golongan istana, kerana jalan ceritanya banyak membayangkan hal ehwal penghidupan di dalam istana, demikian juga menceritakan sifat-sifat kebijaksanaan seseorang pegawai serta kebaktian dan taat setia kepada raja. Dari sebab itu, hikayat ini bolehlah juga dijadikan sebagai suatu contoh bagi merupakan bagaimana keadaan bentuk coraknya hasil-hasil sastera ciptaan zaman Kerajaan Melayu Melaka yang memberi penekanan kepada sifat-sifat kebijaksanaan seseorang pegawai serta kebaktian dan taat setia kepada raja.
Cetakan moden
Salinan hikayat ini telah dicetak oleh Kelly & Walsh, Ltd., Singapura pada tahun 1901, untuk kegunaan sekolah-sekolah Melayu negeri-negeri Selat. [1] Pada permulaan kata naskah salinan ini dapat dipastikan coraknya yang mencontohi kesusasteraan Parsi itu dengan menyerupai aturan pendahuluan kata Hikayat Amir Hamzah dan Sejarah Melayu, iaitu dimulai dengan puji-pujian bagi Allah Tuhan yang maha suci dan yang maha tinggi; serta memohonkan berkat shafa'at Nabi Muhammad Mustafa, s.'a.w. Tetapi pendahuluan kata Hikayat Isma Yatim ini tidaklah menyebut nama seseorang orang besar atau raja,seperti pendahuluan kata buku Sejarah Melayu ada menyebutkan nama seseorang orang besar atau raja yang menyebabkan pengarangnya bersungguh-sungguh menciptakan buah usahanya itu.
Pengenalan Hikayat Isma Yatim
Sebahagian daripada pendahuluan kata Hikayat Isma Yatim itu demikian bunyinya:
Ketahui oleh kamu, ayohai, segala saudaraku yang membaca hikayat ini, telah adalah faedah di dalamnya empat perkara: pertama, jikalau diturut saperti di dalam hikayat ini, "isharat" namanya; dan kedua, jikalau berkatakata di hadapan majlis di sebutkan dengan riwayat ini, "'ibarat" namanya; dan ketiga, jikalau ditanyai oleh segala raja-raja pada perkataan yang musykil maka berdatang sembah: "Ya tuanku demikian patik dengar di dalam hikayat", "cerita"-lah namanya; dan keempat, jikalau didengar dan dibaca oleh segala yang mashghul menjadikan suka hatinya, "hikayat" namanya; demikianlah hendak diketahui kebajikannya oleh segala. orang yang membaca hikayat ini, maka "'arif"-lah namanya. Dan jikalau tiada demikian adalah saperti ibarat gajah memamah rias, baik diikat; kera yang kecil makan buah kayu, saperti Hanoman gunong pun dapat diangkatnya, demkianlah ibarat orang yang arif dalamnya.........
Begitu juga hikayat ini menyerupai susunan Hikayat Amir Hamzah iaitu dalam perkara membahagi-bahagikan isinya kepada beberapa bab. Dalam pada itu pula pada permulaan tiap-tiap satu bab Hikayat Isma Yatim itu diterangkan pati-pati jalan cerita yang mengikutnya, misalnya bagi Bab Yang Kelima, permulaannya demikian: "Al-kisah peri mengatakan tatkala Isma Yatim bersembah syarat kepada raja; dan peri mengatakan tatkala Isma Yatim bersembahkan kehendak raja; dan peri mengatakan tatkala Isma Yatim bersembahkan segala syarat laki-laki dan perempuan; dan peri mengatakan Isma Yatim di-kurniai, (oleh) mendapat Tuan Puteri Ratna Kendi di dalam permata Nila Kendi itu; dan peri mengatakan Isma Yatim di kurniai baginda isteri; dan peri mengatakan baginda memberi kurnia akan nakhoda itu isteri, serta digelar pula oleh baginda akan dia."
Hikayat ini banyak mengandungi nasihat yang bijaksana dan tamthil ibarat yang berharga dalam hal ahwal pemerintahan dan pendidikan, serta disulam pula dengan pantun-pantun.
Ringkasan Hikayat Isma Yatim
Ringkasan kandungan Hikayat Isma Yatim ialah saperti di bawah ini:
Seorang menteri di benua Keling, Megat Nira namanya telah pergi membawa diri ke negeri Masulipatam, sebab malu alah bermain catur dengan seorang hulubalang di hadapan majlis rajanya.
Pada masa isterinya hampir akan bersalin, maka diketahuilah oleh Megat Nira daripada beberapa alamat yang disaksikannya, bahawa ia akan memperolehi seorang anak yang amat bijaksana. Hal ini terbukti apabila Isma Yatim diserahkan mengaji kepada seorang mualim bernama Sufian; dengan cepat dapat ia mengarang hikayat, mula-mulanya hikayat untuk kanak-kanak, kemudian dikarangkannya pula hikayat-hikayat yang mengandungi tamthil 'ibarat untuk menambah akal dan menyukakan hati segala golongan orang ramai hingga termasyhurlah kebijaksanaannya ke seluroh negeri itu.
Sesudah itu dikarangkannya pula sebuah hikayat yang mengandungi panduan dan nasihat bagi raja-raja, lalu ia pergi kepada perdana menteri minta persembahkan hikayat itu kepada raja. Maka oleh perdana menteri itu dibawanya Isma Yatim bersama-sama mengadap raja, dan pada hari itu juga ia telah diambil raja bekerja di dalam istana. Tiada beberapa lama sesudah itu ia telah diberi kerja menghampar permaidani raja dan kemudiannya dijadikan biduanda.
Tatkala beramah mesra dengan seorang nakhoda yang datang daripada negeri asing ke negeri Indera-Patani, Isma Yatim telah menerangkan kepada nakhoda itu enam syarat yang harus diketahui oleh dagang sebagai membalas budi, maka nakhoda itu telah menghadiahkan pakaian yang indah-indah kepada Isma Yatim, demikian juga sebuah chanda-peti permainan ajaib yang didapatnya di pulau Mutia Langkawi untuk dipersembahkan kepada raja. Di dalam peti itu ada dua buah permata Nila Kendi namanya. Sebuah daripada permata itu jika diletakkan di atas talam nescaya keluar dua ekor merak yang pandai berpantun dan berseloka; sebuah lagi permata itu jika diletakkan di atas geta keemasan akan keluar seorang puteri yang amat cantik parasnya. Dengan kebijaksanaan Isma Yatim, akhirnya puteri yang bernama Ratna Kendi Maheran Langkawi dari permata Nila Kendi itu menjadi isteri raja.
Apabila terbit ancaman tentera Raja Rum Safardan akan melanggar negeri itu maka Isma Yatim telah dinaikkan pangkatnya daripada jawatan bendahari menjadi panglima perang, dan dengan kebijaksanaannya tentera-tentera musuh itu dapat dikepungnya; tetapi kemudian kedua pihak itu telah mengikat persahabatan. Isma Yatim telah pula diangkat memegang jawatan perdana menteri.
Puteri Indera, permaisuri raja, mendapat tahu bahawa Puteri Ratna Kendi Maheran Langkawi telah hamil, maka khuatirlah ia kiranya bertambah-tambah kasih raja akan puteri itu, lalu difitnahkan oleh permaisuri, dikatakannya puteri itu hendak meracun baginda. Oleh terlalu murkanya.maka raja pun menyuruh bunuh tuan puteri itu; tetapi dengan kebijaksanaan Isma Yatim, yang melindungi puteri itu, iaitu disembunyikannya di dalam rumah di tengah-tengah sebuah kebun.
Raja telah menyesal oleh menghukum bunuh tuan puteri itu dengan tiada usul periksa lagi, maka ketika itu baharulah Isma Yatim menerangkan rahsia bahawa perintah baginda itu sesungguhnya tidak dijalankan. Puteri Ratna Kendi Maheran Langkawi bersama-sama Dewi Rum yang lahir dalam persembunyian itu, telah di sambut kembali ke istana dengan segala keraian.
Apabila raja telah mangkat maka puteri baginda itulah naik takhtakerajaan dengan geIaran Mengindera Seri Bulan di-Semudera Negara, di-bawah pimpinan dan didekan kedua ibu suri serta Perdana Menteri Isma Yatim. Pada mas a memimpin tuan puteri itu memerentah kerajaan banyak-lah nasihat dan kias 'ibarat yang amat berharga diberi oleh Isma Yatim. Akhir-nya tuan puteri itu berkahwin dengan Indera Mempelai, putera Raja Shahdon Mengindera.
Ia terdapat dalam bentuk mikrofilem dengan rujukan Microfilm: NL 2554. (1901). Singapore: Printed for the Education Office by Kelly & Walsh, 1901. (RRARE 899.2302 HIK)
Pautan luar
- http://exhibitions.nlb.gov.sg/aksara/info/AKSARAindxd.pdf Diarkibkan 2010-02-15 di Wayback Machine
- http://www.scribd.com/doc/8008981/Malay-Manuscripts-and-Early-Printer-Books-at-US-Library-of-Congress
Senarai Kesusasteraan Melayu |
---|
A - B - C - D - E - F - G - H - I - J - K - L - M - N - O - P - Q - R - S - T - U - V - W - X - Y - Z |