Hikayat Bakhtiar (bertuah) merupakan sebuah hikayat lama Melayu yang terpengaruh oleh corak kesusasteraan Parsi. Tajuk hikayat ini telah tersenarai dalam daftar Werndly yang disediakan pada T. M. 1736. Ini bererti ia wujud sebelum tarikh itu lagi.
Hikayat Bakhtiar telah dikarang dalam bahasa Parsi kira-kira pada kurun Masehi yang ke-XIII, menurut satu sumber pula pada T.M. 1203; meriwayatkan kisah Bakhtiar, putera Raja Azadbakht 'Ajam. Hikayat ini terjumlah ke dalam golongan cerita-cerita berbingkai, dengan kisah putera raja itulah yang menjadi cerita bingkainya.
Ringkasan
Ringkasan jalan cerita salinan Hikayat Bakhtiar dalam bahasa Melayunya ialah begini:
Permulaan
Raja Azadbakht bersama-sama dengan isteri baginda yang sedang hamil telah meninggalkan negeri dan takhta kerajaan kerana mengelakkan daripada berlaku perang saudara yang harus terbit dari angkara niat jahat adinda baginda sendiri yang hendak merampas kerajaan baginda itu.
Setelah beberapa lamanya baginda suami isteri itu berjalan masuk hutan keluar hutan dengan menderita azab sengsara dan lapar dahaga, maka pada suatu hari permaisuri baginda itu pun melahirkan seorang putera, tetapi oleh mengenangkan betapa kesengsaraan dan kelaparan yang akan dilalui maka terpaksalah putera itu ditinggalkan sahaja di dalam hutan.
Tuhan maha berkuasa dan maha mengasihani, kanak-kanak itu telah dijumpai oleh seorang saudagar, Idris namanya. Kebetulan pula saudagar Idris ini tiada mempunyai anak, lalu kanak-kanak itu dijadikannya anak angkat serta diberinya nama Bakhtiar, yakni "bertuah."
Tersebut kembali kisah Raja Azadbakht bersama-sama permaisuri baginda; setelah meninggalkan putera yang baru lahir di dalam hutan itu, maka baginda pun meneruskan perjalanan dengan perasaan sedih dan dukacita; tambahan tiada pula tentu ke mana hala yang hendak dituju. Selang antara beberapa lamanya berjalan itu maka baginda pun sampailah ke sebuah negeri. Ada pun raja negeri itu baru sahaja mangkat dengan tiada mempunyai seoran pun keturunan yang akan mewarisi takhta kerajaan baginda.
Sekalian menteri-menteri kerajaan itu mula-mulanya tiada tahu apa yang harus dibuat mereka; akhirnya dengan nasihat seorang menteri tua, mereka pun melepaskan seekor gajah sakti, dan beramai-ramai mereka mengikut dibelakangnya. Setelah gajah itu sampai ke pinggir negeri maka bertemulah dengan Raja Azadbakht suami isteri, lalu gajah itu pun berhenti dan menundukkan kepalanya seolah-olah menyembah. Dari peristiwa ini maka Raja Azadbakht pun dirajakan dinegeri itu.
Kesenangan
Selang beberapa tahun lamanya kemudian maka pada suatu hari saudagar Idris telah membawa Bakhtiar yang telah remaja umurnya itu mengadap Raja Azadbakht; berbetulan pada ketika itu ada pula seorang yang mengemukakan suatu masalah yang tiada dapat dijawab oleh raja dan menteri-menteri yang hadir disitu, akhirnya dengan izin raja, Bakhtiar telah dapat menghuraikan masalah itu.
Kebijaksanaan Bakhtiar itu amatlah menarik hati raja, lalu baginda meminta kepada saudagar Idris supaya Bakhtiar ditinggalkan diam di istana bersama-sama baginda tidak sekali-kali baginda mengetahui bahawa Bakhtiar ialah putera baginda sendiri maka dari semenjak itu sentiasalah Bakhtiar berdamping dengan raja. Hal ini telah metierbitkan rasa dengki sekalian menteri-menteri dan orang besar-besar kepadanya, kerana cakap-cakap mereka seolah-olahnya tiada terpakai lagi kepada raja. Mereka telah mengadakan muafakat lalu memfitnahkan Bakhtiar dengan tuduhan mengatakan ia berbuat cemar dengan saorang perempuan istana.
Mengalami bencana
Meski pun kadi yang menghakimkan tudohan itu tiada mendapati keterangan yang sah atas kesalahan Bakhtiar, tetapi oleh bantahan keras dari menteri-menteri itu maka Bakhtiar telah dihukum penjara. Hukuman ini pun tiada memuaskan hati menteri-menteri itu, mereka menuntut supaya Bakhtiar dihukum bunuh.
Bakhtiar tunduk kepada hukuman itu, tetapi ia memohonkan iaitu kiranya ia dibunuh biarlah di hadapan raja yang dikasihinya itu. Permohonannya dikabulkan dan raja pun datanglah ketempat ia dipenjarakan itu. Untuk menerbitkan perasaan insaf kepada raja tentang tuduh-menuduh orang yang tiada berdosa, maka Bakhtiar pun bercerita, dimulainya dengan cerita pemikat burung, demikian ringkasannya:
Mencari jalan melepaskan diri
Seorang pemikat burung telah beroleh seekor burong yang teramat indah rupanya, lalu dipersembahkan oleh pemikat itu kepada raja negeri Semanta Indera. Persembahannya itu telah menyebabkan raja amat kasih kepada si pemikat lalu baginda mengurniakan kepadanya jawatan menteri. Oleh hal yang demikian, terbitlah perasaan dengki sekalian menteri-menteri yang lain kepadanya, terutama sekali seorang menteri bernama Muhammad Julus.
Muhammad Julus telah mendapat suatu helah untuk membencanakan si pemikat itu lalu disembahkannya kepada raja supaya memerintahkan si pemikat itu mencarikan kelamin burung itu dalam tempoh tujuh hari, jika tidak didapatnya nescaya ia dihukum bunuh. Bagaimana pun dengan pertolongan seorang shaikh dapat juga si pemikat memperolehi kelamin burung itu.
Kejayaan si pemikat itu menyebabkan bertambah marak perasaan dengki Muhammad Julus, lalu diceritakannya kepada raja peri kecantikan puteri Maharaja Rum yang bernama Mengindera Sari itu, dan dicadangkannya supaya si pemikat di perintahkan pergi menjemput puteri itu. Tentu sekali si pemikat tiada berupaya hendak menyempurnakan perintah itu lalu ia pun pergi kepada shaikh yang telah memberi pertolongan kepadanya dahulu.
Shaikh itu telah memberi suatu akal kepadanya iaitu hendaklah ia minta supaya di-sediakan sebuah bahtera emas yang dibuat dengan perbelanjaan Muhammad Julus, untuk kenaikan puteri itu. Bagi menyediakan bahtera emas itu tentulah bukan sedikit wang Muhammad Julus yang telah habis. Apabila bahtera itu telah sampai ke negeri Rum maka si pemikat itu pun mengadap Maharaja Rum lalu menceritakan bahawa ia datang daripada negeri Semanta Indera dengan tujuan baik jua. Maharaja Rum telah membenarkan puterinya Mengindera Sari menaiki bahtera emas itu, kemudian terkembanglah layar bahtera itu lalu belayar menuju negeri Semanta Indera.
Setelah sampai maka si pemikat pun pergilah menemui shaikh yang menolongnya dahulu itu, maka shaikh itu menyuruh dia menyatakan kepada raja, iaitu apabila Puteri Mengindera Sari sedang menaiki dua belas anak tangga istana itu hendaklah tiap-tiap setingkatnya disemahkan dengan darah seekor kerbau hitam yang berali putih; jika tiada dapat diadakan maka darah Muhammad Julus akan gantinya.
Kerbau seperti yang dikehendaki itu bukanlah mudah hendak didapat, bagaimanapun dengan beberapa susah payah, serta membayar tiap-tiap seekornya dengan harga sepuluh ribu dinar, dapat juga Muhammad Julus mengadakan sebelas ekor kerbau itu, tetapi apabila puteri itu terhenti pada tingkat yang kedua belasnya maka dengan kehendak si pemikat, darah Muhammad luluslah disemahkan sebagai gantinya.
Bakhtiar menamatkan ceritanya itu sesudah lampau daripada waktu yang ditetapkan bagi menjalankan hukuman mati ke atasnya, dengan yang demikian dapatlah ia hidup sehari semalam lagi. Maka pada malam esoknya Bakhtiar bercerita lagi cerita yang keduanya dan seterusnya hingga tamat lima cerita. Dengan jalan bercerita itu Bakhtiar dapat menangguhkan hukuman mati ke atasnya selama tujuh belas hari, tetapi perdana menteri yang khianat itu masih juga tetap berpegang kepada hukuman yang telah dijatuhkan itu.
Terlepas hukuman
Dengan permohonan Bakhtiar, raja telah menitahkan orang menjemput saudagar ldris; tiada lama kemudian tibalah saudagar ldris suami isteri dengan tangis ratapnya menemui Bakhtiar. Saudagar Idris kemudiannya telah menceritakan satu persatu kepada raja bagaimana peristiwa ia menemui dan mengambil Bakhtiar dijadikannya anak angkat, serta diterangkannya bukti-buktinya sekali.
Setelah mendengarkan cerita itu barulah raja mengetahui bahawa yang sebenarnya Bakhtiar ialah putera baginda sendiri yang telah ditinggalkan di dalam hutan dahulu. Kesudahannya perdana menteri yang khianat itu di hukum penjara selama tujuh belas hari, iaitu selama Bakhtiar melalui kecemasan hukuman mati itu, tetapi kemudiannya ia di beri semula memegang jawatannya. Tiada lama sesudah itu maka tibalah pula adinda Raja Azadbakht yang Lilah insaf akan kesalahannya dan telah mengembara mencari kekandanya dari sebuah negeri ke sebuah negeri, hingga kedua bersaudara itu bertemu kembali di negeri itu.
Pautan luar
- Hikayat Bakhtiar[pautan mati kekal] di MyManuskrip | Pustaka Digital Manuskrip Melayu Diarkibkan 2012-12-07 di Wayback Machine
Senarai Kesusasteraan Melayu |
---|
A - B - C - D - E - F - G - H - I - J - K - L - M - N - O - P - Q - R - S - T - U - V - W - X - Y - Z |