article ini ditulis seperti penonjolan peribadi atau karangan pendapat bukannya perihal berbentuk ensiklopedia. |
Hikayat Aceh merupakan salah satu kesasteraan bahasa Melayu yang ditulis pada masa dahulu. Pengarangnya tidak diketahui. Ia adalah antara yang masih terselamat sehingga hari ini. Hikayat Aceh mengisahkan penguasaan Aceh di bawah Iskandar Muda dan dipercayai mula dikarang selepas penabalan Iskandar Muda iaitu 1607 dan sebelum akhir abad ke-17, apabila karya ini diketahui oleh mubalih Belanda, Leidekker.[1] Ia termasuk dalam perpustakaan Melayu yang terkandung nama-namanya di dalam daftar Werndly dalam T.M. 1736. Isi buku ini merupakan ringkasan sejarah sahaja dan bahasanya tiada hidup yakni tidak seperti bahasa yang terkandung di dalam buku Sejarah Melayu.
Kandungan
Hikayat Acheh itu mula-mulanya meriwayatkan kisah mulai daripada zaman pemerintahan Sultan Ibrahim di Acheh Utara, baginda ini dalam T.M. 1525 telah memberontak melawan Maharaja yang berkerajaan di negeri Pasai, akhirnya Sultan Ibrahim dapat mengalahkan Kerajaan Pasai itu. Maka semenjak masa itulah pusat pemerintahan di Pasai itu telah berpindah ke Acheh dan kekuasaannya semakin berkembang.
Kekuasaan Acheh telah sampai kepuncak kebesarannya pada zaman pemerintahan Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam (T.M. l606-1636), sebilangan besar negeri-negeri dalam Pulau Perca itu tertakluk ke bawah perintahnya, demikian juga negeri-negeri di dalam Semenanjung Tanah Melayu termasuklah negeri Johor. Kemudian di sebutkan pula sesudah Melaka jatuh ke tangan Feringgi berulang-ulang kali negeri itu telah diserang oleh angkatan perang Acheh dan ada kalanya berbulan-bulan pula negeri Melaka itu dikepong.
Seterusnya diriwayatkan bahawa Sultan Iskandar pernah mengesyorkan kapada Sultan Agung Mataram yang menguasai seluruh Jawa dan Madura dan pada masa itu sedang menentang kekuasaan Belanda di Jakarta supaya bersetuju bekerjasama melawan kekuasaan asing itu, tetapi syor Sultan Acheh itu telah di tolak oleh Sultan Agung Mataram. Sultan Iskandar Mahkota Alam tiada mempunyai putera melainkan puteri-puteri belaka, seorang di antara menantu baginda itu telah menggantikan baginda di atas takhta Kerajaan Acheh dengan gelaran Sultan Iskandar Thani.
Sesudah pemerintahan baginda itu Acheh telah di perintah bergilir-gilir oleh empat orang raja perempuan. Pada zaman itulah pula Kerajaan Acheh beransur-ansur lemah hingga beberapa buah negeri yang takluk kepadanya melepaskan diri masing-masing
Kehilangan kesusteraan Melayu
Banyak hasil kesusteraan Melayu yang telah musnah ditelan zaman dan peperangan. Antara punca kemusnahan tulisan kesusteraan Melayu adalah seperti lenyapnya Kerajaan Seri Wijaya serta kedatangan agama Islam ke alam Melayu, yang membawa kepada lenyapnya segala naskah-naskah kesusasteraan Melayu yang berasal dari zaman Hindu dahulu, kerana ia dianggap tidak sesuai dengan kepercayaan Islam.[2], [3]
Selain itu, kerana istana raja menjadi tempat perhimpunan buku-buku, kebanyakannya musnah binasa dimakan api seperti dalam peristiwa kebakaran istana Sultan Mansor Shah seperti tersebut kisahnya di dalam buku Sejarah Melayu[4], selain peristiwa istana Sang Nila Utama yang juga terbakar.[5]
Selain itu, dengan kejatuhan kerajaan Melaka,[6] banyak kehilangan naskah-naskah kesusasteraan lama Melayu apabila Kerajaan Melayu Melaka kalah ditawan oleh Portugis. Banyak buku dan kitab yang musnah terbakar atau tenggelam bersama Flor De La Mar (Flower of the seas). Kapal laksamana Alfonso de Albuquerque dari Portugis yang dipercayai tenggelam di perairan Aceh Tamiang dan Pasai pada Disember 1511 membawa banyak harta rampasan perang Melaka.[7]
Selain itu, berlaku juga kebakaran pada sebuah kapal yang bernama the Fame yang dalam pelayaran ke British.[8] Dalam kebakaran itu turut musnah segala muatannya iaitu berbagai-bagai khazanah termasuklah perpustakaan lama Melayu yang telah dikumpulkan oleh Stamford Raffles.[9]
Menurut keterangan Abdullah Abdul Kadir Munshi dalam hikayatnya, nyatalah amat banyak perpustakaan lama Melayu yang telah musnah dalam kebakaran kapal the Fame itu. Adapun perpustakaan lama Melayu, iaitu kitab-kitab, hikayat-hikayat dan syair-syair yang musnah itu menurut Hikayat Abdullah penuh berisi di dalam tiga buah peti kulit panjang-panjang sedepa, antaranya ada kira-kira tiga ratus buah buku-buku yang telah dijilid, tidak termasuk naskah-naskah yang belum berjilid, yang bercerai-berai, bergulung dan yang berhelai-helai. Selain daripada itu, ada lagi duah buah peti penuh berisi dengan surat-surat dan kitab-kitab Jawa, Bali dan Bugis dan tulisan-tulisan di atas daun lontar.[10]
Sesungguhnya adalah terbukti bahawa segala khazanah yang telah musnah di dalam kebakaran kapal the Fame itu amat tinggi nilainya kepada Stamford Raffles,[11] kerana ada tersebut di dalam buku yang bernama “Raffles“ of Singapore karangan Reginald Coupland, mengatakan bahawa berbagai-bagai khazanah yang telah dikumpulkan oleh Raffles sebanyak muatan lebih sebuah kapal telah sudahpun dihantarkan ke England beberapa lama terdahulu daripada peristiwa kebakaran kapal the Fame itu, tetapi segala khazanah yang terpilih dan lebih-lebih dihargainya telah dikemudiankan oleh Raffles dengan tujuan ia sendiri hendak memerhatikan keselamatan khazanah-khazanah itu dalam pelayaran. Malangnya semuanya itu telah musnah, termasuklah segala naskah buku-buku, surat-surat, tulisan di daun-daun lontar dan sebagainya yang telah disimpan ke dalam peti-peti oleh munsyi Abdullah di Singapura itu serta beberapa banyak lagi khazanah-khazanah yang telah terkumpul dan dibawa daripada Bencoolen.
Pada masa kini Hikayat Aceh menjadi salah satu sumber penting pengkajian bahasa Melayu dan untuk penyelidikan ia boleh didapati di Iskandar, T. (2001). Hikayat Aceh. Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan. (R 959.81 ISK) / Iskandar, T. (1959). De Hikajat Atjeh. ‘s-Gravenhage: Nederlandsche Boek-en Steendrukkerij V. H. H. L. Smits.(RCLOS 992.1 ISK) Penth, H. (1969). Hikajat Atjeh: Die erzahl.
Rujukan
- ^ Hikayat Aceh - malay concordance project
- ^ Lost Times and Untold Tales from the Malay World, edited by Jan van der Putten, Mary Kilcline Cody
- ^ The World's Religions: Islam, edited by Peter Clarke, Reader in Modern History and Fellow Peter Clarke
- ^ Sedjarah Melaju: menurut terbitan Abdullah, # Allah ibn 'Abd al-# (Munshi), T.D. Situmorang, Andries Tee#, Djambatan, 1952 - Indonesia - 559 pages
- ^ Dewan sastera, Volume 21, Issues 1-12, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1991 - Malay literature
- ^ The History of Malacca: During the Period of the Malay Sultanate, Buyong bin Adil (Haji.), Haji Buyong bin Adil, Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kementerian Pelajaran Malaysia, 1974 - Malacca (Kingdom) - 84 pages
- ^ Treasure in Strait of Malacca? Authorities want to float sunken Portuguese ship
- ^ Memoir of the life and public services of Sir Thomas Stamford ..., Volume 2, By Lady Sophia Raffles
- ^ The Edinburgh Review, Or Critical Journal: ... To Be Continued ..., Volume 116
- ^ Southeast Asia (Routledge Revivals): Essays in the Political Economy of ... By Richard Higgott, Richard Robison
- ^ 1824 - Sir Stamford Raffles: the wreck of the Fame
Pautan luar
- Iskandar, T. (2001). Hikayat Aceh. Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan. (R 959.81 ISK) / Iskandar, T. (1959). De Hikajat Atjeh. ‘s-Gravenhage: Nederlandsche Boek-en Steendrukkerij V. H. H. L. Smits.(RCLOS 992.1 ISK)
Penth, H. (1969). Hikajat Atjeh: Die erzahl
- PDF - Aksara: The Passage of Malay Scripts. Diarkibkan 2010-02-15 di Wayback Machine
- http://www.anu.edu.au/asianstudies/proudfoot/MCP/N/Aceh_bib.html Diarkibkan 2007-04-07 di Wayback Machine
- Pensejarahan Melayu: kajian tentang tradisi sejarah Melayu Nusantara, Yusoff Iskandar, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan, Malaysia, 1992 - Malaysia - 647 pages
- Sejarah kesusasteraan Melayu, Volumes 1-3, A. Samad Ahmad, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1965 - Literary Criticism
Senarai Kesusasteraan Melayu |
---|
A - B - C - D - E - F - G - H - I - J - K - L - M - N - O - P - Q - R - S - T - U - V - W - X - Y - Z |