Hibah merupakan sesuatu pemberian yang dilakukan oleh seseorang kepada pihak lain yang dilakukan ketika masih hidup dan pelaksanaan pembahagiannya dilakukan semasa waktu penghibah masih hidup juga. Maksud lain hibah adalah, suatu pemberian kasih sayang yang diberikan sewaktu hidup. Di mana kita berikan harta kita kepada seseorang waktu hidup dan orang yang kita berikan itu masih hidup. Tanpa ada pembayaran yang perlu penerima itu lakukan kerana ianya adalah 100% pemberian kasih sayang. Sebagai contoh kita hibahkan sebuah rumah kepada isteri kita sebagai tanda terima kasih kerana bersama-sama ketika susah dan senang dan juga kerana mengurniakan anak.
Hibah adalah berbeza dengan ‘ariyah (pinjam), di mana kedua-duanya memberi hak pemilikan kepada seseorang tanpa balasan, tetapi pemberian hak milik dalam hibah hanya berlaku ke atas zat benda (tamlik al-‘ain) manakala pemberian hak milik dalam ‘ariyah pula berlaku ke atas manfaatnya sahaja (tamlik al-manafi’).
Demikian juga pemilikan dalam hibah adalah berbeza dengan pemilikan dalam wasiat,[1] wakaf atau dhiyafah (penempatan), di mana hak milik dalam wasiat berkuat kuasa serta merta selepas orang yang mewasiat meninggal dunia.
Begitu juga halnya hibah berbeza dengan wakaf, yang mana penyerahan harta pada jalan Allah yang boleh dinikmati faedah atau manfaatnya bertujuan mendekatkan diri kepada Allah, sama ada khairat umum atau khusus.
Dari segi istilah, hibah adalah berbeza dengan pemberian (gift) menurut undang-undang Inggeris, di mana perkataan ‘pemberian’ itu adalah lebih luas pengertiannya jika dibandingkan dengan hibah, di mana istilah ‘pemberian’ itu lebih umum dan merangkumi semua jenis pindah milik.[2] Manakala pengertian hibah adalah sempit dan mempunyai konsep undang-undang yang khusus.
Hibah yang dimaksudkan sebagai sedekah ialah pemberian suatu benda kepada seseorang yang memerlukan bantuan dengan harapan untuk mendapatkan pahala di akhirat kerana Allah. Ia dilakukan secara langsung daripada pemberi kepada penerima secara sukarela dan tanpa mengharapkan balasan. Ia juga tidak memerlukan lafaz ijab dan qabul, meskipun digalakkan dan tidak boleh diletakkan sebarang syarat dan tidak boleh ditarik balik.
Hibah yang dimaksudkan sebagai hadiah ialah pemberian suatu benda kepada seseorang yang maksud memuliakan atau sebagai penghargaan kepadanya dan dilakukan kerana Allah. Ia digalakkan oleh Islam dan dilakukan secara sukarela tanpa balasan. Ia tidak memerlukan ijab dan qabul walaupun digalakkan dan tidak boleh ditarik balik atau dibatalkan tanpa kerelaan.[3]
[3] Lihat Naziree Bin Md Yusof, Hibah Dan Aplikasinya di Malaysia, Shariah Law Reports [2006] 2 ShLR, Ed. April – Jun, hlm 38-39.
[1] Wasiat ialah ikrar seseorang yang diperbuat pada masa hayatnya ke atas hartanya, atau manfaat untuk menyempurnakan sesuatu kebajikan menurut hukum syarak, yang bukan untuk ahli warisnya dan ia terlaksana selepas individu tersebut mati.
[2] “Gift” menurut kamus Oxford Advance Learner’s Dictionary bermaksud “a thing given willingly without payment” Lihat Jonathan Crowther, Oxford Advance Learner’s Dictionary, New York, OXFORD University Press, 1995, hlm 498.
“Gift – A transfer of property by one person to another without valuable consideration with the intention of benefiting the transferee. The parties are called donor and donee. Gifts are either “inter vivos”, an irrevocable title vests at once in the donee when the property is delivered. In a gift mortis causa no title vests in the donee, unless the donor dies within the period contemplated when he made the gift. At any time before death, the gift mortis causa is revocable.” Lihat Sinha & Dheeraj, Legal Dictionary, Kuala Lumpur, International Law Book Services, 1996, hlm 87.
Rukun Hibah
Rukun-rukun hibah itu ada empat iaitu pemberi hibah (wahib), penerima hibah (mawhub lahu), aqad hibah menerusi (sighah) ijab dan kabul, dan adanya barang yang dihibahkan itu (mawhub).
Perbezaan rukun ini mungkin berlaku apabila fuqaha’ lain membahagikannya kepada enam, iaitu dengan memisahkan antara proses pindah milik dan penguasaan milikan. Di samping itu, perbezaan pendapat akan menjadi lebih ketara terutamanya dalam perbahasan rukun-rukun yang telah dinyatakan tadi terutamanya frasa kontrak (sighah) atau lafaz pemberian dan penerimaan.[1]
[1] Mohd. Ridzuan Awang, 1988, “Undang-undang Mengenai Pentadbiran Dan Pengurusan Harta Orang Islam di Malaysia: Suatu Pengenalan”, Undang-undang Dan Pentadbiran Harta Pusaka Orang-orang Islam di Malaysia, Selangor: Al-Rahmaniah Publication Sdn. Bhd, hlm 18-19.
Jenis Hibah
- Hibah mutlak.
- Hibah bersyarat.