Hari Pahlawan merupakan satu hari khusus untuk memperingati jasa anggota bersenjata yang berbakti mempertahankan Malaysia. Tarikh rasminya adalah pada 31 Julai setiap tahun, walaupun kadang-kala sambutannya diawalkan atau dilewatkan dari tarikh asalnya.
Malaysia
Hari Pahlawan di Malaysia disambut setiap 31 Julai. Pelbagai acara diadakan sempena Hari Pahlawan ini bagi mengenang jasa semua pasukan keselamatan tidak kira tentera atau polis semasa zaman penjajahan, zaman darurat dan pasca-kemerdekaan.
Sebelum tahun 2010, antara pengisian sambutan Hari Pahlawan termasuklah meletak kalungan bunga oleh Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri serta ketua pasukan keselamatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan ketiga-tiga cabangnya serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan bertafakur selama seminit di hadapan Tugu Negara berhampiran Panggung Aniversari, Tasik Perdana, Kuala Lumpur. Acara tradisi ketenteraan tiupan “Last Post” dan “Rouse” serta deklamasi sajak juga dilakukan di hadapan tugu. Acara-acara keagamaan seperti majlis bacaan doa selamat, yasin, tahlil dan sebagainya juga diadakan di Masjid Negara.
Persatuan Bekas Tentera Malaysia juga melancarkan kutipan derma ke sekolah-sekolah bagi memupuk semangat menderma dan cintakan tanah air.
Pada tahun 2010, kerajaan pada masa itu telah memutuskan agar lokasi sambutan Hari Pahlawan yang sering diadakan di Tugu Negara pada setiap 31 Julai dipindahkan ke Putrajaya di sebuah dataran yang berkeluasan dua hingga tiga ekar.
Sambutan pada tahun 2010 telah diadakan di Dataran Merdeka buat kali pertama tanpa acara meletak kalungan bunga dan bertafakur di depan Tugu Negara seperti yang sering dilakukan, seiring dengan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan.[1]
Berpindah ke Putrajaya
Pada tahun 2016, sambutan Hari Pahlawan dibuat di lokasi baharu iaitu Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya yang terletak berhampiran dengan bangunan Persekutuan. Lokasi itu juga bakal menempatkan sebuah galeri sejarah ATM-PDRM.
Pembukaan Hari Pahlawan 2016 di Putrajaya dirasmikan oleh Yang Di-Pertuan Agong ke-15, Sultan Muhammad V pada 31 Julai 2016 .
Corak Persembahan & Senarai Pantomin
Persembahan "pantomin" adalah antara acara yang dilangsungkan Hari Pahlawan setiap tahun, di mana kisah perjuangan perajurit negara akan dilakonkan semula bersama pencerita dan disusuli sajak oleh pegawai PDRM atau penyajak dari ATM.
Antara persembahan yang telah dibuat oleh ATM dan PDRM sejak 2010 adalah:
*Pertempuran Bukit Candu 1942 (kisah Adnan bin Saidi)
*Pertempuran Kampung Tanduo 2013 & Ops Bamboo 75 (kisah 69 Komando)
*Pertempuran di Hutan Kinta (Kisah 2 Renjer)
*Operasi Ular (F Team Cawangan Khas)
*Pertempuran Bakara Market (MALBAT 19 Ramd Mekanis)
*Serangan di Lebuhraya Timur Barat 1977 (kisah Prebet Ielias Ibrahim PGB)
*Serangan Hendap di Kampung Simunul,Semporna (kisah Cawangan Khas & PGA)
Lihat Juga
Rujukan
- ^ "Malaysia sambut Hari Pahlawan ikut fatwa Sabtu ini, 29-07-2010, The Malaysian Insider". Diarkibkan daripada yang asal pada 2012-04-14. Dicapai pada 2010-07-30.