Gua Bewah terletak di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu, Terengganu,Malaysia. Bewah bermaksud aktiviti kenduri-kendara . Terdapat beberapa gua batu kapur yang lain di sini seperti Gua Taat dan Gua Batu Tok Bidan.
Gua Bewah juga dikenali sebagai Gua Tahi Kelawar . Najis burung kelawar menghasilkan tanah yang sangat subur khususnya di sekitar sepanjang tangga dari pelantar Bewah hingga ke pintu masuk gua dan kaya dengan tumbuhan keladi besar dan cili padi.
Tanjung Bewah dibangunkan sebagai tapak perkhemahan yang lengkap dengan tandas, pondok wakaf dan barbeque. Ramai pemancing mengunjungi Gua Bewah. [1]
Rangka manusia zaman Mesolitik
Jabatan Muzium dan Persatuan Sejarah Malaysia Terengganu pernah melakukan ekskavasi pada 10 hingga 24 Julai 1976.Artifak yang ditemui termasuklah rangka manusia, serpihan tembikar, kapak batu dan sisa makanan iaitu sisa tulang haiwan dan cengkerang-cengkerang siput sedut yang dipotong pada segmen ketiga.Titisan air menghasilkan pelbagai bentuk dan saiz formasi stalaktit (yang meruncing dari siling gua) dan stalakmit seperti burung unta dan lembaga manusia. Terdapat spesies endemik lipas ekor biru dan lumut hijau berkilauan.
Pada Mei 1956, arkeologis British, R.O.D. None yang bertugas di Muzium Perak pernah mengkaji gua itu dan menemui beberapa artifak penting zaman Neolitik termasuk kapak batu, kendi dan mangkuk tanah.
Arkeologis dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Jabatan Muzium Negara dan Lembaga Muzium Negeri Terengganu menemui rangka manusia yang dipercayai dari zaman Mesolitik berusia 8,000 hingga 11,000 tahun.
Timbalan Pengarah Institut Tamadun dan Alam Melayu (Atma) UKM, Prof Datuk Dr. Nik Hasan Shuhaimi Nik Abdul Rahman menyatakan rangka manusia purba itu dalam keadaan mengerekot . Ditemui pada kedalaman 65cm hingga 70cm. Sampel DNA (asid deoksiribonukleik) dihantar ke Amerika Syarikat untuk dianalisis.[2]
1975, rangka purba pertama ditemui di Gua Batu Tok Bidan, Tasik Kenyir.
Kerja ekskavasi dilakukan oleh 33 orang diketuai oleh Dr. Nik Hasan Shuhaimi bersama Pengarah Lembaga Muzium Negeri Terengganu, Mohd. Yusof Abdullah.[3]
Rujukan
- ^ "Rangka Manusia Zaman Mesolitik Ditemui Di Gua Bewah!!". Diarkibkan daripada yang asal pada 2010-02-11. Dicapai pada 2010-02-11.
- ^ Zaman Prasejarah di Negeri Terengganu
- ^ Rangka manusia zaman Mesolitik ditemui di Gua Bewah