Gersang | |
---|---|
Juga dikenali sebagai | Santos Child (1979-1981) |
Berasal dari | Johor Bahru, Johor, Malaysia |
Genre | Rock progresif, hard rock, slow rock, balada |
Pekerjaan | Kugiran |
Tahun aktif | 1981–1984 1986–kini |
Syarikat rakaman | Rahim Othman Production (ROP) PMC / BMG |
Pengkarya berkait | Berkumpulan |
Ahli | Man Bai (vokal) Kid (gitar utama) Ajib (gitar kedua) Acis (papan nada) Man Greng (bes) Jojet (dram) |
Bekas ahli | Hana (vokal) Man Sagap (vokal) Samad Lefthanded (gitar utama, meninggal dunia) Man Burger (gitar kedua) Kemat (bes) Yem Popeye (bes) Razak Kerajaan (dram) |
Gersang merupakan sebuah kumpulan rock yang berasal dari negeri Johor. Kumpulan ini telah ditubuhkan pada tahun 1979 di mana anggota kumpulan ini telah bertukar ganti sehinggalah ia mula dikenali pada tahun 1988. Tidak seperti kumpulan rock lain seperti Search dan Wings yang menyanyikan lagu berentak rock n roll dan heavy metal, Gersang lebih cenderung kepada irama rock progresif di mana ia dianggap sesuatu yang baharu dalam industri muzik tanah air.
Latar belakang
Sejarah awal
Kumpulan Gersang pada asalnya ditubuhkan pada tahun 1979 di Johor Bahru, Johor oleh Allahyarham Abdul Samad bin Mian (Samad, kemudian bersama Lefthanded) dan dianggotai oleh beliau sendiri sebagai pemain gitar utama dan dibarisi oleh empat orang pemuzik lain iaitu Man Burger (gitar kedua), Hana (vokal), Kemat (bes) dan Razak Kerajaan (dram), kumpulan yang pada asalnya menggunakan nama Santos Child. Kemudian pada tahun 1981, Hana, Man Burger dan Kemat pula mengambil keputusan keluar dari Santos Child kerana mereka bertiga ingin menubuhkan kumpulan yang di beri nama D'Febians bersama Aziz. Tinggallah Samad dan Razak sahaja dan secara rasmi akan berkubur kumpulan ini dengan kekosongan penyanyi, pemain gitar irama dan bes. Pada tahun yang sama, kembali mengaktifkan kumpulan ini, kebetulan Samad yang sudah mengenali Yem Popeye seorang pemain bes, Samad meminjam khidmat Yem Popeye. Razak pula memperkenalkan Man Sagap dan Ajib kepada Samad seorang penyanyi dan pemain gitar. Samad tertarik dengan karekter dan aksi Man Sagap menjadi penyanyi dan Ajib bermain gitar utama manakala Samad diserap sebagai pemain gitar kedua dan terus mempelawa Man Sagap dan Ajib menyertai kumpulan Santos Child untuk menggantikan tempat Hana sebagai penyanyi dan Man Burger sebagai pemain gitar kedua. Maka dari situlah Ajib juga merupakan anggota asal kumpulan Gersang. Tidak lama secara kebetulan Yem Popeye sekaligus menyambung khidmatnya bersama Santos Child dan kumpulan ini menukar namanya menjadi Gersang. Mereka kemudiannya menyertai pertandingan Juara-Juara Rock 2 di Dewan Jubli Intan, Johor Bahru pada tahun 1984 dan meraih tempat ketiga sementara tempat pertama & kedua dimenangi oleh kumpulan-kumpulan Burnmarks dari Segamat dan kumpulan Hurricane yang juga dari Johor Bahru. Samad juga dipilih sebagai pemain gitar terbaik. Kemudian pada bulan Disember, kumpulan Gersang memutuskan untuk dibubarkan apabila Samad keluar dan berikutan dengan empat orang iaitu Man Sagap, Ajib, Yem Popeye dan Razak.[1]
Pada tahun 1986, Gersang telah diaktifkan kembali untuk menyertai pertandingan Rock Festival Malaysia dan mereka dinobatkan sebagai juara keseluruhan dalam pertandingan tersebut. Pada kali ini, Gersang telah merekrut dua anggota baharu dari kumpulan Firestarter iaitu Hamzah bin Mohd Taib (Kid - gitar) dan Abdul Rahman bin Osman (Man Bai - vokal).
Setelah berakhirnya pertandingan tersebut, Gersang telah dihampiri oleh Rahim Othman yang juga salah seorang juri untuk pertandingan tersebut. Rahim kemudiannya menawarkan kontrak kepada Gersang setelah melihat potensi dan bakat yang ada pada mereka, seterusnya mengajak mereka untuk segera berhijrah ke Kuala Lumpur.
Namun disebabkan mempunyai pekerjaan tetap dan mempunyai keluarga, sebahagian besar anggotanya tidak dapat memenuhi lamaran daripada komposer terkenal itu. Kid yang menginginkan kumpulan ini menjadi artis rakaman telah meminta restu daripada rakan-rakannya untuk membawa nama Gersang dalam industri muzik tanahair. Untuk memenuhi lamaran tersebut, maka Kid telah mengajak Man Bai dan seorang rakannya yang berasal dari Batu Pahat iaitu Hairozaman bin Sain atau dikenali sebagai Man Greng untuk menjadi pemain bes Gersang.
Pada masa yang sama, Rodzane bin Haji Mohamed atau Jojet, anak kelahiran Johor yang menetap di Kuala Lumpur telah bergiat aktif sebagai pemuzik bebas setahun meninggalkan kumpulan Blackjack (Wings). Bakat luar biasanya itu telah menarik minat Ito Blues Gang dan Yem Bai (pemain bass kumpulan BPR). Ito dan Yem Bai yang mendapat tahu kumpulan Gersang memerlukan pemain dram, terus sahaja membawa Jojet untuk berjumpa dengan Man Bai, Kid dan Man Greng. Setelah mengadakan perbincangan, Jojet akhirnya bersetuju untuk menjadi pemain dram Gersang dan bermulalah karier mereka berempat sebagai artis rakaman.
Puncak populariti dan penyertaan Acis
Setelah Gersang lengkap berempat, mereka telah memulakan kerja-kerja rakaman album pertama di Booty Studio, Kuala Lumpur. Album sulung mereka yang berjudul sendiri ini diterbitkan oleh Rahim Othman di bawah label Pacific Music Corporation (PMC - kemudiannya dikenali sebagai BMG Pacific). Selain anggota-anggota Gersang dan Rahim Othman, lagu-lagu dalam album ini juga mendapat sentuhan dari beberapa orang pemuzik dan penulis lirik seperti Din Search (abang kepada Kid), Juwie dan Islah Ibrahim (turut menjadi sessionist untuk keyboard dalam album Gersang).
Album pertama mereka telah menggegarkan dunia seni tanah air muzik apabila mencatatkan jualan mencecah 90,000 unit. Album yang hit dengan lagu Masih Aku Terasa telah meletakkan mereka sebagai kumpulan rock terbaik di Malaysia, sebaris dengan Search dan Wings yang popular pada ketika itu. Berbekalkan kejayaan album tersebut, mereka bercadang untuk menambah seorang lagi anggota yang bertindak sebagai pemain keyboard memandangkan lagu-lagu mereka memerlukan penggunaan instrumen tersebut. Maka dengan itu mereka telah mengadakan sesi uji bakat di Sound Dimension Studio yang terletak di Kampung Baru, Kuala Lumpur.
Setelah meneliti bakat dan kemahiran yang ditunjukkan oleh beberapa peserta yang ingin mencuba nasib untuk menyertai Gersang, akhirnya mereka telah memilih seorang remaja yang bernama Hashridz Murshim bin Hassim yang lebih dikenali sebagai Acis. Acis yang ketika itu berusia 18 tahun dan sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebelum itu telah mengenali Man Bai ketika bermain bola sepak di kawasan perumahan mereka. Dengan kemasukan Acis sebagai anggota baharu Gersang, susunan muzik Gersang menjadi lebih mantap dan mereka terus sahaja memulakan proses rakaman album kedua pada tahun yang sama.
Album kedua mereka yang berjudul Takdir telah membawa Gersang ke tahap yang lebih tinggi apabila album tersebut mencatatkan jualan melebihi 80,000 unit dengan lagu hitnya, Suratan Takdir. Album yang lebih kepada genre rock progresif di samping imej yang bersih menjadikan mereka terkenal sebagai kumpulan rock yang digilai wanita.
Biarpun populariti mereka adakalanya dicemari dengan cemuhan dan kata-kata sinis daripada peminat-peminat rock kapak yang brutal, Gersang tetap utuh di persada seni tanah air apabila dua lagu mereka iaitu Masih Aku Terasa dan Suratan Takdir mara ke pertandingan akhir Juara Lagu '88.
Kejatuhan dan pembubaran
Setelah Gersang mendaki puncak populariti menerusi album Gersang dan Takdir, mereka kemudiannya menghasilkan album ketiga yang berjudul B29. Namun dalam album ini, Gersang mengalami perubahan anggota apabila Kid telah menjemput Ajib dari Johor Bahru untuk menganggotai semula Gersang sebagai pemain gitar utama, sekaligus menggantikan dirinya yang telah mengambil keputusan untuk menganggotai kumpulan rock lagenda, Search.
Perubahan ini ternyata memberi kesan kepada populariti kumpulan ini apabila album ketiga mereka gagal dari segi penjualan dengan rekod sebanyak 29,000 unit. Kegagalan album ini ternyata satu kejutan yang mencabar keyakinan mereka sebagai artis biarpun pada hakikatnya, susunan muzik dalam album ketiga mereka adalah lebih baik daripada dua album yang terdahulu. Namun begitu, lagu hits daripada album ini iaitu Bersama Suara Hati sering diputarkan di corong radio dan turut layak ke peringkat akhir Juara Lagu '89, di mana kumpulan Search yang dianggotai Kid menjadi Juara Keseluruhan menerusi lagu malar segar mereka, Isabella.
Walaupun album ketiga mereka gagal dari segi penjualan, mereka tidak cepat melatah malah mereka mengorak langkah dengan merakamkan album keempat. Malangnya, Man Bai telah menghidap penyakit tonsil yang agak serius sehingga menjejaskan peti suaranya, seterusnya menyebabkan sesi rakaman album keempat tergendala. Dalam masa yang sama, Jojet telah dilamar oleh rakan sekolahnya, Awie untuk menganggotai semula Wings setelah pemain dramnya, Black keluar dari kumpulan tersebut.
Apabila usaha Man Bai dalam mencari penyanyi baharu untuk menggantikannya menemui kegagalan, akhirnya mereka mengambil keputusan untuk membawa haluan masing-masing pada penghujung tahun 1990 setelah selesainya kontrak persembahan Konsert Jelajah Lucky Strike.[2]
Pasca Gersang
Setelah Gersang dibubarkan, boleh dikatakan hampir kesemua anggotanya mempunyai kerjaya masing-masing. Tidak kurang juga ada yang menimba ilmu untuk mengukuhkan diri dalam bidang muzik yang diceburi.
Setelah pulih dari pembedahan tonsil dan berehat dari industri selama hampir 6 tahun, Man Bai telah menimba ilmu di syarikat Roslan Aziz Production (RAP) dalam bidang nyanyian dan urusan belakang tabir. Kemudian, beliau membuat kemunculan semula sebagai artis solo dan mengeluarkan 3 album iaitu Man Bai (1995), Positif (1999) dan Inspirasi (2011). Beliau juga telah memenangi anugerah Artis Baru Solo Lelaki Terbaik untuk album solo yang pertama itu yang berjudul Man Bai. Pada bulan Julai 2011, beliau telah mengeluarkan album baru iaitu album solo yang ketiga dalam bentuk mini album yang memuatkan 8 lagu; 5 lagu baru dan 2 lagu lama iaitu 1 lagu 2 versi dari album solo iaitu 2 versi lagu Kau Ilhamku dan 1 lagu lagi dari album Gersang yang pertama iaitu album berjudul Gersang. Album solo ketiga Man Bai itu diberi judul Inspirasi. Di dalam masa yang sama 1 lagu baru dinyanyikan di dalam album kumpulan Pop Shuvit nyanyian mereka bersama Man Bai. Man Bai juga ada pernah berlakon dalam beberapa filem seperti Layar Lara, Syukur 21, Puteri Gunung Ledang dan sebagainya serta iklan tv seperti iklan Coca Cola.[3] Lakonan Man Bai mendapat pujian dan telah memenangi anugerah Pelakon Lelaki Harapan Terbaik.
Man Greng pula telah menyertai kumpulan Mentari (kini dipanggil EYE) sekaligus menubuhkan kumpulan Keno yang sempat menghasilkan satu album di bawah label Suria Records pada tahun 1992. Beliau kemudiannya menyertai kumpulan Fly 'N' Colors dan kini mempunyai kumpulan sendiri iaitu Havoq Band yang aktif membuat persembahan di kelab. Beliau juga mempunyai perniagaan sendiri dengan menubuhkan syarikat studio yang diberi nama Havoq Music Studio. Beliau juga pernah berlakon dalam filem Kanta Serigala.
Jojet kemudiannya menyertai kumpulan Wings dari tahun 1991 sehinggalah beliau mengundurkan diri pada tahun 1994. Selepas itu, beliau kerap menjadi pemain dram undangan untuk kesemua album solo Awie yang juga rakan baiknya semasa zaman persekolahan dahulu, seterusnya menubuhkan kumpulan Dragon Malaya. Beliau juga ada berlakon dalam filem Pemburu Bayang, Putera, Sembilu II, Tragedi Oktober, Merah, Nafas Cinta dan Bara.
Kid pula telah menyertai kumpulan Search pada tahun 1989, ketika Gersang masih belum dibubarkan lagi. Beliau juga pernah berlakon dalam filem Isabella dan Fenomena. Pada waktu inilah beliau mula diiktiraf oleh peminat sebagai salah seorang gitaris terbaik dalam industri muzik tempatan berikutan petikan gitar solo lagu malar segar Search, Isabella yang cukup 'berhantu' sekaligus meraih kejayaan terbesar dalam pertandingan akhir Juara Lagu '89. Pada tahun 2000, beliau menyertai kumpulan Dragon Malaya bersama rakannya, Awie (vokal) dan Jojet (dram) setelah Search berpecah berikutan pengunduran vokalisnya, Amy pada penghujung 90-an.
Acis pula menyambung pelajaran dalam bidang muzik di ITM (kini UiTM) Shah Alam, seterusnya ke Berklee College of Music, Amerika Syarikat. Setelah tamat pengajian, beliau menjadi pemuzik sepenuh masa dan sering mengiringi artis dalam konsert-konsert berskala besar.
Ajib yang menggantikan Kid pada tahun 1989 juga masih aktif dalam muzik dan banyak menerima jemputan sebagai pemain gitar utama. Beliau kerap mengadakan kelas untuk mengajar teknik bermain gitar di Singapura.
Penyatuan Semula (Reunion)
Setelah hampir 20 tahun tidak bersama sebagai sebuah kumpulan, akhirnya Kumpulan Gersang telah membuat kemunculan semula di Konsert Inspirasi Muzik-Muzik pada 19.06.2010 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur dan disiarkan secara langsung di TV3. Kemunculan Gersang pada kali ini telah menampilkan 4 anggota sahaja iaitu Man Bai, Acis, Man Greng, dan Jojet. Shah Slam turut bersama mereka apabila beliau diberi kepercayaan untuk menggalas tugas sebagai pemain gitar utama undangan pada malam tersebut. Persembahan mereka ternyata mengubat kerinduan para peminat yang selama ini sering bertanya tentang kewujudan kumpulan ini.
Kemudian pada 1 Julai 2012, Gersang telah membuat satu showcase yang diadakan di Rum Jungle, Kuala Lumpur. Dalam showcase ini, Gersang hadir dengan lima anggota asal termasuklah Kid yang kembali ke kumpulan asalnya buat pertama kali setelah beliau menganggotai Search sejak dari tahun 1989 lagi. Mereka juga mengundang Along Exists yang juga peminat setia Gersang untuk bertindak sebagai pemain gitar kedua pada malam itu.
Pada bulan April 2018, mereka sekali lagi membuat persembahan di Anugerah Meletop Era. Kali ini, mereka tampil dengan semua anggota iaitu Man Bai, Kid, Ajib, Acis, Man Greng & Jojet. Pada malam itu, Acis juga berperanan sebagai pengarah muzik dalam anugerah tersebut. Menurut Man Bai, mereka sebenarnya ingin berkarya lagi dan mahu menghiburkan para peminat namun disebabkan komitmen dan kekangan masa setiap anggotanya, hasrat mereka ditangguhkan buat seketika.
Keahlian
Berikut adalah perkembangan barisan keanggotaan Gersang sejak awal penubuhannya sehingga sekarang.
Santos Child 1979
- Hana - Vokal
- Samad - Gitar utama
- Man Burger - Gitar kedua
- Kemat - Bes
- Razak Kerajaan - Dram
Santos Child/Gersang 1981
- Man Sagap - Vokal
- Najib Yaakub (Ajib) - Gitar utama
- Samad - Gitar kedua
- Yem Popeye - Bes
- Razak Kerajaan - Dram
Gersang 1987
- Abdul Rahman bin Osman (Aman, Man Bai) - Vokal
- Hamzah bin Mohd Taib (Kid) - Gitar utama
- Hairozaman bin Sain (Man Greng) - Bes
- Rodzane bin Haji Mohamed (Jojet) - Dram
- Mohd Islah Ibrahim - Sessionist (Keyboard)
Gersang 1988
- Man Bai - Vokal
- Kid - Gitar utama
- Man Greng - Bes
- Jojet - Dram
- Hashridz Murshim bin Hassim (Acis) - Keyboard
Gersang 1989
- Man Bai - Vokal
- Man Greng - Bes
- Jojet - Dram
- Acis - Keyboard
- Ajib - Gitar utama
Gersang Reunion
- Man Bai - Vokal
- Kid - Gitar Utama
- Ajib - Gitar Kedua
- Acis - Keyboard
- Man Greng - Bass
- Jojet - Dram
Diskografi
Gersang telah menghasilkan 3 buah album studio iaitu Gersang, Takdir & B29. Mereka pernah menghasilkan album keempat tetapi tidak dapat disiapkan akibat penyakit tonsil yang dihidapi Man Bai. Namun begitu, kesemua muzik untuk lagu-lagu dalam album tersebut telah berjaya dirakamkan.
Album Kumpulan Gersang
Tahun | Judul | Jualan |
---|---|---|
1988 | Gersang
|
|
1988 | Takdir
|
|
1989 | B29
|
|
1993 | Gersang Dalam Kenangan
|
Pencapaian
- Artis Berkumpulan Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian pada tahun 1988 (ABPBH 1988).
- Finalis Juara Lagu 1988 (lagu Masih Aku Terasa & Suratan Takdir)
Trivia
- Setelah hampir 30 tahun penubuhan Gersang, mereka sepatutnya boleh berbangga kerana setiap daripada anggotanya berjaya dalam bidang masing-masing biarpun mereka tidak dapat mengecapi banyak kejayaan ketika bersama sebagai sebuah kumpulan rock tanah air.
- Pemain gitar utama kumpulan Gersang, Kid merupakan anak kepada komposer Allahyarham Taib Othman & juga anak saudara kepada pemilik syarikat rakaman ROP iaitu Allahyarham Rahim Othman.
- Kid juga mempunyai dua orang abang yang bergiat aktif dalam industri muzik, antaranya Nordin yang merupakan pemain gitar irama kumpulan Search yang disertainya pada tahun 1989. Seorang lagi abangnya, Musa yang dikenali sebagai Lomaq merupakan pemain bass kumpulan Kris dan bekas anggota Kumpulan Mega sekaligus pemain bass pertama Kumpulan Handy Black sebelum digantikan oleh Badd selain bekas pemain gitar utama SYJ.
- Kid kini mempunyai kedai kopi sendiri iaitu Bangi Kopitiam yang ditubuhkan bersama 3 orang rakan kongsinya. Kedai kopinya bukan sahaja terkenal di Malaysia, malah turut mempunyai beberapa cawangan di Indonesia.
- Rahim Othman merupakan bekas anggota kumpulan Carefree yang terkenal dengan lagu Rindu Bayangan dan Belaian Jiwa. Beliau juga merupakan orang yang banyak menaikkan kumpulan rock 90-an melalui lagu-lagu ciptaannya seperti Takdir Dan Waktu (Mega) dan Untukmu Ibu (Exists).
- Setelah Man Bai memulakan karier solo beliau pada tahun 1995, Man Bai merupakan antara penyanyi rock yang pernah berkolaborasi dengan kumpulan nasyid Malaysia menerusi lagu Harapan Ramadhan bersama Raihan yang dikeluarkan sekitar tahun 1999.
- Man Bai dan Kid berkongsi tarikh dan tahun kelahiran yang sama di mana mereka berdua lahir pada 30 November 1967.
- Acis kini menjadi pengarah muzik dalam mana-mana konsert dan rancangan realiti di bawah anjuran Astro. Beliau juga telah mendirikan rumahtangga dengan ratu jazz negara, Datuk Shiela Majid pada tahun 2003 dan kini mereka mempunyai studio sendiri iaitu Akarkarya Sdn. Bhd.
- Album keempat Gersang yang tidak dapat disiapkan setelah Man Bai dijangkiti penyakit tonsil akhirnya diberikan kepada Kumpulan Teja sebagai album pertama mereka yang dikeluarkan pada tahun 1990. Salah seorang anggota Kumpulan Teja ialah pemain bassnya, Empy yang kemudiannya menyertai Kumpulan Spring pada tahun 1994.
Rujukan
- ^ Dunia ROCK Malaysia
- ^ "Masih aku terasa, Berita Harian,". Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-07-16. Dicapai pada 2012-08-01.
- ^ Fighting fit, By N. RAMA LOHAN, Friday August 12, 2011, The Star Online[pautan mati kekal]