| Umum | |
|---|---|
| Pengarang | Ngeo Boon Lin |
| Negara | Malaysia |
| Bahasa | Bahasa Inggeris |
| Penerbitan | |
| Penerbit | Gerakbudaya Enterprise |
Tarikh penerbitan | 2013 |
Gay is OK!: A Christian Perspective (Melayu: Gay OK!: Sebuah Perspektif Kristian) ialah sebuah buku berbahasa Inggeris yang diterbitkan di Malaysia. Ia dikarang oleh Ngeo Boon Lin, dan diterbitkan oleh Chong Ton Sin melalui syarikat penerbitan Gerakbudaya pada 2013. Buku ini memberikan pandangan alternatif daripada perspektif Kristian sama ada homoseksual harus ditentang.[1] Buku ini diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri pada November 2020 atas alasan kandungan buku tersebut mungkin memudaratkan ketenteraman awam, kemoralan dan kepentingan awam.[2]
Kronologi pengharaman
November 2020
Kementerian Dalam Negeri (KDN) mewartakan Perintah Larangan terhadap buku ini mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301). Perintah Larangan itu dikeluarkan melalui Warta Kerajaan P.U.(A) 340 bertarikh 27 November 2020. Kandungan penerbitan buku ini yang dilihat cuba mempromosikan budaya homoseksual di Malaysia adalah melanggar sensitiviti agama dan budaya di negara ini.[2]
Februari 2021
Penerbit dan penulis buku ini memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk membatalkan perintah larangan tersebut di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melalui firma guaman Tetuan AmerBon. Kedua-dua permohonan semakan kehakiman berkenaan mendakwa larangan itu tidak rasional dan tidak keseimbangan kerana tidak ada kejadian yang tidak diingini yang dicetuskan oleh buku itu sejak diterbitkan lebih tujuh tahun lalu.[3]
Mei 2021
Dalam afidavit yang difailkan pada 27 Mei, Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin berhujah walaupun tiada kejadian tidak diingini berlaku sepanjang tempoh lapan tahun sejak buku itu diterbitkan, buku berkenaan masih dianggap sebagai promosi homoseksual, yang masih boleh menjejaskan orang ramai.[4]
Februari 2022
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan semakan kehakiman untuk membatalkan perintah larangan ke atas buku ini. Buku tersebut dibenarkan untuk dijual dan diedarkan di Malaysia. Mahkamah juga memerintahkan responden (Menteri Dalam Negeri dan kerajaan) membayar kos sebanyak RM5,000.
September 2023
Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Menteri Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia untuk mengembalikan semula perintah mengharamkan buku ini, sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi. Mahkamah turut memerintahkan penerbit dan penulis membayar kos RM15,000 kepada Menteri Dalam Negeri dan kerajaan untuk prosiding di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.[5]
Rujukan
- ^ "Pengharaman buku 'Gay is Ok' sejajar undang-undang". Malaysiakini. 2023-05-19. Dicapai pada 2025-06-01.
- ^ a b Bernama (2020-12-18). "KDN warta Perintah Larangan pada dua buku". Malaysiakini. Dicapai pada 2025-06-02.
- ^ Rashid, Hidir Reduan Abdul (2021-03-30). "Penerbit, penulis saman k'jaan atas pengharaman buku 'Gay is Okay!'". Malaysiakini. Dicapai pada 2025-06-02.
- ^ Rashid, Hidir Reduan Abdul (2022-02-22). "Mahkamah batal perintah larangan ke atas buku 'Gay is OK!'". Malaysiakini. Dicapai pada 2025-06-02.
- ^ BERNAMA (2023-09-25). "Perintah haramkan buku ' Gay is Ok' kekal". Harian Metro (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2025-06-02.








