Gavrilo Princip (bahasa Cyrillic Serbia: Гаврило Принцип ; 25 Julai 1894 – 28 April 1918) ialah ahli Pemuda Bosnia (sebuah kongsi gelap Serbia) yang membunuh Archduke Franz Ferdinand dari Austria dan isterinya, Sophie, Duchess dari Hohenberg di Sarajevo pada 28 Jun 1914. Peristiwa itu yang dikenali sebagai pembunuhan di Sarajevo mencetuskan tindak balas Austria terhadap Serbia dan mengakibatkan Perang Dunia I.
Kehidupan awal
Princip dilahirkan di Obljaj, sebuah desa yang berhampiran dengan Bosansko Grahovo, Bosnia dan Herzegovina, kepada seorang posmen. Ibu bapanya, Petar dan Marija Nana Mičić, mempunyai sembilan orang anak, iaitu lima orang anak lelaki dan empat orang anak perempuan. Enam daripada anak-anak mereka meninggal dunia ketika masih kanak-kanak. Kesihatan Princip juga tidak baik. Dari masa awal lagi, dia menghidap batuk kering. Ini kemudian menjadi sebab kematiannya pada tahun 1918, dan juga merupakan salah satu sebab mengapa Princip membunuh Archduke Ferdinand.
Kebanyakan ahli sejarah bersetuju bahawa Princip adalah ahli Pemuda Bosnia (Млада Босна/Mlada Bosna), tetapi ada juga yang menegaskan bahawa dia sebenarnya adalah ahli Tangan Hitam (Црна рука/Crna ruka), atau sekurang-kurangnya dilatih oleh kumpulan itu. Gerakan Pemuda Bosnia adalah sebuah kumpulan yang terdiri daripada orang-orang Serbia, Croatia, dan Muslim Bosnia yang mengabdikan diri mereka kepada kemerdekaan orang-orang Slavik Selatan daripada penguasaan Austria-Hungary.
Pada Februari 1912, Princip mengambil bahagian dalam tunjuk-tunjuk perasaan untuk membantah pihak berkuasa Sarajevo. Disebabkan penyertaannya itu, Princip dibuang sekolah. Menyusul pembuangan ini, dia pergi ke Belgrade. Semasa menyeberangi sempadan, dia mencium tanah Serbia. Di Belgrade, Princip mencuba menyertai Gimnasium Belgrade Pertama, tetapi gagal dalam peperiksaan kemasukannya.
Pada tahun 1912, Serbia sedang sibuk dengan pengerahan untuk Perang Balkan Pertama. Princip berhasrat untuk menyertai komite, angkatan tentera gerila bukan tetap di bawah Vojislav Tankosic, seorang mejar Serbia yang pernah bertempur dengan unit-unit Turki Uthmaniyah di Macedonia. Tankosic ialah seorang ahli jawatankuasa pusat untuk kongsi gelap Penyatuan atau Kematian (Ujedinjenje ili Smrt). Bagaimanapun, Princip ditolak oleh komite di Belgrade kerana dia rendah dan kecil. Dia kemudian pergi ke Prokuplje di Serbia Selatan untuk mencari Tankosic. Bagaimanapun, Tankosic juga menolaknya kerana dia "terlalu kecil dan terlalu lemah". Princip kemudian berazam untuk mengimbangi saiznya yang tidak sempurna serta penganggaran kurang terhadap keupayaannya. Dedijer memperdebatkan bahawa penolakannya itu merupakan "salah satu niat peribadi yang utama yang mendorongnya untuk membuat sesuatu yang amat berani dan luar biasa supaya dapat membuktikan kepada orang-orang lain bahawa dia adalah sebanding dengan mereka."
Pembunuhan
Latar belakang
Pada 28 Jun 1914, Gavrilo Princip menyertai pembunuhan di Sarajevo. Jeneral Oskar Potiorek, gabenor provinsi-provinsi Bosnia-Herzegovina Austria, telah menjemput Franz Ferdinand dan Countess Sophie untuk menonton pertunjukan manuver angkatan-angkatannya. Ferdinand mengetahui bahawa lawatannya amat berbahaya kerana bapa saudaranya, Maharaja Franz Josef, pernah menjadi sasaran pembunuhan oleh Tangan Hitam pada tahun 1911. Princip memang tidak sedar akan akibat keganasannya terhadap dunia selepas perbuatannya itu.
Garis masa
Sejurus sebelum pukul sepuluh pagi pada hari Ahad, pasangan diraja tiba di Sarajevo melalui kereta api. Di dalam gerabak depan ialah Fehim Curcic, Datuk Bandar Sarajevo, dan Dr. Gerde, Pesuruhjaya Polis bandar raya. Ferdinand dan Sophie duduk di gerabak kedua, bersama-sama dengan Oskar Potiorek dan Count von Harrach. Bahagian atas gerabak itu digulungkan ke belakang untuk membenarkan orang ramai mendapat pemandangan yang terang tentang penumpang-penumpangnya.
Tujuh ahli kongsi gelap itu berbaris di jalan itu. Mereka berjarak-jarak di sepanjang Bagan Appel, dengan setiap orang diberi arahan untuk membunuh Ferdinand apabila keretanya sampai ke tempat masing-masing. Pengkomplot yang melihat kereta diraja dahulu ialah Muhamed Mehmedbasic. Berdiri berhampiran dengan Bank Austro-Hungary, Mehmedbasic gugup dan membenarkan kereta itu lalu tanpa mengambil sebarang tindakan. Mehmedbasic kemudian berkata bahawa seorang polis sedang berdiri di belakangnya dan dia takut bahawa dia akan ditangkap sebelum dia dapat melemparkan bomnya.
Pada pukul 10.15 pagi, apabila perarakan enam kereta itu lalu di depan balai polis pusat, Nedeljko Cabrinovic yang berumur 19 tahun melemparkan sebuah grenad tangan pada kereta archduke. Pemandu kereta itu memecut apabila dia melihat sebuah objek terbang menujuinya. Bom itu kemudian meletup di bawah roda kereta di belakangnya. Salah dua daripada penumpangnya, iaitu Eric von Merizzi dan Count Boos-Waldeck, mengalami kecederaan yang serius. Lebih kurang sedozen penonton juga dicederakan oleh serpihan-serpihan bom itu.
Selepas bom Cabrinovic tidak kena kereta Archduke, lima orang pengkomplot yang lain, termasuk Princip, hilang peluang mereka untuk menyerang kerana orang ramai berasak-asak, dan kereta Archduke terlalu laju. Untuk mengelakkan penangkapan, Cabrinovic menelan sebiji pil sianida dan terjun ke dalam sungai yang berdekatan, tetapi ditarik naik dan ditahan oleh pihak polis. Percubaan pembunuhan itu kelihatan telah gagal.
Bagaimanapun, Ferdinand memutuskan untuk melawat mangsa-mangsa pengeboman oleh Cabrinovic di hospital. Supaya dapat mengelakkan pusat bandar, Jeneral Oskar Potiorek memutuskan bahawa kereta diraja harus berjalan terus melalui Bagan Appel ke Hospital Sarajevo. Malangnya, Potiorek lupa memberitahu pemandu Franz Urban tentang keputusan ini. Dalam perjalanan ke hospital, Urban pusing ke kanan masuk ke Jalan Gebet.
Selepas berputus asa, Princip telah pergi ke kedai kopi Moritz Schiller untuk membeli sandwic apabila dia nampak kereta Ferdinand yang telah mengambil belokan yang salah. Pemandu itu sedang mengundurkan kereta setelah menyedari kesilapannya. Dengan berbuat demikian, dia bergerak dengan perlahan dan lalu dekat Princip yang sedang menunggu. Princip melangkah ke depan dan pada jarak lebih kurang lima kaki, menembak beberapa kali ke dalam kereta itu dengan pistolnya. Ferdinand ditembak pada lehernya, manakala Sophie kena perutnya. Sophie yang kemudian didapati mengandung mati dengan serta merta. Ferdinand yang tidak mempercayai kematian Sophie mendesak bahawa dia bangun. Beliau kemudian pengsan dalam masa lima minit dan seterusnya meninggal dunia.
Penangkapan dan pemenjaraan
Princip mencuba membunuh diri melalui memakan sianida dan kemudiannya menggunakan pistolnya untuk menembak diri sendiri. Akan tetapi dia muntah (seperti dengan Nedeljko Cabrinovic) dan oleh itu, pihak polis mempercayai bahawa kongsi gelapnya telah ditipu dan telah membeli racun yang jauh lebih lemah. Pistol digelut dari tangan Princip sebelum dia dapat menembak lagi sekali. Disebabkan Prinsip terlalu muda pada masa pembunuhan (umur 19 tahun) untuk menjalani hukuman mati, dia menerima hukuman pemenjaraan selama dua puluh tahun, iaitu hukuman yang maksimum. Dia dikurung dalam keadaan yang teruk, perkara ini diburukkan lagi oleh peperangan yang berlaku di luar. Princip meninggal dunia disebabkan batuk kering pada 28 April 1918 di Theresienstadt; pada masa kematiannya, berat Prinsip ditimbang hanya sekitar 40 kilogram (88 paun).
Maklumat lain
Pistol yang digunakan oleh Princip merupakan pistol separa automatik M 1910 Fabrique Nationale, dengan kaliber 7.65×17 mm (.32 ACP). Pistol itu baru-baru ditemui dan diperoleh dari rumah keluarga Copei Itali, dan kini dipamerkan di Muzium Sejarah Tentera, Vienna, Austria. Peluru kedua yang ditembak oleh Princip dan yang membunuh Ferdinand, disimpan sebagai barang pameran muzium di Istana Kota Konopiste, berhampiran dengan bandar Benesov, Republik Czech.
Rujukan
Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan Gavrilo Princip |
- Schoolnet.co.uk: Gavrilo Princip Diarkibkan 2013-03-03 di Wayback Machine
- Siapa-siapa orangnya dalam Perang Dunia I – Gavrilo Princip di firstworldwar.com