Fotograf | |
---|---|
Latar belakang | |
Juga dikenali sebagai | Fotograf New Era |
Berasal dari | Selangor, Malaysia |
Genre | Rock progresif, slow rock, balada |
Tahun aktif | 1988-1998 2007 (reunion) 2024-kini |
Syarikat rakaman |
|
Pengkarya berkait | Fauzi Marzuki |
Laman sesawang | Kumpulan Fotograf |
Ahli |
|
Bekas ahli |
|
Fotograf merupakan sebuah kumpulan rock yang pernah aktif di Malaysia pada akhir dekad 80-an hingga pertengahan dekad 90-an. Kumpulan ini menyampaikan lagu-lagu rock Melayu.
Sejarah
1988 : Penubuhan Awal
Kumpulan Fotograf telah ditubuhkan pada tahun 1988 di negeri Selangor oleh seorang P.R.O yang bernama Dino. Dino yang ditugaskan oleh pihak pengurusan syarikatnya, Sinar Muzik Productions untuk membentuk dan menghasilkan album rock pertama di bawah syarikat tersebut telah melakukan kerja-kerja pencarian bakat atau scouting di pertandingan Juara Rock Galactica 1988. Hasil scouting tersebut, beliau telah memilih 4 individu dari kumpulan yang berbeza untuk disatukan menjadi sebuah kumpulan rock yang baharu. Dino telah menjemput 3 pemuzik iaitu Sham Ahmad (Ringgo - dram), Amran Abu Sidek (Amran/An - bass) dan Shahrul Bahrin Ahmad (Shahrul/Abol - gitar) sebagai asas utama untuk pembentukan kumpulan baharu di bawah pengurusannya. Kemudian, beliau telah mengambil seorang pemuda bernama Mohamed Safee Soefjan Jonos atau Afee dari kumpulan Satria untuk dijadikan sebagai vokalis. Dengan kemasukan Afee, maka lengkaplah penubuhan kumpulan rock baharu yang diberi nama Fotograf dan serta-merta mereka diberikan kontrak rakaman album di bawah Sinar Muzik. Di saat ini juga Fotograf sering mendapat undangan persembahan di universiti-universiti di sekitar Lembah Klang. Dengan imej anggota Fotograf yang kemas ala-ala penuntut IPT, mereka telahpun berjaya mencipta populariti di kalangan penuntut IPT itu sendiri.
1989 : Kemasukan Shamrin & Album "Iramanya Menggetar"
Dalam kesibukan mereka mengadakan persembahan pentas, 4 anak muda ini telah memulakan sesi latihan untuk rakaman album pertama mereka di bawah Sinar Muzik. Namun disebabkan anggota-anggota Fotograf malah Dino dan Sinar Muzik sendiri tidak pernah berpengalaman dalam merakamkan lagu-lagu rock, mereka telah menjemput dua gitaris terkenal Man Kidal dan John Goh untuk bertindak sebagai penerbit album. Belum sempat mereka menyiapkan album, Afee telah menarik diri disebabkan masalah teknikal yang dihadapinya ketika proses rakaman vokal untuk lagu-lagu Fotograf. Dengan itu, Fotograf dan Sinar Muzik telah melakukan sesi ujibakat untuk mencari vokalis baharu. Sesi ujibakat telah berlangsung agak lama disebabkan rata-rata peserta yang hadir ke ujibakat tidak menepati citarasa dan konsep muzik yang ingin dibawa oleh Fotograf. Akhirnya, seorang pemuda bernama Mohd Shamrin Abdul Samad (Shamrin) yang juga rakan setaman Amran telah dipilih sebagai vokalis Fotograf yang baharu oleh Sinar Muzik setelah melihat bakat luar biasa yang dimiliki anak muda tersebut biarpun hakikatnya Shamrin bukanlah mat rock seperti anggota Fotograf yang sedia ada. Setelah menempuh pelbagai kesukaran, akhirnya Fotograf berjaya menghasilkan album pertama yang berjudul Iramanya Menggetar di bawah terbitan Sinar Muzik dan edaran Fonglin Musical.
Kemunculan album ini di tengah-tengah bahang industri rock tanah air sememangnya mengejutkan banyak pihak. Ini kerana pada masa itu gergasi-gergasi rock tanah air seperti Search dan Wings telah muncul dengan album "killer" mereka, masing-masing dengan album Fenomena yang popular dengan lagu Isabella dan Hukum Karma yang popular dengan lagu Misteri Mimpi Syakilla dan Taman Rashidah Utama. Kemunculan album-album ini telah menyebabkan kumpulan rock yang hendak bertapak dalam industri terpaksa menangguhkan seketika pengeluaran album mereka kerana bimbang tidak mendapat sambutan. Namun ia tidak menghalang Fotograf dan Sinar Muzik untuk terus memasarkan album Iramanya Menggetar. Biarpun hanya terjual dalam 25,000 unit, album ini telah melonjakkan nama Fotograf dengan lagu hitnya yang berjudul Jangan Kau Ucap Selamat Tinggal di mana lagu ini kerap diputarkan di stesen-stesen radio serta tercalon dalam Muzik-Muzik '89.
1990 : "7:30 Psikosis"
Dengan jualan album pertama yang memberangsangkan serta bayaran royalti yang adil kepada anggota Fotograf telah membuatkan mereka masih bersemangat untuk meneruskan kontrak mereka bersama Sinar Muzik sekaligus ditawarkan peluang untuk merakamkan album kedua. Untuk pembikinan album ini, anggota Fotograf telah meminta kebenaran Sinar Muzik untuk menguruskan sendiri hal-hal berkaitan rakaman album serta mencari sendiri studio rakaman. Setelah membuat penelitian yang mendalam, mereka akhirnya sepakat untuk memilih pemuzik lagenda Singapura yang juga bekas anggota kumpulan Black Dog Bone, Razzi M. sebagai penerbit album kedua Fotograf, serta memilih Lion's Studio di Singapura sebagai studio rakaman untuk album kedua mereka.
Pemilihan Razzi M. sebagai penerbit album sememangnya memberikan hasil yang luar biasa kerana Razzi M. tidak mengganggu kreativiti Fotograf dalam merakamkan album, sebaliknya hanya memberikan landasan bunyi yang setaraf dengan album-album rock Singapura pada masa itu. Album ini juga merupakan satu-satunya album Fotograf yang dibuat secara "live" dalam rakaman muziknya. Album yang memakan masa sebulan ini akhirnya siap pada tahun 1990 dengan diberi judul "7:30 Psikosis".
Kelemahan menerbitkan album sendiri tanpa lagu ciptaan komposer sememangnya menjadikan album kedua Fotograf tidak diberi perhatian oleh pihak media tempatan, tambahan pula dengan acuan muzik mereka yang sedikit "raw" menyebabkan ia sukar ditafsir oleh kebanyakan pendengar umum. Namun begitu, album ini lebih banyak terjual di Singapura sekaligus menaikkan nama Fotograf di negara kota Singa berbanding di negara sendiri. Selepas album ini dipasarkan, anggota-anggota Fotograf telah mengambil keputusan untuk berehat dari industri muzik dan fokus dengan kerjaya masing-masing. Ketika inilah pemain bass Fotograf, Amran yang masih lagi bersemangat untuk meneruskan kerjaya muziknya bersama Sinar Muzik telah menubuhkan kumpulan muzik baharu iaitu Kamar Sutera yang kemudiannya ditukar nama kepada Damasutra, sekaligus tidak lagi bersama Fotograf untuk album-album seterusnya.
1991-1993 : Line-Up Baharu, "Fotograf '92", Perpecahan & Album Seterusnya
Bagi anggota Fotograf yang lain, mereka telah terpanggil untuk menghabiskan kontrak rakaman album mereka bersama Sinar Muzik. Dengan kekosongan yang ditinggalkan Amran, Fotograf telah menjemput dua pemuzik baharu iaitu Said Hashim (Said) sebagai pemain bass dan Helmi (Almi) sebagai pemain gitar kedua untuk memantapkan lagi susunan muzik Fotograf. Dengan barisan anggota yang baharu, Fotograf telah memasuki studio Channel 11 untuk memulakan sesi rakaman album ketiga pada penghujung tahun 1991 yang kemudiannya diberi judul "Fotograf '92".
Biarpun album ini hanya dibuat untuk menghabiskan kontrak, album ini telah mencatatkan jualan yang lebih tinggi daripada dua album terdahulu dengan lagu hitnya, Di Alam Fana Cinta Mu ciptaan Fauzi Marzuki dari EMI dan lirik oleh Zur'Ain, seorang juruhebah terkenal tanah air. Lagu tersebut menjadi siulan peminat dan meraih banyak anugerah, antaranya juara kategori rock di Juara Lagu '92 dan Juara Pujaan 10 Nescafe 1992.
Kejayaan album Fotograf '92 telah menyebabkan mereka sekali lagi ditawarkan kontrak untuk menghasilkan album keempat di bawah Sinar Muzik. Ketika inilah Fotograf dilanda perpecahan apabila Shahrul, Almi dan Said mengambil keputusan untuk fokus dengan kerjaya masing-masing, meninggalkan Shamrin dan Ringgo sebagai anggota yang tinggal untuk meneruskan legasi Fotograf.
Ketidakcukupan anggota Fotograf telah menyebabkan Shamrin dan Ringgo mengambil keputusan untuk menjemput tiga pemuzik undangan iaitu Opie Bloodshed (gitar utama), Rawita Bloodshed (bass) dan Eddie Ahmad (keyboard) untuk membantu mereka dalam proses rakaman album dan juga persembahan pentas. Maka pada tahun 1994, lahirlah album keempat Fotograf yang berjudul Fantasi yang masih lagi bernaung di bawah label Sinar Muzik. Selepas album Fantasi, Fotograf kemudiannya berhijrah ke salah satu syarikat rakaman besar iaitu EMI dan sempat melahirkan dua buah album di bawah label tersebut iaitu Fokus (1995) dan Juara Mimpi (1997). Kelahiran dua album Fotograf di bawah EMI juga menyaksikan Almi kembali bersama Fotograf selepas kali terakhir Almi merakamkan album bersama Fotograf adalah pada tahun 1992 dengan album Fotograf '92.
Anggota kumpulan
Fotograf 1988 (Awal Penubuhan) :
- Afee - Vokal
- Shahrul - Gitar Utama
- Amran - Bass
- Ringgo - Dram
Fotograf 1989-1990 :
- Shamrin - Vokal
- Shahrul - Gitar Utama
- Amran - Bass
- Ringgo - Dram
Fotograf 1991-1993 :
- Shamrin - Vokal
- Shahrul - Gitar Utama
- Almi - Gitar Kedua
- Said - Bass
- Ringgo - Dram
Fotograf 1994 :
- Shamrin - Vokal
- Ringgo - Dram
- Opie Bloodshed/Scandals - Gitar Utama (sessionist)
- Rawita Bloodshed - Bass (sessionist)
- Eddie Ekamatra/Kemala/Slam - Keyboard (sessionist)
Fotograf 1995-1997 :
- Shamrin - Vokal
- Almi - Gitar
- Ringgo - Dram
- Opie Bloodshed/Scandals - Gitar Utama (sessionist)
- Rawita Bloodshed - Bass (sessionist)
- Eddie Ekamatra/Kemala/Slam - Keyboard (sessionist)
Fotograf 2023-kini :
- Almi - Vokal
- Amran - Vokal 2
- Ringgo - Dram
- Rawita Bloodshed - Bass (sessionist)
Fotograf New Era 2024
- Fad - Vokal
- Tolin - Gitar
- Zam - Bass
- Ringgo - Drum
Diskografi
Album studio
- Iramanya Menggetar (1989)
- 7:30 Psikosis (1990)
- Fotograf '92 (1992)
- Fantasi (1994)
- Fokus (1995)
- Juara Mimpi (1997)
Album kompilasi
- The Best Of Shamrin & Fotograf (2011)
Anugerah/Pencapaian
Anugerah
Tahun | Acara | Kategori | Karya tercalon | Keputusan |
---|---|---|---|---|
1989 | Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-3 | Penyanyi Berkumpulan Popular | — | Tercalon |
1992 | Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-6 | — | Menang | |
Anugerah Juara Lagu ke-7 | Rock | "Di Alam Fana Cintamu" | Menang | |
Pujaan 10 Nescafe | — | Menang | ||
1998 | Anugerah Industri Muzik ke-5 | Album Rock Terbaik | Album Juara Mimpi | Tercalon |
Kematian Shamrin
Vokalis Fotograf, Shamrin meninggal dunia akibat serangan jantung kira-kira pukul 6 petang 11 November 2010 di Hospital Pakar Al-Islam, Kampung Baru. Allahyarham yang ketika itu berusia 45 tahun rebah ketika bermain bola sepak pada perlawanan persahabatan antara artis dan sebuah syarikat insurans di Padang Kelab Sultan Sulaiman (KSS) di Kampung Baru pada kira-kira pukul 5.30 petang hari tersebut. Allahyarham Shamrin meninggalkan seorang balu yang sedang sarat mengandung serta tiga orang anak (termasuk seorang anak dari perkahwinan pertamanya dengan bekas isteri). Balu Allahyarham melahirkan anak bongsu mereka kira-kira tiga minggu selepas pemergiannya.
Nama Fotograf terus berkubur lantaran ketiadaan kedua-dua anggota asal yang tidak pernah meninggalkan kumpulan ini.
Rujukan
- FOTOGRAF (Rock) Diarkibkan 2016-03-04 di Wayback Machine
- CROMIRAMA – Info dan Sejarah Kumpulan FOTOGRAF
- Kumpulan Fotograf
- http://rockterusrock.blogspot.com/2006/08/konsert-fotograf-mega-planet-hollywood.html
- Shamrin: Ringgo’s family did not want to publicise it
- Ringgo Fotograf dalam proses parol Diarkibkan 2013-06-30 di Wayback Machine
- Dadah: Ringgo Fotograf ditahan di penjara Venezuela[pautan mati kekal]
- Keluarga yakin Ringgo dianiaya[pautan mati kekal]