Rock | |
---|---|
Pengarah | Mamat Khalid |
Penulis | Mamat Khalid |
Lakon layar | Mamat Khalid |
Dihasilkan oleh |
|
Dibintangi |
|
Sinematografi |
|
Disunting oleh | Zappa Khalid |
Muzik oleh | Mamat Khalid |
Syarikat penerbitan | |
Diedarkan oleh | Primeworks Studios |
Tarikh tayangan |
|
Masa tayangan | 107 minit |
Negara | Malaysia |
Bahasa | Melayu |
Rock sebuah filem komedi muzikal Malaysia 2005 arahan Mamat Khalid dan dibintangi oleh Hasnul Rahmat, Que Haidar, Khir Rahman, Siti Elizad dan Nabila Huda. Ia merupakan ansuran pertama dalam siri filem Rock dan mula ditayangkan di pawagam pada 8 Disember 2005.[1][2]
Sinopsis
Plot filem ini dibuka pada era millenium dengan watak Zack (Hasnul Rahmat) sedang bertugas mencop surat di pejabat pos. Ketika diarahkan mencuci surat-surat lama oleh bosnya, beliau terjumpa sepucuk surat yang dialamatkan ke kugiran lama yang pernah dianggotainya dulu, iaitu "Rimba Bara". Serentak dengan itu, fikiran Zack pun terus melayang mengimbas kembali kehidupannya pada 15 tahun yang lepas.
Plot ini kemudiannya bergerak membuka cerita mengenai Rimba Bara yang bercita-cita dan berhasrat untuk jadi terkenal pada lewat dekad 1980-an. Rimba Bara dianggotai oleh Zubir, atau lebih diminta dikenali sebagai Zack sendiri - gitaris, Jijo (Khir Rahman) – bass, Black – pemain dram, dan juga Amy (Que Haidar) - vokalis yang kadangkala main tamburin; mengharungi pelbagai peristiwa yang mencabar dan penuh lucu demi mengejar cita-cita mereka dan mereka percaya akan berjaya menjadi kumpulan rock (Rimba Bara) yang mantap dan berwawasan. Di samping itu, plot juga diserikan dengan kisah cinta di antara Zack dan Katy (Siti Elizad), rakannya sedari kecil. Namun, Jijo seringkali mengingatkan pada Zack bahawa mereka tidak boleh terlalu hanyut dengan cinta kerana mereka mempunyai 'wawasan'. Wawasan mereka semakin tidak dapat dibendung lagi apabila mengetahui bahawa acara Battle of The Bands peringkat negeri akan diadakan di tempat mereka. Untuk menyertai acara Battle of The Bands itu mereka terpaksa mengharungi peringkat saringan yang menyaksikan beberapa kehadiran band-band yang lebih mahir dan matang. Di tambah pula dengan kehadiran Zul Kapan (Mohamad Shoffi Jikan) dan The Malaikat Maut, membuatkan mereka gusar dan harus berlatih dengan lebih keras. Daripada segi penampilan pula, mereka terpaksa mencari punca untuk mempamerkan diri mereka sebagai rockers yang sebenar-benarnya. Seluar PVC, baju glamrock dan kasut Aliph merupakan gear yang begitu sangat dititikberatkan. Memandangkan sumber kewangan yang serba tidak mencukupi, mereka terpaksa menggunakan akal untuk mendapatkan semuanya itu termasuklah menggunting kain tempat duduk bas untuk mendapatkan bekalan PVC yang mencukupi.
Beberapa minggu selepas itu, pertandingan Battle of the Bands peringkat negeri pun diadakan. Malang sekali pada pertandingan itu, Amy tidak dapat menyanyi kerana cirit-birit akibat memakan dua papan telur ayam seperti yang dicadangkan Jijo, untuk menjaga suaranya. Disebabkan kesulitan yang dialami Amy, Jijo menjadi penyanyi menggantikan Amy. Pada pertandingan itu, kesemua band yang bertanding menunjukkan mutu permainan yang bagus. Begitu juga dengan kumpulan Malaikat Maut. Apabila giliran Rimba Bara tiba, penonton dikejutkan dengan persembahan melakukan gitar solo sehingga berasap-asap dan speaker column dikiri kanan pentas telah meletup! Rimba Bara berjaya menjadi juara peringkat negeri. Sejurus selepas pertandingan tersebut, Rimba Bara pun memulakan latihan berterusan bagi memperkemaskan permainan mereka.
Pada suatu hari, mereka dikejutkan dengan kehadiran Malaikat Maut di tempat latihan mereka. Alangkah terkejutnya mereka apabila Zul Kapan telah menawarkan diri untuk menjadi penyanyi, menggantikan Amy. Bagi meyakinkan Rimba Bara, Zul Kapan dengan pantasnya mengalunkan lagu 'Taman Rashidah Utama' dendangan asal oleh kumpulan Wings. Dengan itu, dia telah diterima masuk dan Amy pun harus mengundur diri. Selepas sahaja insiden Zul Kapan diterima masuk, mereka tidak menoleh kebelakang lagi sebaliknya terus mengadakan latihan gigih yang berterusan. Sementara itu, mereka juga memenuhi persembahan-persembahan di Fun Fair dan rumah orang kahwin. Pada ketika ini, nama mereka telah sebanyak sedikit terkenal lantaran kemenangan di Battle of the Bands peringkat negeri tempoh hari.
Sementara itu juga Zack mengalami dilema di mana ayahnya mengkehendakinya menghadiri temuduga untuk bekerja di pejabat pos memandangkan sudah begitu lama Zack menganggur. Tersepit dengan permintaan ayahnya, Dia seperti meminggirkan diri dari teman kugirannya untuk menumpukan perhatian menghadapi temuduga di pejabat pos. Pada hari temuduga tersebut, Zack hadir dengan harapan yang tinggi. Malangnya, penampilannya yang berambut panjang telah disindir dengan pedas oleh penemuramah di pejabat itu. Kecewa dengan kejadian tersebut, Zack kembali ke studio dengan perasaan marah dan terus mengangkat gitar dan memulakan latihan. Dia tidak menoleh ke belakang lagi sebaliknya menumpukan pada Battle of the Bands peringkat nasional yang bakal berlangsung.
Beberapa minggu kemudian, hari yang ditunggu-tunggu oleh semua kugiran tanah air pun tiba. Battle of the Bands peringkat kebangsaan bakal menjadi titik penolak kejayaan kepada semua band, termasuklah 'Rimba Bara'. Band yang menang bakal diberi peluang merakamkan album penuh. Maka pada pertandingan penuh bersejarah itu, segala band dari pelusuk daerah muncul. Keadaan gamat dengan suasana rock ditambah pula dengan kehadiran Amy Search, Man Kidal dan Nasir Jani sebagai para hakim pertandingan itu. Amy, penyanyi Rimba Bara yang terdahulu juga hadir sebagai tanda sokongan. Kumpulan demi kumpulan membuat persembahan. Ada yang berguling dan ada yang melompat macam cipan demi membuktikan mereka adalah kumpulan rock yang terbaik. Ada juga yang telah patah tangan dan dikejarkan ke hospital kerana tangan terpukul besi drum. Pada malam itu, Rimba Bara telah membawakan lagu dendangan asal oleh Sweet Charity seperti Batu. Tiba pengumuman keputusan, Rimba Bara telah diangkat sebagai pemenang! Pada malam kemenangan itu, mereka meraikannya seperti tiada lagi hari esok.
Berikutan kemenangan mereka, maka Rimba Bara pun terbang ke Kuala Lumpur bagi merakamkan album penuh yang ditaja oleh syarikat rakaman yang bekerjasama dengan pihak penganjur Battle of the Bands. Malang bagi Rimba Bara, proses penerbitan mengalami beberapa masalah yang berpunca daripada karenah pihak penerbit yang pelbagai ragam. Malang bertambah buat mereka apabila Zack telah mendapat panggilan telefon dari ayahnya mengatakan bahawa dia telah diterima bekerja di pejabat pos tempoh hari. Setelah memikirkan perkara tersebut dengan masak, Zack memutuskan bagi menerima tawaran bekerja di pejabat pos agar impian ayahnya dapat dipenuhi. Dengan berat hati, Zack meninggalkan mereka dan tempatnya sebagai pemain gitar digantikan dengan pemain gitar daripada Malaikat Maut. 4 tahun dari itu, Zack dan Katy pun berkahwin. Pada hari perkahwinannya, dia membuat persembahan bersama-sama dengan anggota Rimba Bara yang lain. Bagi Zack, itulah persembahannya yang pertama dan yang terakhir bersama anggota Rimba Bara yang lain sepanjang tempoh 4 tahun sebelumnya, kerana Jijo telah meninggalkan mereka buat selama-lamanya selepas itu kerana terlibat dalam kemalangan jalan raya.
Plot filem ini akhir sekali membawa penonton kembali ke zaman sekarang dengan Zack di pejabat pos, masih memegang surat beralamatkan kepada Rimba Bara seperti di awal plot. Lamunan Zack terhenti. Sekembalinya dia ke rumah, dia membelikan anaknya sebuah gitar mainan dan berharap anaknya juga mengikut langkahnya menjadi pemain muzik yang berkualiti.
Pelakon
Pelakon utama
- Hasnul Rahmat sebagai Zubir @ Zack
- Que Haidar sebagai Amy Mat Piah
- Khir Rahman sebagai Jijo Alfonso Pareira Abdullah
- Norazmi Bahron sebagai Black
- Soffi Jikan sebagai Zul Kapan
- Siti Elizad sebagai Khatijah @ Kathy
- Nabila Huda sebagai Norfarzana @ Foxy Lady
Pelakon pembantu
- Norlida Ahmad sebagai ibu Zack
- Julie Dahlan sebagai ibu Kathy
- Loloq sebagai MC Final
- Hanny Harmi sebagai Hani
- Jaafar Onn sebagai Pak Said
- S. Amin Shahab sebagai Ayah Zubir
- Nash sebagai dirinya sendiri
- Kamarool Haji Yusoff sebagai Cik Man MC
- Dewa Sapri sebagai Purnama
- Rashidi Ishak sebagai Man Black
- Ruminah Sidek sebagai Pembantu Rumah
- Hanifah Zainuddin sebagai Pak Cik 1
- Shafiee Othman sebagai Pak Cik 2
Penampilan khas
- Amy Search sebagai Juri 1
- Man Kidal sebagai Juri 2
- Nasir Jani sebagai Juri 3
- Azmi Black Wings sebagai dirinya sendiri
- Hamid Gurkha sebagai dirinya sendiri
Penerbitan
Rock ialah filem kedua arahan Mamat Khalid selepas filem Lang Buana (2003). Untuk filem ini, beliau menyampaikan mesej mengenai dilema yang dihadapi ramai pemuzik berbakat pada zaman kegemilangan rock 1980-an.[2]
Keluaran dan sambutan
Rock dikekuarkan pada 8 Disember 2005 hingga kejayaan komersial.
Runut bunyi
- "Satu Tika Dulu" - Khir Rahman
- "Suara Kekasih" - Alleycats
- "Sejuta Wajah", "Batu", "Penunggu" dan "Hanya Rock N Roll" - Ramli Sarip & Sweet Charity
- "Panah Beracun" - Ramli Sarip
- "Debunga Wangi" dan "Tiada Lagi Kidungmu" - Nash & Lefthanded
- "Wajah Kesayangan Hamba" - Hail Amir
- "Belaian Jiwa" - Jay Jay & Carefree
- "Dari Sinar Mata" dan "Goyang-Goyang"- Joey & Bumiputra Rockers
- "Pelesit Kota" - Amy & Search
- "Khalifah Alam Maya" - Metal Asia
Lagu-lagu lain: "Black Night", "Langit Dan Bumi", "Isi Atau Kulit", "Goyang-Goyang", "Taman Rashidah Utama", "Kisah Dan Tauladan" dan "Kamelia"
Playlist spotify : https://open.spotify.com/playlist/3tkJFYG0BowtA7zBR8yl9H?si=ace40de5efcc4689
Kesinambungan
Rock Oo! (2013)
Pengarah filem tersebut, Mamat Khalid, ingin menyambung cerita dan pengambaran sedang diadakan. Masih mengekalkan pelakon yang sama daripada filem dahulu tetapi dengan plot yang berbeza iaitu filem Rock yang kedua, Rock Oo: Rimba Bara Kembali!. Filem ini ditayangkan pada 28 Februari 2013.[3][4]
Rock Bro! (2016)
Sambungan filem yang ketiga bertajuk Rock Bro! telah bermula pada April 2015 dan diterbitkan pada 27 Oktober 2016.[5]
Rock 4: Rockers Never Dai (2020) Rock
Kesinambungan keempat dan terakhir, Rock 4: Rockers Never Dai ditayangkan pada 20 Februari 2020, dengan mempertaruhkan bakat baharu seperti Sharwani NS, Adam John, Bulan Terry dan Hazama Azmi.[6]
Rujukan
- ^ Kamin, A. (2005-07-22). "A local movie about rock culture". star-ecentral.com. Diarkibkan daripada yang asal pada 2007-09-30. Dicapai pada 2007-04-24.
- ^ a b Shakilawati Abd Rahman (27 November 2008). "Rock Papar Dilema Anak Seni". Utusan Malaysia. Dicapai pada 20 Disember 2009.[pautan mati kekal]
- ^ Rock Oo Rimba Bara kembali Astro Awani (27 Februari 2013). Dicapai pada 28 Februari 2013.
- ^ Hassan Muthalib (1 Mac 2013). 'Rock Oo', sejarah, rock dan kejujuran Astro Awani. Dicapai pada 3 Mac 2013.
- ^ Shazryn Mohd Faizal (3 November 2016). "Rock Bro! Pengakhiran Indah Sebuah Trilogi Rock". mSTAR Online. Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-08-24. Dicapai pada 25 Ogos 2018.
- ^ Farihad Shalla Mahmud (12 Januari 2020). "'Jangan risau, filem keempat masih ada rock kapak'". Berita Harian. Dicapai pada 8 Februari 2020.