Bara | |
---|---|
Pengarah | Yusof Haslam |
Penulis | Yusof Haslam |
Lakon layar | Yusof Haslam |
Dihasilkan oleh | Yusof Haslam |
Dibintangi | |
Syarikat penerbitan | |
Diedarkan oleh | Primeworks Studios |
Tarikh tayangan |
|
Masa tayangan | 106 minit |
Negara | Malaysia |
Bahasa | Melayu |
Pecah panggung | RM 2.3 juta |
Bara ialah filem aksi romantik Malaysia 1999 yang diarah oleh Yusof Haslam dan mula ditayangkan pada 25 Mac 1999. Dibintangi Awie, Nasha Aziz, Rosyam Nor, Arni Nazira dan Zamani Slam. Watak Effa telah ditawarkan oleh Erra Fazira namun menolak kerana masalah peribadi dan digantikan oleh Nasha Aziz.
Sinopsis
Amri (Awie) dan Ziman (Zamani Slam) merupakan rakan serumah yang bekerja sebagai mekanik di Kuala Lumpur pada siang hari. Disebabkan kegawatan ekonomi yang melanda negara pada ketika itu, mereka juga bekerja sebagai pemuzik di sebuah kelab malam. Ziman pada ketika itu mempunyai kekasih yang bernama Arni (Arni Nazira), sementara Amri pula merupakan seorang lelaki yang jenis sukar mempercayai perempuan setelah gagal dalam percintaan sebelum ini.
Sementara itu, Effa (Nasha Aziz) yang berhijrah ke ibu kota untuk mencari rezeki yang halal hidup menderita akibat diperangkap oleh satu sindiket pelacuran yang diketuai oleh Carlos (Rosyam Nor) dan dibantu oleh Zety (Ning Baizura), Ah Boon (Farid Amirul) dan Dino (Yank Kassim). Effa dipaksa menjadi pelacur dan perlu melayan beberapa orang lelaki pada setiap malam.
Pada satu malam, Effa akhirnya berjaya meloloskan diri dari kawalan Ah Boon dan Dino. Amri yang pada ketika itu hendak pulang dari kerja, bertemu dengan Effa yang berjaya menyembunyikan diri dalam kereta yang dipandu oleh Amri. Dari situlah mereka mula berkenalan dan Amri memberikan perlindungan kepada Effa dengan meninggalkannya di rumah Mona (Azza Elite) buat sementara waktu.
Kehilangan Effa membuatkan Carlos menjadi berang dan memarahi Ah Boon dan Dino kerana tidak mengawal ketat Effa pada malam itu. Ziman yang mengetahui akan hal tersebut pada mulanya merendah-rendahkan Effa hanya disebabkan statusnya sebagai bekas pelacur, namun mula berubah setelah dimarahi oleh Amri. Effa berasa selamat di bawah jagaan Amri dan rakan-rakan yang lain.
Setelah dua bulan tinggal bersama Mona, Effa akhirnya bekerja sebagai pelayan di kelab tempat Amri dan Ziman bermain muzik. Hubungan Amri dan Effa kian intim dan Amri menerima Effa seadanya walaupun tahu akan apa yang telah berlaku ke atas diri Effa selama ini. Malangnya, Carlos muncul di kelab malam selepas menjejaki Effa dan memalukannya di tempat itu. Ini menyebabkan hubungan Amri dan Effa renggang kerana Amri merasakan bahawa dirinya dikhianati kerana Effa masih melakukan perbuatan terkutuk itu, sedangkan Effa sudah tidak melakukannya lagi.
Pada suatu hari, Amri mendapat panggilan dari Carlos yang menyembunyikan identitinya dengan mengatakan Effa dalam bahaya. Tanpa berfikir panjang, Amri terus sahaja menuju ke rumah Effa. Setibanya di rumah Effa, Amri mendapati Effa sudah berlumuran darah akibat ditikam dan akhirnya mati di ribaannya. Mona yang terkejut dengan apa yang berlaku telah menuduh Amri sebagai pembunuh Effa. Amri kemudiannya melarikan diri apabila menyedari polis sedang memburunya. Amri cuba meminta pertolongan daripada Ziman untuk membuktikan bahawa dia tidak bersalah namun Ziman enggan menolongnya kerana bimbang dituduh bersubahat dan telah diberi amaran oleh pihak polis.
Pada suatu hari, ketika Arni pulang dari kerja, Amri tiba-tiba masuk dalam kereta dan meminta pertolongan daripadanya. Pada mulanya Arni takut kerana bimbang diapa-apakan tetapi selepas dipujuk, Arni akhirnya bersetuju untuk memberikan pertolongan dengan memberikan Amri perlindungan sementara di rumah lama Arni yang sudah terbiar sejak setahun lalu.
Tindakan Arni menolong Amri menyebabkan hubungannya dengan Ziman menjadi dingin dan mereka sering bertengkar setiap kali berjumpa. Ziman yang berasa curiga dengan tindakan Arni telah mengekori Arni sehingga ke rumah lama Arni yang didiami oleh Amri. Ziman berasa sangat marah kerana menyangka Arni curang kepadanya dengan melakukan hubungan dengan Amri. Ziman yang menuduh Amri sebagai pembunuh Effa dan cuba merampas Arni darinya memaksa Amri menyerah diri kerana dia sudah menghubungi polis. Tindakan melulu Ziman telah menyebabkan Amri berang dan membelasah Ziman kerana tidak melindungi kawan baik sendiri ketika dalam kesusahan. Namun begitu, Arni menghalang Amri daripada terus membelasah Ziman sehinggalah Amri melarikan diri apabila terdengar bunyi siren kereta polis.
Amri kemudiannya pergi ke sarang pelacuran dan telah bertarung dengan Ah Boon dalam usahanya untuk menjejaki Carlos. Dalam pertarungan tersebut, Ah Boon cuba untuk membunuh Amri dengan membaling pisau ke arahnya namun balingan tersebut menyebabkan Zety terbunuh. Amri yang berjaya mengelak terus membelasah Ah Boon bertubi-tubi dan berjaya memaksanya untuk memberitahu di mana Carlos berada. Amri kemudiannya menelefon Arni untuk memberitahu bahawa dia akan membuat perhitungan dengan Carlos pada malam itu juga biarpun dihalang Arni. Amri juga meminta Arni untuk memberitahu Ziman supaya mencari mayatnya di Sun Complex Bukit Bintang sekiranya tidak pulang ke rumah pada pukul 3 pagi.
Amri yang berjaya menjejaki Carlos kemudian bertindak memukulnya dengan kayu di tempat parkir kereta dan berlaku pergelutan. Carlos cuba membunuh Amri dengan mengambil semula pistolnya yang terlepas akibat ditendang oleh Amri. Belum sempat Carlos menembak Amri, ASP Saiful (ASP Shaharon Anuar) berjaya mencederakan Carlos dan terus menahannya selain menahan Dino yang tidak bermaya akibat dibelasah oleh Amri. Arni yang baru sahaja tiba di Sun Complex bersama Ziman bertemu Amri dan bertanya kepada ASP Saiful apakah yang akan berlaku pada Amri selepas ini. Amri memberitahu Ziman bahawa Arni adalah seorang gadis yang baik dan dia tidak akan sesekali mengkhianati Ziman. Ziman berasa sangat bersalah dan meminta maaf kepada Amri yang kemudiannya dibawa pihak polis untuk membantu siasatan. Carlos telah didakwa dan dijatuhi hukuman gantung sampai mati atas pelbagai jenayah yang dilakukannya. Amri akhirnya dibebaskan setelah siasatan polis mendapati dia bukanlah orang yang membunuh Effa.
Pelakon
Pelakon utama
- Awie sebagai Amri, seorang mekanik & penyanyi kelab malam sambilan dan kawan kepada Ziman
- Nasha Aziz sebagai Effa, perempuan asal dari kampung yang menjadi mangsa pelacuran si Carlos.
- Rosyam Nor sebagai Carlos, Ketua sindiket pelacuran dan pembunuh Effa (watak antagonist utama)
- Zamani Slam sebagai Ziman, Kawan kepada Amri & Teman lelaki Arni
- Arni Nazira sebagai Arni, Kawan kepada Amri & Teman wanita Ziman
Pelakon pembantu
- Azza Elite sebagai Mona, kawan sekerja Amri dan rakan serumah Effa
- A. Galak sebagai Bapa Arni
- Raja Noor Baizura sebagai Ibu Arni
- Jojet sebagai Jojet, bartender kelab malam
- Farid Amirul sebagai Ah Boon, Orang kanan Carlos I
- Yank Kassim sebagai Dino, Orang kanan Carlos II
- Ning Baizura sebagai Zety, Ibu Ayam untuk sindiket Carlos
- Riezman Khuzaimi sebagai Lelaki Misteri
- Shaharon Anuar Abdul Latif sebagai ASP Saiful
- Wendy Wong sebagai Inspektor Susan/Nancy
- AC Mizal sebagai Hisham, bekas tunang dan teman lelaki Arni
- Deen Maidin sebagai Maniam
- Shah Slam sebagai Pemuzik 1
- Ajak Slam sebagai Pemuzik 2
- Lili Slam sebagai Pemuzik 3
- Man Slam sebagai Pemuzik 4
- Majed Salleh sebagai Pengurus Kelab
Pelakon tambahan
- Rita Rudaini sebagai pelacur Carlos I (tidak dinamakan)
Runut bunyi
- Bara
Artis : Awie
Lagu : Saari Amri
Lirik : Yusof Kelana - Kembali Merindu
Artis : Slam
Lagu : Saari Amri
Lirik : Azam Dungun
Album : Kembali Merindu (1996) - Di Penjara Janji
Artis : Awie - Malamku Kesiangan
Artis : Slam
Lagu/Lirik : Saari Amri
Album : Kembali Merindu (1996) - Kenangan Cinta
Artis : 4U2C
Anugerah dan pencalonan
Anugerah | Kategori | Penerima | Keputusan |
---|---|---|---|
Festival Filem Malaysia ke-14 | Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik | Rosyam Nor | Menang[1] |
Skor Muzik Terbaik | Saari Amri | Menang | |
Pelakon Harapan Wanita | Nasha Aziz | Menang |