Sabar dalam konteks Islam adalah salah satu dari sifat mahmudah yang perlu dan mesti wujud dalam diri setiap umat manusia Nabi Muhammad SAW, ini kerana sifat sabar ini adalah perkara asas dalam akhlak Agama Islam.
Ringkasan dari segi makna
Makna hakikat kesabaran ialah kurikulum yang amali dari sudut menyelesaikan masalah dan matlamat sebenar. Kesabaran ialah kunci kehidupan bagi seluruh makhluk alam ciptaan Allah Yang Maha Berkuasa. Fikrah kesabaran boleh diambil i’brah sebagai contoh jika dibayangkan bumi ini bergerak dan berfungsi tanpa ada sifat kesabaran, dengan secara tiba-tiba malam bertukar kepada siang, dan sebaliknya, dan bayangkan tumbuhan yang tumbuh sekali gus tanpa menyempat, memang hancurlah bumi Allah ini tanpa hala tujuan dan tidakkah keadaan ini menyulitkan.
Sebenarnya Allah hendak membuktikan setiap makhluk yang Allah ciptakan mempunyai sifat-sifat tersendiri yang boleh kita peroleh sebagai manfaat. Sifat ini juga dalam masa yang sama dapat memenjarakan ketaatan kita kepada Allah. Kenyataan ini dapat diterangkan seperti berlakunya sesuatu musibah atau ujian yang berat bagi kita, tanpa berdalih kita mesti berbalik kepada Allah yang mana dari setiap yang berlaku semuanya dari Allah Azza wa Jalla.
Nas
Lebih daripada 90 ayat dalam kitab Allah Yang Agung yakni Al-Quran menceritakan mengenai kesabaran, antaranya;
Firman Allah yang bermaksud;
153. Wahai sekalian orang-orang yang beriman! mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana Sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar (Surah Al-Baqarah: ayat 153).
Lagi Firman Allah Azza wa Jalla;
155. Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar (Surah Al-Baqarah: ayat 155).
Begitu juga dari Firman Allah bahawa;
5. Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan Nabi Musa (pada masa yang lalu) dengan membawa mukjizat-mukjizat Kami sambil Kami berfirman: "Hendaklah engkau mengeluarkan kaummu dari gelap-gelita kufur kepada cahaya Iman; dan ingatkanlah mereka dengan hari-hari Allah. "Sesungguhnya yang demikian itu, mengandungi tanda-tanda yang menunjukkan kekuasaan Allah bagi tiap-tiap seorang yang kuat bersabar, lagi kuat bersyukur. (Surah Ibrahim : ayat 5)
Dalam Surah Al-‘Asr Allah berfirman:
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم (Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang).
وَالْعَصْرِ (Demi masa).
إِنَّ الإنْسَانَ لَفِي خُسْرٍ (Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian),
إِلا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ (Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran).
Bukti lain yang menjelaskan kebesaran Allah dari segi kesabaran, seperti kejadian pokok, yang bermula dengan anak benih, kemudian ia perlu dijaga, disiram, dibaja, yang memerlukan masa yang lama untuk mendapat hasil yang baik. Ini tidaklah Allah menunjukkan yang kita perlu kelam kabut dalam melakukan sesuatu kerja atau tindakan. Begitu juga bumi, langit dan ciptaan Allah yang lain, ada yang berpendapat Allah menciptanya selama 6/7 hari, ayat ini menunjukkan sifat Allah Maha Penyabar. Allah juga boleh jadikan bumi ini sekelip mata saja kerana Allah Maha Mencipta. Peristiwa penurunan ayat Al-Quran yang berperingkat-peringkat dan kejadian manusia yang Allah tentukan menunjukkan Allah ialah Sang Pecipta Yang Maha Agung lagi Maha Penyabar dan Bijaksana.
Nabi Muhammad SAW pernah memberi wasiat kepada Saidina Ali bin Abi Talib sepertimana yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas pada hari perkahwinan Saidina Ali dengan Fatimah anak perempuan Rasulullah. Salah satu daripada 13 wasiat Rasulullah kepada Ali adalah memintanya untuk sentiasa bersabar ketika mendepani perasaan amarah. Sabda Muhammad Rasulullah:
"Wahai Ali, janganlah engkau melayani rasa marah. Apabila timbul rasa marah,duduklah engkau dan fikirkanlah mengenai kekuasaan serta kesabaran Allah ke atas hamba-Nya. Pertahankan diri engkau daripada dikuasai kemarahan dan kembalilah engkau kepada kesabaran."
Kesimpulan
Sebenarnya Allah hendak menunjukkan hambanya agar perlu bersabar dalam mencapai sesuatu dan janganlah bergopoh-gopoh dalam sesuatu hal kerana ini sebahagian perbuatan iblis yang berusaha menyesatkan keturunan Nabi Adam. Dan ingatlah hanya kesabaran orang yang beriman sahaja akan berpanjangan. Peliharalah iman seseorang perlulah sentiasa berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah agar manusia tidak mudah digoda oleh iblis dan syaitan laknatullah.[1]
Rujukan
- ^ Asas-asas Islam,DR.Ali Laban