- Rencana ini adalah mengenai watak fiksyen dan novelnya. Untuk makna yang lain, sila lihat: Don Quixote (nyahkekaburan).
Don Quixote de la Mancha (bahasa Sepanyol: Don Quijote) (IPA: [don ki'xote ð̞e la 'manʧa]) ialah sebuah novel Sepanyol oleh Miguel de Cervantes Saavedra yang dianggap secara meluas sebagai karya bahasa Sepanyol yang terbaik di dunia [1] dan kini merupakan lambang karya kesusasteraan Sepanyol. Diterbitkan pada tahun 1605, ia adalah salah satu daripada novel terawal dalam bahasa Eropah moden.
Quixote ialah ejaan asalnya dalam bahasa Castile Zaman Pertengahan, dan masih digunakan untuk bahasa Inggeris. Bagaimanapun, bahasa Sepanyol moden telah mengalami pembaharuan ejaan serta penukaran fonetik yang menyebabkan x menjadi j.
Terdapatnya banyak padanan untuk buku ini yang direka bentuk semata-mata untuk memodenkan dan memendekkan teksnya. Salah satu daripada padanan ini ditulis oleh Agustín Sánchez dan hanya mempunyai 150 halaman.
Buku
Novel ini sebenarnya mengandungi dua bahagian: bahagian pertama yang bertajuk El ingenioso hidalgo Don Quixote de la Mancha, diterbitkan pada 16 Januari 1605 dan bahagian kedua, Segunda parte del ingenioso caballero Don Quixote de la Mancha, pada tahun 1615, iaitu setahun sebelum kematian pengarangnya. Pada tahun 1614, iaitu tempoh antara bahagian pertama dan kedua, sebuah susulan Don Quixote yang palsu telah diterbitkan oleh seorang pengarang yang menggunakan nama pena Alonso Fernández de Avellaneda. Atas sebab ini, Bahagian II mengandungi beberapa rujukan kepada seorang penyamar yang Quixote mencela, dan Bahagian II berakhir dengan kematian Don Quixote (supaya tiada penyamar dapat menguji kaji lagi dengan watak Cervante).
Cervantes mengatakan bahawa bab-bab pertama berasal daripada "babad-babad La Mancha" dan bab-bab yang lain daripada terjemahan Cide Hamete Benengeli ("Mr. Hamid Terung"), sebuah karya Arab, oleh seorang pemeluk agama Kristian berdasarkan manuskrip palsu. Ini dan sumber-sumber naratif yang lain mempersendakan genre roman kesateriaan yang amat popular pada waktu itu.
Jalan cerita
Jalan cerita meliputi perjalanan-perjalanan dan peristiwa-peristiwa Don Quixote dan Sancho Panza.
Alonso Quijano ialah seorang hidalgo, iaitu seorang daripada kaum bangsawan Sepanyol taraf paling rendah, yang terlalu memikirkan cerita-cerita tentang kesatria-kesatria yang sering mencari cabaran dan menghadapi bahaya (libros de caballerías), khususnya cerita-cerita yang ditulis oleh Feliciano de Silva. Kawan-kawan dan keluargannya mempercayainya seorang gila sewaktu dia memutuskan penggunaan nama Don Quixote de la Mancha dan menjadi diri sebagai kesatria. ("Don" ialah gelaran untuk taraf kaum bangsawan yang lebih tinggi, dan "Quixote" ialah degenerasi kesusasteraan untuk nama "Quijano", iaitu nama yang sebenarnya. Banyak nama kesatria dalam kesusasteraan kesateriaan Sepanyol berakhir dengan "ote", dan oleh itu, "Quixote" merupakan cara Cervantes untuk memperolok-olokkan kelaziman.) Kemudian, dia berkelana di seluruh Sepanyol dengan kuda kurusnya, Rocinante, untuk membetulkan kesalahan-kesalahan dan memperlindungi orang-orang yang tertindas.
Don Quixote gila ketara. Dia menganggap rumah-rumah penginapan sebagai istana-istana yang telah disihir, dan wanita-wanita kampung sebagai puteri-puteri yang jelita. Dia salah menganggap kincir angin sebagai raksasa yang bersifat menindas dan yang dihantarkan oleh ahli-ahli sihir yang jahat. Dia membayangkan seorang jiran wanita kampung yang pandai menggarami daging babi sebagai Dulcinea del Toboso, seorang wanita amat jelita yang dia berikrar cinta serta kesetiaannya.
Sancho Panza, pengiring upahannya, percaya bahawa tuannya sedikit gila. Terutamanya, dia mengetahui bahawa sebenarnya tidak ada Dulcinea, tetapi dia berpura-pura bersetuju, dan berharap menjadi kaya. Umpamanya, dia dan Quixote bersetuju bahawa oleh sebab Dulcinea tidak begitu comel dan tidak berbau begitu harum, Dulcinea "harus disihir", dan dari titik masa itu, misi mereka adalah untuk menyembuhkannya.
Kedua-dua tuan dan pengiring mengalami perubahan dan perkembangan yang rumit di seluruh cerita, dan setiap watak mengambil alih sifat watak yang lain semasa novel itu berlangsung. Pada akhir buku kedua, Quixote memutuskan di katil mautnya bahawa kesemua tindakannya merupakan kegilaan. Sancho meminta-minta Quixote supaya jangan berputus asa, tetapi gagal dalam percubaannya. Quixote membakar hampir kesemua bukunya yang berkenaan dengan kesateriaan, kecuali buku Amadis dari Gaul (pengasas genre itu), dan Tirant lo Blanch ("Tirant si Putih"), sebuah buku Catalonia yang dianggap sebagai buku yang terbaik di kalangan buku-buku mengenai kesatria.
Tuan dan pengiringnya mengalami banyak peristiwa, biasanya menyebabkan lebih keburukan daripada kebaikan, walaupun niat mereka adalah mulia. Mereka bertemu dengan penjenayah-penjenayah yang dihantar ke dalam ghali-ghali, dan menjadi mangsa usikan oleh sepasang Duke sewaktu Sancho dilantik sebagai "gabenor" untuk "Barataria" yang tidak wujud.
Ayat permulaan
- En un lugar de la Mancha, de cuyo nombre no quiero acordarme, no ha mucho tiempo que vivía un hidalgo de los de lanza en astillero, adarga antigua, rocín flaco y galgo corredor.
- "Di sebuah tempat di La Mancha, yang namanya saya tidak ambil peduli untuk mengingatkan, hidupnya tidak begitu lama dahulu, seorang lelaki yang biasa menyimpan sebatang tompak yang tidak diguna, sebuah perisai yang lama, seekor anjing greyhound untuk perlumbaan, dan seekor kuda tua yang kurus."
Frasa de cuyo nombre no quiero acordarme (yang namanya saya tidak ambil peduli untuk mengingatkann) menjadi masyhur disebabkan buku ini, dan, seperti cebisan-cebisan buku ini yang lain, telah menjadi kata basi yang biasa dalam bahasa Sepanyol moden.
Terjemahan untuk Padanan Agustin Sánchez (dua perenggan pertama)
Nota: Padanan Sánchez merupakan padanan yang tersingkat dan memudahkan penuntut untuk mencapai pemahaman cerita itu dengan lebih pantas, tanpa terlalu dibebankan oleh setiap perincian dalam karya asalnya. Padanan yang singkat ini masih mempunyai lebih kurang 150 halaman.
- "Di sebuah tempat di La Mancha, yang namanya saya tidak ambil peduli untuk mengingatkan, hidupnya amat lama dahulu, seorang lelaki yang tinggi dan kering seperti daging yang menyelubungi lima puluh tahunnya, serta yang memeliharakan reputasi sebagai seorang lelaki yang baik. Mengikut ceritanya, dia dipanggil Alonso Quijano dan mengamalkan hidup yang sederhana tanpa sebarang barang mewah, walaupun di dalam rumahnya, tiada sesiapa yang tiada makanan ataupun sehelai kain baldu untuk menyerikan hari-hari perayaan. Don Alonso tinggal dengan seorang pembantu wanita yang telah mencapai lima puluh tahun, bersama-sama dengan seorang anak saudara perempuan yang masih belum mencapai dua puluh, dan dia seorang yang bangun tidur awal serta peminat pemburuan yang menyebabkannya mempunyai persahabatan yang terhad dengan paderi dan tukang gunting di kampungnya. Sebagai lelaki, dia hampir tidak mempunyai sebarang tanggungjawab dan oleh itu, dia menumpukan berjam-jam masa lapangnya untuk membaca buku-buku kisah pengembaraan. Dia amat suka cerita-cerita mengenai raksasa dan perang, kesatria berkelana dan puteri tawanan yang menyebabkannya menjual sebahagian besar tanahnya untuk membeli buku-buku dan lebih banyak buku-buku.
- Pada waktu siang dan pada waktu malam, Don Alonso tidak ada perkara yang lebih baik untuk dibuatnya melainkan membaca buku. Disebabkan buku-buku itu, dia tidak menjaga rumah dan mengabaikan hal peribadinya, dan tidak lama kemudian, oleh sebab terlalu banyak membaca, serta tidak banyak tidur, otaknya menjadi kering, dan dia menjadi gila. Tiba-tiba, dia melepaskan genggaman bukunya yang dia sedang memegang di antara kedua-dua tangannya, dan dengan berangnya, melayam-layamkan pedangnya yang lama dan bermula menikam dinding-dinding seolah-olah dia tengah mempertahankan diri daripada sepasukan legion raksasa yang garang. Dia telah meyakinkan diri bahawa segala-gala yang dia membaca dalam buku-buku adalah benar........"
Pentingnya karya ini
Don Quixote sering dicalonkan sebagai karya fiksyen yang terbaik di dunia. Kedudukannya adalah unik antara roman kesateriaan Zaman Pertengahan dan novel moden. Komponen roman kesateriaannya terdiri daripada cerita-cerita yang tidak berkesinambungan dan yang tidak banyak memeriksakan secara teliti terhadap hidup dalaman watak-wataknya, termasuk juga watak utamanya. Komponen novel modennya biasa menumpukan evolusi psikologi watak-wataknya. Dalam Bahagian I, Quixote menyuakan diri terhadap persekitarannya. Menjelang Bahagian II, dia tidak lagi berupaya fizikal, tetapi orang-orang telah kenal akannya "setelah membaca penjelajahannya", dan oleh itu, dia tidak memerlukan banyak untuk memeliharakan imejnya. Pada saat-saat menghadapi kematiannya, dia telah bermula mendapat identiti yang baru, termasuk nama samaran, "Si Baik".
Buku in telah mencapai banyak "pertama" yang kecil untuk kesusasteraan Eropah — seorang wanita merungut tentang putus haidnya, seseorang dengan gangguan makan, serta pendedahan psikologi terhadap kesusahan mereka sebagai sesuatu yang tersirat di hati mereka.
Gaya yang tidak ketara mengenai sudut pandangan dapat dijumpai di seluruh karya ini: watak-watak yang menceritakan tentang seorang wanita yang menyebabkan kematian pelamarnya, dan yang menggambarkannya sebagai seorang wanita yang jahat, tetapi sewaktu wanita itu termuncul dalam cerita, wanita itu memberikan sudut pandangan yang betul-betul bertentangan, dan ini menyebabkan Quixote (dan oleh itu, pembaca) mempertahankannya. Sewaktu Quixote menuruni ke dalam gua, Cervantes mengakui bahawa beliau tidak tahu akan apa yang berlaku di sana.
Pengembaraan-pengembaraan Quixote cenderung melibatkan keadaan-keadaan yang mempergunakan prinsip-prinsip kesatria yang mudah dan sudah pasti terhadap keadaan-keadaan yang merangkumi persoalan-persoalan yang rumit. Umpamanya, sewaktu melihat sekumpulan abdi pendayung ghali dianiayai oleh pengawal-pengawalnya, Quixote percaya akan bantahan ketakbersalahan mereka dan menyerang pengawal-pengawal itu. Selepas membebaskan mereka, dia mendesak bahawa mereka menghormati Dulcinea (seorang wanita), tetapi sebaliknya mereka melontari batu-batu kepadanya sebelum mereka bertolak.
Zaman-zaman yang berbeza-beza cenderung mentafsirkan novel ini dengan cara yang berlainan. Sewaktu buku ini diterbitkan buat pertama kali, ia biasanya ditafsirkan sebagai novel lucu. Selepas Revolusi Perancis, ia menjadi popular disebabkan sebahagian kerana etika utamanya yang mengatakan bahawa seseorang masih boleh betul sedangkan masyarakat boleh salah dan mengecewakan — sesuatu yang langsung tidak lucu. Pada abad ke-19, karya ini diperlihatkan sebagai ulasan sosial, tetapi tiada seorang pun yang dapat mengatakan dengan mudah terhadap persoalan "Cervantes memihaki siapa". Menjelang abad ke-20, ia telah menjadi jelas bahawa Don Quixote bukannya hanya satu mahakarya yang unik dan bermoral, tetapi buku ini benar-benar merupakan sebuah novel moden yang sulung.
Pengarang Amerika Syarikat, Barry Gifford, memerihalkan Don Quixote sebagai "novel generasi bitnik yang sulung."
Selepas Revolusi Cuba, kerajaan revolusi mengasaskan syarikat penerbitan yang dinamakan "Instituto Cubano del Libro" (Institut Buku Cuba) untuk menerbitkan kesusasteraan yang agung secara besar-besaran untuk pengedaran kepada orang ramai pada harga yang murah. Buku sulung yang dicetak oleh Instiutio itu ialah Don Quixote.
Hari ulang tahun ke-400
Hari ulang tahun ke-400 untuk buku Don Quixote dirayakan di seluruh dunia pada tahun 2005. Sepanyol mengeluarkan duit syiling peringatan €2. Di Venezuela, kerajaan Presiden Hugo Chavez mengedarkan sejuta naskhah buku percuma sebagai sebahagian rancangan kenal huruf negara.[2]. Daya usaha yang serupa juga diambil di Sepanyol dan negara-negara bertutur bahasa Sepanyol yang lain di seluruh dunia. Di United Kingdom, Radio BBC menonjolkan rancangan bersiri 10 bahagian untuk padanan karya ini selama dua minggu. Pada akhir tahun 2005, Peru mempersembahkan versi terjemahan bahasa Quechua dalam pesta buku Guadalajara.
Lihat juga
- Belianis
- Senarai watak-watak dalam Don Quixote
- Asteroid 3552 Don Quixote, dinamai sempena watak Don Quixote
- Miguel de Cervantes
Pautan luar
| ||
| ||
|
- Don Quixote by Miguel de Cervantes Saavedra, sebuah buku elektronik bebas di Projek Gutenberg
- E-teks Projek Gutenberg untuk [3]
- Tapak rasmi Don Quixote Ulang Tahun Ke-400 Diarkibkan 2018-01-16 di Wayback Machine
- Nota-nota mengenai novel Don Quixote
- Don Quixote Diarkibkan 2006-01-15 di Wayback Machine — Muzium Maya Don Quixote
- 28 buah Ilustrasi Don Quijote oleh Stefan Mart (1933)
- 400 Kincir Angin Diarkibkan 2021-01-26 di Wayback Machine — Log web yang dikhaskan untuk perbincangan Don Quixote
- Adakah Don Quixote Mempunyai Makna Yahudi yang Tersorok? oleh Michael McGaha (Kolej Pomona, California)
- El secreto de Don Quijote — filem Sepanyol, sari kata bahasa Inggeris Diarkibkan 2006-08-22 di Wayback Machine
- Coloquio Cervantes: http://www.ou.edu/cervantes/coloquiocervantes.html Diarkibkan 2005-11-15 di Wayback Machine
- Tapak kelucuan popular yang mempersendakan mitologi Quixote.