Domus Sanctae Marthae | |
---|---|
![]() Domus Sanctae Marthae dilihat dari kubah Basilika Santo Peter | |
![]() | |
Etimologi | Martha (en) ![]() ![]() |
Maklumat umum | |
Jenis | Kediaman, rumah tetamu |
Gaya seni bina | Moden |
Lokasi | Vatikan |
Negara | Kota Vatikan |
Koordinat | 41°54′03″N 12°27′12″E / 41.9007°N 12.4533°E |
Pembinaan bermula | 1996 ![]() |
Disiapkan pada | 1996 |
Dibuka pada | 1996 |
Dirasmikan pada | 1996 ![]() |
Pemilik | Takhta Suci |
sunting · sunting di Wikidata![]() |
Domus Sanctae Marthae (bahasa Melayu: Rumah Santa Marta; bahasa Itali: Casa Santa Marta) ialah sebuah bangunan yang terletak bersebelahan dengan Basilika Santo Peter di Kota Vatikan. Ia siap dibina pada tahun 1996 semasa zaman Paus Yohanes Paulus II dan dinamakan sempena Marta dari Betania yang merupakan saudara kepada Maria dan Lazarus dari Betania. Bangunan ini berfungsi sebagai rumah tetamu untuk para paderi yang mempunyai urusan dengan Takhta Suci dan juga tempat tinggal sementara untuk para Kardinal semasa proses pemilihan Paus baharu (konklaf).
Paus Fransiskus memilih untuk tinggal di salah sebuah suite di Domus Sanctae Marthae sejak beliau terpilih sebagai Paus pada tahun 2013 sehingga kematiannya pada tahun 2025 dan tidak menggunakan apartmen khas Paus di Istana Apostolik.
Bangunan dan kemudahan
Sebelum pembinaan Domus Sanctae Marthae, para kardinal yang mengambil bahagian dalam konklaf tinggal di Istana Apostolik, tidur di atas katil lipat dalam ruang sementara di sekitar istana termasuk di koridor dan pejabat yang hanya dipisahkan dengan kain cadar digantung atas tali. Mereka berkongsi bilik mandi dan kadang-kadang sehingga 10 orang kardinal menetap dalam satu bilik.[1][2][3]
Paus Yohanes Paulus II pernah menyertai dua konklaf kepausan. Beliau merasakan keadaan itu tidak sesuai terutamanya bagi kardinal yang sudah berusia. Maka, beliau mengarahkan pembinaan Domus Sanctae Marthae supaya proses konklaf menjadi lebih selesa. Di luar waktu konklaf, bangunan ini juga boleh digunakan oleh pegawai gereja yang bekerja di Sekretariat Negara dan jabatan-jabatan lain dalam Pentadbiran Vatikan serta kardinal dan uskup yang datang ke Vatikan atas urusan rasmi.[4] Orang awam (bukan paderi) juga pernah menginap di sini.[5]
Namun, pembinaan bangunan ini mendapat bantahan dari kumpulan alam sekitar dan ahli politik Itali kerana ia menghalang pemandangan Basilika St. Peter dari beberapa apartmen berdekatan. Ketua Jabatan Teknikal Vatikan mempertahankan pembinaan itu dan mengatakan bahawa bangunan itu lebih rendah daripada banyak bangunan di kawasan sekitar dan Vatikan berhak membina di dalam wilayahnya sendiri.[6]
Kos pembinaan hotel ini adalah sekitar $20 juta. Sebanyak $13 juta pada awalnya dijanjikan oleh seorang pemilik kasino dari Pittsburgh, John E. Connelly. Namun, selepas perniagaannya mengalami masalah kewangan, beliau gagal menunaikan janji tersebut. Perjanjian yang diberi kepadanya untuk menjual salinan seni Vatikan di Amerika Syarikat juga ditarik balik kerana beliau hanya memasarkan di kawasan Pittsburgh sahaja.[7]
Connelly mencadangkan seorang arkitek dari Pittsburgh bernama Louis D. Astorino untuk mereka bentuk bangunan ini. Reka bentuknya ditolak, tetapi beliau tetap terlibat dalam mereka bentuk Kapel Roh Kudus yang terletak bersebelahan. Reka bentuk bangunan Domus Sanctae Marthae akhirnya dibuat oleh Giuseppe Facchini, bekas timbalan pengarah teknikal Vatikan.[8] Kapel tersebut terletak di antara Tembok Leonine dan rumah tamu utama.[9]
Bangunan lima tingkat ini mempunyai 106 suite, 22 bilik seorang dan satu apartmen. Ia dikendalikan oleh para biarawati dari Kongregasi Daughters of Charity of Saint Vincent de Paul.[10][11] Setiap tetamu disediakan bilik tidur lengkap dengan bilik air dan ruang kerja peribadi. Kemudahan makan dan perkhidmatan peribadi turut disediakan. Mary Ann Glendon, bekas Duta Amerika Syarikat ke Vatikan (2008–2009), menyifatkan kemudahan di situ "selesa, tetapi bukan mewah."[5]
Struktur terdahulu
Pada tahun 1891, Paus Leo XIII membina Rumah Tumpangan St. Martha di tapak yang kini menjadi lokasi Domus Sanctae Marthae. Ketika itu, ada kebimbangan bahawa wabak kolera akan merebak ke Rom. Namun, apabila wabak itu tidak sampai ke sana, bangunan tersebut digunakan untuk memberi perkhidmatan kepada orang sakit di kawasan kejiranan Borgo dan Trastevere di Rom serta sebagai tempat penginapan untuk para peziarah. Bekalan elektrik dipasang pada tahun 1901 dan sebuah kapel dibina pada tahun 1902. Perkhidmatan perubatan turut diperluaskan untuk merangkumi para paderi dan Pengawal Swiss.
Semasa Perang Dunia Kedua, bangunan ini menjadi tempat perlindungan bagi pelarian, orang Yahudi dan duta dari negara-negara yang telah memutuskan hubungan diplomatik dengan Itali.[12] Selepas perang tamat, Paus Pius XII menyambut 800 kanak-kanak Rom yang bersarapan di Rumah Tumpangan St. Martha selepas menerima Komuni Pertama mereka.[13] Bangunan ini kemudiannya berfungsi sebagai tempat tinggal untuk paderi kanan yang menghabiskan sisa hidup mereka di situ.[14] Ia juga semakin banyak digunakan sebagai kediaman untuk paderi yang bekerja di pejabat-pejabat Vatikan.[12][1]
Penggunaan ketika konklaf
Perlembagaan Kerasulan Universi Dominici gregis oleh Paus Yohanes Paulus II yang diumumkan pada 22 Februari 1996 telah mengubah peraturan berkaitan konklaf kepausan. Ia menetapkan bahawa para kardinal yang mengundi (kardinal pemilih) akan ditempatkan di Domus Sanctae Marthae bersama-sama staf sokongan seperti doktor, paderi pengaku dosa, tukang masak dan kakitangan pembersihan.[15] Domus Sanctae Marthae telah digunakan dalam konklaf tahun 2005 dan 2013.[16][17] Oleh kerana Kapel Sistina, iaitu lokasi undian paus, terletak di seberang Basilika Santo Peter dari bangunan ini, para kardinal dibawa ke sana setiap hari dengan menaiki bas. Sepanjang tempoh ini, langkah ketat diambil supaya tiada orang luar dapat mendekati atau berbual dengan para kardinal.[1][18]
Domus Sanctae Marthae dijangka akan digunakan sekali lagi dalam konklaf 2025 susulan kematian Paus Fransiskus. Namun, dengan jumlah kardinal pengundi mencecah 135 orang — rekod tertinggi dalam sejarah — dan bangunan ini hanya mempunyai 129 bilik, Vatikan mungkin perlu menggunakan kemudahan lain untuk menampung kekurangan bilik.[19][20]
Seperti konklaf sebelum ini, bilik-bilik akan ditentukan melalui undian.[21] Semua radio, televisyen, telefon dan sambungan Wi-Fi akan diputuskan sepenuhnya selaras dengan peraturan yang mewajibkan para kardinal diasingkan sepenuhnya daripada dunia luar sepanjang proses pemilihan paus.[3][1][22]
Kediaman paus (2013–2025)
Pada 26 Mac 2013, Vatikan mengumumkan bahawa Paus Fransiskus tidak akan berpindah ke apartmen paus di Istana Apostolik. Beliau merupakan paus pertama sejak Paus Pius X pada tahun 1903 yang tidak tinggal di tingkat tiga apartmen itu. Sebaliknya, Fransiskus menggunakan suite di istana tersebut sebagai pejabatnya sahaja.
Selepas dipilih sebagai paus, beliau pada mulanya terus tinggal di bilik yang ditentukan melalui undian semasa konklaf dan kemudian berpindah ke Suite 201 di Domus Sanctae Marthae. Di situ, beliau merayakan Misa pagi dan makan bersama-sama penghuni lain.
Fransiskus menjelaskan keputusannya dengan berkata: "Kediaman di Istana Apostolik itu luas dan dihias dengan cantik, tetapi bukan mewah... Ia memang besar, tetapi pintunya sempit. Hanya seorang boleh masuk pada satu-satu masa. Saya tidak boleh hidup bersendirian. Saya perlu hidup bersama orang lain."
Bilik tidur beliau dilengkapi perabot asas, satu salib kayu berdiri dan patung kecil "Our Lady of Luján" — penaung Santa Perawan Maria bagi Argentina, Uruguay dan Paraguay. Di luar biliknya, terdapat dua anggota Pengawal Swiss yang berkawal 24 jam dan patung Santo Yusuf yang di bawahnya Fransiskus letakkan permintaan doa.
Kumpulan Santa Marta, iaitu satu kumpulan pemimpin Katolik yang menentang perhambaan moden, mengambil nama sempena kediaman paus ini.
Fransiskus meninggal dunia pada 21 April 2025, jam 7:35 pagi waktu CEST, di dalam apartmennya. Pada jam 9:47 pagi, kematiannya diumumkan secara rasmi oleh Kardinal Kevin Farrell, Kamerlengo Gereja Rom, dari kapel di kompleks tersebut. Upacara pengesahan kematian dan persediaan jenazah dalam keranda diadakan di kapel sama pada jam 8 malam, disaksikan oleh Dekan Kolej Kardinal, ahli keluarga paus dan Jabatan Kesihatan Vatikan. Apartmen tempat beliau tinggal itu kemudiannya ditutup oleh Kardinal Farrell bersama-sama dengan Apartmen Paus di Istana Apostolik.
Rujukan
- ^ a b c d Deborah (2013-03-01). "Vatican Route: St. Martha's House". Inside The Vatican (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2025-04-25.
- ^ Tobin, Greg (2009). Selecting the Pope : uncovering the mysteries of papal elections. Internet Archive. New York : Sterling. ISBN 978-1-4027-2954-6.
- ^ a b From Pope John Paul II to Benedict XVI : an inside look at the end of an era, the beginning of a new one, and the future of the church. Internet Archive. Lanham, Md. : Rowman & Littlefield Publishers. 2005. ISBN 978-1-58051-202-2.CS1 maint: others (link)
- ^ "The St. Martha Foundation" (Siaran akhbar). Catholic News Service/Vatican Press Office. April 2005. Dicapai pada 24 January 2014.
- ^ a b "Kissinger in conclave at Vatican". Catholic News. 30 April 2007. Dicapai pada 24 January 2014.
- ^ Thavis, John (2013). The Vatican Diaries: A Behind-the-Scenes Look at the Power, Personalities and Politics at the Heart of the Catholic Church. New York City: Viking. m/s. 121–2. ISBN 978-0-670-02671-5.
- ^ Rodgers-Melnick, Ann (9 January 2001). "Connelly's plan to market replicas never took hold beyond Pittsburgh". Pittsburgh Post-Gazette. Dicapai pada 24 January 2014.
- ^ "New Vatican Chapel Designed By Pittsburgh Architect". KDKA News. CBS Local. 4 March 2013. Dicapai pada 24 January 2014.
- ^ "Chapel of the Holy Spirit". Astorino. Diarkibkan daripada yang asal pada 2 November 2013. Dicapai pada 24 Januari 2014.
- ^ "Inside Casa Santa Marta, Pope Francis's new digs". Culture (dalam bahasa Inggeris). 2025-04-25. Dicapai pada 2025-04-25.
- ^ "EWTN Global Catholic Television Network: Catholic News, TV, Radio | EWTN". EWTN Global Catholic Television Network (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2025-04-25.
- ^ a b Sodano, Angelo (11 December 2004). "Homily: 120 Years of Witness by the Sisters of Charity". Secretariat of State. Dicapai pada 24 January 2014.
- ^ "800 Poor Children Received by Pope" (PDF). The New York Times. 7 May 1945. Dicapai pada 24 January 2014.
- ^ "Aide to Pope Dies at 62" (PDF). The New York Times. 13 May 1956. Dicapai pada 24 January 2014.
- ^ Deborah (2013-03-01). "Vatican Route: St. Martha's House". Inside The Vatican (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2025-04-25.
- ^ Wangsness, Lisa (8 March 2013). "Conclave to select next pope to start Tuesday". The Boston Globe. Diarkibkan daripada yang asal pada 1 February 2014. Dicapai pada 24 January 2014.
- ^ "Cardinals assembled to elect a pope". The New York Times. 18 April 2005. Dicapai pada 4 April 2013.
- ^ Galazka, Grzegorz (2001). John Paul II and his cardinals. Internet Archive. Chicago, IL : Midwest Theological Forum. ISBN 978-1-890177-13-3.
- ^ "Inside Casa Santa Marta, Pope Francis's new digs". Culture (dalam bahasa Inggeris). 2025-04-25. Dicapai pada 2025-04-25.
- ^ Feed, CV News (2025-04-24). "Record number of cardinal electors poses logistical challenge for conclave". CatholicVote org (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2025-04-25.
- ^ "Death of Pope Francis: What happens next". Madison Catholic Herald (dalam bahasa Inggeris). 2025-04-21. Dicapai pada 2025-04-25.
- ^ "At The Vatican, A Social Media Blackout Keeps Cardinals Pure". NPR (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2025-04-25.