Rencana ini mempunyai senarai rujukan umum, tetapi kekurangan nota kaki pada pada kenyataan yang dipetik. (April 2009) |
| Domain Kagoshima (1869–1871)鹿児島藩 Domain Satsuma (1600–1869)薩摩藩 | |||||||||||||
|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
| Domain di Jepun | |||||||||||||
| 1600–1871 | |||||||||||||
Bekas tapak Istana Kagoshima di Kagoshima | |||||||||||||
| |||||||||||||
Peluasan maksimum Domain Satsuma semasa zaman Sengoku (1586) | |||||||||||||
| Ibu kota | Istana Kagoshima | ||||||||||||
| Sejarah | |||||||||||||
| Kerajaan | |||||||||||||
| Daimyō | |||||||||||||
• 1602–1638 | Shimazu Iehisa (pertama) | ||||||||||||
• 1858–1871 | Shimazu Tadayoshi (last) | ||||||||||||
| Era bersejarah | Zaman Edo | ||||||||||||
• Ditubuhkan | 1600 | ||||||||||||
| 1871 | |||||||||||||
| Terkandung dalam | |||||||||||||
| • Wilayah | Satsuma, Ōsumi, Hyūga | ||||||||||||
| |||||||||||||
| Hari ini sebahagian daripada | Keseluruhan: Wilayah Kagoshima Wilayah Kumamoto Wilayah Miyazaki Sebahagian: Wilayah Fukuoka Wilayah Oita | ||||||||||||
Domain Satsuma (薩摩藩, Satsuma-han Ryukyuan: Sachima-han), ringkasnya dikenali sebagai Domain Kagoshima (鹿児島藩, Kagoshima-han), merupakan sebuah domain (han) di bawah pemerintahan Keshogunan Tokugawa di Jepun semasa zaman Edo dari tahun 1600 hingga 1871.
Domain Satsuma berpusat di Istana Kagoshima di Wilayah Satsuma, yang menjadi teras kepada bandar moden Kagoshima, terletak di bahagian selatan pulau Kyushu. Sepanjang kewujudannya, Domain Satsuma diperintah oleh daimyō Tozama daripada puak Shimazu, yang telah memerintah kawasan Kagoshima sejak abad ke-13, dan meliputi wilayah Satsuma, Ōsumi dan Hyūga. Domain Satsuma dinilai di bawah sistem kokudaka, dan nilai tertingginya mencecah 770,000 koku, menjadikannya domain kedua terbesar di Jepun selepas Domain Kaga.[1][2][3]
Domain Satsuma merupakan antara domain yang paling berkuasa dan berpengaruh di Jepun semasa zaman Edo. Domain ini menakluk Kerajaan Ryukyu sebagai sebuah negara naungan selepas pencerobohan Ryukyu pada tahun 1609, serta terlibat dalam konflik dengan British semasa pemboman Kagoshima pada tahun 1863, susulan Peristiwa Namamugi. Domain Satsuma kemudiannya membentuk Perikatan Satchō bersama domain pesaingnya, Domain Chōshū semasa Pemulihan Meiji, dan memainkan peranan penting dalam penubuhan Empayar Jepun.
Kagoshima-han dibubarkan semasa pelaksanaan penghapusan sistem han dan penubuhan sistem ken pada tahun 1871 oleh kerajaan Meiji, apabila Kagoshima-han ditukar menjadi Wilayah Kagoshima (Kagoshima-ken), dengan sebahagian wilayahnya dipisahkan sebagai Wilayah Miyakonojō (Miyakonojō-ken). Gabenor wilayah pertama Kagoshima ialah Ōyama Tsunayoshi sehingga tahun 1877, apabila beliau dihukum bunuh semasa Pemberontakan Satsuma. Sejak tahun 1880-an, bekas wilayah Domain Kagoshima kini menjadi sebahagian daripada Wilayah Kagoshima dan Wilayah Miyazaki, yang akhirnya dipisahkan secara rasmi daripada Kagoshima pada tahun 1883.
Sejarah
Puak Shimazu telah menguasai Wilayah Satsuma selama kira-kira empat abad sebelum bermulanya zaman Edo. Walaupun ditewaskan oleh Toyotomi Hideyoshi dalam Kempen Kyūshū pada tahun 1587 dan dipaksa berundur ke Satsuma, puak Shimazu kekal sebagai antara puak paling berkuasa di Jepun. Dalam Pertempuran Sekigahara (1600), mereka berpihak kepada pihak yang kalah, namun Domain Satsuma tetap muncul sebagai salah satu domain feudal paling kuat di bawah pemerintahan Tokugawa. Sepanjang zaman Edo, Satsuma diperintah oleh daimyō Tozama daripada klan Shimazu.
Ryukyu
Sejak pertengahan abad ke-15, Domain Satsuma bersaing dengan Kerajaan Ryukyu untuk menguasai kepulauan Ryukyu Utara. Pada tahun 1609, dengan kebenaran keshogunan, Satsuma melancarkan pencerobohan ke atas Ryukyu dan berjaya menawan ibu kota Shuri serta Raja Shō Nei. Melalui perjanjian damai selepas itu, Satsuma menguasai Kepulauan Amami dan Tokara, menuntut ufti, serta memaksa Raja Ryukyu mengikrarkan kesetiaan kepada daimyō Satsuma.
Sepanjang baki zaman Edo, Satsuma mempengaruhi politik Ryukyu dan mengawal dasar perdagangannya, khususnya untuk memanfaatkan hubungan ufti Ryukyu dengan China. Ketika Jepun mengenakan sekatan perdagangan laut pada abad ke-17, hubungan ini memberikan Satsuma kedudukan ekonomi dan politik yang istimewa. Walaupun tahap manfaat ekonomi masih diperdebatkan oleh para sarjana, pengaruh dan prestij politik yang diperoleh Satsuma melalui Ryukyu tidak dipersoalkan.
Pada tahun 1871, Maharaja Meiji memansuhkan sistem han, dan pada tahun berikutnya memindahkan kuasa Satsuma ke atas Ryukyu kepada kerajaan pusat di Tokyo, menandakan berakhirnya penguasaan Satsuma terhadap Ryukyu.
Zaman Edo
Walaupun Domain Satsuma bukan domain terkaya dari segi kokudaka (ukuran rasmi kekayaan dan kekuasaan sesebuah han), ia kekal sebagai antara domain paling kaya dan berkuasa sepanjang zaman Edo. Kekuatan ini bukan sahaja berpunca daripada hubungannya dengan Ryukyu, tetapi juga daripada keluasan dan hasil ekonomi Wilayah Satsuma sendiri, serta kedudukannya yang jauh dari Edo, sekali gus mengurangkan pengawasan langsung tentera keshogunan.
Puak Shimazu menggunakan pengaruh mereka untuk memperoleh beberapa pengecualian khas daripada keshogunan. Antaranya, Satsuma dibenarkan memiliki lebih daripada satu istana, walaupun dasar rasmi keshogunan mengehadkan setiap domain kepada satu istana bagi mengekang kekuatan ketenteraan. Shimazu seterusnya membahagikan wilayah mereka kepada subdomain dan mengagihkan istana kepada para pengikut, mentadbir Satsuma seolah-olah sebuah "keshogunan kecil". Mereka juga diberikan kelonggaran dalam dasar sankin-kōtai, iaitu kewajipan daimyō untuk berulang-alik ke Edo setiap tahun; Shimazu hanya diwajibkan melakukannya dua tahun sekali, sekali gus membolehkan Satsuma mengekalkan lebih banyak kekayaan dan pengaruh berbanding domain lain.
Walaupun sering dianggap berpendirian bertentangan dengan keshogunan, Satsuma merupakan antara domain yang paling tegas dalam melaksanakan beberapa dasar tertentu. Larangan terhadap agama Kristian dikuatkuasakan dengan amat keras kerana dianggap mengancam kuasa daimyō dan kestabilan domain. Sebaliknya, larangan terhadap penyeludupan tidak dikuatkuasakan secara ketat, memandangkan Satsuma memperoleh manfaat besar daripada perdagangan luar pesisir yang berlaku jauh dari Nagasaki, pusat monopoli perdagangan keshogunan. Pada 1830-an, Satsuma menggunakan perdagangan haram dengan Okinawa untuk memulihkan kewangannya di bawah pentadbiran Zusho Hirosato.
Bakumatsu
Pada tahun 1850-an, daimyō Satsuma, Shimazu Nariakira menunjukkan minat yang mendalam terhadap pemikiran dan teknologi Barat, serta menyokong usaha membuka Jepun kepada dunia luar. Hubungan Satsuma dengan orang Barat meningkat, khususnya melalui Kepulauan Ryukyu, yang sering dikunjungi kapal Barat. Untuk mengukuhkan pengaruhnya dalam keshogunan, Nariakira mengatur perkahwinan antara Shōgun Tokugawa Iesada dan anak angkatnya, Atsu-hime (kemudian dikenali sebagai Tenshō-in).
Pada tahun 1854, Komodor Matthew Perry memaksa Jepun menamatkan dasar tutup pintu. Namun demikian, perjanjian berat sebelah seperti Perjanjian Harris (1858) meletakkan Jepun dalam keadaan yang merugikan. Pada tahun yang sama, Iesada dan Nariakira meninggal dunia. Nariakira digantikan oleh anak saudaranya, Shimazu Tadayoshi, manakala kuasa sebenar di Satsuma dipegang oleh bapanya, Shimazu Hisamitsu.
Hisamitsu menyokong dasar kōbu gattai (penyatuan antara keshogunan dan istana diraja). Perkahwinan antara Shōgun Tokugawa Iemochi dan Puteri Kazunomiya merupakan kejayaan dasar ini, namun ia meletakkan Satsuma bertentangan dengan puak radikal sonnō jōi ("menjunjung Maharaja dan menghalau orang asing"), yang disokong kuat oleh Domain Chōshū.
Pada tahun 1862, Peristia Namamugi berlaku apabila seorang warga British terbunuh oleh pengikut Satsuma, yang membawa kepada pengeboman Kagoshima oleh Tentera Laut Diraja British pada 1863. Peristiwa ini menonjolkan keperluan mendesak Jepun untuk memodenkan ketenteraan dan mengimport teknologi Barat.
Ketika tumpuan politik Jepun beralih ke Kyoto, keshogunan menugaskan Satsuma dan Domain Aizu untuk melindungi istana Maharaja. Selepas Peristiwa Kinmon (1864), Satsuma terlibat dalam Ekspedisi Chōshū Pertama, yang diketuai oleh Saigō Takamori, namun konflik bersenjata dapat dielakkan.
Apabila keshogunan melancarkan Ekspedisi Chōshū Kedua, Satsuma di bawah pimpinan Saigō Takamori dan Ōkubo Toshimichi, berpaling tadah dan membentuk Perikatan Satchō dengan Chōshū, hasil usaha pengantaraan Sakamoto Ryōma. Keshogunan mengalami kekalahan, dan Shōgun Iemochi meninggal dunia. Penggantinya, Tokugawa Yoshinobu gagal menghalang gerakan menumbangkan keshogunan.
Pada tahun 1868, konflik memuncak dalam Pertempuran Toba–Fushimi, yang menyaksikan kekalahan pihak shōgun. Saigō Takamori memimpin pasukan ke Edo, dan dengan peranan penting Tenshō-in, Istana Edo menyerah tanpa pertumpahan darah. Perang Boshin berakhir pada tahun 1869, menandakan kejatuhan muktamad keshogunan Tokugawa.
Selepas Pemulihan Meiji, Saigō Takamori, tokoh besar terakhir Satsuma, akhirnya mengetuai Pemberontakan Satsuma (1877) menentang kerajaan imperial, yang berakhir dengan kekalahan Satsuma dan penghapusan sisa-sisa sistem feudal Jepun.
Zaman Meiji
Kerajaan Meiji yang ditubuhkan selepas peristiwa-peristiwa ini, didominasi oleh tokoh politik dari Satsuma dan Chōshū. Walaupun kelas samurai, sistem domain (han) serta sebahagian besar struktur politik dan sosial lama dimansuhkan tidak lama kemudian, pengaruh politik kedua-dua wilayah ini kekal kuat. Tokoh-tokoh dari Satsuma dan Chōshū menguasai politik Jepun sehingga sekitar Perang Dunia Pertama.
Bagaimanapun, tempoh awal pemerintahan Meiji dicirikan oleh ketidakpuasan hati bekas golongan samurai, yang akhirnya meletus dalam Pemberontakan Satsuma pada tahun 1877 di bawah pimpinan Saigō Takamori, menandakan penentangan terakhir terhadap kerajaan imperial dan berakhirnya sistem pemerintahan warisan di Jepun.
Senarai daimyō
Berikut merupakan senarai daimyō sebagai ketua domain.
Puak Shimazu 1602–1871 (Tozama; 770,000 koku)
| Nama | Tempoh | |
|---|---|---|
| 1 | Shimazu Iehisa (島津家久) | 1602–1638 |
| 2 | Shimazu Mitsuhisa (島津光久) | 1638–1687 |
| 3 | Shimazu Tsunataka (島津綱貴) | 1687–1704 |
| 4 | Shimazu Yoshitaka (島津吉貴) | 1704–1721 |
| 5 | Shimazu Tsugutoyo (島津継豊) | 1721–1746 |
| 6 | Shimazu Munenobu (島津宗信) | 1746–1749 |
| 7 | Shimazu Shigetoshi (島津重年) | 1749–1755 |
| 8 | Shimazu Shigehide (島津重豪) | 1755–1787 |
| 9 | Shimazu Narinobu (島津斉宣) | 1787–1809 |
| 10 | Shimazu Narioki (島津斉興) | 1809–1851 |
| 11 | Shimazu Nariakira (島津斉彬) | 1851–1858 |
| 12 | Shimazu Tadayoshi (島津忠義) | 1858–1871 |
Tokoh ternama
- Diplomat dan negarawan zaman Meiji
- Kuroda Kiyotaka
- Matsukata Masayoshi
- Yamamoto Gonnohyōe
- Mori Arinori
- Makino Nobuaki
- Nishi Tokujirō
- Terashima Munenori
- Saigō Tsugumichi
- Mishima Michitsune
- Narahara Shigeru
- Tōgō Heihachirō
- Saneyoshi Yasuzumi
- Kawamura Sumiyoshi
- Kataoka Shichirō
- Shibayama Yahachi
- Takeshita Isamu
- Nire Kagenori
- Kamimura Hikonojō
- Ijuin Gorō
- Itō Sukeyuki
- Inoue Yoshika
- Kabayama Sukenori
- Samejima Kazunori
- Artis
- Kuroda Seiki, pelukis yōga
- Usahawan
Nota
- ^ Bendera digunakan oleh pasukan Satsuma semasa Perang Boshin.
Catatan
- ^ Mass, Jeffrey P. and William B. Hauser. (1987). The Bakufu in Japanese History, p. 150.
- ^ Elison, George and Bardwell L. Smith (1987). Warlords, Artists, & Commoners: Japan in the Sixteenth Century, p. 18.
- ^ Totman, Conrad. (1993). Early Modern Japan, p. 119.
Pautan luar
Kategori berkaitan Satsuma Domain di Wikimedia Commons








