Dinosaur berbulu pelepah adalah mana-mana spesies dinosaur yang mempunyai bulu pelepah seperti burung. Semenjak penyelidikan saintifik bermula ke atas dinosaur pada awal abad ke-19, dinosaur pada umumnya dipercayai tergolong sebagai reptilia; perkataan "dinosaur" yang dicipta pada tahun 1842 oleh ahli paleontologi Richard Owen, datangnya dari bahasa Yunani yang bermaksud "biawak yang menggerunkan". Namun pandangan asal ini mula berubah ketika "kebangkitan semula dinosaur" dalam penyelidikan sains pada lewat 1960-an, malah menjelang pertengahan 1990-an timbulnya banyak bukti bahawa dinosaur jauh lebih rapat bersaudara dengan burung. Sebenarnya burung kini dipercayai adalah keturunan dinosaur teropod[1] dan oleh itu digolongkan sebagai rumpun dinosaur, iaitu sebarang burung moden boleh dianggap dinosaur berbulu pelepah kerana semua burung moden memiliki bulu pelepah (kecuali beberapa baka ayam yang terhasil daripada pembiakbakaan terpilih buatan manusia).[2]
Dalam kalangan dinosaur pupus telah ditemuinya bulu pelepah atau integumen seakan-akan bulu pelepah pada puluhan genus menerusi bukti fosil langsung mahupun tidak langsung. Sebahagian besar penemuan bulu pelepah datangnya dari makhluk teropod koelurosaur. Akan tetapi, integument juga ditemui pada sekurang-kurangnya tiga ekor makhluk ornitiskia, maka besar kemungkinan bahawa proto-bulu pelepah juga terdapat pada dinosaur yang awal sekali, apatah lagi mungkin juga haiwan yang jauh lebih purba, ekoran pycnofiber pada pterosaur. Rumpun buaya juga memiliki beta keratin yang amat serupa dengan burung, menandakan mereka berevolusi dari gen leluhur yang serupa.[3]
Rujukan
- ^ Brown, J.W.; Van Tuinen, M. (2011). "Evolving Perceptions on the Antiquity of the Modern Avian Tree, in Living Dinosaurs". The Evolutionary History of Modern Birds. John Wiley & Sons LtD: 306–324. doi:10.1002/9781119990475.ch12. ISBN 9781119990475.
- ^ "Bald chicken 'needs no plucking'". BBC. Israel. May 21, 2002. Dicapai pada March 16, 2015.
- ^ Greenwold, M,; Sawyer, R, (2013), "Molecular evolution and expression of archosaurian β-keratins: Diversification and expansion of archosaurian β-keratins and the origin of feather β-keratins", Journal of Experimental Zoology, 320 (6): 393–405, doi:10.1002/jez.b.22514, PMID 23744807, 22514CS1 maint: extra punctuation (link)