
Pemakanan dalam agama Hindu mencerminkan pelbagai tradisi yang wujud di seluruh benua kecil India. Kitab-kitab suci Hindu menggalakkan amalan pemakanan vegetarian berasaskan konsep ahimsa — iaitu tidak melakukan keganasan serta berbelas kasihan terhadap semua makhluk hidup. Menurut satu tinjauan oleh Pusat Penyelidikan Pew, 44% penganut Hindu menyatakan bahawa mereka mengamalkan diet vegetarian.
Makanan atau 'Anna' dan 'Āhāra' dalam bahasa Sanskrit merupakan sebuah topik yang popular dalam kitab-kitab suci agama Hindu. Upanishad sering kali menggunakan perkataan 'Anna' untuk merujuk kepada makanan dan juga apa-apa sahaja yang dinikmati atau dialami. Secara umumnya, semua jirim juga dirujuk sebagai 'Anna'. Dalam proses ciptaan, 'Anna' ialah penjelmaan Atman yang paling rendah.
Kepentingan Makanan
Makanan bukan sahaja memberi khasiat kepada badan tetapi juga untuk minda. Maka, kebersihan dan kesucian makanan diutamakan dalam semua kitab-kitab suci Hindu.
Menurut kitab-kitab suci Hindu, terdapat hubungan yang rapat antara badan dan minda. Sebenarnya minda ialah sebuah peti simpanan semua hasil karma seseorang. Karma yang menentukan badan dan masa depan seseoang dalam kelahiran semulanya. Apabila seseorang mati, cuma badannya yang musnah tetapi mindanya akan berpindah bersama-sama rohnya ke badan lain. Maka, minda memainkan peranan penting dalam menentukan badan yang seseorang perolehi dalam kelahiran semulanya. Dalam konteks ini juga, makanan memainkan peranannya. Kualiti makanan menentukan kualiti pemikiran dan minda seseorang.
Menurut Chandogya Upanishad (7.26.2) kesucian makanan menentukan kesucian minda. Kesucian minda menghasilkan memori yang kuat untuk mengingati semua yang didengar dan dipelajari. Ini seterusnya membantu seseorang untuk mendapatkan ilmu untuk melepaskan dirinya daripada segala ikatan duniawi. Secara ringkas, makanan menguatkan badan dan minda.
Menurut Manu, penggubal undang-undang Hindu yang terkenal, “Seseorang daripada tiga kasta atasan iaitu Brahmin, Kshatriya dan Vaishya yang dengan sengaja memakan cendawan, daging lembu, bawang putih, ayam, bawang merah, atau bawang perai, akan dibuang kasta.”
Oleh kerana makanan disanjung tinggi oleh Hinduisme, terdapat beberapa mantera untuk persembahan ritual makanan dan juga mantera untuk disebut sebelum makan.
Dewi untuk Makanan
Dewi Annapurna ialah dewi untuk makanan dan suatu aspek Śakti. Annapurna mengawal makanan dan memberikan makanan kepada dunia. Biasanya, Annapurna digambarkan sebagai dewi bertangan empat. Menurut tradisi, Annapurna telah memberikan makanan kepada Siva ketika Siva sedang merayau sebagai seorang fakir. Dengan memuja dewi ini, seseorang tidak akan mengalami kebuluran.
Kuil Annapurna yang popular terletak di Kasi (Varanasi atau Benaras moden di Uttar Pradesh). Perayaan Annapurna biasanya diraikan dalam bulan Caitra (April), terutamanya di Bengal, India.
Sejarah
Menjelang pertengahan alaf pertama Sebelum Masihi, ketiga-tiga agama utama India — Hindu, Jain dan Buddha — mula menekankan nilai etika ahimsa, atau tidak melakukan keganasan, yang dianggap memberi kesan kepada kelahiran semula seseorang. Sekitar tahun 200 Masihi, makanan dan jamuan yang melibatkan penyembelihan haiwan mula dianggap sebagai suatu bentuk keganasan terhadap makhluk hidup dan menjadi satu pantang larang dari sudut agama dan sosial.
Ralph Fitch, seorang pedagang dari London dan antara pengembara Inggeris terawal ke India, menulis dalam sepucuk surat pada tahun 1580:
“Mereka mempunyai aturan yang sangat luar biasa... Mereka tidak memakan daging, sebaliknya hidup dengan makan ubi, beras dan susu.”
Pemakanan dalam Kitab-kitab Suci Hindu
Pemakanan Vegetarian dalam India Purba
Seorang pengembara Cina, Faxian, yang melawat India pada abad ke-4/5 Masihi, menulis:
“Di negara itu mereka tidak membela babi dan ayam, dan tidak menjual haiwan ternakan hidup; di pasar tiada kedai penyembelihan dan tiada penjual minuman memabukkan.”
Kitab-kitab mazhab Vaishnava dan Shaiva menyarankan makanan sayur-sayuran yang sepenuhnya untuk pengikut-pengikutnya. Pengikut-pengikut mazhab Shakta pula dibenarkan oleh kitab-kitab suci untuk memakan daging, ikan, dan arak yang telah dipersembahkan kepada Dewi. Akibatnya, masyarakat Hindu mempunyai pandangan yang negatif - malah membenci - terhadap orang Hindu yang memakan daging. Golongan wali, sebaliknya, tidak mengalakkan pandangan negatif ini. Swami Vivekananda berkata, "Di India, agama telah masuk ke dalam periuk." Sri Ramakrishna Paramahamsa pula berkata, "Jika seseorang yang memakan daging khinzir berfikir berterusan tentang Tuhan, maka dia lebih mulia daripada seseorang yang memakan makanan vegetarian dan masih berfikir tentang benda-benda duniawi setiap masa." Mira Bai, seorang wali wanita India yang hidup dalam kurun ke-16 berkata:
Kalau seseorang boleh melihat Tuhan dengan memakan buah-buahan dan akar-akar,
kenapa kelawar dan monyet belum pernah melihat-Nya?
Kalau seseorang boleh mengenali Tuhan dengan mandi dalam sungai suci,
kenapa ikan-ikan belum pernah mengenali-Nya?
Kalau seseorang boleh melihat Tuhan dengan melepaskan isterinya,
kenapa sida-sida belum pernah melihat-Nya?
Tanpa cinta kepada Tuhan, kata Meera,
Sesiapa pun tidak boleh melihat-Nya.
Veda
Anna Sukta ('Mantera untuk makanan') dalam Ṛgveda Samhitā (1.187.1-11) ialah sebuah mantera yang harus dibacakan untuk menyucikan makanan. Menurut resi Saunaka (dalam Ṛgvidhāna 1-27), Anna Sūkta harus dibaca setiap hari sebelum makan. Bacaan mantera ini akan menyucikan makanan, menghapuskan sebarang kekotoran dalam makanan, dan memastikan makanan itu berkhasiat.
Bukti daripada kitab Veda menunjukkan bahawa diet masyarakat Veda terdiri daripada bijirin — pada mulanya barli, tetapi kemudian didominasi oleh beras — serta kekacang seperti masha (urad), mudga (moong), dan masura (masoor), sayur-sayuran seperti akar dan batang teratai, labu botol, serta produk tenusu, terutamanya daripada lembu, tetapi juga dari kerbau dan kambing.
Steven J. Rosen berpendapat bahawa daging mungkin hanya dimakan sebagai sebahagian daripada upacara korban dan bukan sebagai makanan harian. Amalan korban haiwan tidak diterima sepenuhnya kerana wujud kegusaran terhadap kekejaman dan kekerasan dalam proses penyembelihan yang berdarah, seawal zaman Veda purba.
Rujukan terawal kepada idea ahimsa atau larangan terhadap keganasan ke atas haiwan (pashu-ahimsa) dalam bentuk moral ditemui dalam Kapisthala Katha Samhita daripada Yajurveda, yang ditulis sekitar abad ke-8 Sebelum Masihi. Shatapatha Brahmana mengandungi antara pernyataan terawal yang menentang pemakanan daging, manakala Chandogya Upanishad turut memuatkan larangan membunuh "semua makhluk hidup". Larangan terhadap pemakanan daging juga dapat ditemui dalam teks Dharmasutra.
Pengelasan menurut Guna
Makanan dikelaskan kepada tiga Guna: Sāttvika, rājasika dan tāmasika (Bhagavad Gita 17.7-10).
Makanan sattvika memberikan umur yang panjang, badan yang sihat dan kuat serta kegembiraan.
Makanan rajasika menghasilkan nafsu yang membawa kepada penderitaan dan kesengsaraan.
Makanan tamasika pula menyebabkan kelesuan, kemalasan, dan mengantuk.
Senarai panjang tiga kumpulan makanan ini juga diberikan oleh kitab-kitab suci.
Hukum-hukum Pemakanan
Menurut Dharmasastra, perbuatan memakan juga ialah suatu amalan agama dan beberapa hukum pemakanan diberikan khususnya mengenai kuantiti makanan, teman, masa dan tempat untuk makan.
Umumnya, pemakanan yang sederhana digalakkan. Sebelum melakukan disiplin kerohanian, seseorang tidak harus makan. Gerhana bulan dan gerhana matahari dipercayai mempunyai kesan buruk terdapat makanan. Oleh itu, seseorang tidak harus makan ketika gerhana.
Seseorang juga tidak harus makan di kuil, tempat awam, dan kenderaan bergerak.
Makanan menjadi tercemar dalam tiga keadaan: jātidoṣa, nimittadoṣa dan āśrayadoṣa. Bawang putih dan kobis, misalnya ialah makanan yang tercemar secara spesis (jāti), dan oleh itu mesti dielakkan. Nimittadoṣa berlaku disebabkan kekotoran luar seperti habuk atau rambut. Ini boleh dielakkan dengan menjaga kebersihan dan sanitasi yang baik. Makanan yang disentuh, dimasak, atau dikendalikan oleh orang jahat atau kurang bermoral dikatakan tercemar dengan arus negatif dan jahat mereka. Kekotoran jenis ini dinamakan sebagai āśrayadoṣa. Makanan ini boleh disucikan dengan mempersembahkannya kepada Tuhan terlebih dahulu sebelum makan.
Menurut Bhagavad Gita, seseorang perlu mengambil makanan yang banyak airnya, berzat, selamat dimakan, dan menyenangkan demi kesihatan fizikal dan kepentingan rohaninya. Makanan yang terlampau pahit, terlalu masam, terlampau masin, terlalu panas, amat pedas, kering dan mendidih harus dielakkan. Makanan yang telah basi, tanpa rasa, busuk, dan tidak bersih harus dielakkan.








