Daerah Cameron Highlands | |
---|---|
Lokasi Daerah Cameron Highlands di Malaysia | |
Koordinat: 4°30′N 101°30′E / 4.500°N 101.500°EKoordinat: 4°30′N 101°30′E / 4.500°N 101.500°E | |
Negara | Malaysia |
Negeri | Pahang |
Pusat | Tanah Rata |
Pihak berkuasa tempatan | Majlis Daerah Cameron Highlands |
Pentadbiran | |
• Pegawai daerah | Tn. Kamarul Iskandar b. Nordin[1] |
Keluasan | |
• Jumlah | 712 km2 (275 batu persegi) |
Penduduk (2020)[2] | |
• Jumlah | 39,004 |
• Kepadatan | 55/km2 (140/batu persegi) |
Zon waktu | UTC+08:00 (WPM) |
Poskod | 39xxx |
Kod panggilan | +6-05 |
Nombor plat kenderaan | C |
Cameron Highlands merupakan sebuah daerah di negeri Pahang, Malaysia. Daerah ini terletak di barat laut negeri Pahang dan berkeluasan 712 kilometer persegi yang merangkumi tiga buah mukim. Pusat pentadbiran daerah ini terletak di Tanah Rata.
Etimologi
Perkataan "Cameron" diambil sempena nama seorang juruukur British, William Cameron yang menemui kawasan daerah ini semasa melakukan ekspedisi di Banjaran Titiwangsa pada tahun 1885. Perkataan "Highlands" pula bermaksud tanah tinggi yang merujuk kepada lokasi daerah ini yang berada di kawasan tanah tinggi.[3]
Pentadbiran
Daerah Cameron Highlands ditadbir satu pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Daerah Cameron Highlands yang berpusat di Tanah Rata. Daerah ini terbahagi kepada tiga buah mukim, sebuah bandar dan tiga buah pekan.
Mukim
- Mukim Hulu Telom
- Mukim Ringlet
- Mukim Tanah Rata
- Bandar Tanah Rata
- Pekan Brinchang
- Pekan Lubok Tamang
- Pekan Ringlet
Geografi
Daerah Cameron Highlands terletak di barat laut negeri Pahang, bersempadan dengan daerah Lipis di timur dan selatan, negeri Perak di barat dan Kelantan di utara. Daerah ini merupakan daerah terkecil di Pahang dengan keluasan 712 kilometer persegi.
Secara geografinya daerah ini berada di atas Banjaran Titiwangsa dengan ketinggian antara 800 meter (2,600 ka) hingga 1,603 meter (5,259 ka) di atas paras laut. Ketinggian maksimum daratan di daerah ini mencapai sekitar 2,334 meter (7,657 ka). Daerah ini juga menempatkan beberapa gunung seperti Gunung Batu Brinchang, Gunung Berembun, Gunung Irau, Gunung Jasar, Gunung Mentigi, Gunung Perdah dan Gunung Swettenham.
Demografi
Tahun | Pend. | ±% |
---|---|---|
1991 | 25,555 | — |
2000 | 28,077 | +9.9% |
2010 | 36,978 | +31.7% |
2020 | 39,004 | +5.5% |
Berdasarkan bancian Malaysia 2020 jumlah penduduk di Daerah Cameron Highlands ialah seramai 39,004 orang dengan kepadatan penduduk 55 orang perkilometer persegi yang dikategorikan sebagai taburan penduduk sederhana. Majoriti penduduk di daerah ini merupakan Bumiputera, membentuk lebih 51 peratus penduduk. Kaum kedua terbesar merupakan kaum Cina diikuti India. Lebih 13 peratus penduduk merupakan bukan warganegara.[2][4]
Nisbah penduduk lelaki kepada penduduk wanita ialah 0.8. Terdapat 15,980 tempat kediaman dengan sebanyak 9,798 isi rumah. Purata saiz isi rumah pula dicatatkan seramai empat orang dalam sebuah rumah. Lebih 26 ribu penduduk dalam kalangan umur bekerja, 10 ribu dalam golongan muda dan selebihnya seribu orang merupakan warga tua.[2]
Kewarganegaraan | Kaum | Jumlah |
---|---|---|
Warganegara Malaysia | Bumiputera | 17,337 |
Cina | 11,673 | |
India | 4,415 | |
Lain-lain | 310 | |
Bukan warganegara | N/A | 5,269 |
Agama
Majoriti penduduk di daerah Cameron Highlands beragama Islam yang terdiri daripada penduduk berbangsa Melayu dan beberapa etnik lain. Agama kedua terbesar merupakan agama Buddha yang kebanyakannya dianuti penduduk berbangsa Cina. Agama ketiga terbesar merupakan agama Hindu yang majoritinya terdiri daripada penduduk berbangsa India. Kebanyakan penduduk bumiputera selain Melayu menganut agama Kristian atau tidak beragama.[2]
Rujukan
- ^ "Portal Rasmi PDT Cameron Highlands". Dicapai pada 1 Jun 2023.
- ^ a b c d e "Kawasanku • Cameron Highlands - OpenDOSM". Jabatan Perangkaan Malaysia. Dicapai pada 1 Jun 2023.
- ^ "Portal Rasmi Majlis Daerah Cameron Highlands". Dicapai pada 1 Jun 2023.
- ^ "Map ~ Stats Geoportal". Stats GeoPortal. Jabatan Perangkaan Malaysia. Dicapai pada 2023-05-31.