Cerita Panjang Doraemon adalah manga Jepun popular yang dikarang oleh Fujiko F. Fujio tentang Doraemon, Nobita dan kawan-kawannya. Berbeza daripada cerita bersiri, cerita panjang ini mengambil masa yang lebih lama dan melibatkan cerita di luar kawasan biasa mereka kerana melibatkan dimensi, ruangan, masa dan planet yang lain. Watak baru yang khusus bagi cerita tersebut juga akan diperkenalkan bagi membimbing Nobita, Doraemon dan rakan-rakannya menjelajah dan tidak kurang juga yang merumitkan keadaan mereka.
Cerita panjang Doraemon kebanyakannya telah dijadikan filem manga dan telah dan akan diterbitkan semula serta ditayangkan di pawagam.
Perbezaan Cerita Panjang dan Cerita Pendek
Cerita Panjang Doraemon dilukis untuk dijadikan filem, dan diceritakan dalam lingkungan yang lebih besar daripada cerpen Doraemon yang biasa. Dalam cerpen, cerita sering berteraskan hanya untuk beberapa watak di bandar disamping perkara yang luar biasa berlaku dalam kehidupan rutin seharian mereka, akan tetapi dalam siri cerita panjang, lingkungan latar cerita diluaskan dengan penekanan kepada watak-watak tambahan dan sampingan sebagai pembawa cerita seperti penduduk makhluk asing dan musuh serta merangkumi wilayah yang tidak diketahui di bumi, planet lain, dan kadangkala merentas masa dan alam nyata.
Watak Utama
Dalam siri ini, teraju utama cerita panjang ialah Doraemon, Nobita, Shizuka, Gian, dan Suneo. Mereka sering menyelesaikan permasalahan yang dihadapi dengan bekerjasama dengan watak pembantu sesebuah cerita panjang tersebut.
Sebagai teraju utama, Doraemon terlibat secara langsung dengan permasalahan yang disebabkan oleh Nobita dan rakan-rakannya, serta berperanan sebagai pemimpin yang bijaksana menguruskan kumpulan. Bukan itu sahaja, bergantung kepada cerita, dia mungkin memainkan peranan aktif sebagai watak penggerak cerita atau memainkan peranan penting di peringkat akhir cerita. Selain itu, dalam setiap penceritaan, Doraemon akan menggunakan alat rahsia yang membantu pada saat-saat getir. Walau bagaimanapun, ada ketikanya semua alat ajaibnya tidak boleh digunakan untuk sementara waktu.
Nobita bersifat lebih berani dalam cerita panjang berbanding cerpen, dan sering memainkan peranan terpenting menyelesaikan pertembungan pihak baik dan jahat. Namun begitu, pada permulaan cerita sebelum memasuki dunia pengembaraan yang luar biasa, Nobita sering menjadi watak penyebab yang terlibat dalam permasalahan, sama seperti di cerpen. Kelemahan watak Nobita dalam cerpan selalunya akan dicanangkan ketika dia ditinggalkan berseorangan, walaupun telah berada di dunia pengembaraan. Contohnya, Nobita menjadi orang pertama bila Buluh Terbang kehabisan bateri.
Shizuka digambarkan sebagai seorang gadis yang lebih mencintai kedamaian berbanding di cerpen, dan terdapat banyak babak apabila dia cuba menyelesaikan persengketaan bersama musuh secara aman. Di samping itu, Shizuka bersifat lebih meminati Nobita berbanding dalam cerpen, dan sifat ini menjadi lebih menonjol dalam karya-karya terkemudian.
Perwatakan Gian yang secara azalinya panas baran, pentingkan diri, sukar dibawa berunding, pembuli dan budak jahat dikurangkan dalam cerita panjang, dengan penekanan kepada sifat lelaki sejati perkasa dan perwira harapan yang boleh dipercayai. Walau bagaimanapun, peranan pembuli dan budak jahat sebelum memasuki dunia pengembaraan yang luar biasa pada permulaan cerita kekal sama seperti dalam cerpen.
Bagi watak Suneo, keperibadiannya yang licik dalam cerpen lebih cenderung disembunyikan di sebalik penulisan cerita panjang, akan tetapi dia sering digambarkan sebagai anak manja kerana sering meraung "Mama!" dan ingin ingin pulang ke rumah ketika dalam kemuncak kesempitan sengketa cerita. Terdapat banyak karya yang menggambarkan Suneo sebagai pemikir pintar dalam kalangan rakan-rakannya dengan menzahirkan keupayaan memerhati situasi semasa dan keupayaan kemahiran teknikal dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Perwatakan Suneo sebelum bermulanya pengembaraan yang luar biasa hampir sama seperti dalam cerpen iaitu licik, berlagak dan sekutu kejahatan Gian.
Gian dan Suneo sering mengingatkan rakan-rakan mereka yang lain supaya sentiasa berwaspada dan berhati-hati terhadap musuh atau sekutu yang baru dikenali, sangat berbeza dengan Nobita, Shizuka dan Doraemon yang sangat mesra dan murni pekertinya, seperti mereka tidak berfikir panjang untuk menyelamatkan musuh yang tercedera. Kadangkala Gian dan Suneo meletakkan diri mereka sendiri dalam bahaya ketika mereka mengambil tindakan melulu dan mementingkan diri sendiri.
Alat Ajaib
Alat ajaib yang kerap muncul dalam filem cerita panjang termasuklah peralatan penjelajahan seperti Pintu Suka Hati, Buluh Terbang, Mesin Masa dan Gelung Laluan Dimensi. Peralatan pertahanan pula termasuklah Meriam Udara, Pistol Kejutan, Kain Pemantul dan Lampu Pengecil. Peralatan perhubungan komunikasi yang sering digunakan adalah Roti Penterjemah dan Umpan Momotaro.
Selain itu, terdapat banyak alat ajaib baharu yang hanya digunakan dalam cerita panjang. Sekiranya alat ajaib tersebut terlalu kuat dan mudah untuk menyelesaikan permasalahan, alat ajaib tersebut berkemungkinan tidak akan muncul dalam penceritaan.
Cerita Panjang
.
- Nobita dan Dinosaur: Cerita ini mempunyai kaitan (malah mungkin sambungan) kepada salah satu cerita bersiri manga. Cerita ini mengisahkan Nobita menemui sebiji fosil telur dinosaur dan dia memulihkan dengan kain masa untuk dieram serta ditetaskan. Apabila dinosaur itu menetas, dia dinamakan "Pisuke". Walau bagaimanapun, saiznya yang semakin membesar membuatkan penduduk setempat mengesyaki akan kewujudan Dinosaur dan Doraemon memaksa Nobita meletakkan Pisuke ke zaman purba iaitu "tempat asalnya". Disebabkan Nobita telah bertaruh dengan Suneo dan Giant untuk menunjukkan fosil hidup Dinosaur, Nobita membawa Suneo, Giant, Shizuka bersama Doraemon menemui Pisuke di zaman purba. Ketika itu, penjelajahan mereka bermula apabila mereka dikejar kumpulan pemburu dinosaur yang ingin mendapatkan Pisuke.
- Sejarah Penerokaan Angkasa Lepas: Kisah ini pula mengisahkan Nobita terjumpa satu jalan keluar ke sebuah kenderaan milik pengguna yang berada di planet lain. Nobita dan Doraemon berkawan dengan orang di planet itu dan mendapati planet mereka aman damai. Walau bagaimanapun, planet itu diancam bahaya kerana sumber yang diburu oleh sebiiah syarikat galian dan kini, Nobita dan Doraemon perlu membantu warga planet itu untuk menyelamatkan tanah mereka dari dimusnahkan.
- Penjelajahan Alam Misteri : Nobita menemui sebuah negara yang tersembunyi di sebalik rimbunan hutan Afrika. Mereka membantu seekor anjing untuk memulihkan negaranya yang diperintah oleh kuku besi yang telah merampas harta daripadanya. Seperti biasa, Doraemon dengan yang lain akan menjelajah ke benua Afrika yang liar untuk tiba ke negara tersebut dan menempatkan semula pewaris takhta yang sepatutnya.
- Kubu Hantu di Dasar Laut : Nobita, Doraemon, Sinyu, Giant dan Shizuka bercuti di dasar laut setelah bertengkar tentang percutian sama ada di pergunungan atau di pantai. Mereka turut teruja dengan kapal yang dipenuhi oleh emas yang ditemui secara misteri di perairan. Di dasar laut, mereka menemui misteri apabila berjumpa dengan ketamadunan bawah laut, manusia dasar laut dan kubu hantu yang terletak di Segitiga Bermuda. Terpulang kepada mereka kini untuk pulang hidup-hidup dan pada masa yang sama menyelamatkan bumi serta orang dasar laut.
- Penjelajahan Sarang Hantu : Nobita menggunakan 'telefon' Doraemon dan meminta dia berada di dunia sihir. Walau bagaimanapun, keadaan tidak menentu dan tidak terkawal apabila kedua-dua dunia tersebut telah bercampur aduk dan di ancam oleh hantu yang berada di 'planet' lain yang ingin mengawal bumi. Doraemon dengan Nobita perlu memasuki sarang hantu tersebut untuk membunuh ketua hantu agar dapat menyelamatkan bumi dan mengembalikan keadaan seperti sedia kala.
- Perang di Angkasa Lepas : Nobita telah menemui sejenis makhluk angkasa lepas yang sangat kecil dan menyelamatkannya. Mahkluk tersebut meminta bantuan Nobita dan yang lain untuk menyelamatkan planetnya daripada ancaman diktator kuku besi yang mengongkong mereka. Doraemon dan yang lain yang turut dikecilkan bersetuju untuk membantu.
- Nobita dan Panglima Besi : Kali ini Nobita menemui sebuah robot misteri tanpa mengetahui robot itu bakal membawa masalah. Tambahan pula, sebuah robot wanita telah muncul dan mencetuskan permasalahan yang memeningkan Nobita dan Doraemon apabila kaum robot ingin menyerang bumi dan menangkap semua manusia untuk dijadikan hamba. Seperti biasa, Nobita, Doraemon dan yang lain perlu memulihkan keadaan.
- Penunggang Dinosaur : Setelah memperoleh keputusan yang teruk, Nobita perlu menyembunyikan kertas ujiannya. Doraemon mencari lubang bawah tanah untuk dijadikan tempat persembunyian yang kemudiannya digunakan sebagai tempat mereka bermain. Walau bagaimanapun, Sinyu terserempak dengan benda yang tidak sepatutnya dan membawa mereka ke penjelajahan bawah tanah yang merupakan dunia kepada dinosaur dan manusia dinosaur. Tetapi, manusia dinosaur mempunyai agenda terhadap manusia di muka bumi dan terpulang kepada mereka berlima untuk meleraikan kekeliruan yang dihadapi oleh manusia dinosaur.
- Kelahiran Negeri Jepun : Terowong masa mengalami gangguan lalu membawa seorang budak dari zaman purba ke bilik Nobita. Maka, Doraemon dan yang lain perlu membantu untuk menghantar pulang budak tersebut (dalam pada masa yang sama pergi bercuti). Tetapi di sana, mereka sedar yang budak itu mengalami maslaah besar terhadap kaumnya dan mereka perlu membebaskan keluarga budak tersebut dari belenggu yang tidak sepatutnya berlaku.
- Bintang Misteri : Nobita yang mengigau telah terjumpa sebuah jalan ke planet yang didiami binatang yang mampu bercakap dan berjalan seperti manusia. Perjalanan pergi balik mereka dan persinggahan mereka di sana tidak bermasalah hinggalah jalan pintas itu hilang dan planet tersebut diserang. Mereka perlu membantu haiwan di planet itu agara keindahan planet itu tidak diceroboh dan dimusnahkan
- Negara Legenda : Pengembaraan ke dalam buku amat menyeronokkan tetapi tidak jika tersangkut di dalamnya. Begitulah yang dialami mereka apabila Shizuka terkandas di dalam buku "Sinbad". Yang malang sekali, kecuaian Nobita membuatkan emaknya membakar helaian buku tersebut dan menghalang mereka menyelamatkan Shizuka secara terus. Kini mereka terpaksa menyusuri sejarah Hikayat Seribu Satu Malam untuk menjejaki Shizuka dan menyelamatkannya.
- Negara Awan : Angan-angan Nobita akan wujudnya negara kayangan di atas langit menjadi kenyataan apabila Doreamon membina negara di atas awan yang dibekukan. Walau bagaimanapun, mereka telah terjumpa negara awan yang bukan milik mereka dan mendapati wujudnya ketamadunan dan pemuliharaan haiwan yang telah pupus di sana. Malangnya, mereka mengancam untuk menenggelamkan bumi dengan banjir besar kerana kemusnahan teruk yang dilakukan penduduk muka bumi. Kini, mereka terpaksa menggunakan pelbagai cara untuk menghalang rancangan menenggelamkan bumi itu.
- Istana Emas Putih : Percutian tidak menyeronokkan jika tidak memperoleh tempat percutian yang selesa dan tidak terlalu ramai. Mereka menemui "Istana Emas Putih" yang dikendalikan oleh robot dan berada di sebuah pulau yang pelik. Walau bagaimanapun, keadaan tidak menjadi baik apabila Doraemon diculik ke planet yang diperintah robot dan Nobita serta yang lain terpaksa berkejar untuk menyelamatkan Doraemon dan manusia di planet itu agar tidak terus diperintah oleh robot.
- Tiga Sekawan Pahlawan Pedang Impian : Impian mereka untuk menjadi pahlawan menjadi kenyataan apabila Doraemon menggunakan alatnya untuk memasukkan Nobita dan yang lain ke alam mimpi. Tetapi seperti biasa, keadaan tidak menjadi seperti yang diduga dan dengan berbekalkan pedang dan semangat bersama, mereka perlu menjelajah alam mimpi tersebut, bertentang dengan naga agar dapat mengembalikan puteri Shizuka ke istana dengan selamat dan menyelamatkan istana tersebut daripada ancaman.
- Kisah Penciptaan Dunia : Nobita diberikan alat oleh Doraemon untuk mempelajari bagaimana terciptanya dunia dengan model penciptaan dunia. Kini, Nobita perlu mencipta dunia seperti yang sepatutnya dan melihat perkembangan dunia tersebut. Walau bagaimanapun, sejarah dunia ciptaan Nobita tidak selari dengan dunia sebenar apabila sedikit kesilapan dilakukan ketika mereka singgah dahulu yang menyebabkan serangga mempunyai kuasa di dunia bawah tanah.
- Keretapi Ekspres Galaksi : Iri hati dengan Sinyu yang dapat menaiki Keretapi Ekspres, Doraemon membelikan tiket Keretapi Ekspres Galaksi yang membolehkan perjalanan ekspres merentasi galaksi ke bintang permainan dan percutian. Walau bagaimanapun, spesis parasit telah muncul di sana dan ingin menguasai alam semesta. Mereka perlu menghalangnya sebelum manusia dipergunakan parasit tersebut dan menjalankan rancangan yang lebih teruk lagi.
- Penjelajahan di Bandar Raya Alat Mainan : Nobita dan yang lain mencipta dunia yang hanya didiami oleh alat mainan. Kehidupan semuanya berjalan lancar apabila seorang pencuri muncul dan mengkucar-kacirkan bandar raya. Nobita pula berjumpa dengan 'benda' ajaib yang mendakwa dirinya pencipta alam semesta. Dengan keyakinan yang diberi, Nobita perlu membimbing yang lain untuk menyelamatkan bandar raya tersebut.
- Penjelajahan Laut Selatan : Nobita yang berlayar untuk mendapatkan harta karun di pulau terpencil telah menemui sebuah kapal lanun yang sesat. Mereka telah bertembung dan Nobita telah hanyut di bawa arus. Kemudian bersama-sama menuju ke pulau harta karun dengan harapan dapat berjumpa dengan Nobita dan lanun yang telah hilang. Tanpa diduga, mereka menemui pelbagai hidupan pelik di sana yang membuatkan mereka diancam masalah baru.
- Pengembaraan di Angkasa Lepas : Kisah ini lebih kepada ala-ala Star Wars iaitu seorang budak yang bapanya telah dipengaruhi oleh penjahat malah memusuhi anaknya sendiri. Budak tersebut bersama kawannya iaitu pari-pari dan robot ingin mencari tempat hidup yang baru dan kemudian berjumpa dengan Nobita. Nobita dan yang lain kemudiannya membantu budak itu menentang kembali penjahat dan menyedarkan semula bapanya bersama kenangan ibunya yang telah tiada.
- Legenda Raja Matahari : Nobita telah tertukar tempat dengan seorang putera raja dari zaman dahulu. Doraemon perlu mencari Nobita dan menghantar putera raja tersebut pulang tetapi Nobita pula mempunyai agendanya iaitu menyelamatkan anak gadis pahlawan yang diculik ahli sihir untuk dijadikan korban ketika gerhana matahari. Mereka kemudian berganding bahu bersama-sama menyelesaikan misi mereka.
- Nobita dan Pahlawan Burung : Nobita dan Doraemon terjumpa seekor manusia burung tidak tahu terbang dan kini mereka bersama-sama untuk membantunya memenangi perlumbaan kelayakan untuk menjadi pengawal penghijrahan burung. Walau bagaimanapun, ada yang lebih buruk berlaku iaitu kemunculan raksasa yang telah lama dibekukan yang memaksa mereka membantu menyelamatkan keadaan dan memanggil keluar manusia burung yang disegani dalam legenda untuk membantu mereka.
- Negara Robot Nobita : Nobita telah menemui sebuah robot kanak-kanak yang datang secara tiba-tiba melalui perkhidmatan penghantaran robot. Robot kanak-kanak itu kemudiannya membawa Nobita dan yang lain ke tempatnya yang ketika itu diperintah oleh permaisuri kejam yang mengikut dan memberi arahan kepada robot. Permaisuri itu dahulunya adalah kawan sepermainan robot kanak-kanak itu. Mereka perlu membantu menyedarkan permaisuri dan membantu memulihkan pemerintahan yang adil antara robot dan manusia.
- Nobita dan Pesuruh Angin : Nobita menemui pusaran angin yang boleh berinteraksi. Walau bagaimanapun, ia mempunyai kembar jahat yang apabila digabungkan, akan membentuk angin bencana yang dahsyat. Angin itu juga menemukan Nobita dan yang lain dengan masyarakat yang menggunakan angin sebagai pengangkutan mereka. Walau bagaimanapun, hantu jahat yang mencipta angin kembar itu kini mengancam mereka dan mereka pelu menentangnya.
- Ruang Masa Kucing Anjing : Nobita menghantar anjing peliharaannya dan anjing serta kucing terbiar yang lain ke zaman purba untuk hidup dengan aman. Walau bagaimanapun, keadaan berubah apabila kucing dan anjing berevolusi lalu membantu ketamadunan sebelum wujudnya manusia purba. Walau apapun, Nobita ingin bertemu dengan anjing peliharaannya itu dan memerangi sindiket kotor yang ingin merampas sumber kuasa utama kerajaan yang kini bertahan sebelum mereka berhijrah keluar dari muka bumi.
- Judul yang disenaraikan adalah berdasarkan terjemahan tajuk keluaran Tora Aman.
Keluaran
Tarikh pembikinan dan keluaran asal Cerita Panjang Doraemon di Jepun. Cerita panjang akan diterbitkan sebelum filem panjang ditayangkan.
Judul | Tahun keluaran |
---|---|
Nobita dan Dinosaur | Januari - Mac 1980 |
Sejarah Penerokaan Angkasa Lepas | September 1980 - Februari 1981 |
Penjelajahan Alam Misteri | September 1981 - Februari 1982 |
Kubu Hantu di Dasar Laut | Ogos 1982 - Februari 1983 |
Penjelajahan Sarang Hantu | September 1983 - Februari 1984 |
Perang di Angkasa Lepas | Ogos 1984 - Januari 1985 |
Nobita dan Panglima Besi | Ogos 1985 - Januari 1986 |
Penunggang Dinosaur | November 1986 - Mac 1987 |
Kelahiran Negeri Jepun | Oktober 1988 - Mac 1989 |
Bintang Misteri | Oktober 1989 - Mac 1990 |
Negara Legenda | September 1990 - Februari 1991 |
Negara Awan | Oktober 1991 - Mac 1992 |
Istana Emas Putih | September 1992 - Mac 1993 |
Tiga Sekawan Pahlawan Pedang Impian | September 1993 - Mac 1994 |
Kisah Penciptaan Dunia | September 1994 - Mac 1995 |
Keretapi Ekspres Galaksi | September 1995 - Februari 1996 |
Penjelajahan di Bandar Alat Mainan | September 1996 - Mac 1997 |
Penjelajahan di Laut Selatan | Oktober 1997 - Mac 1998 |
Pengembaraan di Angkasa Lepas | Oktober 1998 - Mac 1999 |
Legenda Raja Matahari | Oktober 1999 - Mac 2000 |
Nobita dan Pahlawan Burung | Februari - Mac 2001 |
Negara Robot Nobita | Februari - Mac 2002 |
Nobita dan Pesuruh Angin | Februari - Mac 2003 |
Ruang Masa Kucing Anjing | Februari - Mac 2004 |